Browsing Tag

Pol Abu Bakar

Pol Abu Bakar
Personaliti,

Pol Abu Bakar, pembantu jurulatih Kelantan FC kongsi pengalaman puasa dan raya kali pertama sebagai Muslim

Pol Abu Bakar, pembantu jurulatih Kelantan FC kongsi pengalaman puasa dan raya kali pertama sebagai Muslim

SELEPAS menerima lampu hijau daripada Pemilik Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC), Norizam Tukiman, penulis lantas mendapatkan pembantu jurulatih pasukan tersebut, Pol Corpas Cuatrecasas.

Penulis sampaikan hasrat hati kepada beliau bagi menemu bual dan mengadakan sesi fotografi bersamanya untuk Sinar Islam Plus edisi Syawal.

Pemuda tersebut menjadi sebutan ramai dan pernah tular sebelum ini dengan berita pengislamannya sekitar bulan Februari lalu.

Alhamdulillah, urusan tersebut berjalan lancar apabila tuan punya badan sendiri menyatakan kesediaannya untuk berjumpa. Ketika pertemuan diatur, Pol atau nama Islamnya Pol Abu Bakar Corpas Cuatrecasas, 26, mempunyai latihan bola sepak di padang Institut Latihan Sultan Ahmad Shah, Kajang, Selangor.

Skuad The Red Warrior (TRW) bakal beraksi dalam Piala FA Malaysia 2023 di Manjung, Perak pada keesokannya.

Kepada Sinar Islam Plus, Pol Abu Bakar memulakan rentak bicaranya dengan perasaan luar biasa yang diraihnya selepas bergelar Muslim hampir dua bulan.

Pol Abu Bakar

POL ABU BAKAR (kanan) begitu berdedikasi dan berusaha keras untuk menambah baik kualiti permainan pasukan Kelantan FC yang dibimbingnya.

“Saya rasa sangat tenang dan bersyukur (dengan hidayah ALLAH SWT). Sejak saya memeluk Islam, saya lebih tenteram dan boleh faham banyak perkara yang membantu saya dalam urusan harian. Agama Islam juga mengajar saya untuk menjadi seorang yang sabar.

“Paling penting, saya percayakan ALLAH SWT dan akan terus meyakini- NYA meskipun menempuh masa-masa sukar,“ ungkapnya yang sebelum ini mengucapkan kalimah Tauhid dengan bantuan Norizam dan beberapa orang lagi di Hotel Zamburger Kota Warisan, Sepang, Selangor.

Baca juga Terpaut dengan alunan merdu al-Quran di Masjid Negara, dua pelancong Jepun peluk Islam

Lafaz syahadah itu kemudiannya dibuat secara rasmi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya sambil disaksikan pegawai dari Hidayah Islamic Centre.

Keputusan nekad yang mengubah hidup juruanalisis video Kelantan FC itu dipermudahkan segala-galanya. Selain banyak dibantu oleh bosnya, Norizam dan pasukannya ketika ingin melafazkan syahadah, keluarganya turut memberi reaksi positif sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Malah, ibu (Elba) dan adik saya (Blai) yang berada di Sepanyol memberikan 100 peratus sokongan. Pada mereka, jika pengislaman ini memberi kebaikan kepada diri saya sendiri, tiada salahnya untuk saya mengambil keputusan ini,“ katanya yang turut mendapat dorongan daripada teman wanitanya dikenali sebagai Imaan.

Beliau kini masih mengikuti kelas fardu ain dan bimbingan agama daripada Hidayah Islamic Centre.

Pol Abu Bakar

POL ABU BAKAR bercerita pengalaman puasa dan raya kepada Sinar Islam Plus. -Foto: IHSAN MUHAMMAD TARMIZI MOHD NAFI daripada TRW KELANTAN FC

Cabaran berpuasa

Bercerita tentang pengalaman pertamanya berpuasa pada bulan Ramadan, Pol Abu Bakar mengakui, ia sedikit memenatkan.

Namun, beliau begitu teruja dan seronok kerana berjaya menyempurnakan Rukun Islam keempat itu. Apatah lagi dalam keadaan dirinya yang perlu menempuh sebanyak lima perlawanan bola sepak sepanjang bulan Ramadan.

