Browsing Tag

sinarplus

Berita Semasa,

Roh yang tak tenteram akan ganggu manusia hidup? Ketahui pandangan Islam tentang perkara ini

MASYARAKAT kita sering dimomokkan dengan cerita-cerita berunsur mistik. Antara yang popular adalah cerita seram berkisarkan hantu dan roh.

Hinggakan ada segelintir orang menganggap bahawa roh orang mati yang tidak tenteram akan kembali dan mengganggu serta memudaratkan orang yang masih hidup.

Begitulah tanggapannya. Walaupun dunia kini serba moden, namun masih ada yang mengandaikan begitu.

Masakan tidak, perkara-perkara sebegini seolah-olah menjadi cerita turun-temurun. Ditambah pula dengan drama atau filem yang memaparkan kisah-kisah berkenaan.

Dalam agama Islam, memang benarkah roh orang mati yang tidak tenteram akan kembali dan mengganggu orang yang masih hidup kerana ada hajatnya yang masih belum tercapai ketika hayatnya?

Sebelum pergi lebih jauh, kita perlu fahami bahawa hakikat roh adalah di bawah pengetahuan ALLAH SWT.

Justeru, apa yang dikhabarkan ALLAH menerusi kalam-NYA al-Quran dan disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis baginda, maka perkara itulah yang menjadi pegangan buat seluruh umat Islam.

Firman ALLAH SWT: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Isra’, ayat 85)

Ayat berkenaan jelas memberitahu bahawa pengetahuan kita tentang roh adalah terbatas.

Jadi, apa sahaja perkara bersangkutan dengan roh perlu bersandarkan kepada al-Quran al-Sunnah. Pendek kata, apa yang dikhabarkan oleh kedua-dua nas itu sewajarnya diambil setiap Muslim tanpa menokok tambah atau berlebih-lebihan.

Dalam al-Quran, ALLAH berfirman:  “ALLAH (YANG MENGUASAI SEGALA-GALANYA), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan…” (Surah al-Zumar, ayat 42)

Ada beberapa tafsiran daripada ulama tentang ayat berkenaan. Secara zahirnya, ayat tersebut menjelaskan, roh orang mati akan ditahan dan tidak dikembalikan semula.

Ini bermakna, roh orang yang mati tidak akan lagi kembali ke dunia.

Kata Imam al-Qurtubi yang menukilkan pandangan Ibnu Abbas: “Roh orang hidup dan mati akan saling bertemu dan saling berkenalan antara satu sama lain dengan izin ALLAH SWT. Apabila ingin kembali, ALLAH akan menahan roh orang yang mati dan akan mengembalikan roh orang yang hidup ke dalam jasad mereka semula.” (Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 15/260)

Imam al-Tabari pula menyebut: “Roh akan dicabut ketika seseorang tidur dan kemudiannya roh-roh itu akan saling bertemu antara satu sama lain dan saling bertanya antara satu sama lain. Kemudian roh orang yang hidup akan dikembalikan semula dan roh orang yang mati ingin kembali namun ditahan oleh ALLAH SWT. Roh orang yang hidup akan ditarik semula pada hari kematian yang telah ditetapkan untuk mereka.” (Rujuk Jami’ Al-Bayan Fi Tafsir Ayyi Al-Quran, 21/299)

Oleh sebab roh orang mati tidak boleh kembali ke dunia, sudah tentulah ia tidak boleh mengganggu dan memudaratkan orang yang masih hidup. Apatah lagi menyebabkan kecederaan dan sebagainya.

DALAM al-Quran ada menyebut bahawa terdapat pemisah antara alam dunia dan alam kubur.

Mudah kata, apa yang digambarkan oleh masyarakat dan sebahagian filem berkisarkan orang mati akan bangkit membalas dendam dan sebagainya adalah perkara mengarut serta tahyul semata-mata.

Hakikatnya ketahuilah, ia adalah penyerupaan dan jelmaan oleh jin serta syaitan untuk menyesatkan manusia. Namun begitu, kedua-dua makhluk perosak itu tidak mampu memberikan mudarat kepada manusia.

Jika kita amati kembali ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran, jelas menyebut bahawa ada pemisah antara alam dunia dan alam kubur yang disebut sebagai alam barzakh.

ALLAH SWT berfirman: “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 100)

Sesungguhnya, ilmu manusia tentang roh dan perkara berkaitan alam ghaib adalah terbatas. Segalanya dalam pengetahuan YANG MAHA ESA.

Justeru, usahlah begitu mudah terpedaya bahawa roh tidak tenteram akan mengganggu kita yang masih hidup. Hentikan sebarkan perkara tidak benar.

Sumber: Al-Afkar #92: Adakah Roh Orang yang Mati Boleh Mengganggu dan Memudaratkan Orang yang Masih Hidup, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Berita Semasa,

Buang dahan pokok yang halang laluan di jalanan, tak sangka begitu besar ganjarannya

KETIKA sedang memandu, adakalanya jalan tiba-tiba sahaja sesak. Walhal, tiada kemalangan atau kerja-kerja pembinaan dilakukan di jalan raya berkenaan apabila diteliti pada Google Maps atau aplikasi navigasi seperti Waze.

Setelah mendekati kawasan sesak berkenaan, baharulah diketahui bahawa rupa-rupanya ada dahan besar atau kotak di atas jalan. Ia sekali gus menghalang laluan kenderaan jika tidak dialihkan.

Kadangkala ada juga terdetik dalam hati untuk mengalihkan dahan atau halangan tersebut, namun terselit rasa takut.

Apa tidaknya, itukan jalan raya yang sudah tentunya ada banyak kenderaan yang melaluinya. Andai tersilap langkah, keselamatan diri dan nyawa jadi taruhannya.

Bagaimanapun, dalam sebuah video yang tular di media sosial baru-baru ini, tindakan seorang anak muda mengalihkan kotak yang dipercayai terjatuh di jalan raya sehingga menghalang laluan kenderaan di lorong tengah wajar dipuji.

Ini kerana tidak ramai orang yang sanggup berbuat demikian kerana faktor keselamatan.

Dalam video berkenaan, pemuda berkenaan yang pada mulanya seorang diri melakukan kerja-kerja mengalihkan kotak dan serpihan kaca di jalan raya itu turut dibantu oleh orang ramai yang menyaksikan usaha kerasnya.

Video berkenaan ternyata menyentuh hati warganet yang menontonnya.

(Video berkaitan: Moga Beroleh Kebaikan Yang Berpanjangan, Syabas Anak Muda)

Malah, pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani turut mengucapkan syabas kepada sekumpulan anak muda berkenaan. Ini kerana usaha mereka membantu mengalihkan ‘halangan’ berkenaan supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya.

Ujar pendakwah itu lagi, perbuatan mulia itu mengingatkan beliau kepada sebuah hadis tentang ganjaran syurga buat seorang hamba ALLAH kerana amalnya yang membuang dahan pokok di jalanan.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku telah melihat seseorang yang bersenang-senang di dalam syurga kerana dia telah membuang kayu yang berjuntai di jalan dan kayu tersebut mengganggu orang yang lalu.” (Riwayat Muslim)

Jelas Ustaz Ahmad Dusuki, walaupun perbuatan itu kelihatan kecil, tetapi mempunyai kebaikan yang besar di akhirat kelak.

“Hanya kerana membuang ranting atau dahan kayu di jalanan yang boleh menyusahkan, menyukarkan dan membahayakan orang lain.

“Sikap tidak mementingkan diri sendiri dan (berlaku) ihsan kepada orang lain jelas dipamerkan daripada perbuatan ini. Maka, tidak hairanlah atas sikap ihsan terhadap sesama manusia itu menghasilkan anugerah yang tidak ternilai di akhirat kelak,” jelas beliau di Instagram miliknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, agamawan itu turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada anak muda yang mengalihkan halangan di jalan raya tadi.

“Saya secara peribadi merakamkan setinggi-tinggi tahniah buat anak-anak muda yang sanggup membahayakan diri sendiri sebagaimana terakam di dalam video tersebut.

“Semoga kebajikan yang dibuat itu mempunyai nilai di sisi ALLAH, bahkan menjadi satu inspirasi buat umat Islam di Malaysia untuk sama-sama melakukan kebaikan tanpa memikirkan kepentingan peribadi semata-mata.

“Pun begitu, nasihat saya untuk kalian agar lebihkan berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Syabas dan tahniah,” ucap beliau sekali lagi.

Subhanallah, tidak sangka begitu besar sekali ganjaran bagi orang yang melakukan kebajikan walaupun sekadar membuang dahan pokok yang menghalang laluan di jalanan.

Semoga kita boleh kekal istiqamah melakukan kebaikan walaupun hanya sekecil amal. Semoga segala amal yang dibuat diterima oleh-NYA dan menjadikan asbab untuk kita mudah ke syurga-NYA kelak.

Sumber: Instagram ustazahmaddusuki & https://www.facebook.com/ainshaz.wan

Berita Semasa,

Tunai solat di lorong kecemasan, apa pandangan agama Islam tentang hal ini?

SOLAT merupakan kewajipan yang wajib ditunaikan oleh orang Islam. Tidak kiralah apa jua keadaannya, ia wajib disempurnakan walaupun kita sakit.

Sekalipun bermusafir, ia tetap tidak akan menggugurkan kewajipan kita untuk menunaikan Rukun Islam ke-2 itu.

Maka, disebabkan itulah ada orang sanggup berhenti banyak kali semata-mata untuk menyempurnakan ibadah wajib mereka ketika berjalan jauh.

Pun begitu, keadaan jalan raya kadangkala agak sesak terutama ketika musim perayaan. Masalah itu membuatkan kita terkejar-kejar menunaikan solat terutama jika mengalami kesesakan luar biasa.

Hinggakan ada orang yang sanggup berhenti di lorong kecemasan untuk menunaikan solat. Ia sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dari satu segi, memang bagus perbuatan mereka yang ingin menunaikan solat pada waktunya. Namun, ada juga yang berpandangan sebaliknya kerana faktor keselamatan.

Apakah pandangan Islam tentang hal ini?

Mengulas tentang hal ini, Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkata, tiada masalah melakukan solat di mana-mana sahaja selagi mengikut syarat sah solat.

Dalam melakukan solat jamak dan qasar, ujar beliau, pemilihan tempat menjadi isu penting. Selain tempat yang suci dan bersih daripada najis, soal keselamatan juga perlu dititikberatkan.

“Kita juga perlu memastikan ia selamat dan tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada diri. Dikhuatiri solat di laluan kecemasan akan membahayakan nyawa, maka lebih utama ia dielakkan sama sekali.

“Sebaiknya, solatlah di kawasan Rehat & Rawat (RnR) dan jika sesak, tiada masalah melakukannya di mana-mana tempat yang suci,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Twitter miliknya baru-baru ini.

Solat di lorong kecemasan

SEBAIKNYA, berhentilah di kawasan RnR dan tunaikan solat di kawasan berkenaan.

Jika solat itu melibatkan solat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak, kata Ustaz Muhammad Fahmi, tiada masalah jika kita ingin melakukan solat jamak dan qasar.

(Artikel berkaitan: Jangan solat di lorong kecemasan lebuh raya! Bahaya menanti!)

Andai kata waktu tidak mengizinkan seperti solat Subuh yang mempunyai tempoh singkat dan kita masih terperangkap dalam kesesakan, jelas beliau, ada dua perbahasan ulama dalam hal ini untuk melakukan solat dalam kenderaan.

“Cuma jika diikutkan dalil, Rasulullah SAW hanya melakukan solat sunat sahaja di atas unta. Adapun solat-solat wajib, baginda akan turun daripada kenderaan dan lakukannya di atas tanah.

“Ada juga pendapat dalam Mazhab al-Syafi’e untuk melakukan solat hormat waktu dalam keadaan-keadaan sebegini. Cumanya, sebaik sampai ke destinasi, solat ini wajib diqadakan semula.

“Namun, saya lebih cenderung tak boleh solat fardu dalam kereta. Keduanya, memang solat hormat waktu dibuat dalam keadaan antaranya tiada air untuk berwuduk atau mandi wajib,” jelas beliau.

Justeru, berhati-hatilah ketika memilih tempat solat yang sesuai. Ya, memang solat kita sah selagi rukunnya sempurna dan memenuhi syarat-syarat sah solat.

Namun begitu, jangan abaikan faktor keselamatan diri yang perlu diutamakan.

Sumber: Twitter @fahmirusli

British forces conquered #Jerusalem from the Ottoman Empire.
Berita Semasa,

Ini hukumnya bila ibu bapa pilih kasih yang perlu kita tahu

WALAUPUN manusia secara fizikalnya dilihat sama, namun setiap daripada kita ada perbezaan masing-masing.

Barangkali dari segi sikap, kecenderungan, kegemaran dan lain-lain. Setiap orang tidak mempunyai minat atau rasa yang sama.

Disebabkan itulah kita selalu dengar istilah anak emas, pelajar kesayangan, pekerja kegemaran bos dan seumpamanya.

Semua itu adalah kerana setiap manusia mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza.

Sama juga dengan sikap ibu bapa yang kadangkala dilihat memberikan layanan lebih kepada seorang anak berbanding anak-anaknya yang lain.

Dalam perihal pemberian kepada anak, bolehkah jika ibu bapa tadi melebihkan pemberian kepada salah seorang daripada anaknya?

Bagaimana pula jika ibu bapa hanya memberikan hadiah atau sesuatu hanya kepada anak tertentu dan anak-anak lain langsung tidak memperolehnya?

Memperincikan lanjut, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, sebagai ibu bapa, kita disunatkan untuk memberi hadiah atau harta sama rata kepada anak-anak.

“Jika dilebihkan pemberian kepada sebahagian anak sahaja, maka perbuatan itu adalah dibenci syarak sekalipun pemberian itu adalah sah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Beliau turut mengemukakan sebuah hadis berkaitan perkara itu.

Diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir RA, kata beliau: “Bapaku pernah membawa aku kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Nabi, bersaksilah sesungguhnya aku telah memberikan Nu’man akan ini dan ini daripada harta.”

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Adakah semua anak-anakmu mendapat seumpama yang diberikan kepada Nu’man?”

Kata bapaku: “Tidak.”

Maka, jawab baginda SAW: “Kalau begitu, suruhlah selain aku yang bersaksi. Lalu, nabi bersabda: “Adakah kamu suka semua anak-anakmu bersamaan berbuat baik kepadamu?”

Kata bapaku: “Ya.”

Lalu, sabda Nabi Muhammad: “Kalau begitu, jangan buat begitu.” (Riwayat Muslim)

Tambah Ustaz Azhar Idrus, hadis itu menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak suka pemberian harta yang tidak adil terhadap anak-anak sehinggakan baginda enggan menjadi saksinya.

“Oleh itu, hendaklah ibu bapa menyamakan pemberian kepada sekalian anak-anak sekadar yang termampu.

“Maksud sama bukanlah sama timbangan atau sama ukuran, tetapi semua anak sama-sama mendapat pemberian sekalipun ukuran harta yang diberi itu tidak sama nilainya atau berlainan sifatnya,” terang beliau.

Dalam kitab Al-Muhazzab, ada disebutkan bahawa: “Dan disunatkan bahawa tidak melebihkan pemberian kepada sebahagian anaknya atas sebahagian lagi pada masalah memberi harta.”

Dalam pada itu, kata pendakwah itu lagi, dalam soal pemberian berkenaan, tidak disyaratkan anak lelaki mendapat dua bahagian lebih daripada anak perempuan sepertimana diwajibkan pada harta pusaka.

Namun begitu, katanya, kita dianjurkan supaya memberikan hadiah atau hibah yang bersamaan sama ada anak lelaki atau perempuan.

“Inilah pendapat jumhur ulama selain Mazhab Hanbali.

“Berkata Imam Ibn Ruysdi dalam kitab Bidayatul Mujtahid ‘Dan maksud adil adalah bersamaan si antara sekalian anak-anak’,” terang beliau.

Justeru, sebagai ibu bapa, kita perlulah bersikap adil kepada anak masing-masing sekalipun dalam perihal memberikan hadiah.

Jangan disebabkan sikap pilih kasih itu mengakibatkan anak-anak terasa seolah-olah kita mengabaikan mereka berbanding adik-beradik yang lain.

Sumber: Instagram @uaioriginal
Ustaz Azhar Idrus

Berita Semasa,

Bertuahnya… Bekas pesakit Covid-19 antara 1,000 jemaah haji terpilih tahun ini

TIDAK seperti kelaziman, jumlah jemaah haji dihadkan kepada 1,000 orang sahaja pada musim ini berbanding 2.5 juta jemaah pada tahun-tahun sebelum ini.

Daripada jumlah itu, hanya 70 peratus adalah penduduk ekspatriat, manakala baki 30 peratus lagi pula terdiri daripada penduduk Arab Saudi sendiri.

Ia bagi membendung penularan pandemik Covid-19 yang masih belum ditemui penawarnya.

Antara 1,000 jemaah terpilih itu, bekas pesakit Covid-19, Abdullah Al-Kathiri merupakan insan yang cukup bertuah. Beliau terpilih untuk menyempurnakan Rukun Islam ke-5 pada musim haji kali ini.

Lelaki itu memanjatkan rasa syukur kepada-NYA kerana dikurniakan dua berkat besar dalam hidupnya tahun ini iaitu pulih sepenuhnya daripada penyakit pandemik yang boleh membawa maut dan berpeluang untuk menjadi tetamu ALLAH.

“Saya benar-benar rasa diberkati kerana saya dapat dipilih dari jutaan umat Islam, perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata, selain pulih daripada Covid-19,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Saudi Gazette.

Keinginannya untuk menunaikan haji pada tahun lalu terbantut kerana melangsungkan pernikahan ketika hampir waktu haji. Beliau kemudian menangguhkan hasratnya pada tahun ini.

Abdullah Al-Kathiri yang berasal dari Emiriah Arab Bersatu itu menyangka, rancangannya untuk menunaikan haji sekali lagi akan tertangguh gara-gara ‘serangan’ Covid-19. Namun, sangkaannya meleset sama sekali.

Perancangan ALLAH adalah yang sebaik-baiknya.

Dapat jua beliau menjadi tetamu ALLAH walaupun di tengah-tengah wabak pandemik berkenaan.

“Setelah mengikuti prosedur dan kriteria yang diminta oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, saya lulus,” katanya.

Tambah Abdullah Al-Kathiri lagi, proses pendaftaran haji begitu mudah. Hanya mengikut garis panduan ditetapkan.

“Saya hanya perlu mendaftar, isi nombor pengenalan diri, memaklumkan tahap kesihatan dan mengesahkan bahawa ini kali pertama menunaikan haji kerana kuota yang terhad.

“Sejujurnya, saya tidaklah meletakkan harapan yang tinggi. Namun, tak sangka saya antara jutaan umat Islam yang diberkati menerima kelulusan (untuk mengerjakan ibadah haji). Tentu saja sukar untuk saya ungkapkan perasaan saya ketika ini kerana ia adalah haji pertama saya,” jelas beliau.

