Browsing Tag

rumah terbuka raya

Rumah terbuka
Hukum,

Jangan pandang remeh undangan rumah terbuka, satu kesalahan jika sengaja tak hadir dan tanpa keuzuran

Jangan pandang remeh undangan rumah terbuka, satu kesalahan jika sengaja tak hadir dan tanpa keuzuran

JEMPUTAN rumah terbuka atau open house sempena Hari Raya Aidilfitri masih rancak. Masakan tidak, bulan Syawal bakal melabuhkan tirainya pada Sabtu depan.

Disebabkan itu, ramai yang mengambil peluang untuk mengadakan jamuan makan berkenaan mengikut bajet masing-masing.

Meskipun hanya dijemput untuk datang makan dan memeriahkan majlis, masih ada segelintir individu kurang berminat dengan aktiviti keraian sebegitu.

Malah, ada yang tanpa rasa bersalah langsung enggan menapak ke majlis seperti itu tanpa keuzuran tertentu. Mudah kata, sengaja tidak menghadiri acara rumah terbuka!

Ketahuilah bahawa setiap undangan ke suatu majlis jamuan tidak boleh dipandang ringan.

Malah, ia menjadi satu kesalahan andai kita tidak menghadirinya dengan sengaja dan tanpa keuzuran.

Baca juga Tak dijemput, tapi datang kenduri kahwin dan makan jamuan…apa hukumnya?

Demikian yang ditegaskan menerusi khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di seluruh negeri Selangor pada minggu lalu.

Rumah terbuka

MEREKA yang berpuasa sunat diharuskan berbuka. Bahkan, sunat berbuka jika tuan rumah kelihatan tersinggung atau kecewa jika kita tidak menjamah makanan yang dihidangkan. -Foto: 123rf

Dalam teks khutbah berkenaan ada menyarakan, mereka yang sedang berpuasa sunat diharuskan berbuka puasa.

“Bahkan, sunat berbuka seandainya tuan rumah kelihatan tersinggung atau kecewa jika kita tidak menjamah makanan yang dihidangkan,” katanya.

Baca juga Mana lebih afdal, teruskan atau batalkan puasa enam Syawal bagi memenuhi jemputan?

Ia sebagaimana sikap yang ditonjolkan oleh seorang sahabat Rasulullah SAW, Ibn Umar RA. Apabila diundang ke majlis jamuan, beliau tetap memenuhi jemputan berkenaan walaupun dalam keadaan berpuasa.

Ini berpandukan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila dijemput seorang dalam kalangan kamu ke majlis jamuan, maka hendaklah dia memenuhi jemputan. Jika dalam keadaan berpuasa sunat, maka doakanlah tuan rumah itu. Jika tidak berpuasa, maka makanlah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Khutbah itu turut menjelaskan, amalan ziarah-menziarahi atau menghadiri undangan majlis jamuan termasuk rumah terbuka hari raya adalah perbuatan baik.

“Lebih-lebih lagi jika ia memberi peluang kepada kita untuk berkenalan, menjalin silaturahim, bermaaf-maafan, menemui saudara-mara lantas mengukuhkan persahabatan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Khutbah Jumaat terbitan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor.

Rumah terbuka

SEBAGAI menghormati tetamu, lebih afdal tuan rumah yang didatangi atau menjemput tetamu berbuka dan makan bersama-sama tetamunya apabila mereka keberatan untuk makan apabila tahu tuan rumah sedang berpuasa. -Foto: 123rf

Seandainya tuan rumah didatangi atau menjemput tetamu dalam keadaan diri sedang berpuasa sunat, lebih afdal pemilik kediaman itu berbuka dan makan bersama-sama tetamunya apabila mereka keberatan menjamah makanan yang dihidangkan kecuali jika tuan rumah yang berpuasa itu turut menjamahnya. Ia sebagai menghormati tetamu.

Ketika Rasulullah SAW berkunjung ke rumah Ummu Hani RA, beliau menghidangkan minuman kepada Baginda. Selepas Nabi Muhammad SAW meminumnya, Baginda berikan pula minuman tersebut kepada Ummu Hani lalu beliau meminum bakinya.

Baca juga Mari ketahui adab ziarah yang patuhi syariat

Kemudian, Ummu Hani berkata: “(Kata Ummu Hani) Aku telah berdosa, maka mintakanlah keampunan untukku.” Rasulullah SAW bertanya: “Apakah dosamu itu?” Ummu Hani berkata: “Aku ini berpuasa dan aku telah berbuka.” Baginda bertanya lagi: “Adakah puasa qada yang engkau lakukan itu?” Ummu Hani menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “(Membatalkan puasa sunat itu) tidak memberi mudarat kepadamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Teks khutbah Jumaat itu turut memetik pandangan dalam kitab Mughni al-Muhtaj yang menyatakan, andai tuan rumah tidak tersinggung apabila tetamunya berpuasa sunat, maka lebih utama untuk penziarah tadi meneruskan puasanya.

“Jika dia berbuka, maka tidak akan beroleh pahala puasa yang dilakukannya. Namun, berlainan pula jika tuan rumah tadi berpuasa dan berbuka kerana ingin menemani temannya makan, maka dalam hal ini, puasanya itu beroleh pahala walaupun dia tidak menyempurnakan puasanya.

“Menurut para ulama, seseorang yang tidak meneruskan puasa sunatnya tanpa keuzuran, makruh hukumnya,” katanya.

Bagaimana pula jika seseorang yang berpuasa wajib, tetapi menghadiri jemputan?

Dalam hal itu, kelompok berkenaan iaitu sama ada mereka yang berpuasa qada atau nazar, haram bagi mereka untuk berbuka puasa.

“Cukuplah baginya sekadar menghadiri majlis tersebut dan mendiakan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para jemputan yang hadir,” katanya.