Browsing Tag

perkahwinan

Blue cupcake photo collage (770 × 513px) (22)
Berita Semasa,

Beri hadiah tidak senonoh di majlis perkahwinan. Apakah hukumnya?

TULAR video berdurasi dua minit 15 saat di TikTok memaparkan situasi di majlis perkahwinan di sebuah negeri di mana rakan pengantin memberikan hadiah tidak senonoh.

Islam meliputi setiap aspek kehidupan. Tidak hanya fokus kepada ibadat, tetapi merangkumi sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Termasuklah hukum hakam perkahwinan, ketika melangsungkan perkahwinan, adab bertandang ke majlis dan sebagainya.

Sebagai orang Islam apabila menghadiri sesuatu majlis, adab haruslah dijaga. Antaranya berpakaian menutup aurat bagi lelaki dan wanita, menjaga percakapan supaya tidak memburukkan pengantin atau menghina makanan, menghormati tuan rumah dan pengantin serta mendoakan kesejahteraan buat pengantin.

Menurut pendakwah terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menerusi perkongsian di laman Harian Metro, hukum memberi hadiah tidak senonoh kepada pasangan adalah haram dan berdosa kerana menjatuhkan aib suami isteri, keluarga pengantin dan tetamu yang hadir.

“Amalan itu sepatutnya dihentikan kerana Nabi Muhammad SAW sendiri sangat memuliakan majlis perkahwinan. Nabi Muhammad cukup suka beri hadiah kepada orang, lebih-lebih lagi mereka yang melangsungkan perkahwinan untuk menggembirakan hati tuan rumah”.

ISLAM begitu menjaga dari setiap sudut begitu juga perihal menjaga maruah dan aib seseorang. Islam amat menitikberatkanya.

Mohd Izhar berkata, selain menghadiri perkahwinan, amalan memberi hadiah untuk menggembirakan hati pengantin baru dan meraikan hari bersejarah mereka sudah menjadi satu kebiasaan.

“Hadiah berkenaan mestilah bersifat memuliakan perkahwinan, bukan menghina dan menjatuhkan maruah pengantin, hukumnya adalah makruh jika perkara itu tidak menjatuhkan aib mana-mana pihak.

“Contohnya beri hadiah tidak sepatutnya dalam bentuk tertutup, hanya pasangan pengantin saja yang tahu, hukumnya makruh”.

“Bagaimanapun ia akan menjadi berdosa dan haram kalau perbuatan seperti itu dilakukan di khalayak ramai sehingga menjatuhkan aib suami isteri, keluarga dan majlis perkahwinan itu sendiri,” katanya.

“Disebabkan itu, anak muda sekarang perlu berhati-hati kerana Rasulullah menjelaskan, ALLAH SWT sangat suka kepada orang yang menutup keaiban. Saya nasihatkan anak-anak muda supaya menjaga adab ketika menghadiri majlis perkahwinan, beri hadiah dan berseloroh”.

“Saya khuatir perkara ini menjadi amalan tidak baik kepada anak muda, lebih-lebih lagi ia dipertonton secara meluas dalam media sosial yang terang-terangan memaparkan wajah pengantin,”

ADAB memberi hadiah biarlah seikhlas hati dan ada manfaatnya kepada pengantin dan keluarga.

Adab dalam memberikan hadiah biarlah dengan seikhlas hati dan berguna kepada pasangan tersebut. Contohnya hadiah yang boleh di gunakan oleh pengantin ketika hendak memasuki rumah baru mereka. Bukan hadiah yang boleh mengaibkan pengantin sendiri.

Budaya sebegini tidak harus dinormalisasikan dalam masyarakat hari ini. Walaupun sesetengah orang beranggapan biasa, namun ia tidak harus diamalkan kerana pemulaan perkara yang biasa itulah akan menjadi barah dan ikutan dalam msyarakat.

Baca juga Sanggup ikat perut demi majlis kahwin gah, ketahui mahar terbaik dalam Islam

Mungkin video yang ditularkan hanya untuk melawak akan tetapi biarlah ada batasnya. Memberikan hadiah yang tidak senonoh di majlis perkahwinan seolah-olah menjatuhkan dan memalukan imej Islam yang seharusnya dijaga dengan baik oleh umat Islam sendiri.

 

Sumber : Harian Metro

Perkahwinan bukan perjudian
Isu,

Perkahwinan bukan perjudian

SEGELINTIR orang menganggap perkahwinan merupakan satu perjudian memandangkan tiada harapan yang jelas untuk mencapai kebahagiaan berkekalan dalam perhubungan rumah tangga.

Namun begitu, Ketua Pusat Pengajian (Pendidikan & Pengajian Islam), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat mengingatkan, perkahwinan menjadi antara bukti Islam ialah agama yang menepati fitrah manusia.

Menurut perspektifnya, ikatan suci itu merupakan salah satu keputusan-keputusan besar dalam kehidupan kita.

“Sebagaimana kehidupan kita memerlukan perancangan terbaik, begitu jugalah halnya perkahwinan. Baik atau buruk masa depan kita bergantung kepada perencanaan dan keputusan membina hubungan hidup bersama ke arah melahirkan keluarga yang bahagia.

DR MOHD NOR

“Disebabkan itu, sesebuah perkahwinan memerlukan kita membuat keputusan dengan memilih pasangan yang disukai, menyenangkan pandangan, berasal dari keturunan baik, selain sepadan dengan kita serta keperibadian yang beragama.

Baca juga Usah mengeluh mencari pasangan hidup, ada ganjarannya walaupun akhirnya tiada jodoh

“Justeru, usah jadikan pernikahan ini sebagai pertaruhan yang memperjudikan masa depan kita. Sebaliknya, realisasikanlah ia sebagai antara perancangan yang menambah kebahagiaan hidup untuk masa depan kita,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Jika diteliti ketertiban proses sebelum berumah tangga yang dianjurkan oleh agama Islam, ahli akademik itu menjelaskan, semua kaedah tersebut dibuat dengan penuh strategik dan sistematik.

“Bermula dengan proses perkenalan, merisik, bertunang dan kemudian bernikah. Semuanya bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat main-main ataupun semata-mata berserah kepada nasib.

“Proses demi proses yang dilalui menunjukkan perancangan yang sistematik bagi memastikan perkahwinan berlaku dalam suasana terancang. Pada masa sama, ia bagi memastikan hubungan yang terbina membahagiakan,” katanya.

Kepada satu soalan, Mohd Nor menjawab: “Sekalipun jodoh adalah rahsia ALLAH SWT dan tiada daya kita mengetahui apa yang telah ditakdirkan ketika masih dalam perut ibu, namun sebagai manusia, kita diberi ‘kuasa’ untuk mengubah diri sendiri dengan berusaha dan berdoa.

“Mungkinkah takdir jodoh kita telah ditetapkan mengikut tahap usaha kita mengubah diri? Adakah takdir jodoh kita ditentukan secara umum sahaja? Atau mungkin sahaja takdir kita akan ditentukan kemudian?

“Semua persoalan tersebut, hanya ALLAH SWT YANG MAHA BERKUASA mengetahuinya. Selebihnya, teruskan berusaha dan berdoa dalam mencari jodoh terbaik sebagaimana saranan dalam al-Quran dan hadis.”

Perkahwinan bukan perjudian


JODOH tidak datang bergolek begitu sahaja dan ia memerlukan usaha biarpun ALLAH SWT sudah menentukan takdir kita.

Kepada mereka yang sudah bertemu jodoh, penceramah itu menitipkan pesan supaya membina keluarga sebagaimana dianjurkan dalam Islam dengan amalan yang mengikut lunas agama.

“Insya-ALLAH kita dalam perjalanan membina masa depan dengan keluarga yang membahagiakan, bukanlah sebulat-bulatnya menyerahkan kepada nasib dan untung semata-mata,” katanya menoktahkan bicara.

Foto: 123rf

Nusyuz
Gaya Hidup,

Nikah Tidak Sah Gara-Gara Enggan Bapa Jadi Wali. Berikut Penjelasan Peguam Syarie

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

TIADA pasangan yang tidak mahukan anak selepas berkahwin. Zuriat yang lahir itu nantilah yang akan menjadi penyambung legasi keluarga. Namun, ketentuan ALLAH, tiada siapa yang boleh nafikan.

Dilema tiada waris turut dialami oleh Jefri Salleh, 45, dan Zuraidah Kassim, 44. Kedua-duanya bukan nama sebenar.

Disebabkan sikap penyayang Jefri dan Zuraidah yang sukakan kanak-kanak, keinginan mereka untuk memiliki cahaya mata sendiri semakin membuak-buak dari semasa ke semasa.

Maka, pelbagai usaha yang mereka dilakukan baik perubatan moden mahupun tradisional. Malangnya, selepas lima tahun, belum ada tanda-tanda rezeki menyebelahi mereka. Pun demikian, mereka tidak pernah berputus asa. Namun, pertemuan bersama pakar sakit puan memberi khabar duka apabila Zuraidah disahkan mengalami penyakit berkaitan dengan rahim dan peluang untuknya hamil agak tipis.

Namun, jika sudah ketentuan- Nya, tiada siapa boleh menolak. Zuraida tidak menyangka, akhirnya dia hamil meskipun kehamilan itu mempertaruhkan nyawanya sebagai galang ganti.

Baca juga Jangan Sewenang-wenangnya ‘Jatuh Hukum’ Sendiri Tentang Status Perkahwinan, Buruk Padahnya

Berkat doa, anak beliau selamat dilahirkan, namun suri rumah itu lumpuh separuh badan.

Situasi tersebut membuatkan Jefri berang. Bukan sahaja sukar menerima keadaan isterinya, malah jurutera itu menyalahkan anak yang baru lahir sebagai punca Zuraidah menjadi cacat.

Lebih teruk lagi, wanita itu diceraikan. Terbiarlah ibu dan anak yang dinamakan sebagai Zara (bukan nama sebenar) terkontang-kanting.

Zara dibesarkan tanpa belaian kasih sayang daripada bapanya. Beliau tidak pernah dilayan secara baik oleh Jefri. Sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali pun, lelaki itu tidak datang menjengah, apatah lagi memberi buah tangan untuk anak kandungnya.

Paling menyedihkan, selepas berkahwin dengan isteri baharu, nafkah cahaya mata yang sangat ditunggu-tunggu dulu diabaikan begitu sahaja.

Masa silih berganti, Zara semakin membesar dan meluahkan hasrat kepada ibunya untuk berkahwin.

Enggan bapa jadi wali

ANDAI bapa masih hidup dan sihat, mintalah supaya bapa tadi menjadi wali bagi perkahwinan anak perempuannya.

Namun yang paling membuatkan hati Zuraidah menjadi tidak keruan apabila gadis berkenaan tidak mahu Jefri menjadi wali pernikahannya.

Sebaliknya, Zara memilih bapa saudaranya.

Walaupun dihalang, Zara tetap dengan pendiriannya gara-gara rasa benci terhadap bapanya yang masih berbekas.

Tidak sah pernikahan berwalikan bapa saudara jika bapa masih hidup dan sihat

PEGUAM Syarie daripada Tetuan Firdaus Abd Jalil & Associates, Abdullah Firdaus Abd Jalil berpendapat, hubungan antara bapa dan anak iaitu Jefri Salleh dan Zara merupakan satu hubungan yang agak kompleks.

Sejarah silam dan layanan yang diberikan si bapa kandung menjadi faktor silaturahim menjadi renggang dan wujudnya aura negatif.

Menurut Abdullah Firdaus, dalam kes berkenaan, jelas menunjukkan bahawa Jefri tidak menunaikan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik sehingga menimbulkan perasaan benci dalam diri anaknya.

Natijahnya, Zara mengalami kesan psikologi yang sangat mendalam. Beliau berterus terang bahawa dirinya berkecil hati dan tidak menyukai bapa kandung sendiri. Mudah kata, beliau memusuhi lelaki itu kerana mengabaikan ibunya yang tidak sempurna.

“Hak seorang bapa kepada seorang anak walaupun setelah berpisah dengan ibunya tetap sama. Tidak ada apa-apa perkara yang boleh memisahkan hubungan anak dan bapa.

“Tanggungjawab untuk menjaga anak dengan baik, memberi kasih sayang yang secukupnya dan memberi nafkah tetap perlu ditunaikan, walaupun berlaku penceraian,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdullah Firdaus berkata, perkahwinan adalah amanah ALLAH SWT. Justeru, ia perlu direalisasikan dengan lima rukun iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua saksi, lafaz ijab dan kabul.

ABDULLAH FIRDAUS

Jelasnya, jika kekurangan salah satu rukun itu, maka perkahwinan tidak sah.

Ujar peguam itu, salah satu isu penting yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita adalah bidang kuasa wali.

Wali ujar beliau, bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki terdekat kepada pengantin perempuan. Wali merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan. Terdapat beberapa firman ALLAH SWT yang menunjukkan betapa mustahaknya wali dalam sesebuah perkahwinan.

“Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia, maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu.

Sekiranya datuk meninggal dunia, maka hak wali berpindah kepada saudara lelaki seibu sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya,“ ungkap beliau.

Menjawab tindakan Zara yang mahu berwalikan bapa saudara, Abdullah Firdaus berkata, hak bapa selaku wali mujbir kepada anak perempuannya tetap kekal.

“Wali mujbir bermaksud wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu.

“Zara perlu mendapatkan bapanya kerana masih lagi hidup dan boleh dihubungi. Oleh yang demikian, bapanya mempunyai hak ke atas Zara.

“Perlu diingatkan bahawa Zara tidak boleh berkahwin berwalikan bapa saudaranya kerana bapa kandung masih ada. Sekiranya Zara tetap dengan keputusannya maka perkahwinan beliau tidak sah,“ tegasnya.

Foto: 123rf & Freepik 

Berita Semasa, Gaya Hidup, Panduan,

Jangan ikutkan hati dan amarah. Ingat, penceraian bukan satu permainan

Oleh RAFIUDDIN MOHD YUSOF
Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dan Ketua Unit Hal Ehwal Universiti Teknoklogi Mara, Cawangan Johor, Kampus Segamat, Johor

SESUNGGUHNYA, merentas alam perkahwinan merupakan satu fasa yang membahagiakan, apatah lagi jika mendapat restu keluarga dan pasangan saling mencintai.

Selepas berlakunya pernikahan, ini bermakna suami dan isteri mempunyai tanggungjawab tambahan yang perlu dilaksanakan dengan sehabis baik.

Suami harus menjadi pelindung kepada isteri, manakala si isteri perlu membantu suami. Kedua-duanya memainkan peranan penting agar terpelihara daripada kemelut perpecahan dan perbalahan.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa DIA menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Ar-Rum, ayat 21)

kalam perkahwinan penceraian

Cabaran

Sudah menjadi resam, setiap yang manis, pasti akan ada pahitnya. Dalam melayari bahtera perkahwinan, sudah tentu wujud pelbagai cabaran mahupun perkara-perkara yang menguji tahap kesabaran, kesetiaan dan kepercayaan.

Itu sebab, jika tidak mampu untuk mengharungi segala onak dan duri, usahlah kita memasuki alam perkahwinan tanpa persiapan yang cukup rapi.

Bukan apa, dikhuatiri kita tidak mampu memegang amanah ALLAH YANG MAHA ESA dan bersikap zalim terhadap pasangan kelak.

Sesungguhnya, persediaan rohani dan jasmani perlu dititik beratkan kepada mereka yang berniat untuk menelusuri alam rumah tangga.

Baca juga Perkahwinan bukan perjudian

Apabila ditimpa dugaan, kepercayaan dan tolak ansur sangat penting bagi kedua-dua belah pihak. Pertelingkahan atau salah faham boleh berlaku walaupun bermula dengan perkara yang kecil, kemudian bercambah menjadi satu masalah jika tiada perbincangan atau penyelesaian yang mampu menemui jalan pendamaian.

Jika penceraian adalah yang paling wajar, seharusnya ada usaha dan perbincangan yang dilakukan terlebih dulu di antara suami dan isteri.

Jika tidak berupaya untuk mengadakan diskusi bersama, maka perlu ada setiap seorang wakil yang boleh menjadi perunding atau pendamai dalam memastikan pertelingkahan dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu bimbangkan persengketaan antara keduanya, maka lantiklah seorang orang tengah daripada keluarga lelaki dan seorang orang tengah daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua (orang tengah) itu bertujuan hendak mendamaikan, nescaya ALLAH memberi taufik kepada suami isteri itu. Sungguh ALLAH MAHA MENGETAHUI dan MAHA TELITI.” (Surah An-Nisa’, ayat 35)

kalam perkahwinan penceraian

Berusaha jaga amanah

Penceraian bukanlah semudah yang disangka. Bukan selepas si suami melafazkan cerai, masing-masing boleh terus meninggalkan pasangan dan  membawa haluan sendiri. Bukan begitu caranya.

Sebaliknya, kes penceraian perlulah mendapatkan pengesahan daripada pihak mahkamah dengan melihat pelbagai aspek sebelum hakim mengesahkannya.

Secara mata kasar memang nampak senang, hakikatnya tidak, lebih-lebih jika pasangan mempunyai anak atau terdapat gangguan dan hasutan daripada pihak ketiga.

Banyak proses dan prosedur yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah syariah yang bertanggungjawab dalam menentukan proses penceraian diterima.

Baca juga Jatuhkan talak guna alat komunikasi moden kaedah yang tidak tepati adab penceraian 

Sekiranya perlu, mahkamah akan mengarahkan  suami isteri untuk menjalani sesi kaunseling di jabatan agama negeri masing-masing bagi memperbetulkan keadaan rumah tangga atau sebagainya.

Oleh yang demikian, sebelum melakukan sesuatu perkara atau membuat sebarang keputusan, berfikirlah dengan sebaiknya. Banyak faktor yang perlu dilihat di sekeliling kita apabila jalan perpisahan yang dipilih.

Jangan juga menjadikan penceraian itu sebagai permainan. Merujuk semula pasangan, kemudian menceraikannya semula atau isteri minta untuk dilepaskan, walaupun telah dirujuk semula.

Begitu juga bagi seorang lelaki yang telah berkahwin lebih daripada sekali, namun setiap perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.

kalam perkahwinan penceraian

Perlu diingat, walaupun penceraian dibenarkan, namun biarlah sebagai jalan penyelesaian yang terakhir, dengan syarat kita telah berusaha untuk menyelamat dan memperbetulkan rumah tangga dengan sehabis daya dan usaha bersama.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh ALLAH SWT selain daripada talak. Dan mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, maka haram ke atas baunya syurga.”

Sehubungan itu, sentiasalah berusaha untuk memelihara ikatan kasih sayang di antara suami isteri.

Duduklah berbincang sekiranya terdapat masalah. Mohonlah kepada ALLAH, jangan ikutkan hasutan syaitan yang gemar kepada perpecahan dan perbalahan dalam rumah tangga.

Sayangilah pasangan dan keluarga kita kerana itu adalah tanggungjawab dan amanah yang ALLAH SWT berikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-NYA) adalah DIA menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar Rum, ayat 21)

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Unsplash

kenduri
Hukum,

Tak dijemput, tapi datang kenduri kahwin dan makan jamuan…apa hukumnya?

“JOM kita pergi kenduri kahwin Humairah. Aku tak ada kawanlah nak datang. Kau temankan aku ye.”

Demikian kata Faizah Halim (bukan nama sebenar) kepada rakannya, Mariam Arif (bukan nama sebenar).

Pun demikian, Mariam sebenarnya rasa serba salah untuk mengikuti Faizah kerana dia tidak dijemput menghadiri walimah tersebut.

Humairah hanya menjemput Faizah untuk memeriahkan majlis perkahwinannya dengan jejaka pilihannya.

“Takkan aku nak pergi juga walimah tu dan makan. Malulah, sudahlah tuan rumah tak jemput, aku pula datang makan,” Mariam bermonolog dalam hati, pada masa sama menyusun ayat terbaik untuk menolak ajakan Faizah tadi.

Baca juga Boleh ke buat kenduri kahwin dan jamu tetamu makan daging korban?  

Barangkali anda pernah menghadapi situasi itu, bukan? Apakah tindakan yang patut dilakukan jika kita berdepan dengan situasi berkenaan?

Apakah hukumnya apabila kita tetap hadiri majlis kenduri kahwin berkenaan dan makan jamuan disediakan walaupun tidak dijemput?

Sebelum menjawab persoalan itu, perlu difahami bahawa hukum asal menghadiri majlis perkahwinan jika dijemput secara khusus adalah wajib.

Baca juga Sanggup ikat perut demi majlis kahwin gah, ketahui mahar terbaik dalam Islam

Ia berdasarkan pandangan majoriti ulama dalam Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali berdalilkan sebuah hadis daripada Ibn Umar RA.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.” (Sahih Muslim)

Bagaimanapun, jika kita tidak dijemput tuan rumah atau wakilnya, para ulama daripada empat mazhab iaitu Maliki, Hanafi, Syafie dan Hanbali sepakat menyatakan haram untuk menghadirinya.

Datang kenduri kahwin tak dijemput

WAJIB memenuhi undangan perkahwinan jika kita dijemput oleh tuan rumah atau wakilnya.

Ia termasuklah jika kita hadir tanpa diketahui sama ada tuan rumah reda ataupun tidak.

Individu berkenaan juga boleh dihukumkan sebagai fasik dari sudut penyaksian dan menjatuhkan maruah jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut.

Baca juga Beri hadiah tidak senonoh di majlis perkahwinan. Apakah hukumnya?

Ini kerana ia sebenarnya termasuk kategori perbuatan memakan makanan yang haram berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:

“Sesiapa yang dijemput tapi tidak memenuhi jemputannya, dia telah ingkar kepada ALLAH dan Rasul-NYA; dan siapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri.” (Sunan Abi Dawud)

Namun demikian, seandainya tuan rumah memberi keizinan walaupun pada awalnya dia tidak dijemput, maka hukumnya adalah harus.

Apa pun, ingatlah bahawa para ulama mengharamkan seseorang hadir ke kenduri tanpa dijemput jika diyakini tuan rumah tidak reda.

Adapun, jika kita yakin tuan rumah reda dengan kehadiran kita, contohnya kita merupakan rakan atau saudara dan tiada permusuhan, namun mereka terlupa untuk menjemput kita, maka dalam keadaan tersebut, ia tidak diharamkan.

(Sumber: Al-Kafi #1571: Hukum Hadir Walimah Tanpa Dijemput, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)