Browsing Tag

Safwa Zamri

Hafizah al-Quran
Personaliti,

Rahsia Safwa, hafizah al-Quran cemerlang ACCA

Rahsia Safwa, hafizah al-Quran cemerlang ACCA

RESTU ibu bapa itu penting untuk meraih berkat dalam kehidupan. Apa jua kejayaan yang dikecapi, selain berusaha bersungguh-sungguh, pasti terselit doa orang tua yang mengiringinya.

Ya, itu antara rahsia Safwa Zamri, seorang hafizah yang memperoleh pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) baru-baru ini.

Kejayaannya itu menjadi bualan, sekali gus menyebabkan namanya meniti bibir masyarakat. Masakan tidak, anak muda tersebut berjaya menggondol Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas FA1 – Rekod Transaksi Kewangan dengan keputusan bukan calang-calang.

Safwa,19, mendapat 98 peratus, sekali gus berada pada kedudukan pertama di Malaysia dan kedua peringkat dunia bagi sesi Mac lalu. Lebih mengejutkan lagi apabila dirinya langsung tidak mempunyai asas dalam pengajian perakaunan kerana mengambil aliran sains tulen ketika di sekolah menengah.

Baca juga Hafizah al-Quran ini raih markah kedua tertinggi ACCA peringkat dunia

Bagaimanapun, semua itu tidak membuatkan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu itu mendongak ke langit, apalagi mendabik dada dengan prestasi dikecapinya.

Sebaliknya, bibirnya tidak putus-putus mengaitkan kejayaan tersebut dengan sokongan ibu bapanya, Zamri Mohd Amin, 56 dan Rashidah Ab Rahman, 57.

“Benar, pilihan ibu ayah itu berkat. Cuma suatu perkara yang ibu bapa perlu tahu adalah minat anak.

Hafizah al-Quran

KEJAYAAN Safwa (tengah) didorong oleh berkat restu kedua ibu bapa dan keluarganya, selain kesungguhannya dalam menuntut ilmu. -Foto: Bernama & Ihsan Safwa Zamri

“Umpamanya, saya memang minat Matematik. Sebelum ini, ibu sarankan saya menyambung pelajaran dalam bidang agama kerana saya bersekolah agama.

“Apabila saya maklumkan bahawa saya lebih cenderung kepada bidang lain, akhirnya ibu faham serta menyokong saya untuk mengambil ACCA,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Tambahan pula, dalam kalangan lima adik-beradiknya, ujar Safwa tidak seorang pun yang mengambil jurusan perakaunan. Anak bongsu itu berani memecah tradisi berkenaan kerana minatnya yang begitu menebal terhadap Matematik.

“Sebelum terjun dalam bidang ini, saya sudah buat kajian tentang ACCA. Ramai yang kata peperiksaan itu sangat susah. Itulah yang diperkatakan ketika membuat carian di Internet tentang pengalaman mereka.

“Namun, saya nekad untuk belajar dalam bidang ini untuk mencabar diri. Kalau orang lain boleh berjaya, mengapa tidak saya?” ungkapnya optimis.

Huffaz profesional

Ternyata pengiktirafan yang diraih Safwa membuka mata ramai bahawa golongan huffaz juga mampu menjadi profesional dalam bidang lain.

Baca juga Celik agama dan akademik, Malaysia perlukan lebih ramai huffaz profesional

Ujar anak muda itu, sekolah tempatnya belajar dahulu, Sekolah Menengah Imtiaz Besut banyak melahirkan profesional huffaz.

“Generasi inilah yang sepatutnya kita bina iaitu mereka berjaya dalam bidang akademik, dan pada masa sama, akhirat tidak dilupakan,” katanya.

Kepada satu soalan, Safwa menjawab: “Sejujurnya, saya tidak terfikir pun untuk mengambil ACCA. Pilihan saya adalah untuk menyambung pengajian Matematik kerana itu memang kecenderungan saya.

“Barangkali sudah tertulis bukan rezeki saya untuk belajar dalam bidang itu apabila gagal mendapat tajaan biasiswa ke luar negeri. Ketika itu saya mula buat kajian bidang apa yang lebih sesuai.

Hafizah al-Quran

SAFWA (kanan) bersama rakan sekuliahnya. -Foto: Ihsan Safwa Zamri

“Akhirnya, ACCA menjadi pilihan kerana ia begitu dekat dengan Matematik. Cuma, saya perlu mengingat banyak fakta.”

Dedah Safwa, dirinya terasa begitu kerdil tatkala mengetahui hampir semua rakan sekuliahnya mempunyai asas subjek perakaunan sewaktu di sekolah.

“Daripada 14 orang rakan sekelas, hanya saya dengan seorang lagi kawan yang tiada asas. Apatah lagi ketika itu, para pensyarah pula begitu laju mengajar bab-bab terawal.

“Masakan tidak, ia semacam mengulang kaji topik-topik yang dipelajari di sekolah dulu. Disebabkan itu saya pasakkan dalam diri untuk belajar sendiri dan bertanyakan kawan-kawan lain untuk mendalaminya,” katanya.

Dalam tempoh dua ke tiga bulan, Safwa akhirnya dapat ‘menangkap’ jurusan ACCA yang diambilnya.

“Saya tak menjangka pun akan mendapat keputusan ini (cemerlang ACCA). Barangkali itulah rezeki yang dituliskan ALLAH SWT buat saya,” tuturnya.

Paling penting, bakal akauntan bertauliah itu mengingatkan agar semua orang sentiasa fokus dalam bidang yang dikerjakan.

“Misalnya, saya kena fokus dan fahamkan terus apa yang dipajari. Andai kurang jelas, jangan terbawa-bawa sampai esok. Begitu juga ketika membuat latihan dan sebagainya.

“Andai sudah memahami sesuatu bab, ulang kaji semula kerana ia akan menguatkan daya ingatan.

“Pada masa sama, buatlah latih tubi sekerap mungkin. Sekiranya ada soalan yang tidak faham, terus bertanya rakan-rakan mahupun pensyarah,” terangnya panjang lebar.

Istiqamah ulang hafalan setiap hari elak luput

Ketika Safwa rancak bercerita tentang pengajiannya, persoalan berkaitan hafalan 30 juzuk al-Quran pemudi itu pada usia 14 tahun tiba-tiba sahaja terlintas dalam benak penulis.

Hafizah al-Quran

SAFWA yang juga hafizah al-Quran akan mengulang hafalannya pada setiap hari bagi mengelakkan ia luput dari hatinya. -Foto: Ihsan Safwa Zamri

Apabila pertanyaan itu dilontarkan, pelajar asasi tahun pertama di UiTM Kampus Dungun itu rupanya masih lagi mengulang hafazannya saban hari agar tidak luput dari dada.

Baca juga Berkat hafal 30 juzuk al-Quran, calon SPM ini dapat 8A

“Sesibuk mana pun, paling kurang saya akan mengulang satu muka surat setiap hari selepas Subuh sebelum ke kelas dan antara waktu Maghrib dan Isyak.

“Adakalanya selepas Maghrib, terdapat tugasan tertentu perlu dilakukan. Insya-ALLAH saya cuba istiqamah mengulang hafalan di samping mengaji,” ujar beliau.

Bukan itu sahaja, Safwa turut menjaga perihal makan dan minumnya selain pandangannya demi memelihara bait-bait kalamullah yang tersemat kemas dalam hatinya.

Hafizah al-Quran itu mengakui, jika makan sesuatu yang kurang elok, ia boleh menjejaskan hafalan seseorang.

“Jika di sekolah dahulu, kami diberi makan kismis dan susu setiap hari. Ia memang insentif yang disediakan oleh pihak sekolah.

“Kini, saya hanya mengambil kurma dan kismis, namun tidaklah pada setiap hari seperti dahulu,” katanya yang pernah mendapat keputusan 12A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Malah, sejak menjejakkan kaki ke sekolah menengah lagi, boleh dibilang hanya beberapa kali sahaja Safwa sempat menonton televisyen.

“Saya sangat jarang tonton TV kerana kurang berminat. Apabila pulang ke rumah, ada sahaja kerja yang mahu dilakukan sehinggakan TV bukan lagi menjadi sesuatu yang menarik perhatian saya.

Hafizah al-Quran

SAFWA (belakang, tiga, kiri) merakam kenangan bersama rakan sekuliahnya di UiTM Dungun. -Foto: Ihsan Safwa Zamri

“Lagi pula orang yang menghafaz al-Quran memang tidak boleh menonton sembarangan. Lebih-lebih lagi bila ada babak yang melibatkan aurat terdedah.

“Dari mata, turun ke hati. Itulah yang sering orang ungkapkan kerana ia akan dirasai oleh hati kita. Ingatan ini sebenarnya bukan untuk para huffaz sahaja, tetapi seluruh umat Islam,” ungkapnya.

Hafiz, hafizah mudah serap ilmu?

Menambahkan perisa dalam rentak bicara kami, penulis turut bertanyakan perspektifnya tentang persepsi segelintir orang yang menganggap bahawa para huffaz mudah menyerap apa sahaja bentuk ilmu.

Buktinya, ramai huffaz yang berjaya dalam bidang profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya.

“Saya pun ada baca komentar seperti ini. Bagi saya, semua yang ALLAH SWT kurniakan adalah rezeki.

“Contohnya jika ALLAH bagi kita mudah hafal al-Quran atau cerdas dalam pelajaran, itu semua kurniaan-NYA.

“Barangkali orang yang hafal 30 juzuk al-Quran itu, ALLAH bantu mereka dalam (mudah menyerap ilmu) dalam pelajaran,” katanya yang bakal menamatkan pengajian asasi ACCA pada September ini.

Baca juga Cacat penglihatan, tapi celik al-Quran. Kisah adik Muhammad Adib Iskandar wajar jadi inspirasi buat kita

Pun demikian, semua yang diraih gadis itu tidak datang bergolek. Melihat kepada rutin hariannya, tidak hairanlah andai ALLAH memberikan kurniaan tersebut kepada Safwa.

Hafizah al-Quran itu tekun belajar, di samping mengulang kaji selepas tamat kuliah.

“Saya bangun sebelum Subuh dan terus mandi kerana ia membantu menyegarkan diri. Selepas Subuh, saya akan mengulang hafalan al-Quran sebelum ke kelas.

“Pada masa sama, saya akan membaca Surah al-Waqiah. Saya amalkan setiap hari sejak sekolah menengah lagi,” katanya berkongsi rutin hariannya.

Tidak terhenti di situ, Safwa juga akan mendirikan solat dhuha sebelum kelas bermula jam 8 pagi.

“Jika kelas habis awal dalam jam 10 pagi, saya akan solat dhuha selepas kelas. Jika kelas bermula jam 8 pagi sampai tengah hari, saya akan lakukan sebelum bermulanya kelas.

“Andai petang itu tiada kelas, saya akan mengulang kaji pelajaran. Kemudian selepas Maghrib, saya akan baca al-Quran dan mengulang hafalan sebelum menyambung ulang kaji,” katanya yang tidur selewat-lewatnya jam 12 malam bergantung kepada situasi.

PROFIL

Hafizah al-Quran

SAFWA

Nama penuh: Safwa Zamri
Nama panggilan: Wa
Umur: 19 tahun
Asal: Besut, Terengganu
Pendidikan: Foundation in Accountancy (ACCA FIA), UiTM Kampus Dungun, Terengganu
Hobi: Membaca buku
Cita-cita: Akauntan bertauliah
Idola: Nabi Muhammad SAW

TIP BELAJAR CARA SAFWA ZAMRI

• Selalu berdoa mohon kepada ALLAH SWT supaya diberikan kefahaman dan kemudahan untuk belajar.
• Sebelum memulakan ulang kaji, baca sekurang-kurangnya satu muka surat al-Quran.
• Penting untuk seorang pelajar menghormati guru mahupun pensyarahnya.
• Andai tidak faham, jangan malu untuk bertanya. Sebaliknya, keraplah berbuat demikian dengan kawan atau guru masing-masing.
• Selepas habis belajar tentang satu topik, terus sahaja buat latihan supaya mudah ingat.
• Ajar atau bantulah rakan-rakan supaya kita sama-sama dapat menambah baik ilmu yang diperoleh, selain membantu kita semakin mengingat apa yang dipelajari.