Browsing Tag

Road to Arafah #QuranHour

Haji
Istimewa Panggilan Baitullah,

Haji, perjalanan seorang hamba menuju takwa

IBADAH haji merupakan tindakan keseluruhan bagi perjalanan seorang hamba menuju takwa. Ia memerlukan persiapan fizikal, mental, spiritual dan kewangan yang mantap dalam menghadapi pelbagai ujian untuk mendapat haji mabrur dan menjadi insan abrar.

Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA), Ustaz Fahrur Rozi Jalaluddin dari Zahafiz Travel & Tours sebagai panelis bagi program Road To Arafah #QuranHour Episod 1 berkata, Rukun Islam kelima ini memerlukan pengorbanan besar untuk disempurnakan. Hal ini kerana, ia merupakan proses ibadah yang membentuk ketakwaan dalam diri.

Baca juga Arab Saudi keluarkan garis panduan fotografi, ini yang jemaah haji patut tahu

Katanya, ALLAH SWT meletakkan bahawa bukan mudah bagi melengkapkan proses haji. Kita perlu korbankan keselesaan diri dari segi fizikal, mental dan kewangan sepanjang berada di Tanah Haram.

“Mungkin kita rasa sudah membuat segala persiapan, namun diri masih terdedah dengan pelbagai ujian yang tidak dijangkakan sepanjang perjalanan ibadah tersebut seperti pengangkutan, tempat penginapan dan makanan.

“Pada masa sama, para jemaah haji dalam ihram perlu mematuhi beberapa perkara larangan ihram. Ini termasuk tidak boleh melakukan hubungan seksual, mukadimah hubungan intim, tidak bermaksiat, tidak membunuh binatang dan tidak bertelagah.

“Sebenarnya ALLAH SWT meminta Muslimin yang berada dalam ihram untuk bersabar dan bertahan dengan pelbagai ujian tersebut. Di Padang Arafah ibarat di Padang Mahsyar. Para jemaah berkumpul di satu tempat tanpa mengira pangkat atau gelaran mereka yang ada di negara masing-masing. Tiada apa yang boleh dibanggakan, meskipun perasaan riak dan bangga diri menjadi fitrah kejadian manusia,” katanya.

Baca juga Labbaikallah…’bererti menyahut seruan ILAHI, maksimumkan rasa kehambaan kepada-NYA

Tambah beliau, berpandukan Surah al-Insan, ayat 2 menceritakan bagaimana ALLAH menciptakan manusia daripada tiada apa-apa dan tidak dikenali kepada ada melalui percampuran benih lelaki dan wanita dan mengujinya dalam kehidupan mereka.

Haji

DARI kiri, Fazrul, Ustaz Fahrur Rozi dan Ustaz Mohamad Husaini memberi pengirisan pada program Road to Arafah #QuranHour Episod 1 yang bersiaran pada 15 Jun lalu.

Sementara ayat awal Surah al-Hajj menceritakan bagaimana kegoncangan hari kiamat berlaku, di mana ibu yang menyusukan anak ditinggalkan, wanita yang hamil keguguran dan manusia dalam keadaan mabuk. Dua surah tersebut menjadi panduan kepada kita untuk latihan dalam perjalanan haji.

Proses mengenal hakikat diri

Pada Hari Arafah, para jemaah memberi tumpuan kepada wukuf selepas matahari tergelincir (waktu Zohor) pada 9 Zulhijah. Ketika itu, mereka memfokuskan diri sendiri dengan MAHA PENCIPTA dengan bermuhasabah, berdoa, membaca al-Quran dan berzikir.

Berwukuf di Padang Arafah adalah proses mengenal hakikat diri sebagai hamba ALLAH. Selain itu, Arafah merupakan tempat Malaikat Jibrail AS mengajar Nabi Adam AS dan Nabi Ibrahim AS mengenai manasik haji.

“Berikan fokus sepenuhnya akan urusan kita dengan ALLAH SWT. Bermunajat dan berdoalah sepenuh jiwa kepada-NYA tanpa menghiraukan orang lain. Ia merupakan perkara paling besar ketika wukuf. Oleh itu, kita perlu mengetahui lima elemen doa agar memberi kesan kepada kita.

Baca juga Ramai salah faham waktu mustajab doa pada Hari Arafah

“Pertama, doa didahului dengan memuji ALLAH, kemudian diikuti dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, mengiktiraf nikmat ALLAH, mengakui dosa-dosa kita dan hadirkan permintaan kita dengan penuh harap dan cemas.

“Jika seseorang itu faham kaedah berdoa, dia akan berasa tidak cukup masa untuk berdoa. Doa untuk mohon jalan kebaikan dan ketaatan bukan hanya untuk diri sendiri, malah untuk anak, keluarga, jiran, masyarakat, negara dan ummah Islam keseluruhannya.

“Doa memberi kesan besar kepada kita kerana tiada siapa pun yang boleh diharapkan selain ALLAH SWT. Ia sebagai simbol kebergantungan kepada ALLAH untuk memohon keampunan, diberi nikmat dan dijauhi daripada bala,” ujarnya.

Road to Arafah #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) merupakan siri pengisian ilmu ibadah haji dalam menuju Arafah #QuranHour ke-8 yang diadakan di Padang Arafah, Makkah pada 9 Zulhijah 1444H bersamaan 27 Jun 2023.

Haji

WUIF mengajak semua jemaah haji, bakal haji, dan alumni untuk mengikuti program Road to Arafah #QuranHour secara atas talian di platform Facebook World Quran Hour dan Sinar Islam Plus pada 9 pagi setiap hari bermula 15 Jun 2023.

Setiap episod tersebut menampilkan moderator, qari dan panelis jemputan yang terdiri daripada wakil agensi umrah dan haji untuk mengupas tajuk dengan berpandukan surah al-Insan dan surah al-Hajj. Pada episod pertama, Ustaz Fahrur Rozi bersama qari, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur dan moderator, Fazrul Ismail memberi pengisian panduan haji.

Para jemaah haji, bakal haji dan alumni haji dialu-alukan bersama pihak Tabung Haji atau agensi swasta (secara individu atau berkumpulan) untuk menyertai Arafah #QuranHour dengan mendaftarkan penyertaan di hotspot https://bit.ly/HOTSPOTAQH Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bahan Arafah #QuranHour 1444H, sila klik di https://bit.ly/AQH2023.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas