Browsing Tag

Rasulullah

2 (2)
Isu, Pilihan Editor,

Fahami Konsep Hijrah Rasulullah

no comment

Oleh: Ketua Pegawai Eksekutif, Zakat Melaka, Majlis Aagama Islam Melaka,  Datuk Ibrahim Fadzil

Baginda berkorban dan berjaya mendepani cabaran

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan hari penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi.

Penghijrahan tersebut telah membuka lembaran baru serta berlakulah perkembangan dan penyebaran dakwah Islamiyyah dengan lebih sistematik dan teratur.

Setiap tahun, kedatangan tahun baharu hijrah mengingatkan seluruh umat Islam dengan sejarah suka duka dan pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh Baginda Rasullulah SAW yang berhijrah dari Kota Makkah ke Madinah.

Seperti sedia maklum, hijrah bermaksud perpindahan yang merupakan salah satu strategi yang digunakan Nabi Muhammad SAW bagi tujuan mengembangkan penyebaran agama Islam.

Peristiwa hijrah juga memberi panduan yang jelas kepada umat Islam mengenai erti sebuah pengorbanan dan kejayaan yang terpahat dalam liputan sejarah.

Hijrah Rasulullah SAW bukan semata-mata melibatkan proses perpindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain, tetapi juga boleh dijadikan iktibar sebagai satu proses perubahan dari satu keadaan ke satu keadaan yang lebih baik.

Bagi menghayati konsep penghijrahan, umat Islam dituntut melakukan pengorbanan untuk berhijrah demi mengharapkan keredaan ALLAH SWT serta kehidupan yang lebih baik sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.

Sempena awal Muharam ini, umat Islam diseru untuk memperingati hijrah Baginda Rasulullah SAW dan perjuangan Baginda sepanjang menjadi utusan ALLAH SWT.

Baginda tidak pernah menyerah kalah atau berputus asa dalam menyampaikan dakwah, meskipun berdepan dengan pelbagai tentangan dan dugaan dari kaum Quraisy.  Ini membuktikan betapa kuat dan tabahnya baginda bertahan demi menegakkan agama ALLAH SWT.

ALLAH SWT telah berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan ALLAH, dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada Muhajirin), mereka itulah orang yang benar-benar beriman. Mereka beroleh keampunan dan rezeki yang mulia.” (QS. Al-Anfal:74)

Cabaran yang harus ditempuhi oleh umat Islam masa kini adalah berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Penularan ini memberi impak yang sangat membimbangkan dari aspek kesihatan, nyawa, ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Ramai yang terkesan ada diantaranya hilang perkerjaan, hilang punca pendapatan dan hilangnya orang yang tersayang disebabkan jangkitan pandemik ini.

Berubah

Hikmah berlakunya penularan ini adalah sebagai peringatan yang diberikan oleh ALLAH SWT supaya kita dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba-Nya dengan mengikuti perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya.

Perubahan diri menjadi lebih baik merupakan satu penghijrahan yang sangat dituntut dalam Islam, di mana dahulunya seseorang itu mempunyai sifat mazmumah (sifat hati yang keji) mampu berubah kepada sifat mahmudah (sifat hati yang terpuji).

Sebagai contoh, seseorang itu sebelum ini mempertikaikan dan enggan menunaikan ibadah zakat, pada hal ia adalah satu tuntutan daripada Islam, maka azam tahun baharu Islam ini mereka tekad dan akur dengan perintah ALLAH SWT untuk menunaikan ibadah zakat demi memberi manfaat kepada lebih ramai asnaf yang memerlukan serta mereka yang terjejas pendapatannya disebabkan pandemik.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadikan permulaan tahun baharu ini sebagai titik tolak untuk meningkatkan keazaman serta berubah dari segi amalan dan perbuatan baik seharian seterusnya mengharapkan rahmat ALLAH SWT.

Bagi merealisasikan impian tersebut, kita mestilah sentiasa disiplin dan istiqamah dalam melakukan perubahan. Sentiasa bermuhasabah diri dan tanamkan dalam diri untuk berubah dengan niat ikhlas serta lakukannya dengan bersungguh-sungguh.

Selain sambutan Awal Muharram, umat Islam juga digalakkan berpuasa sunat pada hari ke-10 dalam bulan Muharram; yang dikenali sebagai Hari Asyura bagi meraih ganjaran dan keberkatan daripada ALLAH SWT secara berterusan.

Semoga ketibaan tahun baharu ini memberi seribu nikmat dan keberkatan oleh ALLAH SWT di samping dapat melatih diri untuk menjadi insan yang bertakwa kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya.

Mudah-mudahan penghijrahan dan ibadah yang kita lakukan mendapat reda ALLAH SWT serta menjadikan kita hamba-Nya yang sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan-Nya. InsyaALLAH.

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau hubungi  talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.

 

eiliv-sonas-aceron-YlAmh_X_SsE-unsplash
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Makanan Paling Lazat Di Dunia dan Syurga

no comment

Pandangan agama dan sains, seolah-olah bercanggah berhubung pemakanan daging merah. Namun jika diteliti lebih mendalam kedua-dua pandangan ada asasnya dari segi penjagaan kesihatan.

Daging merah atau laham dalam bahasa Arab (daging daripada binatang berkaki empat) dalam konteks umat Islam selalunya merujuk kepada daging lembu dan kambing.

Manakala daging putih merujuk kepada daging ayam, itik, burung dan ikan. Dalam Islam, daging merah disyorkan dalam diet seseorang tapi tidak secara berlebih-lebihan dan disediakan mengikut kaedah tertentu. Manakala dalam banyak kajian sains, daging merah harus dielakkan kerana didakwa menyumbang kepada pelbagai penyakit termasuk kanser.

Pandangan sudut Islam berdasarkan kepada beberapa hadis, antaranya sabda Rasaulullah S.A.W.
Penghulu segala makanan penduduk di dunia dan di syurga ialah daging (laham).”
Manakala dari hadis Buraidah meriwayatkan, “Sebaik-baik lauk di dunia adalah daging (laham).

Nikmati daging secara sihat.

Ini membuktikan daging merah adalah makanan terlazat di atas dunia juga di syurga dan hadis-hadis ini menggambarkan bahawa manusia memang gemar memakan daging merah.

Sebaliknya, banyak kajian sainstifik membuktikan dan memperakui pengurangan pengambilan daging merah boleh memanjangkan usia seseorang.

Malah menikmati daging merah, seseorang itu berisiko untuk mati lebih awal.

Pengarah kajian Dana Kajian Kanser Sedunia, Dr Giota Mitrou menyatakan kajian yang diterbitkan di dalam NHS Eatwell membuktikan pemakanan daging merah dan makanan diproses meningkatkan lagi risiko kanser.

Pengarah kajian Dana Kajian Kanser Sedunia, Dr Giota Mitrou

“Hasil kajian menunjukkan mereka yang menambah pengambilan daging merah sekurang-kurangnya setengah saiz hidangan selama lapan tahun berisiko 10 peratus kematian awal.

“Bagi yang mengurangkan pengambilan daging merah dan menukarkannya kepada ayam, ikan dan telur, risiko peratus kematian mampu dikurangkan,” katanya.

Kajian terdahulu juga menunjukkan pemakan daging merah dan makanan diproses berkait rapat dengan kencing manis, penyakit jantung dan kanser usus.

“Kita akui kandungan makanan mungkin dipengaruhi persekitaran tempat tinggal dan kemampuan seseorang. Berikutan itu, kami menggesa kerajaan mengambil langkah dan memperkenalkan polisi seperti subsidi harga ke atas makanan sihat seperti sayur dan buah-buahan yang membolehkan mereka mengubah gaya pemakanan masing-masing.

“Kami cadangkan jangan ambil lebih dari tiga hidangan daging merah setiap minggu. Ini memberikan keseimbangan antara kelebihan daging merah sebagai sumber nutrien.

Bagaimanapun, kami mencadangkan jangan makan langsung daging diproses,” kata Dr Mitrou.

Memang terdapat banyak kajian yang dijalankan pelbagai pihak yang memperakui pengurangan pengambilan daging merah dan digantikan dengan daging putih seperti ayam dan ikan boleh memanjangkan usia seseorang.

Kajian dikeluarkan Universiti Harvard, misalnya mendakwa menghentikan pengambilan daging merah lebih memberi banyak manfaat kepada kesihatan.

Hanya menggantikan satu hidangan daging merah setiap hari dengan kepingan ikan risiko kematian awal disebabkan pelbagai penyakit dapat dikurangkan sebanyak 17 peratus.

Jika digantikan dengan ayam tanpa kulit atau sayuran dapat mengelakkan kematian sebanyak 10 peratus, daging kepada telur (8 peratus) dan daging kepada bijirin penuh (12 peratus).

Manakala kajian yang diterbitkan Jurnal Perubatan British yang menilai tabiat diet lebih 81,000 penduduk turut mencadangkan pengurangan makanan daging merah.

Kajian itu memantau perubahan tabiat makanan selama lapan tahun dan tambahan lagi lapan tahun untuk mengesan impak diet ke atas tahap kesihatan subjek.

Kajian itu mendapai jika sosej dan kepingan sandwic daging ditukar dengan ikan boleh memanjangkan usia subjek sebanyak 25 peratus, manakala tukar kepada ayam 17 peratus dan sayur-sayuran 18 peratus.

Profesor Frank Hu

Ketua kajian berkenaan, Profesor Frank Hu, mencadangkan diet ‘mediterranean’ yang menjurus kepada ikan, kekacang dan sayur sebagai kaedah terbaik memanjangkan usia.

Kajian jangka panjang itu menawarkan bukti bahawa mengurangkan daging merah dengan sumber protein lain dan sayuran mungkin menghentikan kes kematian pramatang.

Untuk membaiki tahap kesihatan sangat penting mengamalkan diet mediterranean yang menekankan pemakanan sihat,” katanya.

Kajian demi kajian yang tidak berpihak kepada pemakanan daging merah itu membuat Ketua Eksekutif Persatuan Pemproses Daging British, Nick Allen mengeluh.

Menurut Allen permintaan terhadap daging merah menurun sejak beberapa tahun lalu, dan kini pemakanan daging merah oleh penduduk Britain berada di bawah saranan garis panduan pihak berkuasa negara itu.

Nick Allen

“Sejak berjuta tahun, daging merah membekalkan nutrien, protein, zat besi dan vitamin. Pengguna perlu berfikir sejenak sebelum beralih meninggalkan produk yang memainkan peranan penting dalam tumbesaran tubuh,” katanya.

Sebenarnya, pandangan dalam Islam tidak bercanggah dengan hasil penemuan kajian saintifik berkenaan.

Apa yang ditekankan dalam Islam ialah pemakanan daging merah harus tidak berlebihan dan penyediaannya harus mengikut kaedah tertentu.

Begitupun jelas, di dalam beberapa hadis dan al-Quran telah menerangkan, Islam yang menjadi panduan dan gaya hidup menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri memakan daging merah serta hasil tenusu daripada haiwan ternakan.

Daging perlu diambil dalam nisbah yang secukupnya.

Baginda juga tidak melarang umat Islam mengambil daging merah sesuai dengan syariat yang menghalalkan daging, melainkan khinzir dan beberapa kategori lain, misalnya daging bangkai, haiwan yang tidak disembelih, haiwan mati tersepit, mati kemalangan, haiwan liar dan sebacainya menurut ilmu fikah.

Islam menetapkan panduan dan cara menikmati daging secara sihat dan memberi manfaat kepada pemakan. “… makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31). Baginda Rasullulah S.A.W. juga di dalam Hadis Riwayat Bukhari “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu”.

Terdapat beberapa cara dan panduan yang diajar mengikut pandangan Islam yang di sebut dari hadis dan al-Quran, antaranya:

* Cara memakan daging

Daging perlu diambil dalam nisbah yang secukupnya, tidak lebih dan tidak kurang. Begitu juga cara masakan dan kuantiti daging yang diambil turut mempengaruhi kesihatan seseorang. Mengikut panduan piramid makanan, daging perlulah diambil secara sederhana, iaitu sebanyak dua hingga tiga hidangan sehari. Elakkan pengambilan secara berlebihan kerana kewujudan penyakit amat berkait rapat dengan apa-apa yang dimakan.

* Kurangkan daging dalam menu

Makanlah apa-apa jua daging yang disukai selagi halal, tetapi jangan makan berlebihan kerana daging mengandungi banyak lemak, terutamanya lemak tepu. Semasa hendak memasak, lapisan lemak harus dibuang terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam kuali. Menanggalkan kulit ayam juga mengurangkan kandungan lemak yang masuk ke dalam badan anda. Untuk mengambil zat daripada daging, sebaik-baiknya pilihlah daging tidak berlemak.

* Utamakan yang lebih baik

Islam mengutamakan makanan yang baik berbanding dengan yang kurang baik. Contohnya, antara ayam, burung dan itik, burung lebih diutamakan berbanding dengan itik manakala itik lebih diutamakan berbanding dengan ayam. Burung haiwan yang cergas dan bijak. Daging itik dan angsa lebih baik berbanding dengan ayam kerana haiwan ini lebih banyak bersenam. Daging haiwan ini mempunyai lebih banyak lemak mono tepu dan lemak tidak tepu. Mereka juga jauh daripada suntikan hormon dan antibiotik berbanding dengan ayam daging yang diternak semata-mata untuk dipasarkan. Di samping itu, ada juga ayam yang diternak dengan menggunakan bahan-bahan organik seperti penggunaan herba habbatus-sauda’. Namun, jumlahnya masih berkurangan.

* Gilirkan karbohidratdan protein

Otak kita mempunyai tiga jenis bahan kimia utama untuk berfungsi dengan baik. Salah satu bahan kimia yang diperlukan ialah serotonin yang membantu meningkatkan mood, menguatkan ketahanan badan, meningkatkan kualiti tidur dan mengawal selera makan.

Pengambilan karbohidrat dan protein mempengaruhi jumlah triptofan, iaitu bahan yang menghasilkan serotonin. Kajian yang dijalankan ke atas pesakit stres menyimpulkan, mengambil lebih karbohidrat dan kurang protein membantu meningkatkan jumlah serotonin dan menyebabkan emosi bertambah baik dan pesakit mudah tidur. Kaedah ini sebaik-baiknya diambil semasa makan malam.

Berbeza dengan makan tengah hari, sebaik-baiknya mengambil rendah karbohidrat dan tinggi protein. Cara makan begini membantu menghasilkan dopamin yang berperanan mengatur pergerakan, menjadikan kita aktif dan bermotivasi serta berada dalam mood yang baik.”

* Cara masak yang sihat

Di samping memberikan kesan baik, daging juga boleh menyebabkan kanser. Cara masak memainkan peranan utama, sebaik-baiknya daging direbus atau dikukus. Gantikan masakan berlemak seperti santan kepada masakan sup. Daging bakar dan panggang mengandungi karsinogen yang menyebabkan kanser. Permukaan daging bakar atau panggang yang hangus terdapat hidrokarbon poliakrilamida (PAH). PAH ialah karsinogen yang boleh merosakkan DNA serta merangsang kanser. Oleh itu, makanlah daging bersama-sama sayur dan buah yang banyak bertindak sebagai antioksida yang menentang sel-sel kanser.
Menurut Karen Collins, R.D., daging banyak menyumbang kepada kanser kolorektal. Kajian itu dilakukan ke atas warga Eropah dengan cara mereka diberi makan daging selama lima tahun. Hasilnya dirumuskan, seorang individu yang banyak makan daging berisiko 36 kali ganda mendapat kanser berbanding dengan mereka yang kurang memakan daging.

* Makan Kurang Daging untuk Menjaga Bakteria Perut

Jumlah daging yang anda makan mempengaruhi bakteria yang hidup di dalam perut. Bakteria ini bertugas memfermentasikan sisa makanan yang tidak dicerna sama ada untuk menghasilkan zat ataupun toksik. Pengambilan daging yang banyak meningkatkan kadar bakteria bahaya yang menghasilkan toksin.

Info

—–
• Makanlah pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran segar setiap hari untuk mengekalkan kecerdasan tubuh badan.

• Makanan asas pada kentang, roti, nasi, pasta atau karbohidrat secara keseluruhannya sangat baik untuk kesihatan.

• Makan 30 gram serat sehari sama seperti makan semua lima bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk bijirin gandum, dua keping tebal roti gandum dan kentang panggang berkulit.

• Cari alternatif untuk memilih tenusu (seperti minuman soya) untuk mendapatkan lemak rendah dan pilihan gula rendah.

• Ambil sumber protein lain seperti ikan, telur atau daging setiap minggu dan salah satunya perlu berminyak.

• Pilih minyak tak tepu untuk dimakan setiap hari.

• Minum enam hingga lapan gelas air putih sehari

• Orang dewasa harus mempunyai kurang daripada enam gram garam dan 20 gram lemak sehari.

dates
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

 Sihat Itu ‘Mahal’

no comment

Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya.”– Diriwayatkan oleh Ibnu Mājah.

Penjagaan kesihatan adalah aspek yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Tubuh badan yang sihat sangat berkait rapat dengan punca makanan dan amalan pemakanan seseorang individu.
Penjagaan dan pemakanan yang seimbang amatlah dititikberatkan seawal seorang bayi dilahirkan sepertimana yang ditegaskan oleh Baginda Rasullulah S.A.W. dalam Hadis Riwayat Bukhari, “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu”.

Gaya hidup, tekanan, tabiat buruk makanan adalah faktor risiko yang menyebabkan orang dari semua peringkat umur berhadapan dengan masalah berat badan sekali gus menjadi punca datangnya segala penyakit.

Rozanna Rosly

Pakar Diet dan Ketua Jabatan Dietetik, Pusat Pakar Universiti Malaya, (UMSC), Rozanna M.Rosly, berkata realiti kehidupan moden masyarakat kini berlakunya proses urbanisasi yang pantas membabitkan perubahan gaya hidup yang tidak sihat, kekurangan aktiviti fizikal, pemakanan tidak seimbang dan penuaan populasi adalah punca utama mendorong kepada risiko penyakit tidak berjangkit atau Non Communicable Disease (NCD).

“Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang mempromosikan makan makanan sihat dan secara sederhana. Makanan dan minuman memainkan peranan yang sangat penting untuk kesihatan secara keseluruhan. Seperti definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan adalah kesejahteraan jasmani serta rohani dan pemakanan yang seimbang dan terkawal dapat mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit.

“Kebanyakkan penyakit tidak berjangkit disebabkan cara pemakanan, gaya hidup yang kurang sihat dan kurang pengetahuan mengenai pemakanan seimbang. Cara dan adab makan minum Rasulullah SAW seperti duduk dengan baik, tidak memenuhi mulut dengan makanan, tidak makan secara berlebihan dan makan awal sebelum waktu maghrib dapat membantu mengawal saiz hidangan dan mengelak dari memakan tanpa kawalan atau berlebihan.

“Cara pemakanan seperti ini dapat membantu mengawal berat badan, dapat mengawal paras gula dalam darah, mengurangkan penyakit seperti gastrik/refluks dan membantu dalam pencernaan serta tidak mengganggu tidur waktu malam. Selain daripada itu, adab mencuci tangan sebelum dan selepas makan serta menutup bekas makanan dan minuman dapat mengurangkan risiko jangkitan dan kontaminasi,” katanya kepada siplus.com.my.

Tambahnya, Rasulullah SAW mengamalkan cara hidup sihat melalui gaya pemakanan yang seimbang dan sentiasa secara sederhana, malah baginda juga tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.

Rozanna menegaskan, kajian kesihatan jelas membuktikan lebihan berat badan dan kegemukkan ialah ancaman kesihatan yang nyata. Pemahaman yang lebih baik mengenai kategori penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti Obesiti, Darah Tinggi dan Kencing Manis.

Kajian terkini yang dilakukan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi.

“Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu dari mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius. Hanya melalui pengubahsuaian gaya hidup dan amalan makanan yang seimbang saja boleh membantu anda mencegah dan menangani penyakit.

“Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunnah Rasulullah. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan kajian kesihatan seperti yang disebut di dalam al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).

“Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.

“Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia membebankan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan. Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut. Pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal,” katanya.

Menurut Rozanna, untuk hidup secara sihat dan mengelak serta mengawal penyakit, setiap individu perlu memberi perhatian kepada lima amalan asas kesihatan iaitu melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi setiap hari, makan secara sihat, bijak menangani tekanan, tidak merokok dan elak alkohol.

Aktiviti fizikal dapat membantu meningkatkan kecergasan kardiovaskular, kekuatan dan fleksibiliti serta membakar kalori.

Malah, aktiviti fizikal dapat membantu meningkatkan kecergasan kardiovaskular, kekuatan dan fleksibiliti serta membakar kalori bagi memastikan anda sentiasa sihat.

“Garis Panduan Pemakanan Malaysia mencadangkan agar semua orang dewasa meluangkan masa sebanyak 30 minit dalam sehari melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana sekurang- kurangnya lima hingga enam hari seminggu. Sebaiknya setiap hari bagi mengekalkan berat badan semasa.

“Tekanan adalah satu perkara normal dalam kehidupan, namun tekanan berpanjangan dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang meningkatkan risiko berlakunya NCD, terutamanya penyakit jantung. Langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan tekanan adalah berbual dengan rakan atau mengambil cuti pendek bagi merehatkan diri.

“Kualiti tidur mempunyai hubungan secara terus dengan kehidupan seharian seseorang. Ia boleh mempengaruhi ketajaman mental, produktiviti, keseimbangan emosi, kreativiti dan kecergasan fizikal. Ini menunjukkan tidur salah satu faktor penting dalam penjagaan kesihatan bagi mencegah NCD,” katanya.

Makanan diamalkan Rasulullah mengandungi zat yang maksimum dan sesuai diberikan seusia bayi:

1-Kurma dan Buah Tin (dalam kuantiti yang di syorkan ) – digalakkan oleh Rasullah untuk membentuk otak dan minda yang sihat kerana tunggi kandungan zat beri, garam, mineral, vitamin serta serat.
2-Buah atau Minyak Zaitun (dalam kuantiti yang di syorkan ) – berupaya menurunkan paras kolestrol, mengelakkan masalah jantung, kawal tekanan darah dan juga membantu menyehatkan otak dengan meningkatkan keupayaan kognitif dan juga memori.
3-Oat dan Barli – tinggi serat serta vitamin dan mineral untuk tenaga dan ketumbesaran yang sihat.
4-Buah-buahan dan sayuran seperti anggur, buah delima, tembikai, timun – tinggi vitamin dan mineral untuk kulit, gigi dan daya tahanan yang kuat.

Rasulullah gemar buah-buahan kerana mengandungi tinggi vitamin dan mineral.

 

Beberapa jenis makanan kegemaran Rasulullah SAW dan khasiatnya adalah :

1.Daging kambing bahagian lengan – mengandungi kurang lemak, zat besi, tinggi proten dan memberi tenaga untuk kekuatan otot dan tinggi protin.
2.Roti yang diperbuat daripada tepung barli yang tidak diproses – tinggin serat dan khasiat vitamin untuk membantu paras kolesterol, paras gula dalam darah, tekanan darah tinggi serta membantu sebagai pelawas asli.
3.Susu- mengandungi khasiat yang lengkap terdiri daripada protein, lemak dan kalsium, vitamin D serta nutrient yg lain yang dapat membantu pembentukan tulang dan gigi yang kuat.
4.Keju – Rasulullah SAW menyukai keju yang diperbuat daripada susu lembu dan kambing. Keju rendah lemak mempunyai lebih manfaat sama seperti susu rendah lemak.
5.Buah-buhan kering asli seperti Kurma (dalam kuantiti yang di syorkan terutama untuk pesakit kencing manis dan obesiti) dan buah tin.

