Browsing Tag

pertandingan

9
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Cara Dearborn Pujuk Hati

no comment

Sebelum menularnya wabak Covid-19 pelbagai aktiviti sampingan dilakukan masyarakat Muslim, Dearbon, Michigan untuk meraikan bulan Ramadan.

Bandar yang mempunyai jumlah penduduk Arab terbesar di Amerika Syarikat itu tidak pernah sunyi selepas selesai solat Tarawih.

Santai bersama ahli keluarga di bawah cahaya lampu memang memuaskan.

Penduduk akan keluar menikmati kopi di Kafe Yamani hingga awal pagi, bersembang dengan kawan-kawan di hadapan ungun api, menghisap hookah atau shisha bersama jiran tertangga di dalam garaj kereta malah ada yang bersiar-siar di kawasan kejiranan menghirup udara dingin selepas sehari penat berpuasa.

Namun semua acara santai itu sudah tidak dilakukan lagi bagi penduduk di bandar itu akibat pandemik Covid-19 menyerang dunia sejak tahun lalu.

Acara tradisi yang biasa dilakukan populasi muslim di bandar itu iaitu Festival Suhur Ramadan dan Festival Makanan Larut Malam yang disertai lebih 40 peniaga dan dihadiri ramai pengunjung termasuk bukan beragama Islam hanya tinggal kenangan.

Pencahayaan simbolik kepada kegembiraan Dearborn sambut Ramadan.

Keadaan itu membuat Komuniti ‚Äč‚ÄčIslam di Dearborn buntu kerana terpaksa berkurung di dalam rumah selepas masjid diarah tutup, makan malam di luar dengan keluarga dan rakan-rakan dibatalkan termasuk kebebasan hidup disekat akibat penularan wabak Covid-19.

Namun, komuniti itu tidak mahu mengalah dan untuk memujuk hati meraikan bulan Ramadan yang penuh barakah ini, mereka sepakat menganjurkan pertandingan menghiasi laman rumah dengan pencahayaan lampu berwarna-warni yang diberi nama Pertandingan Lampu Ramadan.

Tidak kisah berbelanja lebih asalkan rumah cantik.

Ia dilakukan sebagai simbolik menunjukkan kegembiraan merai bulan Ramadan yang hanya tiba sebulan dalam setahun.

Penganjur acara, Hassan Chami berkata, cadangan itu menarik minat Majlis Komuniti Muslim Michigan (MMCC) iaitu sebuah organisasi yang bertanggungjawab bagi NGO Muslim negeri, untuk bekerjasama dalam membantu komuniti masyarakat menaikkan semula moral, semangat dan kesungguhan merai Ramadan dengan penuh syukur dalam norma baharu.

Cabaran itu mendorong umat Islam di kawasan itu untuk menghiasi bahagian luar rumah dengan kreativiti masing-masing, bergambar dan mencalonkan diri sendiri kepada penganjur untuk bersaingan memenangi hadiah disediakan.

Masing-masing mempunyai citarasa sendiri menghias laman rumah.

“Pertandingan itu dibuka kepada penduduk seluruh wilayah Dearborn dan telah disertai 65 keluarga yang menghiasi rumah mereka dengan aneka lampu berwarna-warni, tanglung, sepanduk dan macam-macam cara lagi.

“Kami telah menerima gambar hiasan lampu bunga Ramadan, lampu bertali yang menelusuri bumbung rumah dan lampu bintang-bintang yang tergantung dari beranda menjurai ke bawah. Ada keluarga yang meletakkan lampu bulan sabit yang bersinar dengan warna pelangi. Keluarga lain menggunakan drone untuk merakam lampu mereka secara dramatik dari semua sudut lalu menghantar penyertaan video dengan lagu percutian yang dimainkan sebagai latar belakang.

“Malah saya sendiri sebagai penganjur turut ingin menurut serta dalam pertandingan ini sebagai galakkan dan semangat kepada semua masyarakat. Saya mengupah orang untuk menghasilkan papan lampu tiga dimensi dengan perkataan ‘Ramadan Mubarak’ untuk ditempatkan di luar rumah,” katanya seperti yang ditulis di dalam portal HuffPost.

Suasana lampu menggambarkan ketenangan pemilik rumah.

Menurut Chami, pihaknya berusaha untuk menaikkan semula semangat masyarakat setempat melawan wabak Covid-19 yang menidakkan hak semua umat Islam untuk bebas melakukan ibadah Ramadan dengan kebebasan. Saya mengharapkan acara ini akan menjadi tradisi kepada masyarakat Dearborn dan diteruskan anak-anak selepas ini sebagai acara tahunan setiap kali tiba Ramadan.

Sarjana Sejarah Arab-Amerika di University of Michigan-Dearborn, Sally Howell, berkata dalam beberapa tahun lalu, dia melihat pertambahan pesat jumlah keluarga Muslim di Dearborn yang menghiasi rumah mereka sepanjang bulan Ramadhan.

“Tahun lalu saya bersama anggota dari Halal Metropolis iaitu sebuah organisasi pameran seni telah mendokumentasikan acara ini untuk penerbitan dokumentari dan tahun ini pula Halal Metropolis, Festival Suhoor Ramadan dan Majlis Komuniti Muslim Michigan (MMCC), bekerjasama untuk menganjur pertandingan Lampu Ramadan.

“Biasanya di negara Timur Tengah lampu akan dipasang ketika Ramadan di kawasan awam seperti jalan raya dan kafe, namun agak jarang orang menghias rumah mereka sendiri. Masyarakat Islam di Amerika Syarikat kini gembira kerana mereka semakin mudah untuk mendapatkan lampu Ramadan dan hiasan rumah di pasaraya dan kedai-kedai runcit,” katanya.

Hiasan yang nampak tenang namun kelihatan mewah.

Penyelaras Acara dan Pengarah Belia MMCC, Machhadie Assi, berkata amalan menghias rumah pada bulan Ramadhan tidak begitu popular di Lebanon di mana tempat dia dibesarkan. Tetapi dia mengatakan bahawa semakin menjadi trend bagi anak muda Muslim Amerika mula menyesuaikan diri menghiasi laman dengan lampu setelah melihat betapa meriahnya hiasan ketika perayaan Krismas.

“Saya mengharapkan lebih ramai umat Islam di Dearborn akan menerapkan tradisi ini di masa depan. Pertandingan Lampu Ramadan ini dianggap sebagai cara untuk membawa tenaga positif dan menular kepada masyarakat. Ramadan adalah bulan yang sangat menggembirakan, jadi semoga cahaya ini dapat mewakili pencerahan Ramadan,” katanya.

Rumah paling kreatif akan menerima sijil dan sebungkus gula-gula pada sambutan Aidilfitri, perayaan yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan.