Browsing Tag

sinarplus

Tiada masa beribadah
Isu,

Berpuasa, Tetapi Tak Solat

no comment

SAAT kita berpuasa, adakalanya kita dihimpit dengan rasa keletihan dan kelelahan. Maklum sahajalah, kita menahan lapar dan dahaga hampir seharian.

Namun begitu, perintah ALLAH SWT yang satu itu tetap dikerjakan dengan sempurna. Sikap itu wajar dipuji kerana kesungguhan kita dalam menunaikan kewajipan yang telah disyariatkan kepada setiap umat Islam.

Cuma, apa yang menjadi masalah apabila ada sebilangan dalam kalangan mereka yang keletihan berpuasa dan mengisi masanya hanya dengan tidur sepanjang hari hinggakan gagal menyempurnakan solat fardu.

Ada pula yang liat untuk mendirikan solat dengan alasan keletihan akibat berpuasa. Hakikatnya, kedua-dua ibadah itu perlu bergerak seiring kerana ia termasuk dalam Rukun Islam yang menjadi pegangan umat Islam.

Menurut pendakwah Asma’ Harun, umum mengetahui bahawa solat merupakan tiang agama.

ASMA’

Mereka yang meninggalkan solat, katanya, ALLAH SWT memberikan ancaman kepada golongan tersebut.

Jelas beliau, terdapat dua golongan orang Islam yang meninggalkan solat. Pertama, golongan yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya.

“Dalam kitab Fiqh Manhaji karya Syeikh Mustafa al-Bugha, beliau membincangkan tentang hukum bagi golongan ini. Golongan ini menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.

“Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak membiarkannya sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan solat. Sekiranya dia terus mengingkarinya, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak harus dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

“Bahkan dia tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia telah dikategorikan sebagai bukan lagi dalam kalangan orang Islam,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Bagi golongan kedua pula, Asma’ menambah, mereka ialah orang yang meninggalkan solat kerana malas, tetapi masih meyakini hukumnya adalah wajib.

Tak solat

SOLAT merupakan tiang agama dan Rukun Islam kedua.

“Syeikh Mustafa al-Bugha dalam karya yang sama menyatakan, pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqadakan solat dan bertaubat daripada dosa tersebut.

“Sekiranya dia masih ingkar menggantikannya, dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan ke atas orang Islam yang melakukan maksiat. Hal ini kerana hukuman atas orang yang meninggalkan fardu adalah wajib diperangi.

“Namun, selepas dibunuh, dia tetap dianggap Islam. Maka jenazahnya, pengebumiannya dan pembahagian hartanya mestilah diuruskan menurut tatacara Islam,” jelasnya.

Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain ALLAH dan Muhammad adalah pesuruh ALLAH, mendirikan solat, menunaikan zakat. Apabila mereka telah melakukannya terpeliharalah darah dan harta benda daripada tindakan Aku, kecuali dengan kebenaran Islam dan terserahlah perhitungan mereka itu kepada pada ALLAH TAALA.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, Asma’ menjelaskan, sesiapa yang telah berikrar dengan dua kalimah syahadah perlu tetap diperangi jika dia tidak mendirikan solat, tetapi tidaklah dihukumkan kafir.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Somit katanya, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH telah mewajibkan solat lima waktu atas hamba-hamba-NYA. Sesiapa yang tetap melakukannya tanpa meninggalkan satu pun daripadanya lantaran meringankan hukum wajibnya, ALLAH berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya sesiapa yang tidak melakukannya, ALLAH tidak menjanjikan apa-apa pun kepadanya malah terserahlah kepada-NYA sama ada mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-NYA.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Sayu Ramadan Di Tanah Anbia

Dalam hadis berkenaan, jelaslah bahawa orang yang meninggalkan solat tidak dihukumkan kafir kerana jika dihukumkan demikian, tentulah tidak termasuk dalam sabda Nabi Muhammad SAW, ALLAH SWT akan memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-NYA.

Tak solat

DIDIKLAH anak tentang solat sejak dari mereka kecil lagi.

“Hal ini kerana hanya orang kafir yang tidak akan masuk ke dalam syurga sama sekali. Justeru, maksud tidak kafir adalah ditujukan kepada mereka yang meninggalkan solat disebabkan malas,” jelas Asma’.

Dalam sebuah hadis yang lain, Jabir RA berkata, “Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Yang membezakan seseorang Islam dengan syirik dan kufur itu adalah meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu ditujukan kepada orang yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau mepersenda-sendakan dan meremehkan ibadah berkenaan.

Menyambung hujahnya, dalam perihal berpuasa, tetapi tidak solat pula, pendakwah itu menjelaskan, ulama telah berselisih pandangan kepada dua pendapat iaitu:

1. Mazhab Hanbali dan sebahagian ulama masa kini.

Pendapat itu menyatakan, orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasanya. Mereka perlulah bertaubat kepada ALLAH SWT dan perlu kembali mengerjakan solat.

2. Kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhammed al-Bakri Ismail dan lain-lain.

Mereka yang tidak solat tetapi berpuasa, dianggap puasa mereka sah tetapi tidak diberi pahala. Hal itu kerana terdapat hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka ALLAH SWT tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Walaupun solat tidak termasuk dalam syarat-syarat sah puasa, namun Asma’ mengingatkan agar kita tidak meninggalkan tiang agama itu. Sebagai orang Islam, solat merupakan kewajipan yang mesti dipatuhi.

Tak solat

SOLAT membezakan antara orang Islam dan kafir.

“Meskipun terdapat perbezaan pendapat mengenai masalah ini, kami lebih cenderung kepada pendapat kedua yang mengatakan, puasa tetap sah, tetapi tidak beroleh pahala.

“Ia tetap dikira sebagai dosa besar kerana meninggalkannya walaupun seseorang itu telah berpuasa pada bulan Ramadan. Ini kerana dirinya telah menafikan Rukun Islam Islam lain yang wajib dipatuhinya juga iaitu solat,” jelasnya.

Justeru, ayuh kita sama-sama menjaga kewajipan kita kepada ALLAH SWT dengan sebiak-baiknya. Sesibuk mana pun, kedua-dua kefarduan itu tetap wajib ditunaikan kerana ia akan menjadi ‘hutang’ kita dengan ALLAH jika tidak dikerjakan dengan sempurna.

Foto: 123rf & Freepik

Berita Semasa,

Usia 30 hingga 39 tahun adalah waktu kemuncak hidup. Siap siagalah supaya kita dapat jalani hidup dengan tenang

MOMEN ketika kecil merupakan saat yang pasti akan dikenang sampai bila-bila. Apa tidaknya, dunia kanak-kanak hanya memusatkan kepada aktiviti untuk bermain.

Itulah antara cara untuk kanak-kanak meneroka dunia sekeliling mereka dan membantu dalam perkembangan diri kita.

Kemudian kita melalui zaman remaja, alam dewasa hinggalah berusia lanjut.

Ya, manusia mempunyai tahap-tahap atau fasa tertentu dalam hidup. Pasti ada hikmahnya mengapa ALLAH SWT mengaturkannya begitu.

Kepada mereka yang meniti usia 30-an, perasan atau tidak, ALLAH uji kita dengan pelbagai macam jenis ujian.

Jelas pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan, usia 30 tahun hingga 39 tahun adalah waktu kemuncak ujian hidup.

IMAM MUDA HASSAN

Ia tidak sama sepertimana yang kita lalui ketika berusia 20 tahun hingga 29 tahun.

“Waktu umur 20 hingga 29 tahun, waktu ni waktu sibuk study, sibuk nak cari jodoh, kalau dah berkahwin baru merasa menimang cahaya mata.

“Waktu usia ni banyak yang enjoy, menikmati kehidupan. Baru nak merasa nak ada rumah, nak ada kereta sendiri,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Sebaik sahaja usia menginjak ke angka 30-an, kata Imam Muda Hassan, pelbagai ujian berat mula datang satu persatu.

“Anak makin dewasa macam-macam perangai, gaji semakin besar dah sibuk dengan kerjaya sampai tak ada masa dengan famili.

“Ada yang dibuang kerja sebab tak perform. Hidup mula tertekan sebab anak nak sekolah, nak bayar duit ansuran rumah dan macam-macam hal:

– Kereta mula meragam.

– Rumah mula nak bocor sana sini.

– Yuran sekolah anak makin naik.

– Mula banyak orang benci kita.

– Hubungan dengan mertua.

– Isteri mula merungut tak cukup makan.

– Suami stres gaji kena potong.

– Rumah tangga mula goyang.

– Badan mula sakit sana sakit sini.

– Badan dah tak fit.

– Bawa kereta cepat mengantuk.

– Hutang keliling pinggang.

– Ah long mula kejar.

– Hubungan adik-beradik mula renggang.

“Cukuplah tu, nak disenaraikan tak habis cerita,” kongsinya.

Katahuilah bahawa semua ujian yang ditempuh sebelum usia 40 tahun itu adalah satu fasa tarbiah ALLAH kepada hamba-NYA, terang beliau.

Tambah beliau lagi, ia supaya rohani kita kuat untuk menempuh hidup pada usia 40 tahun sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

“Ujian tu sebab ALLAH sayang supaya kita menang untuk menempuh usia 40 tahun,” katanya.

Firman ALLAH SWT: “…Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang ENGKAU redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Berdasarkan kalamullah itu, Imam Muda Hassan berkata, ayat itu menjelaskan bahawa umur 40 tahun adalah umur yang matang. Ini kemuncak umur keislamannya dan itu jugalah umur yang mana Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul.

Ibn Abbas RA meriwayatkan, “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”

“Jadi memang sungguh ALLAH sayangkan kita, DIA tak nak kita kalah dengan ujian supaya kita tak diheret ke neraka, wal’iyazubillah min zalik.

