Browsing Tag

serangan Masjid al-Aqsa

Solat hajat Palestin
Berita Semasa,

Sama-sama kita solat hajat, baca qunut nazilah demi kesejahteraan rakyat Palestin pada malam ini dan esok

Sama-sama kita solat hajat, qunut nazilah demi kesejahteraan rakyat Palestin pada malam ini dan esok

UMAT Islam di negara ini diajak untuk menunaikan solat hajat demi kesejahteraan rakyat Palestin pada malam ini dan esok, susulan tragedi serangan dan kekasaran yang berlaku di Masjid al-Aqsa semalam.

Ia bagi menyambut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam kenyataan medianya pada Rabu, beliau mengarahkan Masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk melaksanakan solat hajat tersebut pada hari ini.

“Begitu juga dengan masjid-masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Bersempena bulan Ramadan al-Mubarak ini, marilah kita bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Na’im turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap rejim Israel yang menyerang dan menggunakan kekerasan terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang berada di Masjid al-Aqsa hingga mengakibatkan kecederaan awam.

Solat hajat Palestin

POLIS Israel dilaporkan ‘menyerang’ jemaah dan rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa sebanyak dua kali pada Rabu. -Foto: Alarabiya.net

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat seantero dunia untuk mengutuk tindakan zalim tersebut, selain menggesa agar serangan dan kekerasan tersebut dihentikan.

Baca juga Lebih 200 jemaah ditahan selepas diserang secara agresif dalam serangan Masjid al-Aqsa

“Tindakan polis yang menceroboh masjid itu adalah biadap dan amat tidak bertanggungjawab.

“Malah, ia berulang setiap tahun ketika umat Islam menjalani ibadah pada bulan puasa,” katanya.

Sementara itu, JAWI dalam kenyataan medianya memaklumkan, solat hajat dan bacaan qunut nazilah akan diadakan di masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas solat Isyak pada malam ini (6 April).

“Solat hajat juga akan diadakan pada keesokannya (7 April) selepas solat Jumaat di lokasi yang sama,” katanya.

Dalam kenyataan sama, JAWI turut mengecam serangan tersebut dan kezaliman yang dilakukan lebih-lebih lagi dalam bulan mulia itu.

“Sesungguhnya, doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk keamanan rakyat Palestin,” katanya.

Baca juga Bersama Pertahankan Kesucian Bumi Palestin, Berdosa Jika Umat Islam Tidak Ambil Tahu

Dalam kejadian pada Rabu, polis Israel menyerang puluhan jemaah di pekarangan Masjid al-Aqsa sebelum Subuh.

Solat hajat Palestin

POLIS Israel menahan seorang wanita di pekarangan Masjid al-Aqsa. -Foto: Alarabiya.net

Memetik laporan Reuters, Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan, sebanyak tujuh rakyat Palestin cedera akibat tembakan peluru getah dan dipukul dalam insiden pertempuran tersebut.

Beberapa jam kemudian, agensi berita CNN melaporkan, polis Israel kembali menyerbu Masjid al-Aqsa buat kali kedua pada hari yang sama.

Ketika itu, jemaah sedang menunaikan solat di masjid, manakala orang Yahudi pula sedang menyambut Paskah Yahudi pada petang Rabu.

Ekoran dua kejadian itu, CNN melaporkan, sekurang-kurangnya 12 orang cedera semasa pertempuran di dalam dan sekitar masjid, dan tiga daripada mereka yang cedera telah dipindahkan ke hospital.

Baca juga Ayuh Umat Islam Bersolidariti Benamkan Keangkuhan Israel

Insiden itu turut mendapat kecaman dan bantahan dari seluruh dunia Arab dan Islam.

Kementerian Luar Mesir mengutuk serbuan masjid oleh pihak polis hingga menyebabkan banyak kecederaan dalam kalam kalangan jemaah, selain melanggar semua undang-undang antarabangsa.

Begitu juga dengan Kementerian Luar Negeri Jordan yang pada masa sama menggesa Israel untuk segera mengeluarkan tenteranya dari masjid.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.