Browsing Tag

Qari Malaysia

MTHQA KE-63
Berita Semasa,

Qari Malaysia, Qayyim Nizar rangkul juara Tilawah Antarabangsa ke-63

BERLABUH sudah tirai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63 Tahun 2023M/1445H yang berlangsung selama enam hari bermula 19 Ogos lalu di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Penyertaan pada tahun ini sekali lagi menyaksikan wakil Qari dari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi muncul juara bagi kategori lelaki pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 dengan catatan markah 94.96%.

Tempat ke-2 pula dimenangi Alireza Bizhaniavval dari Iran yang memperoleh 93.30% manakala Awang Mohd Zul-Hafiz Awang Tengah dari Brunei Darussalam di tempat ke-3 dengan 90.38%.

Baca Juga Qari OKU wakili Malaysia dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa

Bagi kategori qariah, peserta Maghribi Sara Belmamoun muncul johan dengan markah 93.05%, tempat ke-2 Raudhah Supian Noor dari Indonesia dengan 92.21% manakala peserta Filipina Sabaha Pato Salik di tempat ke-3 dengan 91.50%.

Bagi kategori hafazan lelaki, Omar Toure dari Guinea muncul johan dengan markah 98.63% diikuti Maamon Ahmed Raweh Mohammed dari Yaman dengan 97.38% dan tempat ke-3 Ali Attia dari Chad (97.07%).

Peserta Algeria Tebani Cheyma Enfal pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 96.32%, tempat ke-2 Ndeye Seynabou Ngom dari Senegal (95.25%) dan ke-3 Sidi El Moctar Khadijetou dari Mauritania (94.19%).

Baca Juga Ingatan buat ‘content creator’, hasilkan karya yang murni agar pengikut makin dekat dengan Tuhan

MUHAMMAD QAYYIM NIZAR SARIMI

Muhammad Qayyim yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir, berkata beliau bersyukur kerana usahanya selama 16 tahun mendalami dan mempelajari skil bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille membuahkan hasil pada MTHQA kali ini.

“Perasaan saya gembira ada, sebak ada… bagi saya, kita kena ada minat dalam bidang tarannum, saya sarankan untuk kita semua belajar tarannum sebab ia boleh buat kita rasa seronok dan kita boleh bawa bacaan dalam solat“, katanya kepada pemberita.

Baca Juga Qayyim OKU penglihatan masih berbisa di pentas tilawah al-Quran

Turut Disyorkan Hilang penglihatan bukan halangan Qayyim jadi juara

Qayyim turut menzahirkan penghargaan kepada ayah serta keluarga yang sentiasa memberikannya sokongan dan galakan dalam bidang itu.

“Pada sesiapa yang ada masalah penglihatan, kita ni kena juga belajar baca Al-Quran kerana dengan Al-Quran ni, cerah masa depan kita“, katanya.

Turut mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah MTHQA ke-63, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar.

MENTERI Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud bersama Qayyim Nizar ketika di Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1445H/2023.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud turut merakamkan ucapan tahniah kepada satu-satunya wakil negeri itu.

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada Qari Malaysia daripada negeri Kelantan iaitu Muhammad Qayyim Nizar bin Sarimi yang dinobatkan sebagai Johan Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1445H/2023.

“Kejayaan Muhammad Qayyim Nizar merupakan satu detik bersejarah kepada negara dan negeri Kelantan dengan keistimewaan membaca al-Quran menggunakan naskah al-Quran Braille. Ini menunjukkan ketinggian mukjizat al-Quran yang sentiasa dijaga kemulian oleh ALLAH SWT.

Baca Juga Malaysia johan qariah, naib johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2022

“Sesungguhnya KAMI-lah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya KAMI benar-benar memeliharanya.” (Surah al-Hijr ayat 9).

“Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha memartabatkan generasi al-Quran dan menyeru agar seluruh rakyat negeri Kelantan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup seharian” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

QAYYIM ketika menerima anugerah kategori lelaki dalam pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/2020M.

Profi Muhammad Qayyim Nizar Sarimi:

– Berasal daripada Ketereh, Kelantan dan berusia 25 tahun.

– Mendapat pendidikan di peringkat Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dengan Pengurusan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa sultan Ismail Petra (KIAS).

– Antara guru-guru beliau iaitu Allahyarham Ustaz Abdul Rahim Ahmad dan Ustaz Yahya Daud (kini).

– Saudara Qayyim juga menguasai tujuh jenis tarannum iaitu Bayati, Soba, Hijjaz, Nahawand, Rast, Sikah dan Jiharkah.

– Johan Qari Peringkat Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Kelantan pada tahun 2017, 2019 dan 2020.

– Johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Kebangsaan (MTHQK) 1444H/2023M.

– Beliau memiliki minat yang sangat mendalam terhadap al-Quran sejak kecil bermula dengan mendengar kaset dan cakera padat (CD) yang dibelikan oleh ibunya, Rozan Mohamed dan ayahnya, Sarimi Yusoff.

Qari OKU

QARI OKU dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar (kanan) bakal mewakili negara bagi acara tilawah pada MTHQA bermula 19 Ogos ini di Kuala Lumpur. -Foto: Bernama

SUMBER : JAKIM

SUMBER : UMMAHTODAY