Browsing Tag

Qada puasa jika waswas

Qada puasa jika waswas
Ibadah,

Perlukah qada puasa jika waswas dengan ibadah yang dilakukan pada Ramadan lalu? Hadamkan penjelasan ini

Perlukah qada puasa jika waswas dengan ibadah yang dilakukan pada Ramadan lalu? Hadamkan penjelasan ini

KETIKA ini, masih ada lagi segelintir orang yang ‘bergelut’ untuk melunaskan puasa ganti sebelum masuknya bulan Ramadan yang dijangka membuka tirainya pada 23 Mac depan.

Bagaimanapun, ada sebilangan orang yang ‘terpanggil’ untuk melakukan qada puasa walaupun tidak meninggalkan ibadah itu pada bulan mulia berkenaan tempoh hari.

Bukan apa, adakalanya perasaan waswas menguasai diri. Terasa seperti puasa yang dilakukan tahun lalu tidak begitu sempurna.

Baca juga Bimbang ibadah tak diterima, bolehkah kita ganti puasa Ramadan?

Dalam keadaan itu, bolehkan kita mengqadakan puasa disebabkan oleh perasaan waswas terhadap puasa yang dilakukan pada Ramadan lepas?

Bagi menjawab persoalan itu, kita perlu fahami terlebih dahulu mengapa qada puasa perlu dikerjakan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, puasa qada Ramadan merupakan ibadah yang dilakukan bagi menggantikan puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan lalu sama ada disebabkan keuzuran ataupun sengaja tidak disempurnakan.

DR ZULKIFLI

“Ia termasuklah mereka yang tertinggal kewajiban tersebut kerana musafir atau sakit. Kelompok ini wajib mengqadakannya sebelum tibanya bulan Ramadan berikutnya.

“Bagi individu yang meninggal dunia sebelum sempat menggantikan puasanya itu sedangkan dia mampu melaksanakannya, maka walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Apa yang dimaksudkan wali dalam perkara ini ialah keluarga si mati.

Baca juga Ambil tahu hutang puasa ibu dan ayah kita, ini sebab-sebabnya

“Bagi orang yang sangat tua dan tidak berupaya berpuasa, wajib baginya untuk bersedekah setiap hari secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya sebanyak (bilangan) hari dia tidak berpuasa. Begitu juga dengan orang sakit yang tiada harapan sembuh di mana mereka harus berbuka dan wajib bersedekah sebagaimana dinyatakan tadi,” katanya sebagaimana dipetik daripada laman web Maktabah Albakri.

Selain itu, agamawan tersebut menjelaskan, puasa qada turut diwajibkan ke atas wanita yang mengandung dan menyusui bayi andai mereka berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri atau anak.

“Mudah kata, mereka yang sengaja meninggalkan puasa tanpa sebarang keuzuran, maka dia telah berdosa dan wajib mengqadakannya (menggantikannya).

Qada puasa jika waswas

PUASA qada Ramadan merupakan ibadah yang dilakukan bagi menggantikan puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan lalu sama ada disebabkan keuzuran ataupun sengaja tidak disempurnakan. -Foto: 123rf

“Ini kerana mereka yang meninggalkan puasa dengan keuzuran seperti sakit dan bermusafir pun diwajibkan untuk menggantikannya semula. Lebih-lebih lagilah bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum (selepas berbuka dengan sengaja) sehinggalah waktu berbuka dan wajib mengqadakannya sebelum tibanya Ramadan berikutnya.

“Qada puasa wajib dilakukan andai meninggalkan puasa secara sengaja atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa,” tegas beliau.

Baca juga Jangan suka-suka nak batalkan puasa qada kalau tak uzur, ini sebabnya kata agamawan

Bagaimanapun, dalam perihal qada puasa disebabkan waswas, Dr Zulkifli berhujah, Islam begitu menitik beratkan isu keyakinan dalam ibadah dan syariat.

Malah katanya, kaedah usul fiqh menyebut: “Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).”

Menurut kitab Syarah al-Qawa’id al-Fiqhiyah, sebahagian ulama ketika mensyarahkan makna kaedah tersebut berkata: “Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan.”

Baca juga Terlupa bilangan puasa untuk diqada, ini kaedah disarankan

Bersandarkan kenyataan itu, kaedah fiqh dan hujah-hujah dikemukakan oleh para ulama, Dr Zulkifli menyimpulkan, umat Islam tidak perlu menggantikan puasa mereka andai terdapat keraguan atau rasa waswas terhadap ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan lalu.

Qada puasa jika waswas

TIDAK perlu menggantikan puasa mereka andai terdapat keraguan atau rasa waswas terhadap ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan lalu.

“Ini kerana puasa tersebut tetap sah berdasarkan kaedah ‘asal (bagi satu hukum) adalah mengekalkan sepertimana ia’.

“Kami juga menasihati agar jangan berlebih-lebih dan melampau-lampau terutama jika melibatkan bab ibadah,” ungkapnya.

Daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hancurlah orang yang melampau-lampau. Nabi mengucapkannya sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.