“Ya, ada masanya saya rasa haus ketika sesi latihan. Nasib baiklah sesi berkenaan dijalankan pada waktu petang dan sejam sebelum berbuka puasa.

“Mujur juga semua ‘pertempuran‘ tersebut diadakan pada waktu malam,“ ujarnya.

Pemuda itu sememangnya sudah biasa berpuasa. Cuma, puasa yang dilakukan sebelum ini hanyalah melibatkan ‘intermittent fasting‘ (IF) untuk tujuan kesihatan. Ia sangat berbeza dengan kewajiban pada bulan Ramadan.

“Walaupun namanya sama iaitu puasa, tetapi ia berbeza dari segi pelaksanaannya. Semasa melakukan IF, saya banyak tidur. Mungkin saya tak makan malam, tetapi saya akan makan pada waktu pagi dan sebaliknya.

“Berlainan dengan puasa Ramadan yang dilakukan sepanjang siang dan tidak boleh makan serta minum air. Malah, IF biasanya dilakukan pada waktu malam yang tidak begitu aktif. Jadi kita tidak akan rasa penat dan pada masa sama, boleh minum air,“ terangnya panjang lebar.

Pol Abu Bakar

POL ABU BAKAR (tiga, kiri) ketika beriftar dengan skuad TRW. -Foto: IHSAN POL ABU BAKAR

Bukan itu sahaja, ujar jejaka asal Begur dalam wilayah Catalonia yang terletak di Pantai Timur Sepanyol, rutin hariannya sepanjang Ramadan turut berubah.

Ini kerana jadualnya lebih padat menjelang tengah hari hingga lewat malam dan hanya tidur sekitar jam 2 pagi.

“Jika lazimnya saya memulakan rutin selepas Subuh, tetapi ketika Ramadan, saya akan mulakan hari sekitar jam 11 pagi atau jam 12 tengah hari.

“Saya juga berkesempatan untuk menunaikan solat di masjid,“ katanya menggemari hidangan roti titab dan nasi kerabu.

Baca juga Peluk Islam ketika dalam penjara, bekas banduan kini jadi pendakwah

‘Aidilfitri sewajarnya diraikan penuh kesyukuran‘

Meskipun Syawal yang bakal tiba nanti biasa disambut oleh Pol Abu Bakar sejak tiba di negara ini dua tahun lalu, namun ia begitu bermakna buat dirinya.

Masakan tidak, itu adalah kali pertama beliau merayakan Hari Raya Aidilfitri sebagai seorang Muslim. Pasti lain perasaan yang dialami kerana sudah menikmati hidayah ALLAH dan mengecap kemanisan beragama.

Dengan penuh ceria, pemuda berdarah campuran Sepanyol-Argentina itu memberitahu, beliau bakal meraikan lebaran bersama teman wanita yang dikenali sebagai Imaan di Kuala Lumpur.

“Saya tidak cuti panjang, hanya tiga hari saja. Jadi saya akan bersama keluarga Imaan selama satu hari. Lagi satu hari pula, saya bercadang untuk menyambutnya di rumah sahabat lelaki,“ katanya teruja.

Pol Abu Bakar

POL ABU BAKAR bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama teman wanitanya di ibu kota. -Foto: IHSAN MUHAMMAD TARMIZI MOHD NAFI daripada TRW KELANTAN FC

Malah, beliau yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu sudah menyiapkan dua pasang baju Melayu berwarna putih dan merah jambu lengkap dengan sampin untuk menyambut Syawal nanti.

“Apabila dimaklumkan keluarga Imaan memakai baju berwarna tema merah jambu, saya ikut saja dan saya beli lagi sepasang baju Melayu putih kerana suka dengan warnanya. Beraya bersama keluarga mereka membuatkan saya teringat kampung halaman.

“Saya dan Imaan masing-masing sudah dua tahun kenal dan menjalin hubungan istimewa. Malah, ibu Imaan juga maklum tentang kami dan merestuinya. Insya- ALLAH jika diizinkan, dia akan menjadi jodoh saya suatu hari nanti,“ ungkapnya sambil mengimpikan untuk menjamah Nasi Dagang.

Meskipun teruja, namun terselit nada sayu dalam bicaranya apabila menyebut tentang ibunya, Elba, 56.

