Browsing Tag

sematkan sirah nabi ketika berpolitik

Berpolitik
Berita Semasa,

Sematkan sirah Nabi Muhammad SAW ketika berpolitik

Sematkan sirah Nabi Muhammad SAW ketika berpolitik

MERIAH sungguh pemandangan sana sini dengan kibaran poster parti dan gambar calon-calon ketika musim pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri yang akan menemui kemuncaknya esok.

Wajah sebenar rakyat Malaysia benar-benar kelihatan ketika hampirnya PRN. Tergores rasa sedih dihati apabila melihat keadaan di Malaysia yang koyak akhlak ketika PRN apabila calon-calon dan masyarakat menjadi boomerang yang pantang diejek dengan ucapan dan dibalas balik, tidak seperti pokok apabila dibaling batu, dibalas buah yang ranum.

Alangkah cantiknya sekiranya kita kembali kepada sirah Rasulullah SAW ketika berdakwah ke Taif. Ketika itu baginda diejek dan disakiti di kiri kanan jalan sehingga kedua-dua belah kasutnya lencun dibasahi darah.

Zaid Bin Harithah cuba melindungi nabi tetapi kepalanya juga berdarah terkena lontaran batu. Melihat kegetiran yang ditempuh itu, Malaikat Jibril menawarkan diri untuk membinasakan mereka tetapi nabi menolaknya dan berkata: “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Baca juga Kita tak boleh kawal mulut orang, sebaliknya bacalah doa ini apabila dicaci maki 

Begitulah mulianya hati Nabi Muhammad SAW. Walaupun dihina, malah dicederakan, baginda tetap mendoakan agar umat yang menganiayainya memperoleh kebaikan. Refleksi daripada sirah agung itu, ditambah dengan suasana umat Islam masih lagi dalam bulan Muharam, mengapa tidak bersama-sama meneladaninya?

Berpolitik

TELADANI sikap Rasulullah SAW yang begitu tinggi akhlak dan budi bahasanya lebih-lebih lagi dalam berpolitik dan suasana kempen PRN. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Budi bahasa jadi pedoman

Tuntasnya, adab budi bahasa yang ditunjukkan oleh Rasulullah begitu luar biasa yang sepatutnya sentiasa menjadi pedoman kepada umatnya, lebih-lebih lagi dalam suasana kempen PRN.

Adab akhlak dan kesantunan budi bahasa Melayu mengajar kita untuk sentiasa sopan ketika berbicara. Hal itu penting agar tidak menjauhkan Islam daripada mereka yang belum Islam.

Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum masuk iman ke dalam hatinya, janganlah kamu semua mengumpat orang-orang Islam dan janganlah pula mencari kecelaan dan kesalahan mereka. Dari kerana sesungguhnya siapa yang mencari-cari kecelaan dan kesalahan saudara seagamanya maka pasti ALLAH akan mencari kecelaan dan kesalahannya pula. Dan siapa yang ALLAH mencari kesalahannya, maka pasti ALLAH akan memalukannya sekalipun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Sayugia dalam semarak gendang perang pilihan raya, calon-calon yang bertanding dan para jenteranya yang beragama Islam juga mesti sentiasa berhati-hati dalam berkempen agar tidak mencaci serta memfitnah pihak lawan.

Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Janganlah kalian saling mendengki, saling memfitnah, saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba ALLAH yang saling bersaudara.

Baca juga Hilangnya amal ketika lidah dirajai nafsu

“Muslim yang satu dengan Muslim yang lainnya adalah bersaudara, tidak boleh menyakiti, merendahkan ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya). Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama Muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya” (Hadis Riwayat Muslim)

Tiada guna taasub berlebihan

Begitu juga dengan aspek terlampau taasub dan berlebih-lebihan dalam fahaman politik sehingga bercerai-berai, putus saudara dan bermusuhan dalam kalangan masyarakat akan menyebabkan hancurnya negara.

Berpolitik

JANGAN kerana perbezaan fahaman politik atau pilihan pemimpin menyebabkan masyarakat bercerai-berai, putus saudara dan bermusuhan yang menyebabkan hancurnya negara. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

ALLAH SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali ALLAH dan janganlah kamu berpecah belah.”

Baca juga Taasuber, tidak perlu fanatik melampau kepada individu, tetapi taasublah kepada kebenaran

Imam al-Qurtubi Rahimahullah dalam tafsirnya ke atas ayat ini menyebut: “Janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka.”

Kemudian beliau berkata lagi: “Boleh juga ia membawa erti jangan kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama ALLAH. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu daripada berpecah belah dan saling bermusuhan dan berpegang teguhlah kamu dengan tali ALLAH (Rasulullah, khulafa’ ar-Rasyidin dan Ulil amri) dalam jemaahnya dan janganlah kamu memutuskannya (memisahkan diri).”

Alangkah baiknya jika budaya bijak berpolitik yang saling hormat menghormati antara satu sama lain dihidupkan semaksimum mungkin dalam membina negara.

Masyarakat Malaysia yang terkenal sebagai bangsa berdaulat dan mempunyai budi bahasa luhur mestilah sentiasa mempertahankan kasih sayang serta hormat menghormati sesama kita walaupun berbeza fahaman politik, sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesiapa yang tidak menghormati (menyayangi) orang lain, tidak akan dihormati (disayangi)”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Esok adalah tarikh keramat untuk anda membuang undi. Berpeganglah kepada manifesto calon yang mengutamakan pencapaian dan pembangunan agama, material serta menjulang keharmonian negara tercinta.

***Artikel ditulis oleh Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman, yang juga Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga & Masyarakat