Browsing Tag

Sanad guru

Sanad guru
Berita Semasa,

Hendak tuntut ilmu, kena tahu sanad guru

Hendak tuntut ilmu, kena tahu sanad guru

INSTITUSI pengajian ‘agama’ yang membawa ajaran pelik atau sesat tidak layak digelar dengan nama sedemikian, apatah lagi dikenali sebagai madrasah atau pondok.

Pengarah Kebajikan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran), Ustaz Muhammad James Baven menegaskan, sudah pasti pengasas pusat berkenaan bukan terdiri daripada kalangan agamawan atau mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama.

“Jika ada latar belakang pendidikan agama, pasti mereka tidak akan membawa perkara tersebut. Andai hanya melibatkan perbezaan di antara mazhab atau pandangan ulama, kita masih boleh terima lagi.

“Namun begitu, sekiranya ia terkeluar langsung daripada empat mazhab utama dalam Islam atau mana-mana mazhab sekalipun dari sudut akidah, fiqah dan sebagainya, maka ia tidak lagi boleh dikira sebagai perbezaan pandangan. Itu ajaran yang menyimpang daripada Islam,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kontroversi membabitkan pesantren di Indonesia yang didakwa menyimpang daripada syariat Islam.

Baca juga Kontroversi ajaran pelik di pesantren Jawa Barat. Jakim tubuh jawatankuasa pemantau

Jika diteliti dari segi definisinya, Ustaz Muhammad James menjelaskan, madrasah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud sekolah.

USTAZ MUHAMMAD JAMES

Dalam bahasa Melayu, adakalanya masyarakat menggelarnya sebagai sekolah pondok, pusat pengajian agama mahupun fardu ain, ungkapnya.

“Perbezaan dari sudut pandang masyarakat kita pula, jika disebut sebagai pondok, orang mengenalinya sebagai sebuah institusi pengajian yang menggunakan kitab-kitab turath, kitab kuning atau tua membabitkan pengajian seperti tafsir, hadis, tauhid, fiqah, tasawuf dan seumpamanya.

“Adapun istilah madrasah tahfiz pula ialah pusat pengajian yang khusus untuk menghafaz al-Quran dan fokusnya merupakan kalamullah itu sendiri,” terangnya panjang lebar sambil menjelaskan, institusi madrasah tahfiz semakin berkembang di Malaysia dan tidak hanya menumpukan semata-mata hafalan al-Quran, tetapi juga turut menerapkan akademik, Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta lain-lain.

Kepada satu soalan, agamawan itu menjawab: “Selagi mana silibus pondok yang mana pengajian seperti hadis, fiqah, tauhid, tasawuf terdiri daripada kitab-kitab masyhur yang diketahui ramai, ia boleh diyakini.

Baca juga Ajaran Sesat Berselindung Di Sebalik Nama Agama

“Dalam bidang hadis misalnya, ia menggunakan hadis Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Jami’ at-Tirmizi, Sunan an-Nasai, Sunan Abu Daud, Ibn Majah dan ad-Darimi. Kalau kitab fiqah pula, mereka belajar Matan Abu Syujaa’ atau Matan al-Ghayah wa al-Taqrib.

“Apabila orang melihat silibus kita, tiada perkara yang salah pun kecuali individu berkenaan belajar aliran-aliran lain yang ‘mengarut’ termasuk fahaman wahabi atau syiah yang sudah jelas ditolak.”

Rantaian guru

Dalam proses menggali ilmu, perkara paling signifikan adalah guru yang menjadi rujukan kita. Perkara itu berkali-kali ditekankan oleh Ustaz Muhammad ketika sesi temu bual kami.

Jelas Pengerusi Madrasah Tahfiz Ashabus Suffah (ASUH) Perak dan Johor itu, sanad guru atau salasilah (rantaian) perguruan begitu diutamakan.

Sanad guru

SANAD guru atau rantaian guru sebenarnya mengambil keberkatan sebagaimana Rasulullah SAW bersemuka dan belajar dengan Malaikat Jibril yang menyerupai seorang lelaki. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama

“Ia penting supaya kita tahu bahawa di samping pengajian secara bersemuka antara murid dengan guru, kita belajar menerusi kitab pengajian kitab dari kulit ke kulit.

“Bukan belajar secara ‘cedok-cedok’ dengan hanya mengambil silibus tertentu untuk peperiksaan dan kemudian isytiharkan kita pakar dalam bab tersebut.

Bahkan, rantaian guru itu sebenarnya mengambil keberkatan sebagaimana Rasulullah SAW bersemuka dan belajar dengan Malaikat Jibril AS yang menyerupai seorang lelaki sebagaimana disebutkan dalam Hadis Riwayat Muslim,” katanya.

Meskipun kita dikelilingi kemudahan teknologi untuk menimba pengetahuan menerusi platform media sosial dan seumpamanya, penceramah itu menegaskan, semua alat itu hanyalah sekadar pemudah cara sahaja.

Baca juga Ini hukumnya apabila kita ‘berguru’ dengan media sosial

“Ia bukanlah sebagai satu bentuk hakiki pengajian untuk seseorang menuntut ilmu tanpa menghadap guru. Jangan jadikan teknologi itu merenggangkan hubungan kita dengan para guru dan ulama,” pesannya.

Menjawab satu pertanyaan lain, Ustaz Muhammad menjelaskan: “Kalau orang belajar akademik boleh sampai ke London, England, Rusia dan merata-rata tempat, mengapa tidak belajar agama?

“Ini bukan bermakna seseorang itu taasub belajar di luar negara. Sedangkan jauh perjalanan, luas pemandangan. Belajar di luar negara sebenarnya mengambil manfaat bukan sekadar ilmu, tetapi juga menguasai bahasa asing di negara berkenaan. Itulah caranya kita hendak majukan diri dalam bahasa Arab dan Inggeris misalnya.”

Kepada mereka yang baru hendak belajar agama atau berhijrah, beliau menitipkan pesan agar mencari ajaran yang membawa manfaat kepada diri dan orang lain bersumberkan al-Quran, hadis, ijmak dan qias.

“Jika belajar kitab fiqah, pelajarilah yang sesuai dengan Mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi negara. Begitu juga dengan ilmu-ilmu lain yang selari dengan rujukan majoriti umat Islam di negara kita,” titipnya.