Browsing Tag

Prof Kamal Hassan

belasungkawa
Berita Semasa,

BELASUNGKAWA. Tokoh pemikir Islam, Tan Sri Mohd Kamal Hassan meninggal dunia

PENGERUSI Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan meninggal dunia pada usia 80 tahun awal pagi ini, Khamis.

Allahyarham, bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meninggal dunia disebabkan kompilasi berkait rapat dengan prosedur pembedahan yang dilakukan sebelum ini.

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, Allahyarham memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1965 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975.

Ketokohan Allahyarham diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa dan menjadi cenedekiawan yang cukup disegani.

Mohd Kamal diamanahkan sebagai Rektor UIAM pada 1999 hingga 2006 selain turut berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), sebuah lembaga ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Allahyarham juga dinobat sebagai Profesor Ulung atas sumbangan bakti dalam dunia akademik. Sementara itu, solat jenazah telah disempurnakan pada pukul 11 pagi di Surau Al Mawaddah, Mutiara Bangi, Bandar Baru Bangi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi.

Allahyarham juga merupakan penulis buku ‘Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika’.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tokoh ilmuwan negara Prof Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang telah kembali ke Rahmatullah awal hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan menyatakan Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan para solihin.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga  Allahyarham.

Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menziarah keluarga Allahyarham pada Khamis

Anwar dalam satu catatan di akaun Facebook berkata Allahyarham merupakan tokoh pemikir Islam yang banyak memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.
“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” kata beliau yang menyifatkan pemergian Mohd Kamal meninggalkan bekas yang mendalam kepada sanubari umat.