Browsing Tag

sejarah asal usul

bubur Asyura 10 Muharam
Ibadah,

Mengapa kita masak bubur Asyura pada 10 Muharam?

Mengapa kita masak bubur Asyura pada 10 Muharam?

SEBAGAI bulan pertama tahun Hijriyah, Muharam merupakan bulan istimewa bagi masyarakat Islam di seluruh dunia. Pada waktu ini, rata-rata Muslimin akan melakukan kebaikan serta bersedekah.

Namun selain puasa dan amalan sunat yang lain, bulan Muharam juga sinonim dengan ‘bubur Asyura’. Bagi menyambut hari ke-10 Muharam yang dikenali sebagai Hari Asyura, sudah menjadi tradisi masyarakat kita untuk membuat dan mengadakan jamuan bubur Asyura.

Berbeza di Pantai Timur khususnya Kelantan, 10 Muharam diraikan dengan memasak kuih Asyura (sebutannya Suro). Ia dimasak di dalam kawah besar, tidak pekat likat menyerupai bubur, bahkan tekstur kuih Suro agak sedikit keras menyerupai kek atau kuih bingka.

Baca juga Benarkah buku amalan diangkat pada awal Muharam? Berikut perinciannya

bubur Asyura 10 Muharam

Asal usul tradisi Bubur Asyura
Amalan memasak bubur asyura atau kuih Suro dikatakan diambil daripada peristiwa Nabi Nuh AS selepas diselamatkan dari banjir besar.

Memetik portal tzkrh, diceritakan bahawa kapal Nabi Nuh AS berlabuh di Bukit Juudiy pada hari ‘Asyura, berkata Nabi Nuh AS kepada umatnya:

“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S: “Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang.””

Lantas daripada kisah itu, bubur Asyura dibuat bagi memperingati Hari Asyura yang diterjemahkan menjadi ‘bubur untuk kesejahteraan’. Juadah itu menjadi perlambangan rasa syukur manusia atas keselamatan yang selama ini diberikan oleh ALLAH SWT.

ARTIKEL BERKAITAN:

bubur Asyura 10 Muharam

BUBUR Asyura dinikmati oleh umat Islam seluruh dunia sempena kisah Nabi Nuh AS selepas diselamatkan daripada banjir besar. Foto: 123RF

Kisah itu tidak sahih?
Persoalannya, adakah benar kisah itu disandarkan kepada Nabi Nuh AS?

Mengikut keterangan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Bin Mohamad kisah itu sememangnya ada disebutkan di dalam kitab seperti Nihayah al-Zain karangan Syeikh Nawawi al-Bantani, kitab Nuzhatil Majalis karangan Syeikh Abdul Rahman al-Ushfuri serta kitab Jam’ul Fawaid oleh Syeikh Daud al-Fathoni.

Baca juga Semangkuk bubur talbinah pengubat hati penawar duka, ini cara Rasulullah

Pun begitu, agamawan itu berkata, kajian mendalam perlu dibuat untuk mengesahkan kesahihan kisah itu memandangkan pihak Mufti tidak menjumpai lagi sebarang petunjuk dalam bentuk hadis ataupun athar mengenai cerita tersebut.

Bahkan ada beberapa sarjana-sarjana Islam yang menilai kisah Nabi Nuh dan bubur Asyura itu sebagai palsu.

SETIAP negeri mempunyai versi bubur Asyura tersendiri. Foto: Google

Tiada masalah masak Bubur Asyura
Tiadanya dalil yang thabit bukanlah bermakna masyarakat langsung tidak dibenarkan untuk memasak bubur Asyura. Masaklah apa sekalipun selagi makanan itu halal dan baik.

Cuma kata Dr Zulkifli, masyarakat perlu berhati-hati agar tidak mengaitkannya dengan Nabi Nuh AS secara jazam (pasti) dan tidak menganggapnya sunnah yang mesti dilakukan pada 10 Muharam.

Titip beliau lagi, apa yang lebih baik, memasaklah dengan niat untuk bersedekah dan memberi makanan terutama kepada orang-orang fakir, miskin dan juga yang amat memerlukan.

Baca juga Begitu istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya

Sumber: Tzkrh  & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF & Google