Browsing Tag

Perjuangan ulama

Perjuangan ulama
Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka,

Hayati perjuangan ulama silam, berusahalah sambung legasi mereka

SESUNGGUHNYA, perjuangan ulama dahulu kala tidak boleh dibiarkan sepi begitu sahaja.

Sebaliknya, jelas Pensyarah Pusat Kajian Bahasa Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Farid Mat Zain, adalah menjadi tanggungjawab para agamawan selepas merdeka untuk menyambung perjuangan ulama terdahulu.

Baik dalam bidang pendidikan mahupun perjuangan Islam, katanya, kedua-duanya perlu berkembang dan bergerak seiring.

“Selain itu, bangunkan masyarakat dengan kefahaman Islam yang jelas, jauhkan mereka daripada fahaman terpesong dan elakkan umat Islam daripada ajaran yang boleh membuatkan masyarakat keliru hingga membawa kepada perpecahan,” ungkapnya.

DR FARID

Kepada masyarakat pula, ahli akademik itu menitipkan pesanan agar kita mengenali dan memahami ulama serta tokoh yang berjuang berhabis-habisan hingga kita mengecapi nikmat kemerdekaan pada hari ini.

“Ia boleh dilakukan melalui kajian atau pembacaan menerusi media misalnya. Selain membaca kitab, wujudkan pertanyaan siapakah pengarangnya?

“Dengan cara tersebut, kita akan lebih menghargai jasa ulama dan akan menimbulkan semangat bangga terhadap usaha dilakukan.

“Satu lagi, kerap adakan aktiviti yang boleh menimbulkan semangat mencintai ulama seperti ziarah ke makam mereka sebagaimana dilakukan di Indonesia. Mereka mengajak keluarga dan masyarakat berziarah ke pusara ulama di kawasan sekitar dan jauh di luar kampung halaman,” ungkapnya.

Senada dengan Dr Farid, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Nurzahidah Jaapar menjelaskan, para ulama sememangnya kelompok masyarakat yang memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan.

Sebagai masyarakat bertamadun, jelas beliau, menjadi tanggungjawab untuk mengambil tahu dan mengkaji ketokohan mereka khususnya yang terlibat dalam aspirasi menentang penjajah agar menjadi sumber ilham bagi membina kecintaan terhadap negara.

Bangkit semangat juang

Malah, segala gerakan nasionalisme yang dimainkan kelompok berkenaan perlu diberikan perhatian penting untuk membangkitkan semangat juang dalam kehidupan, sekali gus berkhidmat demi pembangunan negara, memelihara budaya dan warisan, terangnya.

“Benar, jasa ulama amat signifikan. Mereka banyak memberi pengaruh kepada perubahan sosial dan politik dalam kalangan masyarakat menerusi ceramah, khutbah, penulisan dan pemikiran yang memberi kesedaran terhadap prinsip-prinsip nilai agama.

“Melalui tokoh agamawan tersebut, masyarakat dapat memahami kepentingan menjaga maqasid ad-din dan membantu membentuk identiti kebangsaan yang ampuh dan membangkitkan semangat patriotisme,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

USTAZAH NURZAHIDAH

Jelas ahli akademik itu lagi, kehebatan ulama dalam menghubungkan ruang lingkup agama dan geopolitik tidak dapat disangkal lagi.

Sejak dahulu, katanya, ulama telah menjadi rujukan dalam setiap perkara khususnya dalam hal kehidupan beragama.

“Namun mereka turut berperanan merancang strategi politik. Bagi tokoh seperti Haji Hassan bin Panglima Mat Munas (Tok Janggut) misalnya, semangat jihad dalam dirinya telah memberi aspirasi kepada masyarakat dalam menentang British di Kelantan.

Baca juga Tok Ku Paloh ulama hebat dalam ilmu tasawuf sehingga mencapai darjat al-Kashaf

“Selain itu, tokoh seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir di Perak mempunyai suara yang lantang dalam menuntut kemerdekaan telah memberi impak dan kesedaran ke atas masyarakat Melayu dalam menuntut kemerdekaan,” terangnya panjang lebar.

Usah terlalu selesa

Walaupun negara kini bebas dari cengkaman penjajah, Ustazah Nurzahidah mengingatkan agar rakyat tidak terlalu selesa dan hanya berpeluk tubuh.

Ini kerana menjadi tugas bangsa merdeka untuk terus meningkatkan keharmonian terhadap agama.

“Masyarakat berperanan menimba ilmu agama, selain mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan, menyertai kegiatan sosial dalam masyarakat menghormati kepelbagaian agama, menampilkan imej masyarakat berintegriti dan mengambil berat tentang kebajikan sosial serta membantu menunjukkan kepedulian terhadap masyarakat.

“Hal ini telah dikenal pasti pada kepimpinan tokoh ulama di Kelantan iaitu Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim (Tok Ku Paloh) yang banyak menyuntik semangat watan dengan menentang tentera Jepun pada perang dunia kedua.

“Beliau meneruskan usahanya menyatukan rakyat dan mendorong pemimpin politik untuk memperjuangkan kemerdekaan dan berjaya menghalau tentera British pada akhir Perang Dunia kedua,” ungkapnya.

Bukan itu sahaja, pensyarah itu menegaskan, setiap masyarakat perlu mengambil iktibar dengan perjuangan ulama dan pemimpin kemerdekaan terdahulu yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab terhadap negara dan bangsa.

“Setiap masyarakat perlu memiliki sifat toleransi dan menghormati perbezaan antara agama, etnik dan budaya. Kemampuan bertolenrasi perlu dipupuk dengan ilmu, pemahaman dan dialog yang berterusan bagi mengelakkan prejudis dan diskriminasi kaum.

Perjuangan ulama

JANGAN sia-siakan pengorbanan pemimpin dan perjuangan ulama dalam membebaskan negara dari belenggu penjajah. -Foto: 123rf

“Sifat ini boleh dicontohi daripada ulama Johor terdahulu seperti Haji Mohd Salleh Haji Karim (Kiyai Haji Salleh) yang tulus dalam berdakwah, cakna dengan kebajikan masyarakat dan mendukung kepentingan pendidikan dan persatuan.

“Beliau cukup bijak dan berdiplomasi dalam menguruskan isu-isu agama dan sosial,” katanya.