Makanan tambahan kegemaran Rasulullah yang mengandungi unsur manis semula jadi seperti buah-buahan dan madu malah:

1.Buah-buhan dan sayur-sayurah seperti anggur, tembikai, timun, buah delima – Kandungan vitamin dan minral cukup tinggi serta mineral kalium yang berfaedah untuk saluran pencernaan, pelawasan dan meningkatkan daya tahanan.
2.Madu (dalam kuantiti yang di syorkan terutama untuk pesakit kencing manis dan obesiti) – Hasil kajian Universiti Zagreb di Croatia dan penemuan yang dimuatkan dalam Journal of the Science of Food and Agriculture menunjukkan madu lebah kaya dengan bahan antioksidan yang berfungsi menghalang bahan-bahan radikal bebas bertindak ke atas sel-sel badan bertukar kepada kanser.
3.Barli- Tinggi dengan beta glukan yang dapat membantu menurunkan kolesterol serta dapat melindungi usus daripada penyakit kanser, masalah kolon dan pelawas asli.
4.Buah dan Minyak Zaitun (dalam kuantiti terkawal dan tidak diguna untuk menggoreng) – Buah serta minyak ini mempunyai lemak mono tidak tepu yang mempunyai kelebihan seperti dapat melindungi diri daripada penyakit koronari jantung, mengawal tekanan darah serta melindungi diri daripada penyaki.
5. Kajian yang dilakukan oleh al-Shahib, W and Marshall, RJ bertajuk The Fruit Of The Date Palm : Its Possible Use As The Best Food For The Future dan International Journal of Food and Science Nutrition, 54 (4):247-259, buah kurma boleh menjadi makanan yang ideal pada masa hadapan kerana ia mengandungi – 15 jenis garam dan mineral, kaya dengan vitamin dan serat (6.4-11.5%).

Berdoa sebelum dan selepas makan bagi memberkati makanan yang masuk ke dalam perut.

Adab Makan Dan Minum Rasulullah SAW:

1. Mencuci tangan sebelum makan:
Membasuh tangan sebelum makan dapat membersihkan segala kotoran yang ada pada tangan dan seterusnya dapat mengelakkan penyakit.

2. Membaca ‘Bismillah‘ dan doa sebelum makan:
-Memulakan makan dengan doa akan mendatangkan berkat.
-Makanan yang berkat akan memberi tenaga dan tenaga yang berkat ini akan digunakan untuk kesihatan diri dan kebajikan.

3. Makan dengan tiga jari tangan kanan:
-Menggunakan tiga jari kanan mengecilkan saiz suapan dan seterusnya makanan dapat dikunyah dengan sempurna.
-Makan dengan jari tangan kanan merupakan cara untuk memperoleh hasil terbaik proses pencernaan.
-Menurut artikel yang diterbitkan dalam paparetta.wordpress.com pada Oktober 2010, makan menggunakan tangan terbukti lebih menyehatkan kerana jari akan mengeluarkan enzim ‘RNAse’ yang dapat mengawal aktiviti bakteria sehingga ke tahap minima dalam sistem pencernaan. Ini mampu menghindarkan penyakit yang disebabkan oleh perut.

4. Duduk dengan baik, tegap dan tidak bersandar:
-Posisi ini memudahkan makanan turun serta dihadamkan dengan sempurna.

5. Bersikap sederhana dan tidak berlebihan ketika makan:
-Rasulullah SAW tidak pernah makan hingga terlalu kenyang, tidak makan lagi sesudah kenyang dan tidak makan melebihi sepertiga perut kerana sepertiga lainnya adalah untuk minuman dan udara (nafas). Dengan erti lain Rasulullah SAW makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

6. Mulai makan dari hidangan atau bahagian yang terdekat dengan kita:
-Selain kelihatan lebih sopan, tenang dan tidak rakus, tindakan ini juga boleh memperoleh keberkatan makanan tersebut.

7. Tidak memenuhkan mulut dengan makanan yang terlalu banyak:
-Lebih sopan dan tidak kelihatan gelojoh.

8. Tidak banyak bercakap ketika sedang makan:
-Mengelakkan makanan daripada terkeluar dan menampakkan sikap tidak sopan dan rakus.

9. Makan bersama-sama dengan ahli keluarga dan sahabat (tidak makan bersendirian):
-Mengeratkan ikatan silaturrahim serta menambahkan keberkatan makanan.

10. Tidak mengeluarkan suara keras ketika sedang mengunyah makanan:
-Mengelakkan gangguan kepada orang lain.

11. Tidak mengawasi dan melihat orang yang sedang makan
-Mengelakkan orang yang diawasi daripada berasa terganggu dan malu serta menjejaskan selera makan mereka.

12. Tidak menyisakan makanan di pinggan
– Memupuk sikap terpuji iaitu tidak membazir serta mendapat keberkatan makanan.

13. Tidak mencela makanan yang tidak disukai
– Jika Rasulullah SAW tidak berselera, baginda akan meninggalkan makanan tanpa mencela makanan tersebut.
– Cacian terhadap makanan boleh mengurangkan keberkatan yang Allah SWT berikan dalam makanan tersebut dan memberi kesan negatif terhadap kesihatan tubuh sekiranya makanan tersebut dimakan.

14. Tidak bernafas ketika minum dan menjauhkan mulut dari tempat minum ketika bernafas serta tidak meniup makanan dan minuman yang panas
– Mengelakkan kita mengambil minuman yang tercemar dengan karbon dioksida hasil daripada hembusan nafas ke dalam minuman.
– Adab ini juga menerap nilai kesabaran dan kesopanan dalam diri.

15. Menutup bekas makanan dan minuman
– Mengelakkan makanan dan minuman daripada tercemar.

16. Menjilat makanan yang tersisa di jari-jari (ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah) ketika suapan terakhir
– Ia mestilah dilakukan dengan tertib, indah dan berperaturan agar tidak menimbulkan persepsi yang negatif.
– Penemuan kesihatan moden menunjukkan bahawa dengan menjilat jari setelah selesai makan, jari akan mengeluarkan enzim yang sangat membantu kelancaran proses pencernaan.

17. Setelah selesai makan, bacalah : “Alhamdulillah
– Menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT terhadap makanan dan minuman yang telah dikurniakan.

18. Cuci tangan setelah selesai makan
– Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk mencuci tangan sebelum dan sesudah makan supaya terhindar daripada kuman dan penyakit.

19. Tidak meninggalkan makan malam
– Rasulullah melarang umatnya untuk meninggalkan makan malam.
– Barang siapa yang meninggalkan makan malam dia akan dimamah usia dan tahap kolesterol dalam darah akan meningkat. Makan malam adalah sebelum Maghrib iaitu lebih kurang jam 7 malam.

 

 

begini cara rasulullah bergurau senda
Berita Semasa,

Begini rupanya cara Rasulullah SAW bergurau senda

BEGINI rupanya cara Rasulullah SAW bergurau senda

“Ish, teruk betul kau usik Zarina tadi. Sampai menangis dia dibuatnya. Tak baiklah kau buat macam ni.”

Demikian teguran Naurah kepada rakan baiknya, Shahila. Meskipun dia rapat dengan Shahila, namun tidak semua perkara dia bersetuju dengan sahabatnya itu. Apatah lagi, jika melibatkan perkara yang boleh mengguris hati orang lain. Kerana sayang rakan karibnya itulah dia menegur Shahila.

“Aku bukan buat apa pun, cuma bergurau je dengan Zarina. Tak sangka pula dia boleh nangis sebab prank tadi,” balas Shahila.

Baca juga Bagaimana Rasulullah SAW saat marah? Ini peristiwanya

Sedar atau tidak, kadangkala situasi itu kita hadapi dalam kehidupan kita. Benar, hidup terasa ‘kosong’ sekiranya ia tidak diisi dengan gurau senda dan usikan. Siapa yang nak hidupnya statik sahaja, bukan?

Namun, ketahuilah bahawa Islam sebenarnya ada menyediakan garis panduan yang lengkap dalam kita melayari kehidupan di muka bumi ini. Bukan semberono hendak bergurau senda dan mengusik orang tak tentu pasal.

Bagaimana cara senda gurau yang dibenarkan oleh Islam? Jom kita ikuti pandangan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses, Ustaz Abd Razak Muthalib tentang perkara ini:

USTAZ ABD RAZAK

“Islam adalah agama yang sentiasa meraikan fitrah insan. Antara fitrah insan termasuklah ingin bergembira, ketawa sesama rakan dan bergurau senda.

Seandainya seseorang berperwatakan serius sahaja sepanjang masa, tiada unsur humor dan sebagainya, sebenarnya beliau telah menafikan fitrah seorang manusia biasa.

Rasulullah SAW sendiri tidak menafikan fitrah sebagai manusia yang sukakan suasana gembira dan ceria. Ada waktunya baginda akan bergurau senda bersama isteri-isteri dan sahabat-sahabat baginda. Cara baginda bergurau senda itulah yang sepatutnya menjadi panduan kepada kita.

Baca juga Empat kisah Rasulullah SAW menitiskan air mata

Ada beberapa peristiwa yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW bergurau senda bersama sahabat.

