Browsing Tag

Saya lebih bagus

Saya lebih bagus
Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka,

Hati-hati dengan ‘mindset’ ‘saya lebih bagus’ dan ‘kumpulan saya lebih baik’, ini sebab-sebabnya

PEMIKIRAN ‘saya lebih bagus’, ‘kumpulan saya lebih baik’ dan seumpamanya merupakan ‘gagasan’ iblis yang boleh menyebabkan umat Islam kufur kepada ALLAH SWT.

Sentimen seperti itulah yang mendorong makhluk terkutuk tersebut enggan bersujud kepada Nabi Adam AS.

Begitu juga impaknya andai masyarakat dipengaruhi pemikiran sedemikian bukan berasaskan merit, tetapi bersandarkan keinginan nafsu semata-mata.

Sehingga terdapat segelintir yang sanggup membutakan mata untuk memberikan kredit terhadap orang lain yang melakukan kebaikan.

Baca juga Jernihkan pemikiran kufur kepada syukur, antara formula ampuh bentuk masyarakat berakhlak mulia

Demikian ingatan yang diberikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail ketika diwawancara Sinar Islam Plus baru-baru ini.

FAZRUL

“Bayangkan kalaulah ada orang lain lebih baik (daripada kita) diberi penghargaan dan bila masyarakat penuh dengan sikap menghargai antara satu sama lain, kita akan menaikkan mutu dari segi kerja, kepimpinan dan apa sahaja dalam kehidupan.

“Namun, jika kita sendiri saling menjatuhkan, inilah sebenarnya kaedah yang dibuat iblis. Dia sudah berjanji untuk membawa manusia jatuh bersama-sama dengannya,” katanya.

Lantaran itu, Malaysia #QuranHour yang berlangsung pada Rabu depan dilihat signifikan dalam membentuk kerangka fikiran supaya mensyukuri nikmat fizikal, intelektual, emosi serta sosial tanpa ‘memilih bulu’.

Jelas Fazrul, tujuannya hanya satu iaitu mahu membuang segala landskap pemikiran kufur dalam kalangan masyarakat.

“Usahlah kita memfitnah ataupun mengecilkan segala nikmat yang pada hakikatnya itu datang daripada ALLAH.

“Cuma ia dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Ada kelompok yang sama dengan kita, terdapat pula segelintirnya datang daripada kumpulan berbeza, pihak kerajaan mahupun pembangkang. Sikap seperti itu menyebabkan banyak kebaikan yang dibuat tidak dipandang secara objektif,” tuturnya.

Sifat al-Abrar

Menyambung hujah, Fazrul menjelaskan, ada sebab Surah al-Fatihah, al-Insan dan al-‘Asr dipilih untuk menjadi tema pada program berinteraksi dengan al-Quran pada kali ini.

Baca juga Sebut ‘amin’ selepas imam baca al-Fatihah, akan berguguranlah dosa yang telah lalu

Ummul kitab misalnya, ia bagi menghidupkan budaya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan dikecapi dan bukannya hanya menghargainya jika ia dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu.

Dalam Surah al-‘Asr pula, kita mengimpikan negara yang sudah 66 tahun merdeka seperti waktu Asar, iaitu pada bila-bila masa sahaja bumi ini akah Maghrib (terbenam), ungkapnya.

“Kita ingin memerah keringat dan usia demi memastikan kemerdekaan negara terus menghasilkan jus-jus manfaat besar kepada rakyat dan seluruh dunia berteraskan surah ini.

Saya lebih bagus

JAUHKANLAH pemikiran ‘saya lebih bagus’ dan seumpamanya hingga menafikan kebaikan yang dilakukan pihak lain yang boleh merosakkan keharmonian, sebaliknya ambillah ibrah daripada al-Quran demi memastikan kemerdekaan negara menghasilkan jus-jus manfaat besar kepada rakyat. -Foto: Bernama

“Sementara itu, Surah al-Insan pula meletakkan beberapa agenda untuk bersyukur dan bukannya bersikap kufur dalam meraikan kemerdekaan. Justeru, penting untuk kita mempunyai pemikiran memberi, membantu ataupun al-Abrar (manusia yang sentiasa berbuat kebaikan).

“Ini kerana apabila mereka sentiasa berbuat kebaikan tanpa mengharap balasan, Malaysia akan diisi dengan pemimpin dan rakyat yang benar-benar berusaha untuk menolong orang lain. Inilah realiti yang diperlukan sebagaimana pada awal kemerdekaan,” hurainya panjang lebar.

Benarkah seseorang tidak akan merdeka kerana enggan mengikut apa yang ALLAH kehendaki?

Menjawab persoalan itu, Fazrul menggunakan analogi formula alam yang mana ia dikuasai oleh ALLAH. Apabila semua mengikut peraturan-NYA, pasti akan berjaya.

“Umpamanya, matahari ikut formula ALLAH, begitu juga dengan air dan sebagainya sepertimana kita belajar dalam ilmu sains.

“Katakan jika hanya satu makhluk yang namanya manusia enggan ikut metode berkenaan, maka sudah tentu kita akan berhadapan dengan satu cabaran iaitu ‘sedang melawan alam’ ini. Ia seakan memberitahu ‘Matahari, jangan keluar pukul 7 pagi’.

Baca juga Ini 4 cara untuk kita menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH

“Mengertilah, orang yang merdeka ialah individu yang mengikut aturan ALLAH dan dia mendapat bantuan Tuhan serta Sang Pencipta jualah yang akan membawanya terus sampai ke syurga,” ungkapnya.

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau menyarankan rakyat Malaysia untuk terus membaca, mendalami isi, selain perlu ada hubungan personal dengan al-Kitab.

“Maksudnya selepas baca dan faham, kemudian amalkanlah. Mengapa saya kata personal? Ini kerana jika tiada masa peribadi untuk berfikir atau memahami, kita boleh mengikuti majlis ilmu.

“Namun, andai kita sibuk dan tiada masa personal dengan al-Quran, maka ia akan menyebabkan iman jadi ‘lapar’ yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kekufuran,” titipnya.

ANEKDOT

Saya lebih bagus

BERDAMPINGLAH dengan al-Quran dan membentuk hubungan personal dengan kitab suci itu agar kita dijauhkan daripada pemikiran ‘saya lebih bagus’ yang boleh menjerumuskan kita dalam perkara tidak baik. -Foto: 123rf

Inti pati Surah al-Fatihah, al-Insan & al-’Asr:

– Dengan menghayati Surah al-Fatihah, kita akan menjadi orang bersyukur. Memahami segala yang dilakukan di dunia, kebaikannya datang daripada ALLAH.

– Pemikiran sebegitu akan membuatkan kita merendah diri dan tidak mudah kufur dengan nikmat yang hadir walaupun dari kumpulan berbeza.

– Orang bersyukur tidak mudah marah. Sebaliknya, yang ada pemikiran kufur akan buntu dari melihat kebenaran.

Baca juga Enam pesanan penting Imam al-Ghazali untuk menghindar rasa marah

– Surah al-Insan mengajar supaya sedar diri. Ia juga mengingatkan bahawa ALLAH yang mewujudkan potensi untuk seseorang menjadi pemimpin dan boleh terus memperjuangkan kemerdekaan. – Salah satu cara yang dicadangkan dalam Surah al-Insan, selalu membaca al-Quran. Dengan demikian, kita akan ingat ALLAH dan tidak mudah berfikir buruk.

– Menerusi Surah al-’Asr, seseorang yang mahu keluar dari pemikiran kufur adalah apabila dirinya tahu bahawa usianya sudah sampai Asar. Maka dia perlu ‘mengerah’ usia untuk hasilkan manfaat terbaik untuk ummah.

– Dia juga tahu andai tidak berbuat demikian, maka dirinya dalam kerugian. Memberi nasihat perlukan kebenaran, kesabaran serta elakkan fitnah apalagi kufur.

***Sumber: Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail