Browsing Tag

pilih jalan jauh untuk solat jamak dan qasar

Solat jamak dan qasar
Ibadah,

Bolehkah ‘saja-saja’ pilih jalan jauh semata-mata hendak solat jamak dan qasar?

Bolehkah ‘saja-saja’ pilih jalan jauh semata-mata hendak solat jamak dan qasar?

RASANYA ramai yang akan mengambil peluang untuk menyambung berhari raya pada hujung minggu ini. Tambahan pula cuti Hari Pekerja jatuh pada hari Isnin depan.

Semakin rancaklah Syawal kita nanti dengan amalan ziarah saudara-mara mahupun kenalan masing-masing. Malah, ada juga yang memenuhi undangan rumah terbuka pada waktu itu.

Tidak salah untuk ‘berjalan’ demi menghidupkan lebaran kita dan mengeratkan silaturahim. Sememangnya itulah yang dianjurkan dalam Islam.

Begitupun, dalam kita memenuhi tuntutan berkenaan, terdapat pula segelintir orang yang memilih jalan jauh semata-mata untuk mendapatkan rukhsah solat jamak dan qasar. Sedangkan, ada sahaja laluan dekat yang jaraknya tidak sampai pun dua marhalah.

Baca juga Pulang beraya di kampung, berapa hari sebenarnya kita boleh solat jamak dan qasar?

Mereka seolah-olah sengaja berbuat demikian demi keringanan syarak yang diberikan kepada para musafir.

Bolehkah kita berbuat demikian demi mendapatkan rukhsah tersebut?

Dalam hal itu, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, andai seseorang bermusafir dan memilih laluan lebih jauh yang mana jaraknya mencapai dua marhalah hanya sekadar untuk mendapatkan rukhsah (keringanan syarak) solat musafir (jamak dan qasar), maka kelompok berkenaan tidak boleh berbuat demikian.

DR SYED SHAHRIDZAN

Larangan itu bersandarkan kepada hujah daripada Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori dalam karyanya, Asna al-Matolib yang menyebut: “Jika seseorang di dalam perjalannya melalui laluan yang paling jauh antara dua jalan atas tujuan mengharuskan solat qasar, bahkan tanpa tujuan apa pun sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Majmu’, maka dia tidak boleh mengqasarkan solat.

“Hal ini seperti dia melalui laluan yang paling dekat yang mana kurang dari masafah (jarak) qasar dan dia memanjangkan perjalanannya ke arah kanan dan kiri (untuk menjauhkan jarak).”

Dalam pada itu, Dr Syed Shahridzan turut memberi beberapa contoh dan situasi tentang perjalanan musafir yang dibolehkan untuk menggunakan rukhsah solat berkenaan.

Baca juga Boleh ke tunaikan solat jamak qasar ketika mulakan perjalanan musafir lepas masuk waktu solat?

Jelas beliau, jika seorang musafir memilih jalan lebih jauh, sedangkan wujud laluan lebih dekat yang tidak sampai dua marhalah jaraknya dengan tujuan baik tidak bertentangan dengan syariat, maka mereka diharuskan untuk melaksanakan solat musafir.

“Tujuan baik yang dimaksudkan adalah seperti menziarahi keluarga atau sahabat yang menetap pada arah laluan yang jauh atau tujuan mencari barang keperluan, menghantar barang dan seumpamanya.

Solat jamak dan qasar

JIKA seorang musafir memilih jalan lebih jauh, sedangkan wujud laluan lebih dekat yang tidak sampai dua marhalah jaraknya dengan tujuan baik tidak bertentangan dengan syariat, maka mereka diharuskan untuk melaksanakan solat musafir. -Foto: 123rf

“Perkara itu ada disebutkan dalam rujukan sama yang dinyatakan tadi. Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori menyatakan: ‘Dia dibenarkan untuk mengqasarkan solat jika dalam perjalanannya ada tujuan yang lain walaupun disertakan tujuan mengqasarkan solat, seperti tujuan keamanan, kemudahan, ziarah dan ibadah’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Redah lebih 100km dari rumah ke tempat kerja, bolehkah solat jamak dan qasar?

Bukan itu sahaja, pendakwah itu menjelaskan, seandainya seseorang memilih jalan yang lebih jauh (jalan lama) berbanding lebuh raya dengan tujuan berjimat cermat (mengelak tol), maka diharuskan untuk mereka melakukan jamak dan qasar solat.

“Namun, jika mereka memilih laluan yang lebih jauh hanya sekadar untuk mendapatkan keringanan solat musafir, maka dia tidak dibenarkan mendirikan solat secara jamak dan qasar,” tegas beliau.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.