Browsing Tag

Pindah rumah

Pindah rumah
Ibadah,

Pindah rumah yang pernah didiami ‘non-Muslim’, perlukah disertu?

SIAPA yang tidak teruja apabila dapat pindah rumah baharu. Sudah tentu banyak idea dekorasi kediaman sudah terbayang-bayang dalam ruang fikiran.

Masakan tidak, berpindah tempat umpama memberikan nafas baharu dan segar kepada kita.

Namun, ada persoalan berbangkit apabila masuk ke rumah baharu. Selain perlu mencucinya, adakah kita perlu sertu kediaman tersebut lebih-lebih lagi non-Muslim pernah duduk di situ sebelum ini?

Sebelum menjawab persoalan itu, perlu difahami bahawa sertu membawa maksud menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

Untuk melakukannya, menurut e-Kemusykilan Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, kita perlu basuh pada tempat yang terkena najis berat tersebut sebanyak tujuh kali.

Baca juga Mandi dalam kolam renang yang pernah dimasuki anjing, apa perlu dibuat…

“Satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan enam kali lagi dengan air mutlak.

Pindah rumah

SERTU perlu dilakukan pada tempat yang terkena najis dengan sekali basuhan menggunakan air tanah dan enam kali lagi dengan air mutlak. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Jika masih ada najis atau tetap ada ain (nampak), maka ia perlu dibasuh lagi dengan air mutlak sehingga hilang,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ekemusykilan.penang.gov.my/.

Berbalik kepada tanda tanya tentang sertu kediaman yang pernah diduduki oleh orang bukan Islam, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, andai kita tidak pasti pemilik lama pernah membela anjing, ketahuilah bahawa suatu perkara itu adalah suci kecuali jelas ia bernajis.

Baca juga Nak masuk rumah baru? Ini amalan yang perlu dibuat mengikut Islam

Demikian yang disebut pada dasarnya. Ini bermakna, kita tidak sepatutnya mengandaikan perkara yang tidak nampak.

“Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap begitu sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis.

“Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih tadi sebagaimana kaedah usul fiqh menyatakan ‘keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak)’,” katanya.

Baca juga Bawa anjing ke premis makanan, tindakan pantas pengusaha restoran sertu tempat raih pujian

Justeru, jabatan mufti itu menegaskan, rumah tersebut tidak perlu disertu, malah tidak wajib untuk kita berbuat demikian.

Pindah rumah

ANDAI kita ingin sertu kediaman selepas pindah rumah yang pernah diduduki orang bukan Islam, ia diharuskan bagi menghilangkan waswas dan lebih tenteram serta yakin untuk tinggal di situ. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Ini kerana tiada bukti keseluruhan bangunan berkenaan terkena najis mughallazah.

“Ingatlah, Islam tidak memberatkan atau menyulitkan masalah sehingga perlu berbuat demikian.

“Andai memang jelas terbukti tempat tertentu digunakan atau terkena najis berat dan masih tidak dibersihkan dengan baik, maka di situ sahaja yang perlu disertu. Bagaimanapun, jika kita mahu sertu keseluruhannya, ia adalah harus.

“Andai kita tetap ingin sertu juga rumah itu, hukumnya adalah harus bagi menghilangkan waswas dan lebih tenteram serta yakin untuk mendiami kediaman tersebut,” katanya.