Browsing Tag

ruang sempit

sujud atas belakang
Ibadah,

Boleh sujud atas belakang makmum hadapan kerana ruang sempit, begini kaedahnya

Boleh sujud atas belakang makmum hadapan kerana ruang sempit, begini kaedahnya…

SERONOK rasanya jika melihat masjid dan surau dipenuhi orang ramai. Masakan tidak, sebagai orang Islam, masjid boleh dikatakan sebagai ‘rumah’ kedua kita.

Bahkan, kita dituntut mengimarahkan rumah ALLAH sebagai tanda ketakwaan kepada-NYA. Firman ALLAH SWT, “Sesungguhnya orang yang memeriahkan masjid-masjid ALLAH hanyalah orang yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat…” (Surah At-Taubah, ayat 18).

Baca juga Paling syok main telefon ketika khatib baca khutbah. Jauhi amalan sia-sia itu agar pahala solat Jumaat terpelihara

Turut disyorkan Jangan sesekali tinggal subuh berjemaah di masjid, itu tanda orang beriman

Kebiasaannya, di Malaysia masjid akan menerima paling banyak jemaah ketika solat Jumaat atau sewaktu keraian tertentu seperti Hari Raya dan bulan Ramadan.

Malah sesetengah masjid menjadi begitu sesak pada hari Jumaat sehinggakan jemaah terpaksa solat sekitar kaki lima masjid di luar ruang solat utama.

Namun, dalam keadaan ruang solat terlalu sempit dan padat sehinggakan jemaah sukar untuk rukuk dan sujud, apakah langkah terbaik bagi mendirikan solat?

sujud atas belakang

Baca juga Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah

Solat di atas belakang makmum hadapan
Dalam hal ini, ulama Islam Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa jika seseorang tidak dapat sujud di atas tempat sujud bagi solat Jumaat kerana kesesakan, maka wajib dia sujud di atas belakang makmum yang berada di hadapannya.

Pendapat tersebut adalah berdasarkan athar yang diriwayatkan daripada Saidina Umar RA bahawa beliau berkata, “Apabila berlaku kesesakan dalam kalangan makmum, maka hendaklah seseorang daripada kalian sujud di atas belakang saudaranya.” (Rujuk al-Majmuk, 4:558)

Dalam pada itu, Syeikh Zakaria al-Ansari menjelaskan, sekiranya seorang makmum hanya mampu bersujud dengan cara menundukkan kepalanya ke atas belakang atau kaki orang di hadapannya, maka dia wajib melakukannya.

Dengan cara sujud sedemikian, solat yang dilakukan adalah sah dan tidak perlu diulang semula. Perbuatan itu pula tidak memerlukan seseorang untuk meminta izin kepada orang di hadapannya kerana ia adalah hal yang kecil.

Kata Zakaria: “Apabila berlaku kesesakan yang menghalang makmum daripada sujud pada rakaat pertama solat Jumaat dan dia mampu sujud dengan cara tankis (iaitu dengan menundukkan kepala sehingga menjadikan bahagian punggung lebih tinggi berbanding bahagian kepala) di atas belakang atau kaki orang lain atau haiwan dan seumpamanya, maka wajib dia melakukannya kerana dia mampu untuk melaksanakan sujud yang menjadikan solatnya sah. Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Saidina Umar RA, bahawa beliau berkata, “Jika berlaku kesesakan yang dahsyat, maka hendaklah seseorang itu sujud di atas belakang saudaranya”, walaupun tanpa keizinan kerana keperluan melakukannya kerana ia merupakan hal yang kecil.(Rujuk Asna al-Matalib, 1:254)

Cara menyempurnakan solat Jumaat
Apabila seseorang sujud dalam keadaan yang disebutkan di atas dan kembali mengikut imam pada rakaat kedua solat Jumaat, maka dia berada dalam beberapa keadaan dan cara untuk menyempurnakan solat Jumaat itu adalah seperti berikut:

1. Jika dia sempat mendapatkan imam ketika imam sedang berdiri, maka dia hendaklah membaca bacaan makmum masbuq atau makmum muwafiq.

2. Dia sempat mendapatkan imam ketika sedang rukuk, maka dia hendaklah terus rukuk mengikut imam dan tergugur kewajipan membaca al-Fatihah seperti keadaan makmum yang masbuq.

3. Dia sempat mengikut imam dalam keadaan imam sudah selesai rukuk, maka hendaklah dia mengikuti keadaan imam tersebut. Kemudian, apabila imam telah memberi salam, dia hendaklah menambah satu rakaat lagi, sama keadaannya seperti makmum yang masbuq.

4. Dia tidak sempat menyempurnakan sujudnya sehingga imam selesai memberi salam, maka hendaklah dia menyempurnakan solatnya tersebut sebagai solat Zuhur. Walau bagaimanapun, jika dia sempat mengangkat kepala sebelum imam memberi salam, maka dia hendaklah menyempurnakan solatnya sebagai solat Jumaat.

Kesimpulannya, jika ruang solat sempit atau padat sehingga menyukar pergerakan makmum, dia wajib sujud di atas belakang makmum yang berada di hadapannya sekiranya dia mampu untuk sujud dengan cara bahagian punggungnya lebih tinggi berbanding kepalanya.

Manakala, sekiranya dia sempat untuk mendapatkan imam sebelum imam memberi salam, maka dia sudah menyempurnakan solat Jumaat seperti yang telah dijelaskan di atas.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF