Browsing Tag

scam haji

ibadah korban
Berita Semasa,

Waspada ‘scammer’ rantaian ibadah korban

Waspada ‘scammer’ rantaian ibadah korban…

KURANG daripada sepuluh hari lagi, umat Islam di negara ini bakal menyambut Aidiladha yang begitu sinonim dengan ibadah haji dan penyembelihan binatang ternak.

Namun, dalam keghairahan umat Islam melaksanakan ibadah korban sebagai simbol meraikan bulan Zulhijah, ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan melakukan jenayah dalam rantaian ibadah korban yang dijalankan.

Sedangkan ia adalah bulan untuk melipatgandakan amal ibadah bukan untuk mengambil peluang melakukan ‘scammer’ ibadah korban.

Perkara tersebut ditegaskan sendiri oleh Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Mohd Anuar Ramli mengenai aktiviti jenayah ini jelas sekali bertentangan dengan ketetapan syarak malah mencemari kesucian ibadah dalam bulan Zulhijah.

Baca Juga Sunat tidak memotong kuku, rambut sehingga selesai ibadah korban

ALLAH SWT telah menjelaskan tentang kelebihan bulan haram (Zulhijah) dalam firman-NYA pada surah at-Taubah ayat 36: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) ALLAH ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab ALLAH semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-NYA).

“Al-Baghawi dalam kitab tafsir Ma’alim al-Tanzil menjelaskan perkataan ‘menzalimi’ adalah melakukan kemaksiatan dan meninggalkan ketaatan.

Buat korban bukan sebab kaya

BUAT korban bukan sebab kita kaya, tetapi ia sebenarnya tanda manifestasi kesyukuran dan terima kasih kepada ALLAH SWT yang telah mengurniakan nikmat kepada kita. -Foto: 123rf

“Beliau menukilkan pandangan Qatadah bahawa perbuatan baik (amal soleh) lebih besar pahalanya di dalam bulan haram (Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab), malahan perbuatan zalim (maksiat) pada bulan tersebut juga adalah lebih besar dosanya dari bulan-bulan selainnya,” ungkapnya.

Tambahnya lagi, apa yang jelas perbuatan penipuan dalam apa juga bentuknya adalah termasuk dalam perbuatan zalim, iaitu maksiat dan dosa.

“Dosanya berlipat ganda dalam bulan haram. Selain itu, Nabi Muhammad SAW dengan tegas menolak golongan yang menipu dari kalangan umatnya. Sabda Nabi SAW “Sesiapa yang menipu kami, dia bukan dari kalangan kami.” (Hadis Riwayat Muslim)

ARTIKEL BERKAITAN 

“Perbuatan menipu atau aktiviti jenayah dalam rantaian ibadah korban adalah dilarang dan ia termasuk dalam perbuatan maksiat dan dosa.

“Malahan rezeki yang diperoleh adalah tidak berkat dan haram. Jika peserta korban yang mengetahui dan terlibat dalam aktiviti jenayah ini, mereka telah bersubahat bersama.

“Pihak yang menguruskan korban perlu berhati-hati dalam mengelola ibadah korban kerana ia melibatkan ibadah orang ramai.

“Haiwan yang dijual beli perlulah haiwan yang jelas, haiwan yang sihat, bukan haiwan curi, seludup atau berpenyakit,” katanya.

JANGANLAH cemari rantaian ibadah korban dan kemuliaan bulan Zulhijjah dengan aktiviti jenayah yang melibatkan haiwan korban. 

Ibadah korban bukan perkara main-main

Di samping itu, beliau berkata lagi, dalam melaksanakan ibadah korban, paling utama ia melibatkan niat, akad atau kontrak bagi mereka yang melaksanakan ibadah itu.

“Golongan penyedia pakej korban dan para peserta korban perlu jelas dalam perkara yang akan dilakukan kerana ia berkait rapat dengan kesahan ibadah korban.

“Mereka tidak boleh mengambil mudah. Di antaranya adalah, urusan akad jual beli haiwan korban atau mewakilkan kepada pihak untuk pembelian, niat untuk berkorban haiwan, dan menyembelih sendiri haiwan korban atau mewakilkan sembelihan kepada tukang sembelih. Komponen hukum ini perlu jelas bagi pihak yang ingin melaksanakan ibadah korban.

Baca Juga Labbaikallah…’bererti menyahut seruan ILAHI, maksimumkan rasa kehambaan kepada-NYA

“Oleh itu, janganlah cemari rantaian ibadah korban dan kemuliaan bulan Zulhijjah dengan aktiviti jenayah yang melibatkan haiwan korban sama ada dari aspek sumber haiwan korban dan pakej-pakej ibadah korban yang ditawarkan.

“Ini disebabkan korban yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Jika dicampuri dengan perkara syubhah dan jenayah, ia boleh merosakkan ibadah korban yang dilakukan,” ujarnya.