“Pandanglah ujian itu sebagai rahmat dan kasih sayang ALLAH pada kita sebab DIA nak bagi kita syurga.

“Bertenanglah wahai jiwa yang diuji,” nasihat beliau.

Justeru, apa jua ujian yang hadapi, sabar adalah jalan yang terbaik. Didik hati agar menjadi orang yang sabar dalam setiap perkara.

Sumber: Facebook Imam Muda Hassan

Berita Semasa,

Bebaskan diri daripada sertai aktiviti ‘membawang’. Ini caranya

“JOM pergi makan sama-sama. Nanti bolehlah kita nak ‘membawang’.”

Istilah ‘membawang’ begitu popular sejak akhir-akhir ini. Bukan sahaja di media sosial, tetapi ia juga digunakan dalam dialog seharian.

‘Membawang’ bermaksud kita menceritakan tentang perihal orang lain dan bergosip. Pendek kata, ‘membawang’ sama dengan mengumpat. Hanya dibezakan oleh istilah yang digunakan.

Kadangkala kedengaran suara-suara sumbang mengatakan: “Membawang saja tak mengapa, bukannya mengumpat.”

Anggapan itu jelas tidak benar sama sekali. Apa tidaknya, bila topik utama kita berkisarkan tentang orang lain, sedikit sebanyak sisi keburukan individu itu juga akan menjadi perbualan hangat.

Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?” Para sahabat berkata: “Hanya ALLAH dan Rasul-NYA yang mengetahuinya.” Baginda SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” (Riwayat Muslim)

Malah, perbuatan itu juga mengundang dosa yang berpunca daripada lidah. Ketahuilah dosa berkenaan boleh menjerumuskan pelakunya ke neraka.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dia fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun, adakalanya apabila kita duduk bersama rakan-rakan atau keluarga secara berkumpulan, memang sukar untuk mengelak daripada ‘membawang’.

Apakah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan diri daripada aktiviti yang tidak berfaedah tadi tadi? Bagaimana untuk membebaskan diri daripada sertai aktiviti ‘membawang’?

1. Diam adalah lebih baik

Andai cerita tentang keburukan orang dijaja, maka diam adalah jalan yang terbaik. Jangan mengiyakan atau menidakkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang diam, dia telah terselamat.” (Riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)

Pada masa sama, doakan rakan kita yang mengumpat tadi. Semoga ALLAH mengampunkan dosanya kerana mengumpat dalam keadaan jahil.

Seandainya mampu, tegurlah rakan tadi. Namun, jika khuatir tindakan itu boleh memalukannya di hadapan orang lain, tegurlah ketika hanya bersendirian dengannya.

Membawang

ELAKKAN bercerita tentang perihal orang lain ketika bertemu rakan-rakan.

2. Cerita tentang kisah diri sendiri

Sebaiknya, menceritakan tentang hal sendiri adalah lebih baik berbanding cerita tentang keburukan orang lain dan kemudian tanpa sedar ‘membawang’.

3. Usah bercakap tentang perihal orang lain

Mungkin cara ini agak sukar sikit apalagi jika kita kumpul ramai-ramai. Namun, kita cuba juga lakukan perkara ini.

Pasakkan dalam diri untuk tidak membuka cerita apatah lagi tentang keburukan orang lain. Ingatlah bahawa setiap cerita buruk yang benar tentang seseorang itu, akan bertambahlah saham dosa mengumpat kita.

Jika cerita yang disampaikan pula tidak benar, dosa memfitnah pula akan mengalir. Mintalah kita dijauhkan daripada perkara ini.

4. Fikir dahulu sebelum bercakap

Berhati-hatilah bila menuturkan kata-kata. Sebelum bercakap, fikirkan kesannya apabila menceritakan keburukan orang diceritakan.

Takutlah dengan ancaman neraka jika kita ‘membawang’ secara semberono.

Ingatlah bahawa ‘membawang’ menjadi haram jika mengandungi unsur mengumpat atau ghibah’. 

Namun begitu, ada beberapa keadaan yang diharuskan oleh syarak untuk mengumpat atau memperkatakan tentang orang lain. Begitupun, tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan apatah lagi di media sosial secara terbuka.

Membawang

ELAKKAN diri daripada membawang ketika berborak bersama kenalan kita.

Menurut Imam al-Nawawi, antara situasi yang diharuskan syarak untuk mengumpat adalah:

1. Membantu dalam menentang perkara mungkar dengan tujuan supaya pelaku kembali ke jalan yang benar.

2. Membuat aduan apabila dizalimi kepada pihak yang bertanggungjawab.

3. Menceritakan kepada mufti untuk meminta fatwa.

4. Ceritakan perihal dosa yang dilakukan orang secara terang-terangan.

5. Mencegah umat Islam daripada keburukan dan menasihati mereka.

6. Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang.

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap tindakan agar ia tidak memberatkan bank dosa kita di akhirat kelak.

Elakkan diri daripada bercerita perihal keburukan orang lain atau ‘membawang’ kecuali jika berada dalam situasi dibenarkan oleh syarak.

Sumber: Portal Muslim Volunteer Malaysia & Majlis Ulama ISMA

Berita Semasa,

Sudahlah ceraikan isteri talak tiga, lepas itu tak mengaku anak sendiri pula…

SAAT dikhabarkan oleh doktor bahawa kita akan menerima ‘orang baharu’, pastinya ia menjadi berita paling gembira. Bukan sahaja kepada pasangan suami isteri, tetapi juga ahli keluarga masing-masing.

Apatah lagi jika ia melibatkan anak sulung. Begitu indahnya momen itu yang akan dikenang sampai bila-bila.

Begitulah yang dirasai Haziqah Rusydi (bukan nama sebenar). Beliau sangat teruja. Masakan tidak, ia merupakan cahaya mata sulung yang dinanti-nantikan selepas tiga tahun berkahwin.

Namun demikian, perasaan gembira itu bersifat sementara. Tiba-tiba wanita itu tersentak apabila diceraikan suaminya, Badzil Yusuf (bukan nama sebenar) beberapa minggu selepas berita dirinya disahkan hamil.

Penceraian itu sangat menyakitkan kerana Haziqah telah diceraikan dengan talak tiga. Semuanya gara-gara sikap cemburu buta Badzil. Akibat tidak tahan selalu dituduh menggatal dengan lelaki lain, entah bagaimana, terpacul perkataan yang tidak sepatutnya dari mulut Haziqah.

Ketika pertelingkahan hebat berlangsung, wanita itu mencabar Badzil untuk menceraikannya.

“Dah nak sangat dan cabar aku, aku ceraikan kau dengan talak tiga,” kata Badzil yang ‘menyahut cabaran’ Haziqah.

Nasi sudah menjadi bubur. Hendak perbaiki hubungan memang sudah terlambat. Kes mereka dibawa ke mahkamah syariah untuk pengesahan lafaz cerai.

Mahkamah memutuskan gugur talak tiga kali pertama berjumlah tiga talak bain kubra ke atas Haziqah. Wanita itu kemudiannya diperintahkan beridah hamil bermula dari tarikh 2 Januari 2011 hingga melahirkan anak.

Memang tidak mudah untuk Haziqah melayari proses kehamilan tanpa suami di sisi. Namun dengan ketentuan ALLAH, ranjau yang direntas diakhiri dengan kelegaan apabila Haziqah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 20 September 2011.

Bayi perempuan comel itu kemudian dibintikan dengan nama Badzil. Bagaimanapun, satu kejutan besar berlaku apabila Badzil mendakwa bayi berkenaan bukan darah dagingnya.

Amarah lelaki itu memang tidak boleh dikawal sehingga beliau terus memfailkan kes bayi berkenaan ke mahkamah bagi mengesahkan status sah taraf anak.

Dalam pernyataannya, dirinya benar-benar yakin bahawa Haziqah sedang datang bulan ketika lafaz talak dijatuhkan. Baginya, tidak logik bekas isterinya mengandung.

Setelah meneliti segala keterangan dan bukti, mahkamah memutuskan bayi berkenaan merupakan anak sah taraf hasil daripada pernikahan Badzil dan Haziqah.

Dalam penghakiman, mahkamah mendapati pada waktu penceraian tersebut iaitu 2 Januari 2011, Haziqah sememangnya sedang hamil.

Ia berdasarkan penghakiman ketika pengesahan penceraian sebelum ini. Malah, anak yang dilahirkan itu juga didapati cukup bulan dan normal berdasarkan buku rekod mengandung.

Kenyataan itu dikuatkan lagi dengan keterangan Badzil dan Haziqah bahawa mereka pernah bersama pada bulan Disember 2010.

Ternyata keputusan itu membuatkan Haziqah bernafas lega. Biarpun dirinya sudah tidak lagi bersuami, namun beliau bertekad untuk menjaga satu-satu zuriat yang ditunggu-tunggu kehadirannya selama ini dengan baik. Buat permohonan pengesahan nasab untuk nafikan status anak.

Buat permohonan pengesahan nasab untuk nafikan status anak

Tidak dinafikan memang berlaku kes lelaki tidak bersetuju bayi yang dilahirkan bekas isteri adalah anak kandungnya sendiri.

Jika berlaku kes seperti itu, Peguam Syarie, Raihan Mustafa Kamal berkata, lelaki tersebut boleh menafikan anak tersebut dengan memfailkan permohonan pengesahan nasab anak berkenaan di mahkamah syariah.

RAIHAN

“Sekiranya hakim berpuas hati anak tersebut bukanlah wajar dinasabkan kepada si bapa, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut.

“Berdasarkan Seksyen 110 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 ada memerihalkan tentang individu yang dikaitkan sebagai bapa.

“Undang-undang tersebut antara lain menyatakan, jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu. Tetapi lelaki itu boleh dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Walaupun ibu bapa telah bercerai dengan talak tiga, tambah Raihan, tanggungjawab sebagai seorang bapa atau ibu masih tetap berjalan. Antara hak-hak anak yang perlu disantuni termasuklah nafkah, tempat tinggal, pembelajaran yang baik, pendidikan yang sempurna dan kesihatan, terangnya.

Tak mengaku anak

TANGGUNGJAWAB seorang bapa masih tetap dijalankan walaupun telah bercerai dengan talak tiga dengan bekas isteri.

“Semasa berkahwin, anak tersebut adalah tanggungjawab bersama. Mungkin ada nafkah anak yang dikongsi bersama. Selepas perceraian, si bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keperluan nafkah anak.

“Jika bekas isteri nak membantu, itu adalah ihsan. Namun, si ibu janganlah meminta lebih daripada keperluan anak-anak tersebut.

“Berkaitan hak jagaan dan hak lawatan atau hak bersama anak-anak, jika salah seorang ibu bapa bapa diberikan hak jagaan, seorang lagi hendaklah diberikan hak bermalam atau melawat. Jangan dinafikan hak tersebut,” jelas beliau.

Sekiranya bapa enggan bertanggungjawab memberikan nafkah, jelas Raihan, si ibu boleh memfailkan tuntutan berkenaan di mahkamah.

“Jika si bapa menyatakan tidak mampu, tuntutan tersebut boleh dituntut kepada bapa kepada bapa (datuk di sebelah bapa) tersebut memandangkan tanggungjawab memberi nafkah adalah di sebelah lelaki. Berbeza dengan susunan hak jagaan anak yang kebanyakan di belah perempuan.

“Namun, jika si bapa merasakan perintah sedia ada (perintah nafkah anak) membebankan beliau, si bapa juga boleh memfailkan tuntutan ubah perintah nafkah anak.

“Tidak perlu tunggu sehingga si ibu memfailkan tuntutan tunggakan nafkah anak di mahkamah.Hakim akan meneliti kewajaran perintah nafkah asal tersebut diubah berdasarkan fakta semasa, kemampuan si bapa dan keperluan anak-anak yang berubah pada ketika itu,” jelas beliau.

Berita Semasa,

Syurga di bawah telapak kaki ibu… Berbaktilah kepada mereka selagi hayat dikandung badan

TIDAK terhitung betapa banyaknya jasa seorang ibu kepada kita. Bukan setakat membesarkan dan mendidik kita sejak kecil, tetapi keringatnya sudah bermula sejak kita dalam kandungan ibu lagi.

Saat tahu dirinya hamil, ibu sanggup mengerah kudratnya untuk melawan sakit pening demi memastikan anaknya selamat dalam kandungan. Ketika melahirkan kita, ibulah bertarung nyawa agar kita selamat melihat dunia.

Maka sebab itulah Islam menyuruh umatnya agar berbuat baik kepada ibu bapa. Ada beberapa adab yang diajar dalam kita menyantuni kedua orang tua.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor, Kampus Segamat, Rafiuddin Mohd Yusof ada memperincikan lanjut tentang perkara itu kepada Sinar Islam.

Jom ikuti perkongsian beliau:

Setiap daripada kita dilahirkan oleh ALLAH SWT di atas muka bumi ini melalui seorang ibu. Pelbagai gelaran yang dipanggil. Antaranya ialah ibu, emak, umi, mama dan bonda.

Apa jua gelaran sekalipun, seorang ibu telah melakukan pengorbanan besar dalam hidupnya. Mereka mengandungkan dan seterusnya melahirkan kita. Walaupun usia kandungan yang berbeza dan cara kita dilahirkan sama ada secara normal atau pembedahan tetapi semua itu ibarat perjuangan bertarung nyawa untuk melahirkan seorang zuriat.

Justeru, sebagai seorang anak, kita wajib menyayangi dan mengasihi insan yang telah berbakti kepada kita, tidak kira sama ada mereka masih hidup atau telah bertemu Pencipta.

Penat lelah seorang ibu yang sanggup mengorbankan waktu tidur dan rehatnya dalam memastikan kita terus membesar dalam keadaan yang baik memang tidak terbalas. Malah, ada juga yang sanggup tidak makan dan minum semata-mata untuk memastikan kita dijaga dengan baik pada setiap saat.

Firman ALLAH SWT: “Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada AKULAH kamu kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)

Ketahuilah, ada banyak cara untuk kita menyayangi dan mengasihi seorang ibu. Bukan bergantung semata-mata kepada wang ringgit sahaja, tetapi berdasarkan pertolongan dan tingkah laku. Maka, beruntunglah mereka yang masih ada ibu di dunia untuk membalas jasa baik mereka.

Namun begitu, kepada yang kehilangan ibu buat selama-lamanya, jangan pernah berhenti berdoa untuk insan yang banyak memerah keringatnya untuk kita. Pelbanyakkanlah berdoa agar dosa ibu kita diampunkan oleh ALLAH dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

(Artikel berkaitan: Ibu panggil ketika solat, apa nak buat? Perlu sahut atau abaikan saja?)

Sabda Rasulullah SAW: “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak soleh yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya.” (Riwayat Muslim)

Reda ibu

Seperkara lagi, reda ibu sangat penting dalam kehidupan seseorang. Ini kerana ibu merupakan insan yang telah diberikan kekuatan oleh ALLAH SWT sewaktu mengandung dan melahirkan kita.

Berbakti kepada ibu

SELAGI masih bernyawa, berbakti dan berbuat baiklah kepada ibu dan juga bapa. Gambar kecil kiri, Rafiuddin.

Dalam segala perlakuan dan tindak-tanduk, kita perlu mendapatkan reda seorang ibu terutama bagi seorang lelaki. Masakan tidak, seorang lelaki masih perlu mengikut kata-kata dan nasihat ibu selagi tidak melanggar syariat walaupun telah berkahwin.

Berbeza bagi seorang wanita yang telah berkahwin, suami adalah tempat yang mereka perlu patuh dan taat serta mendengar kata selagi tidak melanggar ajaran agama.

Dalam perbualan mahupun tutur kata, seharusnya kita menggunakan bahasa-bahasa yang baik agar tidak mengguris hati ibu. Sentiasalah berkomunikasi dan berbincang sekiranya ada apa-apa perkara tertentu supaya tidak timbul salah faham.

Namun, ingatlah bahawa dalam berbicara, jangan sesekali meninggikan suara. Apatah lagi menjerkah atau menjerit kepada ibu semata-mata kerana sesuatu yang kita tidak puas hati. Penggunaan bahasa cukup penting dalam menjalin hubungan yang baik dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

Firman ALLAH SWT: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sesekali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Sehubungan itu, janganlah kita meminggirkan ibu setelah usia mereka meningkat dengan tidak mengambil berat akan dirinya. Kasihanilah dan sayangilah ibu sebagaimana mereka sangat mengasihi kita sejak berada di dalam kandungan lagi.

Selagi kudrat masih ada, berusahalah untuk bersama-sama menjaga ibu kita kelak sekiranya mereka sakit. Jika ibu dalam keadaan sedih, gembirakanlah mereka dengan selalu menjenguk dan bertanya khabar melalui panggilan telefon, video dan sebagainya.

Ingatlah, pengorbanan seorang ibu sangat besar di sisi ALLAH SWT dan ganjaran pahala yang besar menanti mereka. Oleh yang demikian, jauhi sifat mazmumah terhadap ibu kita.

Paling penting, jangan sampai kita tidak pernah mengaku bahawa mereka merupakan ibu kita. Sentiasalah bermuhasabah diri dan renungilah kata-kata ini: Seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Berita Semasa,

Mahu bebas dibelenggu hutang? Amalkan doa ini

KEBANYAKAN daripada kita pasti pernah berhutang, tidak kiralah sama ada daripada orang lain, bank ataupun institusi berkaitan.

Berapa pun jumlahnya, ia wajib dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

Namun, adakalanya kekangan tertentu membuatkan kita rasa ‘terhimpit’ untuk membayarnya. Barangkali ada perkara mendesak yang menyebabkan hutang itu ‘terbabas’ untuk dibayar.

Ia bukan bermaksud kita enggan membayarnya. Cuma kekangan tadi membuatkan diri kita sukar untuk menjelaskannya pada waktu itu atau bulan tertentu.

Masakan tidak, kita sendiri tidak tahu pasang surut kehidupan pada masa akan datang.

Ketahuilah, Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan beberapa amalan supaya hutang tadi boleh dilangsaikan.

Malah, ada doa khusus supaya urusan pembayaran hutang kita dipermudahkan.

Ini doa yang dianjurkan sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadis masyhur:

Pertama

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana.

Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?”

Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”

Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, ALLAH akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu?”

Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

Maka baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada ENGKAU dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada ENGKAU dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, ALLAH menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” (Riwayat Abu Daud)

Ketahuilah, Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan beberapa amalan supaya hutang tadi boleh dilangsaikan.  Malah, ada doa khusus supaya urusan pembayaran hutang kita dipermudahkan.

BERDOALAH semoga ALLAH memudahkan urusan kita dalam melunaskan hutang.

Kedua

Bahawa ‘Aisyah RA memberitahu bahawa Nabi Muhammad SAW berdoa dalam solat sebelum salam:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung dengan ENGKAU dari azab kubur, dan aku berlindung dengan ENGKAU dari fitnah Dajal, dan aku berlindung dengan ENGKAU dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung dengan ENGKAU dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(Artikel berkaitan: Harus viralkan orang tak bayar hutang di media sosial?)

Ketiga

Daripada Suhail, beliau berkata: “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang ENGKAU memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan ALLAH). Ya ALLAH! ENGKAULAH yang awal, sebelum-MU tidak ada sesuatu. ENGKAULAH yang terakhir, setelah-MU tidak ada sesuatu. ENGKAULAH yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-MU. ENGKAULAH yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-MU. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran.” (Riwayat Muslim)

Keempat

Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku!

Maka Saidina Ali RA berkata: “Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, ALLAH akan selesaikanya untuk kamu?”

Saidina Ali berkata: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya ALLAH! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-MU daripada bergantung kepada selain-MU.” (Riwayat al-Tirmizi)

Begitu banyak doa yang boleh kita amalkan. Iringilah usaha kita untuk membayar hutang dengan doa yang dianjurkan.

Semoga ALLAH memudahkan urusan kita untuk melunaskan hutang sebelum ajal datang menjemput.

Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-180: Doa-Doa untuk Melangsaikan Hutang, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & https://news.detik.com/

Berita Semasa,

Nak suruh SABAR? Cakap memang senang, tapi nak buat tu memang susah.. Jom cuba cara dianjurkan Islam ini

BIBIR begitu mudah menuturkan perkataan sabar. Namun, hati membentak-bentak seakan sukar benar untuk menerima sesuatu dan bersabar begitu sahaja.

Ya, bukan mudah untuk mendidik hati supaya bersabar. Apatah lagi saat diri ditimpa ujian berat atau sedang dalam keadaan amarah yang membuak-buak.

Begitulah lumrah sifat manusia. Begitupun, kita perlu ingat bahawa segala rasa itu semua datangnya daripada nafsu dalam diri.

Jika tidak dibendung, natijahnya begitu buruk.

Barangkali kita hilang kawalan dan bertindak di luar kewarasan akal. Maka sebab itulah segala rasa itu perlu ditundukkan dengan sifat sabar untuk melenyapkannya.

Disebabkan itulah perkataan sabar disebut sebanyak 90 kali dalam al-Quran. Ia sudah cukup membuktikan mengapa begitu pentingnya sifat sabar dalam diri.

Bagaimana cara kita untuk meningkatkan sifat sabar mengikut apa yang dianjurkan oleh agama Islam?

(Artikel berkaitan: Sabar hadapi cubaan, usah keluh-kesah kerana ini sebabnya ALLAH menguji)

Jom kita amalkan 6 tip ini yang boleh dilakukan untuk membebaskan diri daripada dibelenggu sifat kurang sabar:

1. Niatkan kerana ALLAH SWT

Sesungguhnya segala perkara yang diniatkan kepada ALLAH akan mendapat keredaan-NYA. Inilah yang akan memupuk sifat sabar dalam diri.

Rasulullah SAW bersabda: “Amal itu tergantung niatnya dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, maka hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Banyakkan membaca al-Quran

BANYAKKAN membaca al-Quran akan melapangkan hati kita.

Hati akan tenang apabila kita banyak membaca kalam ALLAH. Ia melorongkan kita supaya bersabar dalam setiap perkara.

Firman ALLAH SWT: “Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Surah al-Isra’, ayat 82)

3. Puasa

Ia merupakan antara cara untuk ‘mengasah’ diri supaya bersabar. Masakan tidak, puasa mengajar kita supaya bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga segala macam nafsu yang bersarang dalam diri.

4. Berzikir

LAZIMI diri kita dengan berzikir dan mengingati ALLAH SWT.

Membasahkan lidah dengan mengingati ALLAH akan membuatkan kita lebih kuat. Ingatan dan keyakinan kepada ALLAH dalam setiap perkara yang dilakukan membuatkan kita lebih bersabar dalam mengharungi suatu perkara.

5. Bersyukur dengan apa yang dimiliki

Lihat betapa banyaknya nikmat kurniaan ALLAH yang tidak terhitung kepada kita. Bersyukurlah dengan pemberian-NYA. Rasa syukur akan melatih diri kita menjadi orang yang sabar dan ikhlas dalam kehidupan.

6. Berdoa

Jangan lupa titipkan doa agar kita dikurniakan sifat sabar yang tinggi. Mohonlah kepada ALLAH semoga kita menjadi orang yang sabar.

Jom sama-sama kita praktis. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan orang yang bersabar.

Begitu besarnya sifat sabar ini kerana imbalannya bukan calang-calang. Sesiapa yang bersabar, insya-ALLAH mereka bakal menjadi calon-calon ahli syurga kelak.

Sumber: https://www.timesindonesia.co.id/ dan https://dalamislam.com/

Berita Semasa,

Hati sedih dan galau, ‘merdekakan’ rasa itu dengan cara yang dianjurkan agama ini…

SAAT dirundung kesedihan, emosi terganggu untuk melakukan rutin harian dan tugas hakiki. Masakan tidak, jiwa begitu berkecamuk dan hati pula galau.

Ketika itu, otak seakan-akan tidak berfungsi sebaiknya kerana dipengaruhi dengan rasa sedih berkenaan.

Ya, begitulah lumrah manusia. Memang tidak dapat dinafikan pada satu-satu masa, perasaan itu akan bergelut dalam diri. Ada banyak faktor yang menyebabkan kita sedih.

Barangkali kita dihimpit oleh ujian, masalah, kesakitan dan sebagainya sehingga menyebabkan rasa sedih datang bertamu.

Namun, sampai bila kita harus bersedih? Islam mengajar kita cara merawat diri daripada kesedihan.

Ini antara cara ‘merdekakan’ rasa sedih dengan lima ‘ubat’ hati menurut Ibrahim Al-Khowash:

1. Membaca al-Quran dan tadabbur kalamullah berkenaan.

2. Rajin mengosongkan perut (dengan gemar berpuasa).

3. Mendirikan solat malam (solat tahajud).

4. Merendahkan diri di hadapan ALLAH iaitu dengan berdoa dan membasahkan lidah berzikir. Sebaiknya, lakukanlah pada akhir malam iaitu waktu sahur.

5. Bergaullah dengan orang yang soleh sebagaimana yang dianjurkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya, At-Tibyan.

Pada masa sama, jom kita amalkan doa yang boleh diamalkan ketika hati sedang bersedih.

Lazimkan diri membaca doa yang ada disebutkan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ العَظِيمُ الحَليمُ ، لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ العَرْشِ العَظِيْمِ ، لاَ إلهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ، وَرَبُّ الأَرْضِ، وَرَبُّ العَرْشِ الكَرِيمِ

(Laa ilaaha illallah al-a’zhim al-halim, laa ilaaha illallah rabbul ‘arsyil ‘azhim. Laa ilaaha illallah, rabbus samaawaati wa rabbul ardhi wa rabbul ‘arsyil karim)

Maksudnya: “Tiada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH yang MAHA AGUNG dan MAHA PENYANTUN. Tiada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH, Tuhan yang menguasai ‘Arasy, yang MAHA AGUNG. Tiada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH – DIA Tuhan yang menguasai langit, (DIA) Tuhan yang menguasai bumi dan (DIA) Tuhan yang menguasai ‘Arasy, lagi MAHA MULIA.”

Kita disunatkan untuk berdoa dengan bacaan di atas ketika menghadapi ujian berat.

Ketahuilah bahawa sedih sebenarnya ada yang ‘bernilai’ pahala. Umpamanya, sedih kerana musibah yang menimpa agamanya dan sedih kerana musibah yang menimpa banyak kaum muslimin.

Rasa sedih sebegitu bernilai pahala dari hati yang cenderung kepada kebaikan dan membenci kejelikan.

Pun begitu, jika rasa sedih tadi hingga meninggalkan perkara yang diperintahkan seperti tidak sabar, meninggalkan jihad atau yang mendatangkan mudarat, ia menjadi kesedihan yang dilarang oleh agama Islam.

Alangkah indahnya jika kesedihan yang kita alami tadi dihiasi dengan sifat sabar. Sudah tentu pahala ganjarannya.

Ayuh merdekakan perasaan segera andai diri dihambat rasa sedih. Cepat-cepat amalkan apa yang dianjurkan oleh Islam untuk mengelak diri daripada dibelenggu rasa itu.

Sumber: rumaysho.com

Berita Semasa,

Bila kita guna selipar tandas dalam rumah, perlu ke basuh semua kawasan kediaman? 

KEBANYAKAN daripada kita memang mengkhususkan selipar di tandas masing-masing. Selipar itulah yang akan digunakan setiap kali ke tandas.

Lazimnya, selipar itu tidak akan dibawa keluar daripada tandas atau digunakan sesuka hati dalam kawasan rumah kita.

Masakan tidak, selipar yang dipanggil sebagai selipar tandas tadi sudah dianggap kotor.

Namun, kadangkala anak-anak kita suka benar bermain selipar tandas hinggakan dibawa ‘berjalan’ keliling rumah.

Apabila berlaku perkara itu, adakah kawasan yang dilalui selipar tersebut menjadi najis? Jika betul ya, bagaimana cara mensucikannya?

Jika kita benar-benar yakin bahawa selipar yang digunakan itu terkena najis, maka kawasan yang dilalui itu juga dikira bernajis.

Mahu atau tidak, kita perlu membersihkan kawasan najis berkenaan. Ia dengan cara menghilangkan najis dan membasuh kawasan terlibat dengan mengalirkan air mutlak ke kawasan yang dikenalpasti.

Ketika proses itu dilakukan, pastikan hilang tiga perkara dengan basuhan tadi iaitu hilang warna, bau dan rasa.

Bagaimanapun, jika tertinggal salah satu daripada warna, bau atau rasa disebabkan sukar untuk dihilangkan walaupun telah digosok dan dibasuh dengan air beberapa kali, maka ia dimaafkan dan dikira sebagai suci.

Apa pun, kita dicadangkan agar menggunakan selipar yang berlainan untuk kegunaan di bilik air dan di luar bilik air.

Ia bukan sahaja memudahkan, tetapi demi kebaikan kita juga apabila ada pengkhususan sebegini.

Sumber: Himpunan Soal Jawab Agama Siri 1, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Foto: Freepik