Browsing Tag

Rezeki anak

Hamba yang melahirkan tuannya
Isu,

‘Rezeki anak’ mesti diusahakan ibu bapanya, fahami erti sebenar frasa itu

ANAK merupakan kurniaan ALLAH SWT yang tidak ternilai harganya. Rezeki anak dianugerahkan kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA.

Kehadirannya bukan sahaja sebagai pengikat kasih sayang antara pasangan suami isteri dan mengajar kita untuk menjadi ibu bapa, tetapi juga mendidik diri untuk memikul amanah itu dengan sebaiknya.

Berbicara tentang rezeki anak, ramai menganggap bahawa setiap anak yang lahir ada rezekinya masing-masing. Bagaimanapun, boleh dikatakan hampir kebanyakan orang masih salah faham dengan frasa tersebut.

Ketahuilah bahawa setiap anak memang ada rezekinya, tetapi ia mesti dicari oleh ibu bapanya. Itulah fakta sebenarnya!

Perkara itu diulas dalam Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi infografik yang dikongsikan baru-baru ini.

Rezeki anak

SETIAP kelahiran anak telah ditetapkan rezekinya oleh ALLAH SWT yang menjadikan kita tidak bimbang, tetapi ibu bapa perlu menggalinya. -FOTO: 123RF

“Yang dimaksudkan rezeki anak adalah setiap kelahiran mereka telah ditetapkan rezeki oleh ALLAH SWT yang menjadikan kita tidak bimbang.

Baca juga Anak amanah ALLAH, usah sakiti apatah lagi mendera mereka…

“Cuma kita perlu bekerja untuk menggali rezeki yang telah disediakan oleh ALLAH sejak azali kepada mereka.

“Persediaan tersebut perlu diikat dengan bekerja. Oleh itu keyakinan kita tinggi bahawa setiap anak yang dilahirkan itu ada rezekinya. Namun begitu, kita perlu bekerja. Itulah maksudnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran infografik di laman sosial Facebook jabatan mufti berkenaan.

Seperkara lagi, usahlah kita menganggap anak itu sebagai bebanan. Mengertilah bahawa mereka adalah rezeki yang diberikan oleh ALLAH SWT.

Ini kerana rezeki datang dalam pelbagai cara dan bukan sekadar wang semata-mata. Sebaliknya, rezeki sebenar adalah perkara yang bermanfaat dan menyenangkan hati penerimanya.

Bagaimana pula dengan kenyataan dari insan sekeliling yang sering menuturkan ‘anak ramai, banyak rezeki’?

Baca juga Menipu anak kecil, dosa yang sering dilakukan tanpa sedar

Dalam hal itu, Sinar Islam Plus merujuk kepada laman web Muslim.or.id.

Rezeki anak

JANGAN sesekali menganggap anak sebagai bebanan kerana mereka ‘harta’ yang tidak ternilai jika dididik dengan cara yang terbaik mengikut panduan Islam. -FOTO: 123RF

Portal itu menjelaskan, frasa berkenaan hanya terpakai kepada orang yang mempunyai anak ramai dan benar-benar membentuk mereka dengan pendidikan yang baik.

“Ia supaya mereka membesar menjadi orang yang kenal Tuhannya, tahu hak ibu bapa dan memberi manfaat kepada manusia.

Andai anak itu tergolong dalam kelompok soleh dan solehah yang sujud kepada ALLAH, Muslim.or.id menyatakan, maka akan bertambahlah rahmat ALLAH SWT berikan kepada ibu bapanya.

“Bahkan, hidup terasa diberkati dengan kehadiran anak-anak. Boleh jadi usaha ibu bapa yang bersusah payah mendidik anak-anak menjadi hamba ALLAH bertakwa menjadi punca semakin banyak nikmat yang diraih.

“Ini kerana ibu bapa yang benar-benar mendidik anak, bermakna mereka sebenarnya takutkan ALLAH,” katanya.

Sebaliknya, jika ibu bapa lalai membimbing anak-anak dan tidak memberikan didikan agama yang sempurna dan persekitaran baik hingga membesar dalam keadaan tidak kenal ALLAH dan melupakan Tuhan, maka ‘nikmat dan kurniaan’ tersebut akan mendatangkan bencana.

“Daripada boleh menjemput rezeki, anak-anak yang sebegitu boleh bertukar menjadi ‘bala’ dunia dan akhirat,” ungkapnya.

Rezeki anak

IBU bapa perlu mencari rezeki untuk anak mereka dan menjaga amanah yang diberikan dengan sebaiknya. -FOTO: 123RF

Justeru, peliharalah anak-anak yang diamanahkan dengan sebaiknya agar mereka menjadi generasi yang berguna kepada agama dan insan di sekelilingnya.

Baca juga (VIDEO) Anak soleh aset ibu bapa ke syurga

Renungkanlah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (Sahih Muslim)