Oleh : Profesor Dr. Solehah Binti Yaacob
PROPAGANDA lapuk yang dilaungkan Yahudi bahawa Palestin adalah tanah air nenek moyang mereka.
Propaganda ini telah dicanang sebelum 1948 atau sebelum peristiwa Nakba lagi di mana sebahagian besar tanah rakyat Palestin telah dirampas oleh penjajah yang bersikap regim ini.
Setiap hari kita mendengar kisah penderitaan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka. Walaupun genjata senjata dipersetujui baru-baru ini dengan Mesir sebagai orang tengah telah berjaya menamatkan perang yang berlansung selama 11 hari itu namun pengakhirannya masih kabur dan rapuh. Rakyat Palestin masih lagi dihina, ditekan dan dicabul hak mereka.
Hakikatnya regim Zionis ingin menghapuskan nama Palestin dari peta dunia, maka usaha ini tercapai pada 2011 apabila pihak Google telah memadamkan nama Palestin dari peta dunia.
Perbuatan ini dikutuk oleh berjuta netizen yang menyokong kewujudan negara Palestin. Justeru kajian pensejarahan dan asal usul bumi Palestin amat perlu. Di mana data sejarah seperti catatan batu bersurat amat penting dalam membuktikan sejarah kuno Palestin dengan kata lain Palestin adalah sebuah negara yang telah dimiliki oleh bangsanya semenjak dahulu lagi.
Oleh itu kajian yang berasaskan sejarah dan ilmu pengetahuan ini akan meletakkan posisi Palestin sebagai negara berdaulat dan diiktiraf itu tepat.
CATATAN BATU BERSURAT HIEROGLIF
Penterjemahan tulisan Hieroglif Mesir yang dilakukan oleh Jean Francois Champollion sekitar 1822 AD telah mendapat pengiktirafan hasil ketepatan maklumat tersebut. Usaha ini dilakukan setelah penaklukkan Napoleon terhadap Egypt pada tahun 1798 membawa kepada penemuan Rosetta Stone dan seterusnya melahirkan fenomena Egyptology dalam membongkar tamadun Mesir.
Hakikatnya beliau telah mendapat pendedahan lebih awal tentang bahasa Coptic yang merupakan bahasa utama agama Kristian di era Egypt kuno. Bahasa Coptic menggunakan penulisan alphabet Greek yang mempunyai pengaruh skrip penulisan kuno Egypt.
Hasil daripada kebolehan ini, Champollion memperolehi kemampuan untuk menterjemah cara sebutan fonetik Hieroglif Mesir. Beliau percaya bahawa tulisan Hieroglif secara keseluruhan mempunyai sistem abjad yang sempurna beserta ketepatan bunyi.
Selain daripada Champollion, terdapat beberaa decipherer (panggilan untuk penterjemah batu bersurat) seperti Michael Ventris yang menterjemah beberape tablet kepingan tanah liat daripada artifak Greek dan Minoan, manakala David Stuart pula mentafsir simbol tulisan (glyphs) Maya di Yukatan.
Perlumbaan negara-negara barat dalam menterjemahkan tulisan kuno ini merupakan usaha membantu negara mereka untuk menguasai timur melalui penguasaan ilmu alam purba yang menjadi topik utama dalam Biblical Studies.
Bukti daripada kajian linguistik seperti penemuan tulisan hieroglafi dan syallabi orthografi telah membuktikan linguistik merupakan satu metode yang boleh menjadi dalil saintifik terhadap kewujudan negara Palestin serta penggunaan bahasa kuno yang dituturkan pada ketika itu.
Batu bersurat purba Mesir yang dikenali sebagai Hieroglif telah mencatatkan beberapa maklumat tentang nama bangsa-bangsa yang wujud di sekitar perairan Mediterranean dan perairan teluk Aegean.
Mereka ini dikenali sebagai orang-orang laut (sea people) yang banyak membuat penentangan terhadap kerajaan baru Mesir (Egypt New Kingdom) (Wachsmann 2009, Artzy 1987). Antara yang tercatat; Peleset (Pw-r-s-ty)/ Philistines, Tjekker, Denyen, Shekelesh, Teresh, Shardana/ Sherden, Lukka and Ekwesh (Wainwright, 1961: 71-85).
Mereka ini merupakan orang-orang yang mahir dalam pembuatan kapal untuk pelayaran laut dalam dan kapal untuk perperangan.
Antara catatan yang menarik perhatian untuk dibahas ialah orang laut Peleset (Pw-r-s-ty)/ Philistines. Nama Peleset ini telah diterjemah oleh Jean Francois Champollion dengan suku kata sebutan sebagai `Pw-r-s-ty` di dalam catatan Medinet Habu, The Great Harris Papyrus yang mempunyai 41 meter panjang, Rhetorical Stele Chapel C di Deir el-Medina ketika pemerintahan Ramesses 111 sekitar 1191 SM.
Selain itu dalam catatan Onosmasticon of Amenope sekitar 2200 SM – 2000 SM dan Batu Besurat Pedeset sekitar 900 SM juga menyebut nama Peleset dan kehebatan orang laut ini. Kemungkinan besar perkataan `Peleset` ini juga digunakan untuk membuktikan bahawa bangsa ini telah meluas sehingga ke Asia Minor (sesudah kejatuhan Ottoman dikenali sebagai Turkey).
Ini telah dibuktikan oleh penulisan Homer `Pelasgias` yang cuba mengaitkan dengan Troy dan kaum yang menetap di Thrace timur laut Greece. Homer dalam karangannya Oddssey menyebut bahawa `Pelasgias` bertempat di Creta. Manakala catatan Biblical Studies pula banyak menyebut bahawa asal usul Peleset(Pw-r-s-ty)/ Philistines adalah di kepulauan Capthor. Kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa Capthor itu adalah Creta.
Manakala Profesor Donald B. Redford (1993) mengaitkan perkataan Capthor atau Keftiu adalah dialek bahasa orang Canaan di mana beliau percaya bahawa askar-askar Mesir terpaksa belajar bahasa Keftiu atau Capthor ini untuk mendapat kemahiran membuat alat-alat senjata. Ini ada benarnya kerana Palestin merupakan wilayah pengeluar besi yang paling banyak pada ketika itu.
KESIMPULAN
Hakikatnya penemuan perkataan `Pw-r-s-ty` dalam tulisan Hieroglif Mesir telah membongkar sejarah kuno Palestin yang dikenali sebagai sea people atau orang laut.
Penulisan yang menggunakan huruf konsonan tanpa diikuti oleh huruf vokal merupakan penulisan asal mana-mana batu bersurat kuno yang sememangnya tidak mempunyai huruf vokal (A.F.L Beeston, 1983).
Penemuan ini merupakan bukti saintifik bahawa Palestin adalah sebuah negara berdaulat yang mempunyai pemerintahan sendiri. Selain itu negara ini mempunyai kekayaan hasil dari sumber alam seperti pengeluar besi utama di wilayah tersebut pada ketika itu di mana buktinya adalah pembuatan alat-alat senjata yang bermutu tinggi.
Palestin juga merupakan pengeluar warna ungu yang pertama di dunia.
Jelas menunjukkan bahawa perang yang sentiasa meletus dengan kerajaan Mesir di perairan teluk Aegean membuktikan bahawa orang-orang Palestin mempunyai kepakaran yang tinggi dalam pembuatan kapal di laut dalam.
Justeru tidak hairan batu bersurat Praiba telah dijumpai di Brazil dalam tulisan Phonecion yang menyebut tentang bangsa semitik iaitu anak cucu Sam bin Nuh. Kemungkinan besar disebabkan Palestin mempunyai sejarah yang hebat dan berketurunan asal usul Nabi Nuh ini sehingga terdapat usaha pihak tertentu ingin menenggelamkan sejarah Palestin yang sebenar.
Hakikatnya usaha menidakkan sejarah Palestin ini telah bermula semenjak penulisan Perjanjian Baru (Biblical Studies) lagi. Ini dapat dilihat pada catatan peta no. 12 bahawa nama Palestin sudah tidak wujud lagi.
Ini bermakna usaha untuk memadamkan nama Palestin wujud setelah perjanjian baru ditulis sekitar 300 tahun sesudah ketiadaan Nabi Isa a.s. Maka hasil penulisan yang diubah ini, merupakan alasan yang kuat bagi mereka yang berhasrat untuk mencari tanah yang baru, maka Palestin merupakan objek mudah untuk diperkotak katik.
Nota Editor : Sudut pandangan yang dinyatakan oleh penulis tidak semestinya mencerminkan pendapat, sudut pandangan dan dasar editorial SIPlus
Rujukkan:
A.F.L. Beeston et al., (ed.), 1983. Arabic Literature to the end of The Umayyad Period.
Cambridge: Cambridge University Press.
Artzy, M.A. 1987. On Boats and Sea Peoples, Bulletin of the American Schools of Oriental Research, No. 266, pp. 75-84. http://www.jstor.org/stable/4126241
Redford, D.B. 1993.Egypt, Canaan and Israel in Ancient Times, New Jersey: Princeton University Press.
Images: http://www.salimbeti.com/micenei/sea.htm
https://www.google.com/search?q=ancient+map+of+palestine+in+
Wainwright, G.A. Some Sea-Peoples. The Journal of Egyptian Archaelogy, Vol. 47. Pp. 71-90. http://www.jstor.org/stable/3855867