Browsing Tag

penyebab penceraian

Hubungan intim
Berita Semasa,

Walaupun masalah hubungan intim antara punca penceraian, tetapi sebenarnya 90 peratus rumah tangga berakhir disebabkan pengabaian solat

Walaupun masalah hubungan intim antara punca penceraian, tetapi sebenarnya 90 peratus rumah tangga berakhir disebabkan pengabaian solat

BARU-BARU ini, kecoh tentang isu ‘penasihat’ hubungan intim suami isteri. Pelbagai kritikan dan kecaman daripada orang ramai diterima kerana ia dianggap mengandungi unsur lucah secara terbuka.

Perkara itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memanggil individu berkenaan untuk siasatan lanjut.

Malah, wanita berkenaan juga sudah membuat permohonan maaf di media sosial miliknya.

Bercerita tentang soal hubungan intim, walaupun ia antara punca perpecahan dan penceraian pasangan suami isteri, tetapi bukanlah penyebab yang paling tinggi.

Baca juga Jangan ikutkan hati dan amarah. Ingat, penceraian bukan satu permainan

Sebaliknya, pendakwah Ustazah Asma’ Harun yang berpengalaman menjadi perunding cara rumah tangga itu mendedahkan, punca utama dan terbesar adalah kurangnya pegangan dan amalan agama yang mana solat serta Rukun Islam lain menjadi kayu ukurnya.

USTAZAH ASMA’

Jelas beliau, hampir 90 peratus rumah tangga yang berakhir dengan penceraian atau menghadapi syiqaq (pergaduhan) berpanjangan adalah terdiri daripada mereka yang mengabaikan solat.

“Walaupun pasangan datang mengadu tentang isu lain seperti orang ketiga, kewangan, hubungan intim dan lain-lain, tetapi ramai yang tidak nampak perkaitan solat dengan semua masalah yang timbul.

Baca juga Minta cerai atas sebab ‘shiqaq’, apa maksudnya?

“Semua ini ada kajian ilmiah berdasarkan analisis setiap kes, fokus kepada punca masalah yang melibatkan ribuan kes dalam tempoh saya bertugas,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Ustazah Asma’ sebelum ini pernah menjadi perunding cara rumah tangga secara sepenuh masa selama lebih empat tahun bermula 2008, selain menjawat jawatan Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam (Ketua Unit Runding Cara), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, di samping menjadi Pegawai Hal Ehwal Islam Jakim, bertugas di Negeri Sembilan.

Penceramah itu menjelaskan, walaupun ada ketikanya masalah hubungan intim menjadi sebab utama, tetapi kebanyakan kes berlaku adalah implikasi apabila syariat Islam diabaikan.

“Contoh mudah faham, seorang suami yang tidak solat, pasti cenderung abaikan juga tanggungjawab asas sebagai suami dan mempunyai sikap tidak menyenangkan.

Baca juga Perlukah isteri taat kepada suami yang tidak solat? Berikut perinciannya

“Paling utama, hilang berkat dalam hubungan dan terhalang rahmat ALLAH. Maka hubungan intim yang sepatutnya sebagai ibadah yang indah boleh bertukar menjadi musibah.

Hubungan intim

ANDAI kewajipan solat dan Rukun Islam yang lain diabaikan, apatah lagi tanggungjawab suami isteri. Ia boleh menyebabkan hilangnya berkat dalam hubungan dan terhalang rahmat ALLAH. Maka hubungan intim yang sepatutnya sebagai ibadah yang indah boleh bertukar menjadi musibah. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Begitu juga halnya dengan seorang isteri tidak solat. Jika kewajipan paling utama sebagai Muslim diabaikan dan tidak rasa berdosa, maka apalah sangat hendak rasa berdosa bila menolak ajakan suami tanpa sebab kukuh walaupun amaran yang sangat berat,” terangnya panjang lebar.

Meskipun Ustazah Asma’ kerap berhadapan dengan ramai pasangan yang menghadapi masalah tersebut, tetapi bantuan diberikan hanya memfokuskan kepada menjawab soalan berkaitan hukum-hakam hubungan intim dan saranan yang perlu dilakukan, selain saranan agama dan rawatan perubatan.

