Browsing Tag

provokasi

provokasi
Berita Semasa,

Jauhi provokasi, perbuatan tercela yang mengundang dosa besar

Jauhi provokasi, perbuatan tercela yang mengundang dosa besar…

PERLAWANAN Liga Super antara Penang FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang telah dicemari dengan insiden pergaduhan antara kedua-dua kumpulan penyokong selepas acara berakhir pada malam Selasa.

Media melaporkan, kejadian berlaku di luar stadium dipercayai berpunca disebabkan provokasi antara kedua-dua pihak sebelum berlaku insiden tolak menolak antara mereka.

Suasana menjadi semakin tegang apabila kedua-dua kumpulan mula bertindak agresif dengan aksi sepak terajang antara mereka hingga mencetuskan kekecohan berhampiran kawasan parkir bas penyokong Kedah.

Baca Juga Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

Dalam satu video tular berdurasi 1 minit 42 saat, kumpulan berpakaian serba hitam yang dipercayai penyokong Pulau Pinang dilihat mengeluarkan kata-kata provokasi sebelum berlaku pergaduhan dengan penyokong pasukan lawan.

Melihat senario di atas ia bukanlah pertama kali berlaku, malah sudah berulang kali sejak perlawanan bagi merebut piala antara negeri diadakan.

Disebabkan tidak puas hati menerima kemenangan satu pihak, lalu dicantas provokasi sehingga menimbulkan pergaduhan antara mereka.

TANGKAP layar video tular yang memaparkan insiden pergaduhan antara penyokong Pulau Pinang dan Kedah Darul Aman di luar di Stadium Bandaraya. – Foto Sinar Harian

Ketahuilah, Islam melarang umatnya untuk bertindak begitu, terutama apabila hanya melibatkan perlawanan bola sepak yang sepatutnya menyatukan rakyat Malaysia, bukannya mencetuskan perbalahan.

Tahrisy rosakkan hubungan persaudaraan

Melihat keadaan pada hari ini, semakin hari semakin ramai manusia yang memulakan provokasi ketika mahu menegakkan pandangan atau mengkritik pihak yang tidak sehaluan dengan mereka.

Baca Juga Peringatan untuk para YB, tunaikan janji yang ditabur agar tidak tergolong dalam kelompok munafik

Ada ayat-ayat yang tidak perlu diungkapkan, tetapi sengaja dilontarkan sebagai satu bentuk perbuatan provokasi untuk memuaskan hati sendiri.

Sebagai Muslim, hindarilah diri daripada melakukan perbuatan ‘tahrisy’ atau dalam bahasa Melayunya disebut sebagai provokasi. Perkara itu ditegaskan sendiri oleh Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin.

Jelas beliau, ‘tahrisy’ (provokasi) adalah perbuatan tercela yang merosakkan hubungan persaudaraan, kesatuan dan masyarakat, bahkan boleh mengganggu-gugat keamanan serta keselamatan negara.

PERBUATAN ‘tahrisy’ atau provokasi ini tidak boleh diremehkan sama sekali kerana ia merupakan dosa besar.  

“Malah, ia merupakan salah satu dosa besar kepada para Muslim jika dilakukan.

“‘Tahrisy’ merupakan antara salah satu perilaku ‘namimah’, iaitu menukil perkataan daripada sebelah pihak ke pihak lain atau antara dua orang untuk menimbulkan gangguan pada salah satunya,” katanya.

Perkara itu disebutkan jelas dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT telah memerintahkan para hamba-NYA agar tidak mengikut golongan tersebut, ungkapnya.

Baca Juga Pemuda ini korbankan impian dan kerja demi menjaga ibu yang sakit

Turut Disyorkan ‘Kupu-kupu masuk rumah tanda tetamu datang’, ini contoh ungkapan tathayyur yang dikira syirik kecil

Ia sepertimana yang dinyatakan dalam Surah al-Qalam, ayat 10 hingga 11: “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang kian ke mari menebar namimah.”

Bahkan, Rasulullah SAW telah memberikan amaran: “Tidak masuk syurga pelaku namimah” (Hadis Riwayat Muslim)

“Ingatlah, perbuatan ‘tahrisy’ ini tidak boleh diremehkan sama sekali kerana ia merupakan dosa besar. ALLAH tidak akan menerima taubat kita selagi dosa kita tidak dimaafkan oleh pihak yang kita ‘tahrisy’kan.

“Ia boleh diampunkan sekiranya kita sempat meminta maaf. Jika tidak, dosa kita tidak akan terampun dan kita akan bawanya hingga ke Padang Mahsyar untuk dihitung,” katanya.