Browsing Tag

sinar ahad

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Hati kita sifatnya berbolak-balik, jangan dibiar usang jadi lubuk dosa

SIFAT hati adalah berbolak-balik. Kadang ke kiri dan kadang ke kanan. Ada kala menuju kebaikan dan ada kalanya menyukai keburukan. Itulah hakikat hati.

Justeru, hati perlu diberikan perhatian selalu. Hati perlu dipelihara dan dijaga. Jangan dibiar usang menjadi lubuk dosa. Bersarang kegelapan dan merosakkan keimanan.

Hati harus ada beberapa nilai kebaikan, salah satunya adalah nilai bersangka baik kepada orang lain.
Jangan mudah memandang serong dan bersangka buruk kepada mereka. Bersangka buruk menyebabkan hati tidak tenang. Terasa resah dan menjadi lemah.

Belajarlah untuk bersangka baik kerana ia akan menyebabkan kehidupan kita lebih baik dan teratur. Hati akan menjadi tenang tatkala sangka baik menjadi satu kebiasaan.

“Tidak halal seorang Muslim yang mendengar suatu perkataan daripada saudaranya, lalu dia terus bersangka buruk dengannya sedangkan dia mampu mengandaikan sesuatu maksud yang baik sebagai jalan keluar.” – Umar Al-Khattab

Lihatlah orang lain lebih baik daripada diri kita. Hal ini dapat menjaga hati dari dihinggap penyakit hati seperti dengki, sombong, riyak dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

Kita sering menitikberatkan makanan dari segi jasmani. Namun makanan rohani pula bagaimana?

Rohani kita juga turut memerlukan makanan yang cukup. Jangan dibiarkan berlapar dan tidak terisi.

Apa kata kita seiringkan juga makanan untuk rohani kita. Supaya hati kita lebih kuat dan berkualiti. Antara makanan untuk rohani adalah:

1- Membaca al-Quran

2- Berzikir

3- Berpuasa sunat

4- Berselawat

5- Bersedekah

Jangan malas bersedekah, tak perlu tunggu Ramadan. 5 janji ALLAH orang rajin sedekah

6- Berbakti kepada kedua ibu bapa

7- Memelihara anak yatim

8- Membantu orang miskin

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.” – Surah Al-Anbiya’ 21:31

Selain itu, hati juga perlukan kekuatan. Jangan hanya menfokuskan kepada kekuatan jasmani semata. Rohani dan jasmani saling berkait dan tidak boleh hanya salah satu sahaja yang ada kekuatan.

Hati juga jangan sombong! Sombong hanya menyebabkan diri kita di dalam kerugian. Tidak ada apa yang patut kita banggakan kerana semua yang kita ada adalah milik ALLAH SWT. Semuanya hanya pinjaman. Ia akan ditinggalkan juga pada suatu hari nanti.

Bersihkan hati daripada sifat sombong kerana ia dapat merosakkan segala kebaikan. Rugi sahaja kebaikan dibuat tetapi terselit dengan secebis kesombongan.

Jadi, jangan biarkan hati terus mati dan gelap. Sinarilah ia dengan cahaya keimanan. Cucilah dengan kalimah zikir dan alunan al-Quran.

Semoga hati kita semua ditetapkan dalam Islam dan iman. Hati yang suci menghadirkan ketenangan walau dalam kesusahan.

Sumber: Fazli Abdullah

Foto: Kaboompics.com/Pexels

Agama, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Soal Jawab Agama,

‘Bersama’ dengan isteri belum mandi wajib asbab haid, ini yang wajib tahu

BERSETUBUH antara suami dan isteri memiliki segudang manfaat, salah satunya adalah pahala yang besar dari ALLAH SWT.

Namun, terdapat beberapa larangan dalam hubungan suami isteri antaranya menyetubuhi isteri dalam keadaan haid, atau dalam keadaan sudah terhentinya darah haid tetapi belum mandi wajib.

Menghuraikan persoalan ini, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada penjelasannya.

Dr Zulkifli tampil menjawab soalan daripada seorang individu yang bertanyakan “Perkara ini sudah berlaku lebih tiga minggu lepas. Darah haid saya telah berhenti keluar dan suami terus ajak bersama. Tetapi saya tak ingat sama ada sudah mandi wajib atau belum. Apakah hukumnya?”