“Ibu saya di Sepanyol sedih tidak dapat datang ke sini beraya bersama saya. Dia ingin melihat saya pakai baju Melayu dan lain-lain.

“Saya faham, ibu bekerja dan tidak boleh cuti panjang untuk ke sini,“ katanya yang bercadang untuk pulang ke Sepanyol pada bulan November ini ketika cuti panjang.

Kali terakhir Pol Abu Bakar bertemu ibunya pada bulan November hingga Disember tahun lalu.

Manifestasi terima kasih kepada ALLAH

Dari lubuk hatinya yang paling dalam, saudara baharu itu menjelaskan, Hari Raya Aidilfitri sewajarnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran.

Ya, Aidilfitri merupakan manifestasi terima kasih kita kepada ALLAH SWT yang MAHA BERKUASA.

Baca juga Usah Bermewah-mewah, Melaram Dan Berlebih-lebihan Ketika Sambut Aidilfitri

“Apatah lagi kita sudah berjaya menamatkan sebulan puasa pada bulan Ramadan. Itu adalah kemenangan bermakna buat setiap Muslim.

Pol Abu Bakar

SEBAGAI saudara baharu, Pol Abu Bakar (tiga, kanan) teruja dan seronok dapat mendirikan solat
secara berjemaah.

“Paling penting, kegembiraan yang disambut bersama insan tersayang itu ada kaitan dengan agama Islam yang suci, keharmonian keluarga dan lain-lain,“ tuturnya.

Beliau berharap lebaran kali ini dapat dirayakan dengan baik, tanpa insiden yang tidak diinginkan.

“Semoga semua orang dapat nikmati perayaan ini dengan rasa gembira di samping keluarga masing-masing dan bersederhanalah dalam setiap perkara.

“Di sebalik keseronokan yang dirasai, jangan lupa kita masih lagi bergelut dengan Covid-19 dan macam-macam penyakit. Justeru, jaga diri dengan keluarga,“ titipnya.

Sebelum mengakhiri butir bicaranya, Pol Abu Bakar sempat menitipkan pesanan buat mereka yang mahu memeluk Islam, tetapi masih ragu-ragu kerana diselubungi rasa takut dan seumpamanya.

“Ingatlah, ia adalah pilihan peribadi. Mereka bebas untuk memilih dan tiada sesiapa pun yang dipaksa (untuk memeluk Islam). Biarlah kita rasa bebas, selamat dan pasti dengan pegangan yang dipilih.

“Benar, saya tahu kadangkala sukar untuk kita berubah, tapi satu perkara yang perlu diketahui, kaum keluarga dan sahabat akrab kita tidak akan berhenti menyayangi kita,“ titipnya.

Demi memantapkan lagi ilmu Islam seterusnya menjadi Muslim sejati, Pol Abu Bakar menyimpan harapan untuk mempelajari lebih banyak perkara tentang agama suci Islam.

Tekad anak muda itu wajar dicontohi oleh semua. Semoga usahanya secara istiqamah itu akan membuahkan hasil satu hari nanti. Sama-sama kita doakan.

Pol Abu Bakar

POL ABU BAKAR berasa teruja dan seronok dapat menyempurnakan puasa pada bulan Ramadan sempurna. –Foto: IHSAN MUHAMMAD TARMIZI MOHD NAFI daripada TRW KELANTAN FC

PROFIL

Nama: Pol Corpas Cuatrecasas

Nama Islam: Pol Abu Bakar Corpas Cuatrecasas

Tarikh lahir: 15 Ogos 1996

Umur: 26 tahun

Waganegara: Sepanyol

Hobi: Semua jenis sukan berkaitan adrenalin (meluncur, skuba, menaiki jet ski dan lain-lain)

Warna kegemaran: Merah

Pekerjaan: Pembantu jurulatih bola sepak

Pengalaman:

-Pernah berkhidmat sebagai jurulatih di sebuah kelab wanita di Girona dan Yayasan Marcet yang berpusat di Barcelona sebelum berhijrah ke Kelantan.

– Berpengalaman berkhidmat di Congo, China dan Maghribi

Pendidikan tertinggi: Diploma dalam bidang sukan dan kini sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, jurusan pengurusan perniagaan di Universitat Oberta de Catalunya, Barcelona, Sepanyol