Browsing Tag

soal jawab agama

samak
Isu,

[VIDEO] Bila masuk ke rumah rakan yang bela anjing, ini perkara yang perlu kita ambil tahu

SEMUA umat Islam cakna tetang perihal anjing. Ia antara haiwan yang dikategorikan sebagai najis mughallazah.

Alhamdulillah, ramai dalam kalangan kita yang tahu menjaga batasan diri. Apabila ternampak haiwan itu, secara automatik, langkah kaki semakin laju kita menjauhkan diri.

Namun begitu, apabila kita hidup dalam komuniti berjiran dengan bukan Islam, agak sukar untuk kita mengelakkan diri daripada bertemu dan bertanya khabar mereka. Paling tidak pun, pasti kita akan lalu di hadapan rumah mereka.

Kadangkala jiran bukan Islam itu ada membela anjing. Andai kata, kita termasuk ke dalam rumah jiran atau rakan yang ada membela anjing, perlukah kita menyamak badan kita?

Pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen menjelaskan, kita tidak perlu menyamak badan kita apabila masuk dalam rumah yang ada membela anjing.

DA’I ADNEEN

Beliau menambah, ia melainkan ada ‘ain anjing tersebut yang melekat pada tubuh badan kita.

“Contohnya, darah, air liur, bulu, najis anjing tersebut sendiri atau mana-mana anggota yang datangnya daripada haiwan tersebut.

“Jika ia melekat pada badan kita, maka kita perlu samak bahagian anggota yang terkena pada najis-najis tersebut.

“Ia berdasarkan pandangan Mazhab Syafie bahawa memegang setiap inci daripada anggota badan anjing dikira sebagai najis dalam Kitab al-Minhaj as-Syarah Sahih Muslim yang dikarang oleh al-Imam al-Nawawi,” jelas beliau.

Baca juga Najis anjing depan kawasan rumah, bagaimana kaedah pelupusan dianjurkan Islam?

Jika benar-benar kita lihat ‘ain anjing tersebut terkena pada badan, Da’i Adneen memberikan memetik sebuah hadis yang boleh dijadikan panduan untuk kita menyamak bahagian anggota terlibat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya yakni bekas tersebut adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.” (Riwayat Muslim)

Semoga penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan kita selama ini.

Foto: Freepik

ibu
Soal Jawab Agama,

[VIDEO] Doa ibu angkat mustajab? Ini penjelasannya

HIDUP dan jalan cerita setiap orang adalah berbeza. Walaupun rambut mungkin sama hitam, tetapi liku-liku kehidupan yang dilalui setiap dalam kalangan kita langsung tidak sama.

Ada orang yang dilahirkan dalam keluarga yang penuh penyayang oleh ibu bapa kandung. Namun begitu, ada segelintir pula dibesarkan oleh ibu dan bapa angkat. Barangkali ibu dan bapa kandungnya sudah tiada lagi di bumi yang fana ini.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita. Itulah sikap yang diajar sejak kita masih kecil.

Malah, agama Islam juga mengajar umatnya supaya berbuat baik dan menghormati insan yang lebih berusia.

Namun begitu, dari segi doa pula, mustajabkah doa ibu angkat? Adakah taraf doa ibu angkat adalah sama dengan ibu kandung?

Menjelaskan persoalan itu, pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen memetik sebuah hadis masyhur tentang doa yang dikabulkan oleh ALLAH SWT tanpa diragui lagi.

DA’I ADNEEN

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi; doa orang yang dizalimi, doa orang dalam perjalanan yakni orang yang bermusafir dan doa orang tua terhadap anaknya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Ujar beliau, orang tua yang dimaksudkan dalam hadis itu merujuk kepada ibu dan bapa kandung.

“Sama juga halnya seperti yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis-hadis lain berkaitan dengan seruan terhadap anak-anak untuk melakukan kebaikan kepada ibu bapanya.

Baca juga Jangan jadi anak tak kenang budi, jangan ambil kesempatan atas kebaikan, kemurahan hati ibu bapa

“Hak keistimewaan ibu bapa daripada anak-anak yang disebutkan turut merujuk kepada ibu bapa kandung,” terangnya.

