Browsing Tag

peristiwa

peristiwa Safar
Berita Semasa,

Peristiwa besar dalam sejarah Islam berlaku pada bulan Safar

Peristiwa besar dalam sejarah Islam berlaku pada bulan Safar

KITA baru sahaja memasuki bulan Safar. Ia merupakan bulan kedua dalam kalendar Hijrah selepas Muharam.

Antara maksud Safar adalah bulan yang diharamkan untuk berperang sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharam dan berhenti pada bulan Safar.

Safar juga bermaksud ulat yang berada di dalam perut manusia ketika lapar (menyebabkan muka orang yang mengalaminya kelihatan kuning), yang berkemungkinan boleh membawa maut.

Baca juga Syaaban saksi banyak peristiwa besar, antaranya arah kiblat dialih dari Baitulmaqdis ke Kaabah di Makkah

peristiwa Safar

BULAN Safar dianggap sebagai bulan yang membawa sial bagi masyarakat Arab Jahiliyyah dahulu. Foto: 123RF

Safar adalah bulan sial?
Selain itu, bulan Safar turut digelar bulan sial oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang percaya bahawa perkara buruk akan berlaku pada waktu ini.

Namun, bagi umat Islam, tanggapan sedemikian dikira amalan syirik yang dilarang agama. Ini juga termasuk kepercayaan seperti menganggap bulan Syawal sebagai bulan sial untuk bernikah atau larangan untuk bermusafir pada bulan Safar dan lain-lain.

Sebaliknya, setiap Muslim hendaklah memantapkan keimanan dengan percaya kepada Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan ALLAH SWT serta menghilangkan tanggapan yang silap tersebut dengan bertawakal kepada-NYA.

ARTIKEL BERKAITAN:

Doa boleh diamalkan

Oleh itu, kita turut dianjurkan agar mengamalkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis ini.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu? Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan:

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Ertinya: “Ya ALLAH, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau).” (Hadis Riwayat Ahmad)

peristiwa Safar

PADA bulan Safar, peperangan dibenarkan buat pertama kali untuk umat Islam. Foto: 123RF

Baca juga Tiga tokoh Muslimah dalam peristiwa hijraturrasul yang ramai terlepas pandang

Peristiwa penting di bulan Safar dalam sejarah Islam

Bulan Safar sebenarnya mencatatkan pelbagai peristiwa besar dan penting dalam sejarah Islam. Antaranya adalah:
1. Pernikahan Rasulullah SAW dengan Khadijah binti Khuwailid. Ia berlaku sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul.

2. Umat Islam dibenarkan berperang buat pertama kali pada tahun ke-2 Hijrah. Peperangan pertama disertai Rasulullah adalah Wudan atau Abwa’ bagi menentang kekufuran.

3. Tragedi al-Raji’. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-3 Hijrah atau ke-4 H yang melibatkan tujuh sahabat baginda diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah, tetapi mereka mengkhianati perutusan itu dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan bernama al-Raji’ di daerah ‘Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah).

4. Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) juga berlaku pada bulan Safar tahun ke-7 Hijrah dengan turut disertai 20 sahabat wanita antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd Mutallib dan Ummu Aiman. Di dalam peperangan tersebut, 15 sahabat gugur syahid manakala pada pihak Yahudi pula 73 terbunuh.

Sumber: Harian Metro

Foto: 123RF