TULAR satu video mengenai beberapa rumah penduduk Muslim dirobohkan pihak berkuasa tanpa sebarang notis yang didakwa terlibat dalam protes membantah tindakan biadab anggota Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina nabi Muhammad SAW.
Bunyi jentolak yang mengemparkan hujung minggu lalu, mengejutkan penduduk setempat apabila sebuah rumah aktivis Islam, Javed Ahmad Shah, dirobohkan susulan demonstrasi yang meletus baru-baru ini.
Kejadian berlaku di Prayagraj, Uttar Pradesh apabila orang ramai berkumpul untuk menyaksikannya. Tanpa sebarang notis dan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa India, rumah itu dihancurkan sekelip mata dengan alasan ia dibina secara haram.
Menurut penduduk sekitar, Imamudin Alam, 48, “saya bimbang tentang kedai runcit saya yang berhampiran. Tiada apa-apa selain runtuhan yang tinggal. Ini adalah corak baru sekarang. pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) memprovokasi kami, menangkap kami apabila kami bertindak balas dan kemudian menceroboh rumah kami.”
Memetik laporan IQNA (International Quran News Agency), Pembongkaran itu berlaku hanya sehari selepas dua lagi rumah aktivis Islam dirobohkan di daerah Kanpur dan Saharanpur. Pihak berkuasa India biasanya bertindak balas terhadap sebarang bantahan masyarakat Islam dengan memusnahkan harta benda mereka.
Protes tercetus di beberapa bandar di seluruh India termasuk Ranchi, Howrah, Kanpur dan Saharanpur selepas solat Jumaat minggu lalu. Ada yang bertukar menjadi ganas, dengan penunjuk perasaan membakar kedai dan kenderaan serta bertempur dengan polis.
Bantahan demonstrasi yang dilakukan oleh umat Islam India bermula apabila jurucakap BJP Nupur Sharma membuat komen menghina nabi Muhammad SAW di dalam sebuah perbahasan televisyen.
Pergolakan itu menyebabkan dua maut di Ranchi, ratusan cedera dan beberapa ratus lagi ditahan. Ketua menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, mengarahkan pegawai untuk merobohkan bangunan dan rumah yang terlibat dalam protes itu.
Baca juga Hina Nabi Muhammad cetus kemarahan umat Islam
Sehingga kini, BJP menggantung Sharma dan memecat seorang lagi anggota kanan kerana kenyataan itu manakala pihak kerajaan India menutup sebarang komen yang muncul untuk mengelakkan sebarang provokasi.
Kemarahan di kalangan 200 juta umat Islam India terus membara terhadap apa yang dilakukan oleh pimpinan BJP dan dilihat sebagai provokasi yang terbaharu untuk menghancurkan Islam.
Sejak dua tahun yang lalu, terdapat peningkatan dalam ancaman keganasan kepada umat Islam di India oleh pegawai BJP dan Kumpulan ekstremis Hindu yang melibatkan isu seperti ibadat umat Islam, hijab kaum wanita dan status masjid-masjid yang dibina.
Perdana menteri India, Modi dan pimpinan tertinggi BJP berdiam diri mengenai provokasi itu, manakala parti pembangkang yang lain berhati-hati untuk menentang majoriti Hindu dan memilih untuk tidak campur tangan akan isu tersebut.
Dr Taslim Rahmani, presiden Majlis Politik Muslim India berkata “Kami perlu meluahkan rasa sakit hati kami apabila diserang secara sewenang-wenangnya. Tetapi ia mesti demokratik dan aman supaya kita tidak mencetuskan tindak balas atau merosakkan imej kita. Keganasan akan melemahkan kes kami”.
Isu yang tercetus ini turut mendapat perhatian daripada Lembaga undang-undang Peribadi Muslim seluruh India dan mengigatkan umat Islam untuk mengelakkan perdebatan di saluran televisyen yang berunsur anti-Muslim.
“Jangan sertai debat televisyen yang berniat semata-mata untuk mempermainkan dan menghina Islam. Jika kita memboikot program sebegini mereka akan gagal dalam mencapai hasil yang diinginkan,” kata jurucakap Presiden National India, Dr SQR Ilyas.
Kejadian merobohkan beberapa rumah penduduk Muslim perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab agar penindasan ini dapat dihentikan.