Namun begitu, Da’i Adneen menjelaskan, alasan itu bukanlah satu tiket untuk seorang anak berbuat tidak baik kepada ibu bapa angkatnya.

“Bahkan, seorang anak bertanggungjawab untuk melakukan kebaikan kepada ibu bapa angkatnya sepertimana dia bertanggungjawab untuk melakukan kebaikan kepada orang di sekelilingnya.

“Sekiranya seorang anak menyakiti hati ibu atau bapa angkatnya, maka bersegeralah memohon maaf. Moga-moga perkara tersebut tidak diulangi lagi,” ujarnya.

Justeru, berbuat baiklah kepada ibu kita tidak kiralah siapa pun mereka. Sekalipun wanita dan lelaki yang membesarkan kita bukanlah orang tua kandung, tetapi mereka menjadi individu penting yang membesarkan dan memberi didikan kepada kita.

Foto: Freepik & 123rf

Berita Semasa,

[VIDEO] Belum akikah lagi sejak kecil kerana ibu bapa tak mampu…

SEGELINTIR orang tidak sempat lagi akikah ketika masih kecil. Barangkali kesempitan hidup ibu bapa dan keluarga menyebabkan ibadah berkenaan tidak dapat dilakukan pada waktu itu.

Begitupun, apabila usia telah meningkat dewasa, terasa mahu melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri pula kerana tidak berpeluang merasainya ketika kecil.

Namun, agak canggung mahu berbuat demikian. Apa tidaknya, ibadah akikah lazimnya dilakukan ketika seorang anak itu masih bayi atau kecil. Malah, ia sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa masing-masing.

Namun begitu, kekangan yang dihadapi membuatkan seseorang itu tidak dapat melaksanakan ibadah akikah berkenaan.

Bolehkah andainya kita melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri apabila sudah dewasa kerana faktor kemampuan ibu bapa ketika masih kecil?

Baca juga Sembelih dua ekor kambing berasingan untuk anak lelaki, adakah masih dikira sebagai akikah?

Sebelum mengulas lebih lanjut, pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen menjelaskan, ibadah akikah merupakan penyembelihan haiwan tertentu sebagai tanda syukur kita kepada ALLAH SWT atas kelahiran cahaya mata.

DA’I ADNEEN

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bersama-sama kelahiran bayi ada akikahnya, maka tumpahkanlah darah akikah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Menjelaskan hukumnya, Da’i Adneen berkata, ibadah berkenaan adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut bagi mereka yang berkemampuan.

“Apabila seseorang itu meninggalkan ibadah akikah dalam keadaan dirinya berkemampuan atau tanpa sebarang keuzuran, maka hukumnya adalah makruh.

Turut disyorkan Tulang dan sisa daging korban perlu ditanam? Ini penjelasannya

“Sekiranya seseorang itu meninggalkan ibadah akikah ini kerana tidak berkemampuan atau kerana keuzuran, maka ia tidak makruh dan juga tidak haram,” terang beliau.

Justeru, katanya, bagi orang dewasa yang ingin membuat ibadah akikah kepada dirinya kerana tidak lagi akikah sewaktu kecil, maka hukumnya adalah sunat sekiranya berkemampuan.

Semoga jawapan ini mampu meleraikan segala kekusutan kita. Jangan risau untuk melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri meskipun kita sudah dewasa.

Berita Semasa,

[VIDEO] Pakai tuala ketika berwuduk… Ini hukumnya yang wajib kita tahu

SELEPAS mandi, segelintir orang gemar terus mengambil wuduk walaupun ketika itu masih lagi bertuala.

Bugi mereka, mudah untuk terus menunaikan solat nanti. Apatah lagi, jika kita mandi pada waktu-waktu yang dekat dengan waktu solat seperti Subuh dan Asar.

Bukan itu sahaja, ada juga yang mengambil wuduk dalam keadaan berpakaian tidak sempurna. Dalam erti kata lain, seksi terutamanya apabila hanya bersendirian di dalam rumah.

Persoalannya, sahkah wuduk berkenaan jika kita hanya bertuala atau berpakaian seksi sahaja?

Merungkaikan jawapannya, pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen berkata, wuduk berkenaan sah sekiranya ia memenuhi syarat sah wuduk dan rukun wuduk.

DA’I ADNEEN

Jelas beliau, cara berpakaian ketika wuduk sebenarnya tidak termasuk dalam syarat sah wuduk dan rukun wuduk.

Begitupun, suka beliau untuk mengingatkan tentang sifat malu yang diterangkan dalam sebuah hadis masyhur.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam satu riwayat yang lain, baginda SAW bersabda: “ALLAH itu lebih berhak untuk malu terhadap-NYA berbanding malu terhadap manusia.”

Walaupun ketika kita mengambil wuduk itu hanya seorang diri dan tiada orang yang nampak keadaan diri, Da’i Adneen mengingatkan bahawa ALLAH SWT tetap melihat kita dalam apa jua keadaan.

“Maka, letakkanlah malu terhadap ALLAH itu adalah yang lebih utama.

“Apa-apapun, wuduk itu tetap sah walaupun syarat berpakaian tidak termasuk dalam syarat atau rukun wuduk.

“Cuma, ia bukanlah soal sunat atau wajib, tetapi adalah lebih baik kita menutup aurat ketika mengambil wuduk. Ia sepertimana yang disunatkan untuk kita menutup aurat sebagaimana ketika mandi,” nasihat beliau.

Justeru, sama-samalah kita menjaga dan memelihara kehormatan diri masing-masing. Simpanlah rasa malu kita kepada ALLAH yang MAHA MELIHAT segala apa yang dilakukan.

Berita Semasa,

Sedekah ketika wabak, kalaulah kita tahu ganjarannya…

DI SEBALIK musibah wabak koronavirus (Covid-19) yang dihadapi ketika ini, ia juga merupakan ujian bagi hamba-hamba-NYA.

Ia bukan sahaja berkait soal tentang kesihatan dan penularan wabak semata-mata, malah turut memberi kesan kepada ekonomi kita.

Sedar atau tidak, ada orang dihimpit dengan masalah kewangan akibat terkesan dengan ekonomi semasa. Segelintir masyarakat pula barangkali dikurniakan rezeki yang lebih.

Ketahuilah bahawa saat ini, amalan sedekah sewaktu kesempitan ketika semua sedang bergelut wabak adalah sebaik-baik perbuatan.

Ini kerana kesanggupan kita mendahulukan kesenangan orang lain, sedangkan diri kita juga dalam keadaan kesempitan.

ALLAH SWT berfirman: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH SWT mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133-134)

Bahkan, orang yang memberi makan pada hari kelaparan (dzi mas-ghabah) seperti yang disebutkan dalam ayat 14, Surah al-Balad menunjukkan bahawa bersedekah ketika krisis, wabak dan kesukaran hidup adalah amat diutamakan.

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin (1347-1421 Hijrah) menyatakan: “Dzi mas-ghabah bererti keadaan penuh kelaparan, boleh jadi kerana kelaparan melanda, boleh jadi kerana hasil pertanian dan buah-buahan berkurang, boleh jadi pula kerana penyakit pada tubuh mereka, atau boleh jadi pula, ada makanan namun tidak mengenyangkan.” (Tafsir Al-Quran Al-Karim Juz ‘Amma, hlm. 220)

Sedekah ketika wabak

SAMA ada banyak atau sedikit jumlahnya, ia bukan menjadi ukuran suatu sedekah itu.

Meskipun kita juga dalam keadaan sukar untuk bersedekah, namun yakinlah bahawa ALLAH pasti akan memberikan ganjaran berkali ganda jumlahnya.

Bukan kecil atau besar sedekah yang menjadi ukuran, apa yang penting adalah ikhlas dan reda kerana bukan semua orang sanggup berbuat demikian dalam keadaan sukar.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”

Rasulullah SAW menjawab: “Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu.” (Riwayat al-Bukhari)

Seandainya kita tahu betapa besarnya ganjaran bersedekah dalam kesempitan, pasti ramai yang akan berlumba-lumba berbuat demikian.

Sedekah itu bukan sahaja mampu untuk menolong orang lain, tetapi akan membantu diri kita juga.

Daripada sedekah tadi itulah akan melahirkan keberkahan dalam pelbagai bentuk. Antaranya terhindar daripada bala bencana, serangan penyakit atau dilapangkan segala kesulitan.

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah berkata: “ALLAH SWT menolak pelbagai bencana dengan sedekah. Ketentuan ini sememangnya dimaklumi sama ada bagi para ulama ataupun orang awam. Sebab itulah ramai yang mempercayainya kerana mereka telah mencubanya.”

Ujar beliau lagi: “Sedekah memiliki kehebatan yang luar biasa untuk menolak pelbagai bencana meskipun sedekah itu dikeluarkan oleh orang yang fasik, zalim atau kafir.”

Betapa hebatnya kuasa sedekah. Jom sama-sama kita bersedekah. Semoga segala amal kebajikan yang kita lakukan diterima oleh-NYA.

(Sumber: Seindah Sabda Rasul, Muhd Nasruddin Dasuki & Rumaysho.com)

Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh
Berita Semasa,

ALLAH tak ampunkan dosa mengumpat orang lain?

TIADA sesiapa yang mahu dirinya menjadi bahan umpatan. Begitu sakitnya hati menanggung perit tatkala diri sendiri diumpat oleh orang lain, apatah lagi jika melibatkan individu yang rapat dengan kita.

Bahkan, Islam juga melarang keras umatnya mengumpat orang lain.

Kenapa kita dilarang berbuat demikian? Benarkah dakwaan ALLAH tidak akan mengampunkan dosa apabila kita mengumpat orang lain?

Dalam hal itu, ghibah adalah satu dosa besar yang dilarang dalam agama kita. Itu bermaksud mengumpat dan menyatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang, sedangkan belum terbukti individu tersebut melakukannya atau menyatakan sesuatu yang tidak disukai saudaranya.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 12: “…Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lainnya.”

Imam an-Nawawi membahagikan dosa kepada dua iaitu dosa hamba kepada Tuhannya dan dosa manusia sesama manusia.

Jika melibatkan dosa hamba dengan Tuhannya, maka kaedah taubatnya adalah meninggalkan dosa serta-merta, menyesal sebenar-benarnya dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

Adapun dosa sesama manusia, mereka perlu bertaubat dengan cara seperti itu juga, tetapi ditambah lagi dengan memulangkan hak saudaranya atau memohon kemaafan.

Kesimpulannya, tidak cukup syarat bertaubat dosa sesama manusia melainkan memulangkan hak yang diambil atau memohon kemaafan kepadanya seperti pertanyaan di atas.

***Sumber: Pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki

Berhutang
Agama, Panduan,

Perlu ulang solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?

Perlu ulang solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?

Oleh USTAZ MUSTAFAR MOHD SUKI

 

APABILA pergi ke tempat yang asing dan ingin mendirikan solat, arah kiblat seringkali menjadi kekeliruan kita.

Sudahlah pertama kali ke tempat itu, malah bayangan arah kiblat langsung pula tidak kelihatan.

Ditambah pula, jika kebanyakan insan yang ada di sekeliling kita ialah orang bukan Islam.

Jadi, dengan penuh yakin kita menunaikan suruhan ALLAH SWT itu.

Ulangi solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?

Baca juga Solat tak sah jika makmum baca al-Fatihah bersama-sama imam?

Namun, usai mendirikan solat, barulah diketahui bahawa solat kita tadi itu tersalah kiblat.

Perlukah solat itu diulang semula?

Dalam hal tersebut, satu daripada syarat sah solat adalah menghadap ke arah kiblat ketika solat fardu.

Oleh itu, seseorang yang ingin solat boleh bertanya kepada yang tahu, menggunakan kompas atau selainnya.

Namun begitu, jika selesai solat baru diketahui kita telah tersalah kiblat, maka para ulama terbahagi kepada dua pandangan.

Baca juga Jangan biarkan telekung, serban dan kopiah menutup dahi ketika sujud. Dikhuatiri tidak sah solat itu

Jika yakin selepas solat tersalah kiblat, maka wajib untuk mengulanginya seperti dinukilkan oleh Imam an-Nawawi.

Beliau berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis yang mewajibkan solat menghadap ke arah kiblat.

Adapun Imam al-Ramli berpandangan, tidak perlu diulang semula kerana seseorang telah berijtihad kepada arah kiblatnya yang diyakini secara pasti sebelum menunaikan solat. Itu juga pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Kesimpulannya, untuk lebih berhati-hati, maka mengulangi solat itu adalah lebih utama jika diri benar-benar meyakini tersalah kiblat selepas mendirikan solat.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

Foto: Pexels

Sambut Aidilfitri
Agama, Panduan,

Isteri tegur suami berbuat salah

Oleh USTAZ MUSTAFAR MOHD SUKI

SEBAGAI seorang isteri, mereka perlu patuh kepada suruhan suami masing-masing kecuali perkara yang dilarang oleh agama Islam.

Bagitupun, jika sudah namanya manusia, pasti tidak terlepas daripada membuat kesalahan.

Andai kata seorang suami berbuat salah, bolehkah para isteri menegur suami mereka?

Bagaimanakah cara yang sesuai untuk menegur suami agar lelaki itu tidak terasa dirinya seolah-olah direndah-rendahkan oleh isteri tadi?

Sebelum merungkaikan jawapannya, perlu diketahui bahawa setiap manusia tidak kiralah sama ada dirinya merupakan seorang ayah, ibu, suami, isteri mahupun anak-anak tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk saling menegur atau menasihati antara satu sama lain.

Suami merupakan tonggak kepada rumah tangga yang dibina, namun dalam sesetengah keadaan, tindakan atau perbuatan suami yang dilihat melakukan kesilapan, maka menjadi tugas isteri untuk menegur berdasarkan konsep umum disebutkan dalam hadis.

Antara hadis tersebut ialah agama itu nasihat, mencegah kemungkaran dengan kuasa dan nasihat pada tingkat teratas.

Namun, ada beberapa perkara yang mesti dijaga seperti nada dan cara menuturkan teguran. Begitu juga masa dan keadaan, jangan lakukannya di hadapan anak-anak.

Suami juga mestilah bersikap positif dan memberi respons dengan cara yang baik di samping menerima teguran jika benar telah terkhilaf.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

Bercakap ketika berwuduk
Agama, Panduan,

Bolehkah keringkan anggota wuduk?

KADANGKALA selepas berwuduk, ada orang lebih selesa untuk mengeringkan anggota wuduknya sebelum menunaikan solat.

Ada segelintir orang pula terus mendirikan solat sebaik sahaja berwuduk.

Bagaimana pandangan Islam tentang hal itu? Bolehkah kita mengeringkan anggota wuduk dengan tuala selepas selesai berwuduk?

Menjawab persoalan tersebut, terdapat hadis yang sahih riwayat Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan, apabila seseorang berwuduk, ketika membasuh muka, tangan dan kakinya akan gugurlah dosa-dosanya bersama mengalirnya air sehingga ke titisan yang terakhir.

Itu menandakan kelebihan wuduk boleh menghapuskan dosa-dosa.

Adapun dalam perihal hukum mengeringkan anggota wuduk, para ulama terbahagi kepada dua pandangan dengan hujah masing-masing.

Pendapat pertama menyatakan, hukumnya adalah harus. Pendapat itu ‘dipegang’ oleh sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Anas bin Malik, Usman bin Affan dan lain-lain.

Anggota wuduk

JANGAN berlebih-lebihan dan membazir ketika berwuduk.

Demikian juga pendapat Imam Ahmad dalam masalah itu kerana asalnya tiada hadis yang jelas melarang perbuatan tersebut.

Sementara itu, pendapat kedua berpandangan makruh menyapu atau mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk.

Ini kerana dalam hadis riwayat Saidatina Maimunah dalam Sahih al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW menolak ketika diberikan kain untuk mengelap anggota wuduk baginda.

Imam al-Rafie juga menyatakan, sunat ditinggalkan perbuatan mengeringkan anggota wuduk.

Kesimpulannya, jika ada keperluan dan hajat, maka tidak menjadi masalah untuk mengeringkannya.

Sebaliknya, sekiranya tiada keperluan, maka eloklah dibiarkan sahaja. Demikianlah pendapat Imam An-Nawawi.

***Artikel ditulis oleh pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki