Browsing Tag

Puasa enam Syawal

Puasa enam Syawal
Ibadah,

Mana lebih afdal, teruskan atau batalkan puasa enam Syawal bagi memenuhi jemputan?

Mana lebih afdal, teruskan atau batalkan puasa enam Syawal bagi memenuhi jemputan?

KETIKA ini, pasti yang ramai menerima undangan saudara-mara, handai taulan mahupun tetangga supaya beraya di rumah mereka. Mana tidaknya, Hari Raya Aidilfitri sebulan lamanya.

Jika tidak hari ini, pasti esok, lusa dan tulat ada sahaja jemputan diterima. Andai hari-hari ada sahaja undangan rumah terbuka, bila pula mahu melunaskan puasa sunat enam Syawal?

Memikirkan perkara itu, diri jadi runsing. Masakan tidak, kita dalam dilema. Kalau tidak memenuhi jemputan tuan rumah, dikatanya kita sombong dan enggan bersilaturahim.

Baca juga Jadikan rumah terbuka sebagai platform ibadah? Berikut cara-caranya

Andai puasa sunat enam Syawal diteruskan dan kita pula hadir ke rumah kenalan tadi tanpa menjamah sebarang makanan, nanti orang cakap kita tidak sudi pula, sekali gus mengecilkan hati mereka.

Begitulah yang dirasakan kerana ‘tersepit’ dengan situasi tersebut.

Perlukah kita teruskan berpuasa sunat tadi ketika dijamu dengan makanan? Mana satu yang lebih afdal?

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, meraikan jemputan adalah baik di samping menyambung silaturahim dan menggembirakan hati orang yang mengundang.

DR ZULKIFLI

“Bagaimanapun, jika boleh untuk meneruskan puasa dan mengambil secara take-away sedikit makanan sebagai meraikan, alangkah baiknya.

“Namun, jika kita mahu meraikan dan berbuka puasa, maka ia tidaklah menjadi masalah. Kita boleh berpuasa pada hari lain dalam bulan Syawal misalnya untuk puasa enam yang belum lagi cukup,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Maktabah Albakri.

Baca juga Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti enam hari bulan Syawal, seolah berpuasa sepanjang tahun

Jelas agamawan itu, mereka yang berpuasa sunat sebenarnya menjadi ketua untuk dirinya sama ada mahu meneruskan berpuasa atau berbuka.

“Namun begitu, yang afdalnya adalah apabila seseorang itu jangan merosakkan puasa sunatnya,” katanya.

Ia selari dengan firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!” (Surah Muhammad, ayat 33)

Dalam pada itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu turut menyarankan agar tuan rumah yang menjemput rumah terbuka itu dapat meraikan rakan-rakan mereka yang berpuasa.

Barangkali mereka boleh memikirkan untuk mengadakan jemputan tersebut pada sebelah malam atau waktu berbuka puasa, ungkapnya.

Kehebatan Ramadan

BARANGKALI tuan rumah boleh memikirkan untuk mengadakan rumah terbuka pada waktu malam atau berbuka puasa supaya tetamu dapat menghadirinya tanpa dibelenggu rasa bersalah. -Foto: 123rf

“Bahkan, (perbuatan) ini jauh lebih baik kerana menjamu orang yang berbuka puasa di samping meraikan keadaannya yang tidak lagi serba salah.

Baca juga 5 kemusykilan mengenai puasa enam bulan Syawal

“Akhirnya, kedua-dua pihak tadi dapat merealisasikan kehendak untuk mengadakan open house dan yang berpuasa tadi dapat menunaikan hajat tuan rumah dengan perasaan amat selesa.

“Semoga adab dalam menghormati tetamu dan meraikan tuan rumah dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.