Browsing Tag

Pilih tempat pengajian

Ibu bapa
Berita Semasa,

Waspada pilih tempat pengajian, usah semberono saja

Waspada pilih tempat pengajian, usah semberono saja

MENGEJUTKAN. Demikian antara respons warga maya apabila bertebaran dakwaan ramai rakyat Malaysia terlibat dengan majlis kontroversi ajaran pelik pesantren di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia.

Ironinya, sekolah pondok tersebut bukan sekali dua terpalit isu-isu sensasi, tetapi sudah mangli dengan kisah sebegitu sebelum ini.

Ia termasuklah polemik mengucap salam dengan cara Yahudi dan Kristian dalam bahasa Ibrani, percampuran saf solat antara lelaki dan wanita serta menganjurkan kaum Hawa sebagai khatib.

Baca juga Kontroversi ajaran pelik di pesantren Jawa Barat. Jakim tubuh jawatankuasa pemantau

Kontroversi tersebut membuka mata orang ramai supaya tidak semberono memilih tempat belajar. Apalagi membabitkan institusi agama dan sekolah pondok.

Bukan apa, bimbang pula ilmu agama yang didambakan memenuhi dada menjadi sebaliknya. Impaknya bukan sahaja kepada diri, tetapi juga kepada insan di sekeliling dan masyarakat.

Bagaimanakah ciri-ciri sekolah pondok atau pengajian agama yang benar-benar mengamalkan ajaran dibawa oleh Nabi Muhammad SAW?

Kriteria pondok dipercayai

Sinar Islam Plus menemubual Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim bertanyakan lanjut tentang kriteria sekolah pondok yang benar-benar diyakini.

DR MASHITAH

Jelas beliau, selain pondok, sekolah berkenaan mestilah mempunyai guru yang fakih dalam pengajian agama dengan sanad yang betul.

“Pengajian di pondok lazimnya tidak terhad kepada umur tertentu, selain tidak berorientasikan peperiksaan, tetapi ia lebih terarah kepada bentuk ilmu.

“Cuma akhir-akhir ini terdapat juga sekolah pondok tertentu yang menawarkan peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) , Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan sebagainya yang menambah nilai kepada pelajar yang ada. Sekurang-kurangnya mereka boleh menyambung pelajaran lain selepas itu,” katanya baru-baru ini.

Baca juga Hendak gali ilmu, jangan semberono pilih guru

Masih ramai lagi yang keliru antara sekolah pondok dan sekolah agama atau maahad tahfiz yang lain.

Mengulas lanjut, Dr Mashitah menjelaskan, institusi pondok dalam bahasa mudahnya menawarkan pengajian kitab-kitab lama atau disebut sebagai kitab kuning dan turath yang sepenuhnya menggunakan bahasa Arab.

“Kitab-kitab sebegitulah yang dipanggil sebagai ‘gantung makna’ iaitu apabila kita baca, kita gantung sekali makna di bawahnya.

“Lazimnya, setiap sekolah pondok, mereka ada pengkhususan tersendiri misalnya dalam bidang bahasa Arab, fiqah, akidah, tasawuf dan lain-lain.

“Konsep sekolah pondok juga tidak sama. Ia lebih terarah kepada proses mentarbiah diri. Malah, pengajarnya bukan sekadar menjadi guru untuk menimba ilmu, tetapi penuntutnya turut diajar supaya solat berjemaah dengan mereka dan lain-lain,” katanya sambil menegaskan silibus pelajarannya sama sekali berbeza dengan di pusat-pusat tahfiz mahupun sekolah agama rakyat.

Profil Pondok Malaysia

Pilih tempat pengajian

DR MASHITAH menunjukkan buku berjudul Profil Pondok Malaysia yang diterbitkan oleh YPPM bagi memudahkan orang ramai membuat rujukan tentang sekolah pondok yang ada di negara ini, selain pilih tempat pengajian yang betul.

Bagi memudahkan orang ramai membuat rujukan berkaitan pengajian pondok, Dr Mashitah yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjelaskan, YPPM menerbitkan sebuah buku yang mengandungi direktori sekolah pondok di seluruh Malaysia menerusi Profil Pondok Malaysia.

Cetusan karya hasil kajian YPPM bersama Universiti Utara Malaysia dan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu boleh didapati di perpustakaan awam dan universiti, ungkapnya.

Jelas beliau, terdapat lebih 240 pondok berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), selain 400 lagi pengajian pondok yang dikenal pasti pihaknya setakat ini.

Baca juga Rujuk al-Quran jika kita buntu atau terbeban dengan banyak masalah

“Kita bukan sahaja memberi gambaran tentang pondok berkenaan, tetapi kami turun padang, ambil gambar dan maklumat berkaitan yang diperincikan dalam profil berkenaan,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau menjelaskan, YPPM juga dalam rangka kerja menyiapkan profil mudir (pengetua) di Malaysia yang dijangka siap hujung tahun ini.

Penulis sempat bertanyakan perspektifnya tentang jangkaan orang ramai bahawa orang yang belajar sekolah pondok tinggi ilmu agamanya.

Malangnya, ia boleh menjadi sebaliknya apabila tersalah memilih pondok, pesantren atau tempat pengajian sehingga tersebarnya doktrin yang menyeleweng daripada landasan syariat Islam.

“Saya melihatnya sebagai kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Rata-ratanya tidak berlaku begitu, sebaliknya amat sedikit terutamanya dalam pondok tempatan. Malah, kita mempunyai kualiti pengajian pondok yang baik di dalam negara.

“Seperkara lagi, tidak boleh dinafikah bahawa sejak dulu lagi Nabi Muhammad SAW menegur tentang pelampau-pelampau dan perosak-perosak agama sebagaimana disebut dalam banyak hadis.

“Ia memang ada sebab pemikiran agama ini adakalanya dibawa berdasarkan kepada tafsiran murabbi itu sendiri. Sebab itulah kita selalu ada ijtimak di antara ulama-ulama untuk mendekati sekolah pondok ini dan tidak menyisihkan mereka.

“Jangan kita lupa ada segelintir orang tidak suka sekolah pondok. Ketahuilah, institusi pondok dalam sejarah mencatatkan bahawa mereka juga terlibat dalam usaha membawa kemerdekaan negara Malaysia,” katanya memberi maklum balas.

Pilih tempat pengajian

UMAT Islam perlu bijak menapis perkara yang melibatkan agama lebih-lebih lagi ketika mendalami ilmu berkenaan dan pilih tempat pengajian mengikut yang disarankan para agamawan. -Foto: Unsplash

Sebelum menoktahkan bicara, Dr Mashitah berpesan agar setiap umat Islam perlu bijak menapis dalam perkara berkaitan agama dan mengingat titipan ulama.

Baca juga Ini hukumnya apabila kita ‘berguru’ dengan media sosial

“Apabila bercakap soal agama, perhatikan siapa sumber, dari mana kita ambil ilmu-ilmu berkenaan, siapa tok guru kita dan dari mana mereka itu.

“Semua perkara itu perlu diperhatikan, disoal siasat dan diselidik terlebih dahulu supaya apa yang diraih adalah datang daripada masdar (sumber) yang betul.

“Bila sumbernya betul, barulah ilmu yang diperoleh juga benar. Ingatlah, ilmu agama ini suatu yang jelas dan terang. Jika sudah terang lagi bersuluh suatu perkara itu melibatkan percampuran lelaki dan wanita dalam satu saf solat misalnya, ia jelas perkara yang tidak betul,” tegasnya.