Browsing Tag

Pu Syed

mat tudung
Berita Semasa,

Mat Tudung, bukan sekadar cerita tetapi soal hukum Islam

TULAR pada minggu lepas apabila pendakwah bebas, PU Syed menegur filem terbaru Datuk Fizz Fairuz yang berjudul Mat Tudung Begins di mana terdapat watak lelaki yang berpakaian seperti wanita.

Menurut PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, tindakan beberapa pelakon lelaki yang mengenakan pakaian menyerupai wanita seperti yang terpampang pada poster filem berkenaan sememangnya salah di sisi agama.

Rata-rata netizen menyokong apa yang disuarakan oleh PU Syed itu.

“Memang tak boleh walaupun dalam lakonan. Semoga ALLAH pelihara dan lindungi kita semua.

Baca Juga Beli barangan bercorak pelangi, adakah dikira menyokong golongan songsang?

“Setuju, teguran baik mengikut hukum, apatah lagi dimain-mainkan atau dilakukan untuk suka-suka atau gembira, muhasabah diri, Insya-ALLAH, dipermudahkan semua. Aamiin.

“Hukum tetap hukum, kita sebagai Islam wajib taat, tak kiralah kita siapa, ahli politik ,ahli sukan, mahu pun artis sekali pun,” demikian antara komen warga maya di media sosial.

Tidak berdiam diri, Fizz tampil memberikan reaksi balasnya berhubung kenyataan tersebut menerusi satu hantaran di ruangan Instagram Stories.

PU SYED menegur tindakan beberapa pelakon lelaki yang mengenakan pakaian menyerupai wanita seperti yang terpampang pada poster filem berkenaan sememangnya salah di sisi agama.

Jelas Fizz, PU Syed tidak sepatutnya membuat sebarang persepsi negatif berhubung filem ini sebaiknya menonton terlebih dahulu untuk mengetahui jalan cerita yang sebenar.

“Terima kasih Syed, tapi kenyataan itu salah. Saya bukan hari-hari jadi wanita. Itu kan cerita. Jangan haramkan dulu sebelum tahu cerita sebenar.”

Berkaitan isu ini juga, bukan hanya PU Syed yang memberikan teguran, malah seorang pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung turut menampilkan beberapa persoalan berdasarkan kenyataan di atas.

Artikel Berkaitan 

Ujarnya, terdapat beberapa persoalan dalam kenyataan Datuk di atas.

1)”Saya bukan hari-hari jadi wanita.” Isu sekarang bukan hari-hari atau sehari. Isu sekarang adalah tindakan lelaki memakai pakaian wanita itu adalah tindakan yang haram.

Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah melaknat lelaki yang bertingkah laku menyerupai perempuan dan perempuan yang bertingkah laku menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat Bukhari)

“ALLAH melaknat laki-laki yang menyerupai wanita, begitu pula wanita yang menyerupai laki-laki”

Jika kita ingin menggunakan logik yang sama, adakah kita boleh minum arak dan berkata “Saya bukan hari-hari minum arak.” TENTUNYA TIDAK.

2)”Itu kan cerita.” Walaupun ia hanya cerita dan lakonan, tetapi perkara haram tetap haram. Sebagai contoh, seorang Muslim tidak boleh makan babi walaupun hanya berlakon.

Mungkin akan ada orang yang kata, “habis tu dalam filem pun ada pelakon membunuh orang, itu boleh pula.”

Kita kena faham lakonan membunuh bukan membunuh yang sebenar. Tiada orang meninggal dalam lakonan itu. Tetapi dalam filem ini pelakon lelaki betul-betul memakai pakaian wanita. Tindakan memakai pakaian lain jantina itulah yang dilaknat Rasulullah.

Baca Juga Kafarah bukan balasan Tuhan, tapi satu bentuk rahmat ALLAH

3)”Jangan haramkan dulu sebelum tahu cerita sebenar.” Sekali lagi isu pemakaian lawan jantina tiada kaitan dengan jalan cerita. Tindakan lelaki memakai pakaian wanita bukan sahaja dilaknat Rasulullah. Baginda pernah menghalau lelaki yang berpakaian wanita. (Hadis riwayat Bukhari)

“Naudzubillah min zalik. Semoga ALLAH menjauhi kita daripada perkara yang dilaknat-NYA. Harap filem ini juga disekat seperti filem-filem lain yang mengandungi agenda songsang sebelum ini,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook.