Browsing Tag

perang pulang beraya

Balik kampung
Berita Semasa,

“Asyik-asyik balik kampung awak saja…”, ketahui pandangan agama tentang ‘perang’ pulang beraya

“Asyik-asyik balik kampung awak saja…”, ketahui pandangan agama tentang ‘perang’ pulang beraya

SABAN tahun, isu balik kampung pasti akan dibangkitkan terutama melibatkan pasangan suami isteri. Walaupun nampak remeh, tetapi perkara itu boleh mencetuskan perang dingin di antara pasangan.

“Asyik-asyik balik kampung awak saja kalau beraya. Saya pun teringin juga merasa raya pertama di kampung saya.”

Demikian antara luahan yang acap kali kita dengar. Benar, ia bukan kisah rekaan semata-mata. Hakikatnya memang ada segelintir pasangan suami isteri yang berhadapan dengan masalah berkenaan.

Terdapat sebilangan pasangan yang terpaksa pulang ke kampung suami atau isteri masing-masing setiap kali tibanya raya pertama tanpa gagal.  Malah, ada yang enggan bergiliran untuk beraya di rumah mertua atas pelbagai alasan.

Baca juga Pulang beraya di kampung, berapa hari sebenarnya kita boleh solat jamak dan qasar?

Lebih-lebih lagi ironinya apabila seorang isteri berdepan dengan dilema berkenaan. Hendak melawan cakap suami, bimbang dikatanya derhaka. Apabila bersuara tentang mengapa perlu beraya di kampung suami, ada sahaja jawapan lelaki berkenaan yang mematahkan hujahnya.

Balik kampung

ISU balik kampung mana ketika beraya boleh mencetuskan perang dingin jika tidak ditangani dengan baik dan harmoni. -Foto: 123rf

Malah, ada yang menggunakan alasan ibunya tidak mengizinkan anak lelakinya beraya di kampung isteri terlebih dahulu.

Sudahnya enggan bergaduh dan bermasam muka, isteri tadi dengan paksa relanya hanya mampu menelan kepahitan yang dirasakan. Diri sendiri menanggung rasa terkilan dan terguris hati dengan sikap pasangan.

Dari satu segi, memang terdapat pasangan yang mengambil keputusan untuk pulang ke kampung sendiri tanpa kehadiran suami di sisi, tetapi ia mestilah mendapat lampu hijau daripada imam masing-masing.

Namun begitu, ada cerita kurang enak pula apabila terdapat suami yang kurang bersetuju dengan perkara itu dan senang-senang sahaja bibirnya mahu mengungkapkan lafaz perpisahan gara-gara isteri meminta keizinan untuk pulang ke rumah ibu bapanya.

Dalam hal itu, penceramah bebas, Nur Aqidah Mawardi menjelaskan, mengikut hukum asal, seorang isteri wajib taat kepada perintah suami selagi tidak bercanggah dengan syarak.

USTAZAH NUR AQIDAH -Foto: Facebook Nur Aqidah Mawardi

Bagaimanapun, katanya, janganlah sampai mahu menjatuhkan talak andai isteri membuat permohonan meminta izin suami untuk dirinya pulang ke rumah ibu bapanya. 

“Wahai segelintir suami, anda berkahwin dengan anak orang, bukan anak buluh betung. Sepatutnya anda kena mainkan peranan bercakap dengan ibu kalian tanpa membabitkan isteri.

“Sebagai contoh, ‘mak, abang raya pertama baru balik kampung ya sebab tahun ni abang teringin nak raya dengan mertua abang abang’.

“Bila cakap seperti itu, mak anda akan lebih faham sebab sebagai ibu, pasti (dia) hendak anaknya bahagia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Antara taat pada ibu dan nafkah untuk isteri, jangan sampai suami jadi anak derhaka

Dalam pada itu, Ustazah Nur Aqidah turut menitipkan pesanan kepada para ibu mertua supaya menjadi insan yang sentiasa memberi sokongan kepada anak masing-masing yang mahu meraikan pasangan mereka.

“Wahai para ibu yang sudah punya menantu, ketahuilah anak kita sudah berkahwin dengan anak orang lain. Jadilah ibu yang ‘support’ untuk anak-anak meraikan pasangannya.

“(Bayangkan) andai satu hari, anak perempuan kita diperlakukan sedemikian rupa, apa perasaan kita?

“Jika kita perlakukan ‘buruk’ (terhadap) menantu, ingatlah bahawa kita ada anak perempuan, adik perempuan atau saudara perempuan. ALLAH MAHA ADIL,” titipnya.

Balik kampung

SUAMI isteri hendaklah mengambil sikap bertoleransi dan berlapang dada dalam isu balik kampung ketika beraya. -Foto: 123rf

Pesanan murni itu bukan sahaja untuk kaum ibu mertua sahaja, sebaliknya, pendakwah itu menjelaskan, ia turut terpakai kepada golongan suami.

Bukan apa, mereka juga merupakan bapa atau bakal ayah kepada anak perempuan.

Baca juga Ini Dia Peranan Bapa Sepertimana Yang Disebutkan Dalam Al-Quran

“Jangan tanya kenapa andai satu hari anak perempuanmu menjadi hamba abdi suaminya jika kamu perlakukan isteri mu lebih teruk daripada hamba abdi.

“Jangan (begitu) mudah melabelkan anak kita sebagai anak derhaka, parah hidup anak itu nanti,” katanya.

Justeru, solusi terbaik bagi menangani perang pulang beraya, Ustazah Nur Aqidah menasihatkan agar pasangan suami isteri mengambil sikap bertoleransi dan berlapang dada.

“Sama-samalah kita berazam apabila menjadi waima menantu mahupun mertua atau apa sahaja peranan, berusahalah menjadi yang terbaik semampunya, tetapi jangan sampai memakan diri.

“Seperkara lagi, berdoalah dan meminta agar kita semua dipelihara oleh Allahu ya Hafiz,” ungkapnya.

***Foto: Freepik