Browsing Tag

pikul amanah hingga akhirat

Amanah
Berita Semasa,

Pikul amanah hingga akhirat, begitu besarnya tanggungjawab pemimpin

Pikul amanah hingga akhirat, begitu besarnya tanggungjawab pemimpin

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) enam buah negeri baru-baru ini iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan membuka lembaran baharu dalam pemilihan pemimpin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang akan diadakan pada 12 Ogos ini. Sudah pasti setiap parti yang bertanding akan mengemukakan senarai calon yang dijangka berpotensi memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Rentetan itu, kita sering diperingatkan bahawa setiap manusia waras ialah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya. Dalam keghairahan para pemimpin dan rakyat yang akan turun mengundi nanti, perlu diingatkan bahawa setiap tindak-tanduk dan pilihan yang kita buat akan mempunyai akibat yang akan menentukan kesudahan di akhirat kelak sama ada bahagia ataupun sengsara.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar, daripada Nabi SAW, baginda bersabda yang mafhumnya: “Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang kamu pimpin.” (Hadis riwayat Muslim)

Amanah

SETIAP orang sama ada sebagai pemimpin kepada orang lain atau diri sendiri adalah bertanggungjawab atas setiap amanah yang diberikan dan akan disoal pada hari akhirat kelak. -Foto: 123rf

Baca juga Menjadi pemimpin bukan sekadar mengarah, tetapi amanahnya lebih daripada itu…

Segala urusan akan dihitung

Meskipun urusan pemilihan pemimpin adalah berhubung dengan kemaslahatan duniawi, namun ia tidak terlepas daripada urusan di akhirat kelak. Ini kerana setiap orang sama ada sebagai pemimpin kepada orang lain ataupun pemimpin terhadap diri sendiri, setiap orang adalah bertanggungjawab dan akan disoal (mas’ulun) terhadap apa yang mereka pimpin.

Kalimah mas’ulun dalam hadis di atas mempunyai konotasi ketauhidan serta hubungan dengan apa yang dinamakan sebagai Hari Perhitungan dan juga Hari Pembalasan.

Dalam erti kata lain, apa jua kerja yang dilaksanakan dan pilihan yang diambil akan dihitung oleh PENGUASA HARI PEMBALASAN (Malikii yawm al-din), MAHA PENGHITUNG (al-Hasib) iaitu ALLAH SWT. Sebagai seorang pemimpin kepada orang lain, kepimpinan itu perlulah bermula dengan memimpin diri sendiri terlebih dahulu. Apabila diri sudah terpimpin, mudah-mudahan orang lain di bawah pimpinannya juga akan terpimpin.

Menurut pemikir dan ahli falsafah Malaysia yang masyhur, Syed Muhammad Naquib al-Attas, manusia mempunyai dwi-hakikat iaitu roh dan jasmani sekali gus. Selain itu, manusia juga mempunyai dua jiwa (nafsan) serupa dengan dwi-hakikatnya tersebut iaitu jiwa yang tinggi disebut sebagai diri ‘aqali (al-nafs al-natiqah) dan jiwa yang rendah disebut sebagai diri haiwani (al-nafs al-hayawaniyyah).

Baca juga Abaikan amanah dilabel munafik dan tidak sempurna iman

Hakikat diri insan adalah merujuk kepada diri ‘aqali. Ini kerana diri ‘aqali itulah dapat mengenal ALLAH, diri ‘aqali itulah yang ditaklifkan untuk beribadat kepada ALLAH dan diri ‘aqali itulah yang akan menanggung akibat segala perbuatan diri haiwaninya sama ada yang baik (kasaba) mahupun buruk (iktasaba).

Amanah

AMANAH yang diberikan tidak boleh dibuat main kerana akan ditanya di akhirat kelak. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Dalam keadaan fitrah, diri ‘aqali tersebut adalah dominan dan menguasai diri haiwaninya. Maka segala tindak-tanduknya akan mengarah kepada kebaikan. Sebaliknya, jika diri haiwani tersebut adalah dominan, maka ia akan menguasai diri ‘aqalinya dan segala tindak-tanduknya akan mengarah kepada keburukan.

Keadaan fitrah tersebut adalah merujuk kepada kejadian manusia sebagai ahsan taqwim. Firman ALLAH yang mafhumnya: “Sesungguhnya KAMI telah menciptakan insan dalam bentuk (dan susunan) yang sebaik-baiknya. Kemudian KAMI kembalikan dia dalam keadaan yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka ganjaran yang tidak putus-putus.” (Surah at-Tin, ayat 4-6)

Frasa ‘ahsani taqwim’ tersebut bukan sahaja merujuk kepada kesempurnaan bentuk susunan fizikal, bahkan lebih merujuk kepada kesempurnaan susunan spiritual manusia iaitu diri ‘aqali berada “di atas” diri haiwani.

Sesiapa juga berpotensi jadi baik

Dalam keadaan ini, manusia berpotensi untuk menjadi insan yang baik. Namun jika diri haiwani telah menguasai dan berada di atas diri ‘aqali, maka insan akan terarah kepada keburukan dan akan berada dalam keadaan serendah-rendahnya yang disebut dalam al-Quran (surah al-A’raf, ayat 179) seperti binatang ternakan (al-an’am) bahkan lebih sesat lagi. Hanya orang yang beriman dan beramal soleh sahaja yang akan dapat mengembalikan dirinya dalam keadaan ahsan taqwim atau fitrah tersebut.

Justeru, untuk kembali kepada ahsan taqwim atau fitrah, manusia perlu mengenal kembali akan dirinya, mengenal kembali akan Penciptanya iaitu ALLAH dan mengenal akan tempat asal kehidupannya yang sebenar iaitu kehidupan di akhirat kelak.

Amanah

JALANKANLAH setiap tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh dan tidak bersikap sambil lewa. -Foto: Pexels

Baca juga Calon pemimpin ini patut ditolak, perhatikan 5 ciri ini yang jelas ditegah dalam Islam

Dalam erti kata lain, beriman sungguh-sungguh kepada ALLAH sehingga iman tersebut benar-benar telah zahir dalam hatinya dan dapat merasai keberadaan ALLAH dalam setiap keadaan dan ketika. Dengan pengembalian dirinya tersebut, itulah yang disebut sebagai kembali kepada fitrah.

Dengan kembalinya seorang kepada fitrah, maka diri ‘aqalinya dapat memimpin diri haiwaninya, dan apabila dirinya telah terpimpin, mudah-mudahan dia akan dapat memimpin keluarga serta orang lain di bawah pimpinannya ke arah yang disebut dalam al-Quran sebagai negara yang baik, Tuhan yang MAHA PENGAMPUN (baldatun tayyibah wa Rabbun Ghafur).

***Artikel ditulis oleh Dr Siddig Ahmad, Pensyarah di Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia