Browsing Tag

puasa Nabi Daud

puasa Nabi Daud
Ibadah,

Puasa Nabi Daud paling disukai ALLAH, bagaimanakah caranya?

Puasa Nabi Daud paling disukai ALLAH, bagaimanakah caranya?

TUNTUTAN berpuasa bukan sahaja diperintahkan ke atas kita umat Nabi Muhammad SAW, bahkan ibadah itu sudah diamalkan oleh para Anbia dan golongan terdahulu lagi.

Misalnya, puasa tiga hari pada pertengahan bulan Islam yang dikenali juga sebagai ‘puasa putih’ dilakukan Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Sementara itu, puasa enam hari selepas Aidilfitri dilakukan oleh Nabi Nuh.

Selain itu, Nabi Musa pernah melakukan puasa pada 10 Muharam. Manakala, Nabi Sulaiman pula melazimi puasa sembilan hari dengan berpuasa tiga hari berturut-turut pada awal, pertengahan dan akhir setiap bulan.

Baca juga Jangan lepaskan peluang berpuasa pada hari putih pada setiap bulan. Banyak kelebihan yang boleh kita raih

puasa Nabi Daud

Namun, dalam banyak jenis puasa, sebenarnya puasa yang paling disukai oleh ALLAH SWT ialah puasa Nabi Daud AS.

Hal itu diceritakan sendiri oleh Rasulullah SAW, “Puasa yang paling disukai oleh ALLAH adalah puasa Daud. Ia berpuasa satu hari lalu berbuka satu hari. Dan solat yang paling disukai oleh ALLAH adalah solat Daud. Ia tidur pertengahan malam, bangun ⅓ nya, lalu tidur ¹/6 nya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam satu perkongsian di media sosial, pendakwah bebas Ustaz Abdul Rahman Iskandar menerangkan, cara puasa yang diamalkan oleh Nabi Daud adalah secara berselang seli, iaitu sehari puasa dan sehari tidak.

Jelasnya, berbanding dengan puasa sunnah yang lain, puasa Daud lebih disukai oleh ALLAH. Bahkan ada ulama berpandangan bahawa puasa Nabi Daud adalah lebih baik daripada puasa sepanjang tahun.

Turut disyorkan Isi waktu Maghrib anda dengan Solat Sunat Awwabin

USTAZ Abdul Rahmah Iskandar. Foto: Facebook

Keutamaan puasa Nabi Daud
Selain itu, puasa Daud memiliki banyak keutamaan yang luar biasa. Antaranya:

1. Puasa sunnah paling utama.
Puasa Daud adalah puasa sunnah yang paling afdal, utama dan tinggi darjatnya. Sabda Nabi SAW, “Puasa yang paling utama adalah puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari.” (Hadis Riwayat an-Nasaie)

2. Puasa sunnah paling disukai ALLAH.
Puasa Daud adalah puasa sunnah yang paling dicintai ALLAH SWT.

Rasulullah bersabda, “Puasa yang paling dicintai oleh ALLAH adalah puasa Daud. Dan solat yang paling dicintai oleh ALLAH adalah solat Daud. Ia tidur pertengahan malam, bangun sepertiganya, lalu tidur seperenamnya. Dan ia berpuasa satu hari lalu berbuka satu hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca jugaMengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini? 

puasa Nabi Daud

BANYAKKAN berpuasa sebagai tanda ketakwaan kita kepada ALLAH SWT. Foto: 123RF

3. Puasa sunnah dengan darjat tertinggi.

Puasa Daud juga merupakan puasa terbaik sekaligus puasa tertinggi darjatnya. Hal ini kerana umat Islam tidak seharusnya berpuasa melebihi itu kerana tubuh juga mempunyai hak untuk dijaga.

Daripada Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah SAW menanyakan kepadaku, “Aku mendengar khabar bahawa engkau selalu qiamullail dan siangnya berpuasa.” Aku menjawab,“Benar ya Rasulullah.”

“Maka Rasulullah bersabda, “Berpuasalah dan berbukalah. Solatlah dan tidurlah! Kerana tubuhmu memiliki hak terhadapmu. Isterimu memiliki hak terhadapmu. Dan tetamumu juga memiliki hak terhadapmu. Cukuplah bagimu berpuasa tiga hari setiap bulan.”

“Abdullah berkata, aku bertahan, maka Rasulullah pun bersabda pula. Akhirnya aku berkata, “Ya Rasulullah, aku sanggup lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Kalau begitu, berpuasalah tiga hari setiap bulan.”

“Abdullah berkata, aku bertahan, maka Rasulullah pun bersabda pula. Aku berkata lagi, “Ya Rasulullah, aku sanggup lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Kalau begitu, berpuasalah seperti Nabi Daud dan jangan lebih dari itu.”

“Aku bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana puasa Nabi Daud itu?” Rasulullah bersabda, “Ia berpuasa sehari lalu berbuka sehari.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ARTIKEL BERKAITAN:

4. Puasa paling adil.
Dalam riwayat Imam Muslim, Rasulullah menganjurkan puasa Daud dan menyebutnya sebagai puasa yang paling adil.

Sabda baginda, “Berpuasalah satu hari dan berbukalah satu hari dan itu adalah puasa yang paling adil. Itu puasanya Nabi Daud AS.” Aku berkata, “Sesungguhnya aku mampu lebih baik dari itu.” Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada yang lebih utama dari itu.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

puasa Nabi Daud

PUASA Nabi Daud hanya digalakkan untuk orang yang mampu melaksanakannya tanpa mengabaikan ibadah lain. Foto: 123RF

Jangan berpuasa sampai tinggalkan amalan lain
Meskipun dianggap lebih utama daripada puasa sepanjang tahun, Ustaz Abdul Rahman mengingatkan umat Islam agar tidak keterlaluan melaksanakan puasa Nabi Daud.

Nasihatnya, ibadah itu seharusnya dilakukan oleh orang yang mampu dan tidaklah sampai melalaikan diri daripada menunaikan kewajipan lain seperti menuntut agama dan mencari nafkah.

Kata beliau, perkara sedemikian boleh berlaku jika seseorang itu berpuasa terlalu banyak sehinggakan dia menjadi penat dan malas untuk melakukan ibadah lain.

Baca juga Ramai salah faham waktu mustajab doa pada Hari Arafah

Turut disyorkan 9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita

Tempoh melakukan puasa Nabi Daud
Selain itu, Ustaz Abdul Rahman turut berkata, puasa Nabi Daud tergolong dalam puasa yang berat kerana ia dikerjakan secara terus menerus dan hanya selang sehari untuk tidak berpuasa.

Beliau turut memberitahu, tidak ada hadis sahih yang menerangkan berapa lama puasa Nabi Saud harus dilakukan. Sebaliknya, menurut sebahagian ulama, puasa itu boleh dilakukan seumur hidup sesuai dengan keinginan dan kemampuan.

Sumber: Facebook Ustaz Abdul Rahman Iskandar (Alrais)

Foto: 123RF & Pexels