Anas bin Malik meriwayatkan: “Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah SAW supaya dibawa menaiki tunggangan.” Rasulullah SAW berkata kepada lelaki itu: “Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.” Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?” Lalu dijawab oleh Rasulullah SAW: “Bukankah semua unta adalah anak kepada unta betina?” (Riwayat al-Tirmidzi dan Abu Daud)

Dalam hadis itu, Rasulullah SAW bergurau dengan mengusik emosi lelaki tersebut bahawa beliau akan mendapat anak unta betina. Walhal, ia hanyalah gurauan baginda. Sememangnya semua unta adalah anak kepada unta betina yang melahirkannya.

Dalam peristiwa yang lain, diceritakan bagaimana Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Hasan al-Basri meriwayatkan: “Seorang wanita tua bertemu dengan Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada ALLAH agar aku dapat masuk syurga.” Rasulullah SAW menjawab: “Wahai ibu, syurga tidak dihuni oleh orang tua.” Mendengar jawapan Rasulullah SAW, wanita itu pergi dari situ sambil menangis teresak-esak. Rasulullah SAW kemudian bersabda: “Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke syurga dengan keadaan usia tua. Sesungguhnya ALLAH SWT berfirman: Sesungguhnya KAMI menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya [Surah Al-Waqi’ah ayat 35-37].” (Riwayat Tirmidzi)

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

Oleh sebab itu, baginda berpesan apabila ditanya oleh sahabatnya:

Abu Hurairah RA meriwayatkan, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?” Rasulullah SAW menjawab: “Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Berdasarkan dua riwayat itu, Rasulullah juga memasukkan unsur humor dalam pergaulan baginda. Gurauan baginda adalah sesuatu yang benar, bukannya cerita yang dibuat-buat semata-mata untuk membuatkan orang lain ketawa. Maka, bergurau pun mesti dengan sesuatu yang benar.

Larangan prank

Dalam konteks kita pada hari ini, ada satu trend wujud yang disebut prank (usikan). Asas kepada tujuan mengusik itu dilakukan adalah untuk bergurau. Dengan niat bergurau, mereka yang melakukannya merasakan tiada masalah berbuat demikian.

Bergurau senda

JANGAN melampau ketika bergurau senda tidak kiralah sama ada dengan keluarga, rakan atau sesiapa sekalipun.

Ketahuilah bahawa perbuatan usikan yang boleh menimbulkan rasa takut, gelisah, terkejut dan sebagainya dilarang oleh agama.

Abdul Rahman bin Abi Laila meriwayatkan yang mana beliau mendapat berita daripada beberapa sahabat mengenai satu peristiwa. Ketika dalam satu permusafiran bersama Rasulullah pada waktu malam, ada beberapa sahabat yang tidur.

Lalu, sebahagian mereka mengambil barang (tali) sahabat tersebut dan menyembunyikannya. Kemudian apabila dia terjaga, lalu dia terkejut dan tercari-cari di mana barangnya. Sahabat-sahabatnya yang lain pun mentertawakannya. Melihat kejadian tersebut, lantas Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim menakut-nakutkan Muslim yang lain.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad, disahihkan oleh Syu’aib al-Arnaut)

Sekalipun usikan yang dilakukan hanya sekadar ingin bergurau, namun ia boleh memberikan kesan negatif atau risiko bahaya kepada mangsa.

Baca juga Tiga kesalahan bergurau yang boleh mendatangkan dosa di media sosial

Barangkali ia boleh menjejaskan hubungan silaturahim, menimbulkan kemarahan, pergaduhan dan mungkin juga risiko kematian akibat terkejut dan sebagainya. Oleh sebab itu, baginda melarang perbuatan sebegini dilakukan.

Kadangkala berlaku juga cara usiakan dengan menjadikan orang lain sebagai bahan ejekan atau gurauan sehingga si mangsa memberikan reaksi yang mengaibkannya.

Kemudian, orang lain beramai-ramai mentertawakannya. Hati-hati bagi yang melakukan usikan itu kerana ia boleh termasuk dalam larangan ALLAH SWT.

Tidak salah untuk kita bergurau senda dengan tujuan mencetuskan suasana ceria. Bagaimanapun, ia mesti berpada-pada dan tidak melampaui batas sehingga menimbulkan pula impak negatif.

Baca juga Berpada-padalah bila bergurau, ‘haram’ kalau sampai jatuhkan maruah orang

Justeru, hiasi dan selitlah pergaulan kita dengan babak-babak bergurau senda agar kehidupan kita menjadi ceria dan gembira.

Begitupun, jangan sampai niat bergurau itu sehingga mengundang kepada dosa,” pesan beliau.

Ingat ya, bergurau pun ada batas. Berpada-padalah ketika menuturkan kata, kelak badan sendiri yang akan binasa!

Begini rupanya cara Rasulullah SAW bergurau senda

Foto: Freepik