Katanya, secara asasnya, persetubuhan tidak dibenarkan saat isteri sedang haid.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.”[1]

Ibn Kathir menjelaskan, “Allah melarang untuk mendekati mereka (para isteri) dengan melakukan persetubuhan selama mana haid masih ada. Ia boleh difahami bahawa: jika haid telah selesai maka kembali menjadi halal.”[2]

Menurut Ibn Qudamah, majoriti para ulama daripada mazhab Maliki, mazhab Syafie, mazhab Hanbali dan lainnya mensyaratkan mandi wajib setelah haid bagi membolehkan seseorang wanita untuk melakukan persetubuhan bersama suaminya.[3]

Ibn ‘Abbas ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 222, mensyaratkan berhentinya haid dan mandi wajib bagi membolehkan persetubuhan dilaksanakan.[4]

Perkara yang sama juga ditegaskan oleh guru kami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili.[5]

'Bersama' dengan isteri belum mandi wajib asbab haid, ini yang wajib tahu

Justeru, saran Dr Zulkifli, “Semak sebaiknya sama ada sudah mandi wajib atau belum. Jika telah mandi wajib, maka tidak ada sebarang masalah yang timbul. Jika belum atau masih tidak pasti, maka ia kembali kepada hukum asal iaitu belum mandi wajib.”

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”

Ini juga bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: “Pada asalnya, sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya.”

Maka jika berlaku persetubuhan dalam keadaan haid, Imam Nawawi menyebutkan pandangan dalam mazhab al-Syafie yang masyhur, tidak dikenakan sebarang denda atau kafarah. Tetapi hendaklah memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat atas perbuatan tersebut. Disunatkan bersedekah dengan satu dinar sekiranya persetubuhan dilakukan pada permulaan haid, dan setengah dinar sekiranya dilakukan pada penghujung haid.[6]

Daripada Ibn Abbas, daripada Nabi SAW bersabda dalam persetubuhan ketika dalam haid:

يَتَصَدَّقُ بِدِينَارٍ ، أَوْ بِنِصْفِ دِينَارٍ

Maksudnya: “Hendaklah dia bersedekah satu dinar atau setengah dinar.”[7]

Coret Dr Zulkifli, sebaiknya untuk keluar daripada khilaf, bersedekahlah sekadar kemampuan kepada fakir miskin atau mereka yang memerlukan.

Baca juga Memelihara lidah, ilmu, amal, bersangka baik ubat terbaik melawan penyakit hati – Pendakwah

“Saya cadangkan kepada setiap pasangan suami isteri, sebelum perkahwinan lagi dan juga selepasnya sentiasa mempelajari ilmu berkenaan rumah tangga, termasuklah berkaitan fiqh suami isteri.

“Ini supaya sebarang bentuk tindakan kita sentiasa menepati syariat dan mendapat keredhaan ALLAH SWT. Wallahu a’lam,” ujar beliau.

Sumber: Maktabah al-Bakri

 

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Sơn-Bờm/Pexels

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Jaga aib sendiri, orang lain. Tidak ada orang yang tak berdosa

RASULULLAH SAW melarang seseorang untuk membuka aib dirinya sendiri kepada orang lain.

Sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Setiap umatku dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan (melakukan maksiat). Dan termasuk terang-terangan adalah seseorang yang melakukan perbuatan maksiat di malam hari, kemudian di paginya ia berkata: Wahai fulan, kemarin aku telah melakukan ini dan itu – padahal ALLAH telah menutupnya- dan di pagi harinya ia membuka tutupan ALLAH atas dirinya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Bahkan Rasulullah memberikan khabar gembira bagi orang-orang yang menutup aib saudara-saudara mereka, dengan menutup aib mereka di dunia dan akhirat.

Seperti dalam hadis sahih; “Dan barang siapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya ALLAH menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim).

Islam mengkehendaki kesalahan dan keburukan yang dilakukan oleh orang Islam disembunyikan dan tidak boleh diheboh-hebohkan.

Tidak ada orang yang tidak berdosa, dan tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan.

Cuma bezanya, banyak atau sedikit, besar atau kecil, teruk atau tidak, kelihatan atau tidak kelihatan.

Taubat

LAFAZ istighfar perlu senada dengan niat dalam hati untuk meninggalkan perbuatan dosa dan diiringi penuh rasa penyesalan.

Bagi orang yang bijaksana, ia memandang pada dalam dirinya dan bertaubat dari dosa-dosanya dan membetul kesilapan-kesilapannya.

Dia menutup keaiban orang lain, dia menjaga harga diri sendiri dan harga diri orang lain.

Keaiban sesama Islam apabila didedahkan, maka bukan saja hilang kehormatannya malah sehingga orang bukan Islam tidak lagi menghormati masyarakat Islam.

Baca juga Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Usah kita menagih penghormatan daripada orang bukan Islam jika kita sesama agama sendiri tidak mengamal dan menghayati amalan hormat menghormati dalam erti kata sebenar yang dituntut oleh Islam.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Fb Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Foto: peoplecreations/freepik

Agama, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Hukum, Isu, Soal Jawab Agama,

Sah atau tidak solat berimamkan seorang perokok, ini kata Dr Zulkifli Al-Bakri

TABIAT merokok sememangnya diketahui terkenal dengan kesan yang memudaratkan kepada kesihatan.

Merokok selalunya dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti kerosakan paru-paru, masalah berkaitan kesuburan, strok, kanser dan sebagainya.

Bahkan, mengikut pandangan Islam, hukum merokok adalah haram kerana membahayakan kesihatan selain memberi mudarat kepada orang lain serta membazir.

Kita maklum merokok haram dalam Islam, namun bagaimana pula agaknya jika solat berimamkan seorang perokok.

Menjawab persoalan ini, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada penjelasannya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Dr Zulkifli tampil menjawab soalan daripada seorang individu yang bertanyakan “Imam kampung saya perokok. Bolehkah saya solat di belakangnya? Sah ke? Atau lebih baik saya solat seorang diri?”

Katanya, berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, Muzakarah telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam.

Antara kriteria imam adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Abu Mas’ud al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah [al-Quran]. Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka [dahulukan]) yang paling berilmu tentang al-Sunnah [untuk menjadi imam]. Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.

Manakala dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Nabi S.A.W menyebut:

فَأَكْبَرُهُمْ سِنًّا

Maksudnya: Yang paling tua umurnya.

Individu yang paling mahir terhadap al-Qur’an juga bermaksud paling banyak menghafal al-Qur’an atau paling baik bacaan al-Qur’an.

Dalil paling mahir itu bermaksud paling banyak menghafal adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar beliau berkata:

لَمَّا قَدِمَ الْمُهَاجِرُونَ الْأَوَّلُونَ الْعُصْبَةَ -مَوْضِعٌ بِقُبَاءٍ – قَبْلَ مَقْدَمِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم ، كَانَ يَؤُمُّهُمْ سَالِمٌ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَكَانَ أَكْثَرَهُمْ قُرْآنًا

Maksudnya: Ketika mana golongan Muhajirun yang terawal sampai di ‘Ushbah – iaitu sebuah kawasan di Quba’ – sebelum ketibaan Rasulullah S.A.W, yang menjadi Imam kepada mereka pada ketika itu adalah Salim yang merupakan maula kepada Abu Huzaifah, dan beliau merupakan individu yang paling banyak menghafal al-Quran dari kalangan mereka.

AWAS! Perokok yang dijangkiti Covid-19, berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius.

Imam al-Nawawi dalam syarah beliau ke atas hadis Abu Mas’ud al-Ansari menambah satu lagi ciri yang menjadi keutamaan dalam menjadi imam solat iatu faktor kewarakan seseorang. Kata beliau:

ولنا وجه اختاره جماعة من أصحابنا : أن الأورع مقدم على الأفقه والأقرأ لأن مقصود الإمامة يحصل من الأورع أكثر من غيره

Maksudnya: Dan kami mempunyai suatu pendapat yang dipilih oleh sekumpulan dari kalangan ashab kami (ulama al-Syafi’iyyah) yang menyebut bahawa individu yang paling warak diutamakan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya.

Manakala antara imam yang dimakruhkan untuk diikuti ialah ahli bidaah dan orang yang fasiq (mereka yang dikenali kerap berbuat maksiat).

Namun jika bertembung antara mana yang lebih afdhal; solat bersendirian atau berjemaah dengan ahli bidaah atau orang fasiq, maka di sini ada perbezaan pendapat.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lebih baik bersolat sendirian, manakala Imam al-Ramli pula berkata bersolat jemaah bersama mereka adalah lebih afdhal.

Coret Dr Zulkifli, kesimpulannya, tidak sepatutnya seorang imam solat berjemaah itu adalah seorang perokok sekalipun hukum solat mengikutnya adalah sah.

“Berdasarkan fatwa Imam al-Ramli dalam hal berimamkan ahli bidaah atau orang fasiq, saya cenderung lebih afdhal solat berjemaah dengan imam perokok daripada solat berseorangan,” katanya.

Pun begitu, Dr Zulkifli menyarankan agar orang ramai berusaha untuk menasihati perokok tersebut supaya berubah ke arah yang lebih baik.

Baca juga Amal zikir ringkas ini, dosa akan berguguran seperti daun

Perkongsian artikel berjudul Imamku Perokok itu menarik perhatian ramai. Kebanyakan pembaca menyokong penulisan tersebut dan menyifatkan golongan perokok terutamanya individu beragama Islam perlu berusaha meninggalkan tabiat yang memudaratkan kesihatan itu.

Isu yang diketengahkan Dr Zulkifli menerusi ruangan dikenali sebagai Maktabah al-Bakri itu mendapat lebih 12,000 tanda suka dan 2,000 shares selepas dimuat naik di laman Facebook beliau kelmarin.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Foto: Basil MK/Pexels

Agama, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Amal zikir ringkas ini, dosa akan berguguran seperti daun

SETIAP manusia pastinya tidak lari daripada melakukan dosa besar mahupun kecil atau kesalahan selama hidupnya.

Kerana itu kita sebagai umat Islam haruslah sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH.

Selain berdoa memohon ampun, kita turut digalakkan berzikir.

Rasulullah menganjurkan umatnya agar memperbanyak zikir mengingat ALLAH SWT.

Di antara zikir-zikir yang sering diajarkan Rasulullah salah satunya adalah tasbih.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Tasbih mempunyai keutamaan sebagai penggugur dosa bagi siapa saja yang sering melantunkannya untuk memuji
keagungan ALLAH. Dalam sebuah hadis disebutkan;

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بشجرة يابسة ةمعه أصحابه، فأخد بغصن من أغصانها فجعل ينفضه ويتحات الورق فقال صلى الله عليه وسلم: ألا يقول سبحان الله والحمد لله ولاإله إلا الله والله أكبر ليحتن الخطايا كما يتحات ورق هذه الشجرة

Dari Anas, bahwasanya: Rasulullah SAW melewati sebuah pohon bersama para sahabat, mengambil ranting dari ranting pohon itu, lalu beliau menggugurkannya, lalu dedaun itu gugur.

Doa belum makbul

Rasulullah SAW pun bersabda, “Ketahuilah mengucapkan Subhanallah wal hamdulillah wa laa ilaaha illaa Allah
wa Allahu Akbar itu dapat menggugurkan kesalahan-kesalahan sebagaimana daun pohon itu berguguran dari
pohonnya.” (HR. Thabrani)

Imam Thabari juga menyebutkan sebuah riwayat ketika ada seorang laki-laki bertanya kepada Sahabat Ali Ra
tentang apa makna Tasbih. Sayyidina Ali berkata, “Tasbih adalah mengagungkan Allah”.

Dalam Kitab Mu’jam Maqayis al-Lughah, disebutkan bahwa bertasbih bererti mensucikan ALLAH sebagai satu-satunya yang berhak disembah.

Maka dari itu, para ulama menyebut tasbih merupakan asas utama dari tauhid dan rukun-rukun keimanan.

Baca juga Hati-hati pakai jubah, dress. Wanita ‘bertelanjang’ tak cium bau Syurga 

Sedemikian besar dan agung makna tasbih, sehingga barang siapa yang mengucapkannya maka dosa-dosa yang
pernah dilakukan akan berguguran sebagaimana daun-daun gugur dari dahan pepohonan sebagaimana Rasulullah
jelaskan dalam hadisnya di atas. Wallahu’alam.

Justeru, amalkanlah zikir Subhanallah wal hamdulillah wa laa ilaaha illaa Allah wa Allahu Akbar sebanyak
mungkin dalam kehidupan seharian kita.

Moga ALLAH ampunkan dosa-dosa terdahulu kita sebelum dipanggil pulang ke tempat abadi.

Sumber: BincangSyariah.Com

Foto: Michael Burrows/Pexels

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Isu, Panduan,

Hati-hati pakai jubah, dress. Wanita ‘bertelanjang’ tak cium bau Syurga

PAKAIAN merupakan satu perkara yang asas bagi setiap manusia.

Selain untuk menutup tubuh badan yang sedia kita maklum adalah aurat, ia juga sebagai penyeri penampilan seseorang untuk kelihatan lebih cantik dan bergaya.

Pada zaman sekarang, pakaian dikatakan perlulah mengikut trend dan fesyen. Maka ramailah anak-anak muda berlumba-lumba untuk memenuhi kehendak trend pada masa kini.

Bagi wanita, ramai juga dilihat memilih pakaian jubah dan dress labuh. Nampak cantik dan ayu namun waspada ia boleh mengundang azab ALLAH SWT.

Seperti perkongsian guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gebu, Penaga, Pulau Pinang, Mawaddah Mohd Noor ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan wanita.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Menerusi posting di laman Facebooknya, memakai jubah perlu disertakan dengan seluar longgar atau kain yang tebal di dalamnya.

“Apabila memakai jubah atau dress labuh, please pakai kain yang agak tebal di dalamnya supaya tidak nampak lurah punggung dan bentuk panties yang dipakai.

“Kadang-kadang warna panties pun nampak dari pandangan luar apabila kain yang dipakai itu jarang dan nipis di dalam. Setakat kain yang nipis di lapisan dalam, ianya belum mencukupi.

“Sepatutnya pakai seluar panjang yang agak longgar dan tebal atau skirt labuh yang tebal di bahagian dalam jubah supaya tidak menampakkan bayangan tubuh si pemakai.

“Jangan terlalu rasa ‘biasa’ mempertontonkan bentuk punggung dan dada serta baby bump bagi ibu-ibu yang sedang hamil. Semua itu adalah aurat yang perlu dilindungi dari pandangan sesiapa pun. Sedarlah, semua itu bukanlah bahan pamer FOC untuk tatapan umum,” coretnya.

Ya! wanita masih perlukan lelaki. Impi yang menghargai, bukan mendera emosi

Menurut Mawaddah, pilihlah jubah yang tidak mengikut bentuk badan.

“Jangan lupa juga, saat memakai jubah pastikan jubah tidak mengikut bentuk badan (ketat) kerana jika demikian ia akan kelihatan seperti membalut sebiji buah cempedak atau nangka.

“Hodoh ‘bebenor’ bila melihatnya walaupun sesetengah orang amat ghairah melihatnya.

“Tidak kiralah gemuk atau kurus si pemakai itu. Ustazah atau tidak. Sama saja. Bukan itu yang diajar oleh agama.

“ALLAH Taala akan murka jika kita berpakaian ala-ala jahiliyyah. Sendat dan ketat.

“Lainlah kalau buah cempedak betul. Memanglah sangat sedap dan menjadi rebutan. Ingatlah, manusia ini dijadikan bukan sebagai rebutan. Tetapi manusia ini adalah khalifah untuk dimuliakan. Dan mulianya manusia itu dengan agamanya yang benar.

“Orang dulu-dulu, si pemakai jubah memahami tuntutan pemakaian jubah iaitu untuk melindungi dan memelihara aurat daripada dilihat dan terdedah. Malang sekali bila di zaman sekarang, jubah hanya dipakai kerana si pemakai hanya mahu nampak lebih trendy dan tampak allegant.

“Jom check dulu piawaian pemakaian jubah yang dipakai. Andai tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan, bersegeralah menukarnya kepada jubah yang lain sehingga menjadi sempurna menurut pandangan syariat,” ujarnya.

Baca juga Rambut wanita yang dipotong tetap aurat. Tak boleh diperlihatkan pada orang lain sesuka hati

Sebab itu Nabi S.A.W bersabda:

“Ada dua kelompok manusia penghuni Neraka yang belum pernah aku lihat: kaum laki-laki yang membawa cambuk seperti buntut sapi, mereka memukul manusia dengannya, dan kaum perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan kemaksiatan dan mengajarkan kemaksiatannya kepada orang lain, kepala-kepala mereka bagaikan punuk unta yang miring, mereka tidak akan masuk ke dalam Syurga dan tidak akan mendapatkan wanginya, padahal wangian Syurga itu tercium dari jarak sekian dan sekian.” HR Muslim, no 2128.

Maka, inilah realiti yang sedang berlaku di akhir zaman ini. Semoga kita semua terhindar daripada bayangan ini.

Paling penting, semoga kita menuruti syariat dan ALLAH Taala sayang akan kita.

Semoga bermanfaat

Sumber: Mawaddah MN

Foto: Hasan Almasi/Unsplash

Agama, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Puasa bulan Muharam, puasa terbaik selepas Ramadan

BULAN Muharam ialah bulan yang pertama di dalam kalendar Hijrah. Ia merupakan antara bulan yang
suci dan dimuliakan.

Kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini kerana sebaik-sebaik
puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa pada bulan Muharam.

Daripada Abu Hurairah RA. beliau berkata:

سُئِلَ أَيُّ الصَّلَاةِ أَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ وَأَيُّ الصِّيَامِ أَفْضَلُ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَقَالَ أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ صِيَامُ شَهْرِ اللَّهِ الْمُحَرَّمِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah ditanya, solat apakah yang paling utama setelah solat maktubah
(wajib)? Dan puasa apakah yang paling utama setelah puasa Ramadan? maka Baginda menjawab:

Sebaik-baik solat setelah solat maktubah (wajib) adalah solat pada sepertiga akhir malam, dan
sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam. [HR Muslim, Hadis Sahih]

Demikian juga terdapat sebuah hadis daripada Ali RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Jika kamu ingin berpuasa selain bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan Muharam, kerana
sesungguhnya ia bulan di mana ALLAH telah memberi taubat kepada kaumnya Musa dan memberikan
taubat kepada kaum yang lain.” [HR Tirmizi, Hadis Hasan Gharib]

Antara puasa sunat yang boleh dilakukan pada bulan Muharam ini ialah:

1. Puasa sunat Isnin dan Khamis

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku
dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (HR Tirmizi, hadis hasan gharib)

Dalam sebuah hadis yang lain, Saidatina Aisyah RA berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (HR al-Tirmizi, hadis
hasan).

Jangan lupa follow kami di Instagram!

2. Puasa sunat Tasu’a

• Puasa Tasu’a berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu تِسْعَة (tis’ah) yang bermaksud sembilan.
• Puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharam (kelmarin) dalam kalendar hijrah Islam.

Diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud;

“Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke
sembilan (Muharam).” [HR Muslim, Hadis Sahih]

Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a

نَوَيْتُ صَوْمَ تَاسُعَاء سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Tasu’a pada hari esok kerana ALLAH Ta’ala”.

Ganti puasa

3. Puasa sunat ‘Asyura

• ‘Asyura berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu عَشَرَة (‘asyarah) yang bermaksud sepuluh.

• Hari ‘Asyura adalah hari yang ke sepuluh dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharam (semalam).

• Pelbagai peristiwa yang telah berlaku pada hari tersebut. Disebabkan itu, umat Islam menghormati hari ‘Asyura sepertimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

• Terdapat nas khusus berkenaan puasa hari ‘Asyura. Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA yang
bermaksud;

“Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah hari ALLAH menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.” [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]

Kata Ibnu Abbas r.a. apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari ‘Asyura. [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]

Daripada Abu Qatadah, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka
kata Baginda SAW:

أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.
[HR Muslim, Hadis Sahih]

Lafaz Niat Puasa Asyura;

نَوَيْتُ صَوْمَ عَشُرَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari ‘Asyura pada besok hari kerana ALLAH Ta’ala”.

4. Puasa sunat hari putih (Ayyamul Bidh)

Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah ﷺ memerintahkan kami agar berpuasa pada hari putih (bidh) iaitu pada tiga
belas, empat belas, dan lima belas. Beliau berkata; hari-hari tersebut umpama setahun”.

(Hadis Sahih Riwayat Abu Daud)

Lafaz niat puasa sunat Ayyamul Bidh

نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana ALLAH Taala.

Baca juga Teladani hijrah Nabi Muhammad SAW yang penuh berstrategi dalam mendepani wabak Covid-19 yang menggerunkan

Justeru, marilah bersama-sama mengambil peluang ini untuk melazimi puasa sunat dalam bulan Muharam.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang dimasukkan ke dalam Syurga melalui pintu al-Rayyan sebagaimana yang tercatat di dalam hadis berikut;

Daripada Sahal bin Sa’d R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sumber: Asma’ Harun

Foto: Monstera/Pexels

Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Isu, Panduan,

Doa memohon perlindungan Covid-19, amal selepas solat fardu

HAMPIR dua tahun dunia diuji dengan kehadiran wabak Covid-19 sehingga telah meragut banyak nyawa setiap
hari.

Penularan jangkitan yang sangat cepat amat menakutkan. Malah negara kita juga kini telah mencatat angka
jangkitan harian yang sangat tinggi.

Sehingga semalam, bilangan kes baharu positif Covid-19 terus melonjak kepada 20,596 kes sekali gus
menjadikan Malaysia merekodkan jumlah tertinggi selama dua hari berturut-turut.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 1,203,706 kes.

Pelbagai langkah berjaga-jaga telah diambil dek kerana pandemik yang sangat berbahaya serta boleh
mengakibatkan kematian dalam sekelip mata.

Selain pencegahan dari aspek kesihatan, kerohanian juga perlu kita pertingkatkan.

Justeru SinarPlus kongsikan doa yang boleh diamalkan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Dibaca selepas solat fardu atau sunat;

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الأَنْـبِيَاءِ وَالمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

اَللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّـا البَلآءَ وَالغَلاَءَ وَالوَبَاءَ وَالطَّاعُونَ وَالفَحْشَاءَ وَالمُنْـكَرَ وَالبَغْيَ وَالسُّوءَ المُخْتَـلِفَ وَالشَّدَائِدَ وَالمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ مِنْ بَلَدِنَا وَقَرْيَتِـنَا هَذِهِ خَآصَّةً وَمِنْ بُلْدَانِ المُسْلِمِينَ كَآفَّةً عَآمَّةً إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَبِالإِجَابَةِ جَدِيرٌ.

تَحَصَّـنَّا بِذِى العِزَّةِ وَالجَبَرُوتِ، وَاعْتَصَمْـنَا بِرَبِّ المَلَـكُوتِ، وَتَوَكَّـلْنَا عَلَى الحَيِّ الَّذِي لاَ يَمُوتُ، اَللَّهُمَّ اصْرِفْ عَنَّا هَذَا الوَبَاءَ، وَقِنَا شَرَّ الرَّدَى، وَنَجِّنَا مِنَ الطَّعْنِ وَالطَّاعُونِ وَالبَلاَءِ، بِلُطْفِكَ يَا لَطِيفُ، يَا خَبِيرُ، إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ وَالحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ.

Yang bermaksud: Segala puji bagi ALLAH Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad
semulia-mulia nabi dan rasul, ahli keluarga dan para sahabatnya.

doa

Ya ALLAH! Jauhilah kami daripada bala’ bencana, wabak penyakit, taun, pelbagai perlakuan keji dan mungkar, segala kepayahan dan dugaan yang zahir dan yang tersembunyi. Ya ALLAH! Selamatkanlah negeri kami ini khususnya, dan negara umat Islam amnya daripada segala bencana tersebut. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas segala-galanya dan Engkaulah yang selayaknya memberi perkenan.

Aku berlindung dengan ALLAH Tuhan yang Maha Gagah Perkasa dan yang Mempunyai Kekuasaan Mutlaq. Aku berpegang teguh kepada ALLAH Tuhan yang Memiliki Kerajaan yang Maha Agung dan aku berserah diri kepada ALLAH yang Hidup dan tidak akan mati.

Baca juga Zikir untuk 100 kebaikan, dijauhkan 100 keburukan

Ya ALLAH! Wahai Tuhan kami jauhilah kami daripada wabak yang datang ini dan peliharalah kami daripada segala
kejahatan yang merosakkan serta selamatkanlah kami daripada segala fitnah dan penyakit taun serta segala
bala’ yang datang, dengan kelembutan-Mu ya ALLAH, Tuhan yang Maha Berlemah Lembut, wahai Tuhan yang Maha Halus Pengetahuan-Nya, Engkau Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu, selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabatnya. Segala puji bagi ALLAH Tuhan pencipta alam semesta.

Selamat beramal!

Sumber: Datuk Mohd Yusof Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus

Foto: Masjid Pogung Dalangan/Unsplash

 

Agama, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Zikir untuk 100 kebaikan, dijauhkan 100 keburukan

SETIAP insan berlumba-lumba untuk mengecapi kebahagiaan dan kesenangan dalam kehidupan.

Oleh sebab itu, apa sahaja perkara yang dilakukan haruslah berlandaskan dan matlamat utamanya mendatangkan kebahagiaan.

Justeru, pendakwah, Asma’ Harun berkongsi satu zikir yang membantu mendatangkan kebaikan untuk kehidupan.

“Saya nak berkongsi ilmu yang tidak ternilai melebihi dunia dan isinya, satu zikir yang diajarkan Rasulullah SAW.

“Saya hanya menyampaikan, kita sama-sama beramal dengan istiqamah dan khusyuk. Mudah-mudahan akan merasai kemanisannya,” coret beliau di laman sosial Facebook.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Ujarnya, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa membaca

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Laa ilaaha illallahu wahdahuu laa syariika lahuu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alaa kulli syai’in
qodir.

“Yang beerti tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH Yang Maha Esa tidak ada sekutu bagi-
NYA. Milik-NYA kerajaan dan bagi-NYA segala puji dan DIA MAHA KUASA atas segala sesuatu.”

Latih anak berpuasa, ini cara berkesan ajar berperingkat ikut waktu solat

“Membaca zikir ini sebanyak 100 kali dalam sehari, maka baginya pahala seperti membebaskan 10 orang hamba, ditetapkan baginya 100 kebaikan dan dijauhkan daripadanya 100 keburukan.

“Dan baginya perlindungan daripada (godaan) syaitan pada hari itu hingga petang dan tidak ada orang yang lebih baik amalnya daripada orang yang membaca doa ini kecuali seseorang yang dapat mengamalkan lebih banyak zikir ini.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Menurut beliau lima waktu yang boleh diamalkan zikir tersebut:
1. Boleh diamalkan pada bila-bila masa kerana Nabi SAW tidak menetapkan waktu.

2. Jika nak tetapkan untuk diri sendiri tiada masalah sebagai contoh:

  • 50 kali lepas Subuh dan 50 kali lepas Asar atau 20 kali selepas solat, asalkan cukup 100 kali.

3. Nabi Muhammad SAW menggalakkan membaca sebanyak maksudnya melebihi 100 kali sebagaimana penghujung Hadis.

Baca juga Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

4. Wanita yang sedang dalam keadaan tidak suci, seperti haid dan nifas juga boleh mengamalkannya.

5. Membaca tanpa wuduk atau menghadap kiblat juga tiada masalah sambil melakukan tugasan juga dibolehkan.

Namun begitu suasana yang fokus tenang khusyuk sudah tentu lebih baik.

Semoga yang sedang dalam kesusahan, kebimbangan, ketakutan, kesedihan, kesempitan dan apa sahaja, ALLAH angkat segala musibah dan ujian, diberikan jalan keluar terbaik dunia dan akhirat.

Semoga ALLAH juga berikan kita kekuatan beramal dan istiqamah hingga diberikan Husnul Khatimah.

Selamat beramal!

Foto: Towfiqu barbhuiya/Unsplash

Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

AS-SAJADAH adalah surah ke-32 dalam al-Quran, kitab suci agama Islam. Diturunkan di Mekah selepas surah Al-Mukminun.

Surah itu terdiri atas 30 ayat dan terdapat ayat sajdah (sujud) iaitu ayat ke-15.

Ia menyebutkan bahawa orang-orang yang beriman kepada ALLAH itu, apabila diingatkan kepada mereka tentang ayat ALLAH, mereka akan tersungkur sujud dan mengucapkan tasbih sambil memuji kepada Tuhan dengan tidak ada rasa sombong.

Dalam surah al-Sajadah juga terdapatnya ayat-ayat menghuraikan kunci-kunci ghaib yang dahulu
sudahpun disebutkan di penutup surah Luqman tentang kematian, alam akhirat, tentang kandungan
seorang ibu yang bakal melahirkan dan sebagainya.

Surah itu adalah satu surah kegemaran Nabi Muhammad SAW. Rasulullah selalu membaca dalam rakaat
pertama solat Subuh pada hari Jumaat.

Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah pada hari Jumaat?

1. Menurut Saidina Abu Hurairah, Rasulullah dilihat sering membaca surah al-Sajadah dan surah al-Insan
pada solat Subuh pada hari Jumaat.

Perkara itu direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada solat Subuh hari Jumaat, Rasulullah membaca surah al-Sajadah (Alif Lam Mim, Tanzil)
dan surah al-Insan (Hal Ata ‘alal insan). (HR al-Bukhari)

2. Melalui riwayat al-Tabrani pula, Rasulullah dikatakan konsisten membaca dua surah ini dalam solat
Subuh hari Jumaat. Timbul persoalan di sini, mengapa Rasulullah sering membaca kedua surah ini pada hari Jumaat?

Salah faham dalam agama

3. Sekiranya diperhatikan kedua surah ini secara umumnya menceritakan tentang perjalanan hidup manusia.
Di sini Rasulullah seolah ingin mengingatkan kita pada setiap minggu bahawa kitaran kehidupan kita
sentiasa perlu diingatkan dan diperhatikan semula.

4. Terdapat tiga tema utama disentuh ALLAH dalam kedua surah ini:

a. Yang pertama adalah tentang asal kejadian manusia. Ayat 7 hingga ayat 9 dari surah al-Sajadah menceritakan tentang asal usul manusia. Begitu juga dengan ayat kedua dari surah al-Insan ini. Seolah, setiap minggu Rasulullah mengajak kita mengimbas kembali tentang asal kejadian kita.

b. Yang kedua, surah ini mengingatkan manusia tentang jalan yang dipilih oleh mereka dalam kehidupan
mereka. Mukmin yang soleh akan memilih jalan yang baik lalu mereka sujud secara praktikal di dalam solat
subuh ini. Manakala manusia yang engkar, yang menjadi kufur dan fasiq akan menyesal di kemudian hari.

c. Yang ketiga, kedua surah ini turut mengingatkan manusia tentang pembalasan akan mereka terima
atas jalan yang dipilih di dunia. Sekiranya jalan baik yang dipilih, maka kebaikanlah diperoleh akhirat kelak.

Solat hujung waktu

5. Melalui dua surah ini, Rasulullah seakan ingin mengingatkan kita pada setiap minggu bahawa kita dijadikan oleh ALLAH atas tujuan yang jelas.

Yang merosakkan kehidupan kita adalah disebabkan perbuatan dan pilihan kita sendiri lalu ALLAH memberikan peringatan tentang azab yang akan kita hadapi atas pilihan kita sendiri.

6. Al-Imam Ibn Taimiyyah pula memberikan sedikit pandangan yang berbeza. Menurut beliau, Rasulullah
sering membaca surah ini pada hari Jumaat kerana ia mengingatkan manusia tentang apa yang akan berlaku pada hari Jumaat.

Baca juga Bersedekah, jaga silaturahim antara 10 amalan digalakkan, pada 10 hari pertama Zulhijjah

Kata Ibn Taimiyyah yang bermaksud: “Kedua surah ini mengandungi (dan mengingatkan kita) tentang apa yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat iaitu, pada hari Jumaat Adam dijadikan, hari ini juga akan berlakunya hari kiamat, manusia akan dihimpunkan juga pada hari Jumaat. Maka bacaan surah ini pada hari Jumaat adalah peringatan buat umat ini tentang apa yang telah dan akan berlaku.” (Majmuk Fatawa Ibn Taimiyyah)

Marilah kita mentadabbur surah ini bersama-sama semoga mendapat berkat dan pengajaran untuk dijadikan pedoman bagi menempuh kehidupan kita kelak.

Moga ALLAH membimbing kita semua.

Sumber: Telegram Dr Ahmad Sanusi Azmi

Foto: Abdulmeilk Aldawsari/Pexels