Beliau turut memuji kerajaan Arab Saudi yang memberikan layanan baik kepada para jemaah haji.

“Bayangkan dalam keadaan jemaah yang ramai mereka boleh memberikan khidmat yang baik, apatah lagi bila keadaan sekarang yang mana bilangan jemaahnya terhad,” katanya.

Pada hari Sabtu lalu, rombongan pertama jemaah tiba di Makkah dengan prosedur operasi standard yang ketat. Ia bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang melakukan ibadah di Tanah Suci.

(Artikel berkaitan: Tiga kali ‘call’ Kementerian Haji sebab tak percaya, rakyat Malaysia cerita detik permohonan hajinya diluluskan)

Sementara itu, seorang jemaah haji rakyat Malaysia yang bermastautin di Madinah, Muhammad Uwais Mohd Rosli berkata, mereka diberikan gelang tangan khas yang canggih.

“Gelang ini boleh mengesan lokasi setiap jemaah sebelum pergi haji lagi untuk pastikan para jemaah ikut SOP kuarantin di rumah sebelum dan selepas haji,” katanya dipetik menerusi hantaran di Facebook Madinah Di Hati baru-baru ini.

Semua jemaah haji berkenaan kini dalam proses kuarantin sebelum melakukan haji pada 8 Zulhijah iaitu esok.

Sumber: Saudi Gazette, Republika.co.id & Facebook Madinah Di Hati

Foto: Saudi Gazette & internet

Berita Semasa,

Tiga kali ‘call’ Kementerian Haji sebab tak percaya, rakyat Malaysia cerita detik permohonan hajinya diluluskan

DITERIMA menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci menjadi impian setiap orang Islam. Itulah tempat idaman yang paling didambakan bagi menyempurnakan Rukun Islam ke-5 jika berkemampuan.

Perasaan seronok dan teruja pasti tidak terungkap apabila menerima perkhabaran berkenaan.

Begitulah yang dirasakan oleh Muhammad Uwais Mohd Rosli, seorang daripada lapan rakyat Malaysia yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Haji

MUHAMMAD UWAIS melakukan inisiatif sendiri dengan mengikuti kelas intensif untuk mengulang kaji tentang ibadah haji.

Mereka yang terpilih terdiri daripada pelajar dan orang yang bekerja di Arab Saudi. Ia susulan keputusan kerajaan itu yang mengehadkan 1,000 jemaah pada tahun ini berbanding 2.5 juta jemaah saban tahun.

Muhammad Uwais yang juga penuntut tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah itu pada awalnya seakan tidak percaya bahawa permohonannya untuk menyempurnakan ibadah haji berjaya.

“Sebenarnya semua orang dapat keputusan (menerusi laman web Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi) pada 12 Julai lalu. Waktu itu, saya dimaklumkan permohonan haji saya ditolak.

“Tiba-tiba pada pagi 21 Julai lalu, saya dapat mesej yang memaklumkan bahawa permohonan saya diterima. Saya tidak tahu pun ada second intake (pengambilan kedua),” katanya ketika dihubungi SinarPlus menerusi aplikasi WhatsApp pada hari ini.

Pastinya berita gembira itu akan dikenang sampai bila-bila. Bayangkan Muhammad Uwais menerima perkhabaran itu sehari selepas hari jadinya. Beliau menganggapnya sebagai hadiah ulang tahun paling istimewa sepanjang hidupnya.

“Saya call (hubungi) sendiri Kementerian Haji sebanyak tiga kali nak sahkan keputusan di laman web itu. Sebab saya sendiri rasa macam tak percaya.

“Apa pun, saya yakin, ini semua berkat doa ibu bapa saya. Saya selalu minta mereka sentiasa mendoakan saya,” kata beliau yang pergi bersama seorang lagi kenalannya yang sama universiti, Mustapha Muadz Mohammad Masruh.

Sertai kelas intensif

Oleh sebab mendapat panggilan pada saat akhir, akui Muhammad Uwais, tidak banyak persiapan yang boleh dilakukan.

“Saya cuma berbaki tiga hari untuk berangkat ke Makkah ketika itu. Tak banyak persiapan yang boleh dilakukan. Kita pergi dengan apa yang ada saja.

“Sesampainya di pusat kuarantin di Makkah, barulah dengan inisiatif diri sendiri, kami betul-betul adakan kelas intensif, belajar balik tentang haji, sirah, tafsir dan lain-lain.

“Kami juga jemput penceremah undangan terkenal seperti Ustaz Johari Abdul Wahab dan juga Ustaz Hasyimi Che Pa untuk membimbing kami,” ceritanya.

Haji

(GAMBAR KANAN) KAWALAN ketat pasukan keselamatan di Arab Saudi dan bas yang bakal membawa jemaah haji sepanjang ibadah di sana.

Berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat susulan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini, kata Muhammad Uwais yang turut mengendalikan facebook Madinah Di Hati, memang banyak SOP baharu diperkenalkan.

Antaranya, ada penghadang di sekeliling Kaabah bagi mengelakkan orang bersentuhan di situ dan Hajarul Aswad.

“Selain itu, kami juga ada bas khas yang diaturkan. Setiap bas hanya 25 orang saja boleh ditempatkan pada satu-satu masa.

“Jemaah juga perlu dikuarantin dua minggu sebelum haji dan dua minggu selepas haji. Seperkara, hanya rukun haji sahaja dibenarkan dan ziarah tidak akan dilaksanakan,” katanya yang ketika ini sedang menjalani kuarantin di sebuah hotel di Makkah sebelum melakukan haji pada 8 Zulhijah iaitu hari Rabu ini.

Sama-sama kita doakan agar Muhammad Uwais dan para jemaah haji lain yang terpilih akan memperoleh haji yang mabrur.

Jangan lupa berdoa supaya kita juga bakal diterima untuk menjadi tetamu ALLAH suatu masa nanti.

Foto: Facebook Madinah Di Hati

Berita Semasa,

Jangan abaikan solat sunat dua rakaat, ia boleh hapuskan dosa kecil kita

FITRAH manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan. Tidak kiralah sama ada besar atau kecil khilaf berkenaan.

Apa tidaknya, kita bukanlah manusia yang maksum seperti para nabi dan rasul. Maka disebabkan itulah kita dituntut untuk sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH SWT.

Bercakap tentang kesilapan ini, selalu kita dengar orang kata bahawa tunaikanlah solat sunat dua rakaat jika ada berbuat dosa.

Apakah memang perkara itu dianjurkan oleh Islam? Adakah nas yang menyatakan tuntutan solat sunat berkenaan?

Dalam sebuah hadis daripada Abu Bakar al-Siddiq RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW pernah bersabda: “Mana-mana daripada kalangan hamba (hamba ALLAH) yang melakukan dosa, maka dia memperelokkan wuduknya. Kemudian dia menunaikan solat sebanyak dua rakaat, lalu dia beristighfar melainkan ALLAH akan mengampunkan dosanya. Setelah itu, Nabi Muhammad SAW membaca ayat 135 dari surah Ali Imran: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH.” sehingga ke akhir ayat tersebut.” (Riwayat Abu Daud)

Ketika mensyarahkan hadis berkenaan dalam salah satu pengajian, Shaykh Abd al-Muhsin mengatakan bahawa amalan soleh boleh menghapuskan dosa-dosa kecil.

“Adapun dosa besar, yang boleh menghapuskannya adalah amalan soleh berserta taubat,” kata beliau.

Selain itu, Shaykh Mahmud al-Subki menyatakan, hadis itu juga menunjukkan dalil galakan untuk memperelokkan wuduk dan solat dua rakaat serta istighfar apabila melakukan sesuatu dosa. Sekiranya seseorang itu melakukan sedemikian, maka akan diampunkan dosa tersebut baginya. (Lihat: al-Manhal al-‘Azb al-Mawrud, 8/183) 

Melihat perbahasan di atas, maka jelaslah bahawa dosa-dosa kecil boleh terhapus dengan amalan soleh yang kita lakukan.

Maka, disebabkan itulah kita dituntut untuk sentiasa memperbanyakkan amalan soleh agar ia boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak.

Bagaimanapun, bagi dosa besar, tidak cukup sekadar dengan melakukan amal soleh.

Justeru, lazimkanlah diri dengan selalu beristighfar kepada-NYA.

Mudah-mudahan segala amal soleh kita diterima dan menjadi asbab dosa kecil kita diampunkan.

Sumber: Irsyad Al-Hadith Siri ke-510: Dosa Terhapus dengan Solat Sunat, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Berita Semasa,

Buat korban tiap tahun…wajib ke bagi yang mampu? 

SETIAP kali Hari Raya Aidiladha, ramai yang mengambil peluang untuk melakukan ibadah korban.

Ia manifestasi tanda syukur seorang hamba kepada Pencipta-NYA atas segala nikmat yang telah diberikan selama ini.

Selain itu, ibadah korban mengajar kita berkongsi rezeki dengan orang lain terutama golongan fakir dan miskin yang mungkin jarang-jarang merasainya.

Kebanyakan yang melakukan ibadah ini adalah mereka yang berkemampuan. Tidak kiralah sama ada korban satu bahagian atau seekor haiwan.

Adakalanya orang yang sama juga melakukan ibadah korban saban tahun.

Apakah hukumnya orang yang berkemampuan, tetapi tidak melaksanakan ibadah korban? Adakah wajib ke atasnya untuk melakukan korban pada setiap tahun?

Menjelaskan hukum melakukan ibadah korban, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki berkata, jumhur ulama termasuk Mazhab Syafie menyatakan, hukumnya adalah sunat muakkad.

USTAZ MUSTAFAR

“Perkara itu ada disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’,” katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Kata agamawan berkenaan, Imam al-Nawawi menyebutkan juga bahawa para ulama berselisih pendapat mengenai hukum kewajipan korban bagi mereka yang mampu.

“Namun, secara kesimpulannya Imam al-Nawawi menyatakan, tidak berdosa andai meninggalkannya tanpa keuzuran dan tidak perlu diganti.

“Hukum korban menjadi wajib apabila seseorang mewajibkan dirinya untuk berkorban seperti seseorang yang bernazar.

“Akan tetapi, melakukan korban adalah satu amalan yang amat mulia dituntut oleh syarak. Maka amat dititikberatkan bagi mereka yang mampu melakukannya walaupun tidak wajib,” jelas beliau.

Justeru, andai berkemampuan, apa salahnya lakukan ibadah korban setiap tahun.

Berita Semasa,

Musibah itu penghapus dosa, ini rupanya sebab ramai yang tak sedar perkara ni

RAMAI yang mengeluh tatkala diri ditimpa musibah. Siapa pun yang berada dalam situasi ini, memang tidak dapat dielakkan jika berperasaan sedemikian. Lumrah manusia sememangnya begitu.

Namun, andainya kita tahu hikmah di sebalik musibah itu, pasti kita akan bersabar apabila menerima ujian berkenaan.

Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan pasti terselit hikmah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan ALLAH SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan Ahmad)

Ketahuilah, ada sebab kenapa ALLAH SWT memberikan ujian berupa musibah, keletihan, kegusaran, kesakitan sehingga duri yang menyucuk sekalipun dan sesuatu yang menganggu kehidupan.

Musibah yang datang itu adalah sebagai kifarah atau penghapus dosa agar hamba-NYA sentiasa dalam rahmat-NYA.

Ingatilah bahawa rahmat ALLAH SWT MAHA LUAS.

Sesungguhnya, rahmat ALLAH SWT akan sentiasa mengiringi hamba-NYA ketika dalam ketaatan.

Selain itu, keampunan ALLAH pula akan sentiasa bersama-sama hamba-NYA yabg bertaubat atas kekhilafan yang dilakukan.

Bahkan, sesiapa yang bersabar dengan musibah diterimanya, maka dosa-dosanya akan diampunkan lebih-lebih lagi dosa seorang hamba yang memohon keampunan kepada ALLAH.

Begitu agungnya sifat ALLAH SWT yang MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG.

Justeru, usah mudah melatah atau mengeluh jika kita ditimpa musibah. Tidak kiralah apa jua bentuk ujian berkenaan, hadapinya dengan sabar.

Semoga ALLAH SWT akan menghapuskan dosa kita.

Sumber: Portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berita Semasa,

Kenali Imam al-Ghazali, ulama ulung yang memberi inspirasi

MENYELAK kembali lembaran sejarah Islam, nama Imam al-Ghazali memang tidak asing lagi. Tokoh yang masyhur dengan ketinggian ilmunya. Namanya juga meniti di bibir ramai orang di seluruh dunia dengan panggilan Algazel oleh orang Barat.

Masakan tidak, tokoh ulama itu terkenal dengan bait-bait nasihat beliau yang tidak ternilai harganya. Malah, ia tersemat kemas dalam ingatan dan sentiasa menjadi rujukan hingga ke generasi pada hari ini.

Sekiranya riwayat hidupnya diperhalusi satu per satu, sesiapa pun akan menginsafi keupayaan, kesungguhan dan kecekalan Imam al-Ghazali dalam memperjuangkan agama dan ilmu. Tidak hairanlah mengapa beliau mendapat jolokan Hujjatul Islam kerana taraf keilmuannya yang tinggi.

Pemilik nama sebenar Abu Hamid Muhammad al-Ghazali itu lahir di bandar Tusi, Khurasan (Iran) pada 450 Hijrah bersamaan 1058 Masihi.

Bapanya merupakan seorang pemintal bulu kambing (al-Ghazzal). Walaupun kehidupan mereka diselubungi kemiskinan, didikan keluarga membuatkan Imam al-Ghazali suka mempelajari ilmu agama dan mendampingi para sufi.

Selepas kematian bapanya ketika usianya masih kecil, tokoh itu dan seorang lagi saudaranya bernama Ahmad menuntut ilmu dengan sahabat bapanya. Arwah bapanya sempat menyerahkan sedikit wang saraan dan mewasiatkan urusan pembelajaran kedua-dua anak itu  kepada sahabatnya yang juga guru dan ahli tasawuf.

Selepas kehabisan wang peninggalan arwah bapa, Imam al-Ghazali berhijrah ke Tusi dan belajar di sebuah sekolah yang dibangunkan oleh perdana menteri Nizam.

Beliau kemudian berguru dengan Abu Nasr Al Ismaili dan mempelajari tasawuf daripada Yusuf Annasaj, seorang sufi terkenal serta ramai guru lain.

Kecintaannya kepada ilmu membuatkan tokoh Islam itu menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Bukan sahaja faqih dalam ilmu agama seperti fiqah, malah beliau menguasai ilmu kalam atau ilmu falsafah seperti mantik, jidal, hikmah dan lain-lain.

Diriwayatkan, Imam al-Ghazali juga mengetahui pelbagai mazhab dan pendapat masing-masing. Keintelektualannya dikatakan telah berupaya untuk mengimbangi keilmuan gurunya. Kurniaan itu tidak disia-siakan begitu sahaja apabila beliau mengarang pelbagai jilid buku dan bidang.

Secara keseluruhannya, terdapat 62 karya yang telah dihasilkan oleh cendekiawan ulung itu. Antara karyanya yang terkenal termasuklah Ihya Ulumuddin, al-Munziq Min ad-Dal, Mizanul-aman dan Tahafut al-Falasifah.

Kitab Ihya Ulumuddin yang merangkumi topik berkaitan ibadah, akhlak dan metodologi disebut antara yang paling masyhur. Ia dianggap sebagai karya utama Imam al-Ghazali sebagai pengenalan seorang yang beriman kepada Tuhan.

Kitab berkenaan turut diterjemahkan oleh al-Sheikh Abdul Samad Palembang dalam kitabnya, Siyar as-Salikin.

Imam al-Ghazali

IMAM AL-GHAZALI terkenal dengan ketinggian ilmunya dan sehingga hari ini, buku-buku karangannya menjadi rujukan ramai.

Kaji hadis Rasulullah

Sifat kepimpinan dan kepintaran Imam al-Ghazali telah menarik minat Nizam al-Mulk, wazir Kesultanan Seljuk untuk melantiknya sebagai pengetua di Madrasah al-Nizamiyyah di Baghdad.

Ketokohannya juga membuatkan figura itu diberi kepercayaan penuh menjadi ulama yang disegani di ibu kota kerajaan. Ketika itu, usianya baru sahaja 33 tahun.

Kemasyhuran beliau sebagai orang alim, guru serta pemidato yang petah berucap tersebar dengan cepat. Kuliahnya semakin menarik perhatian ramai.

Begitupun, Imam al-Ghazali tidak berpeluang mengajar dalam tempoh yang lama. Beliau menghadapi krisis spiritual sehingga membuatkan tokoh itu tidak berupaya mengajar dalam tempoh beberapa ketika.

Sekitar 1095 Masihi, Imam al-Ghazali tekad meninggalkan kariernya. Bahkan, ilmuan genius itu juga meninggalkan Baghdad dengan alasan untuk menunaikan haji di Makkah.

Bayangkan, tokoh hebat itu sanggup membuang segala kekayaan dan kariernya yang hebat. Sebahagian hartanya diwakafkan dan sebahagian lagi dijadikan bekal untuk berkelana di Damsyik dan Jerusalem serta melawat Makkah.

Beliau juga terkenal sebagai ulama utama dalam sejarah pemikiran Islam. Al-Ghazali telah mengkaji pemikiran dan falsafah Yunani. Pada masa sama, tokoh itu mengkritik hinggakan pengaruh Yunani dalam alam pemikiran Islam menjadi lemah.

Bukan itu sahaja, al-Ghazali juga berjaya menghidupkan semula fahaman Islam dan meninggalkan taklid yang membuta tuli kepada punca petunjuk yang betul iaitu kitab ALLAH dan sunah Rasulullah SAW.

Ketika akhir hayatnya, beliau banyak menumpukan kepada usaha mengkaji hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih dengan cara sistematik. Namun, usaha murninya itu tidak sempat dihabiskan kajiannya.

Ilmuan hebat itu telah terlebih dahulu menemui Pencipta-NYA. Beliau meninggal dunia di bandar Tusi pada hari Isnin, 14 Jamadilakhir tahun 505 Hijrah bersamaan 19 Disember 1111 Masihi.

PROFIL

Nama: Abu Hamid Muhammad al-Ghazali

Gelaran: Imam al-Ghazali dan Algazel

Asal: Bandar Tusi, Khurasan (Iran)

Tahun kelahiran: 450 Hijrah (1058 Masihi)

Tahun kematian: 505 Hijrah (1111 Masihi)

Kepakaran: Fiqah, ilmu kalam atau ilmu falsafah seperti mantik, jidal, hikmah dan lain-lain.

Karya agung: Ihya Ulumuddin, al-Munziq Min ad-Dal, Mizanul-aman dan Tahafut al-Falasifah.

Sumbangan: Ulama terkenal dalam sejarah pemikiran Islam, menghidupkan fahaman Islam dan meninggalkan taklid yang membuta-tuli untuk kembali kepada al-Quran dan sunah.

Sumber dan Foto: maktabah-ibn-badawi.com, republika.co.id, sabah.edu.my, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tawaduk.com & Wikipedia