Sebenarnya, terlalu banyak saranan agama. Bahkan, terdapat banyak kitab penulisan alim ulama berkaitan ilmu ini termasuk yang sangat asas seperti bacaan doa. Namun, ini pun ramai yang tidak beramal.

“Sedangkan, ia sebenarnya benteng kepada gangguan iblis dan syaitan yang hendak merosakkan hungan suami isteri melalui jalan ini,” ungkapnya.

Daripada Abdullah Ibn Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila salah sorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya, maka bacalah: بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا (Dengan nama ALLAH, ya ALLAh ya Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami). Sesungguhnya jika ditakdirkan (ALLAH) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudaratkan oleh syaitan selamanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Gali ilmu dengan cara yang betul

Tambah Ustazah Asma’ lagi, rezeki ketika suami isteri bersama bukan sekadar anak sahaja, tetapi termasuk juga kasih sayang yang terhasil daripadanya.

Hubungan intim

PERI pentingnya suami dan isteri menggali ilmu dalam berumah tangga termasuk hubungan intim agar rumah tangga yang dibina terus kekal harmoni. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Namun, banyak juga punca yang turut memerlukan rawatan perubatan dan ia sangat membantu kes klien bila dirujuk. Ia terutama wanita yang trauma selepas bersalin atau faktor umur yang telah mula mengganggu hormon dan lain-lain. Begitu juga para suami yang bermasalah.

“Ketahuilah bahawa ilmu ini memang sangat penting. Ia boleh diperoleh daripada sumber fitrah semula jadi atau dipelajari secara tidak langsung dengan capaian ilmu dari persekitaran atau boleh juga secara formal.

“Cuma apabila diraih secara formal sama ada melalui individu, penulisan atau rakaman video, yang menjadi perhatian utama adalah cara dan ilmu disampaikan. Ilmu ini seolahnya tidak spesifik kepada yang ada kelayakan tertentu,” katanya.

Bagi pihak yang mahu membantu pasangan suami isteri menghadapi masalah hubungan intim, Ustazah Asma’ memberikan garis panduan yang tidak menyalahi syariat ketika bimbingan diberikan.

Berikut perinciannya:

1. Tidak mencampurkan di antara lelaki dan wanita dalam satu grup media sosial secara umum atau bersemuka. Seeloknya, biarlah lelaki diberi nasihat oleh yang sama jantina kecuali jika sesi itu melibatkan pasangan suami isteri berdua sahaja (sesi runding cara/ kaunseling pasangan).

2. Menggunakan ayat yang tidak menyebabkan kecenderungan untuk membayangkan secara jelas hingga boleh menaikkan syahwat.

3. Tidak mendedahkan aib pasangan masing-masing walaupun sudah tidak sebumbung ataupun sehaluan sekalipun diberikan alasan bahawa tiada siapa yang tahu siapa dirinya. Ini kerana boleh jadi pasangannya tahu atau ia boleh berlaku ketirisan maklumat.

Baca juga Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

4. Tidak perlulah menceritakan secara teliti tentang kaedah pelaksanaan hubungan intim kerana ia adalah sesuatu yang sedia maklum. Boleh sahaja berikan sumber rujukan ilmiah atau jika perlu kepada kaedah yang terlalu naif, diberikan perincian secara bertulis dan khusus/ tertutup.

Hubungan intim

ANDAI seseorang itu terlalu naif tentang ilmu hubungan intim, berikan sumber rujukan ilmiah atau memberikan perincian secara bertulis dan khusus atau tertutup. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

5. Tidak menyarankan perkara yang membawa kepada melanggar syariat Islam atau melampaui batas norma kerana ia akan memberi kesan buruk seperti doorngan fantasi yang berlebihan hingga memaksa pasangan untuk melaksanakan di luar kesanggupan.

6. Konsultasi yang dilaksanakan diurus dengan penuh tatatertib kerahsiaan yang tinggi dan tatacara bermaruah.

7. Jemput individu bertauliah seperti doktor, kaunselor, perunding cara rumah tangga, peguam dan lain-lain yang berautoriti dalam bidang itu. Mereka diberi latihan khusus untuk mengendalikan serta memberi konsultasi yang berkaitan. Cara itu juga akan mengukuhkan keabsahan ilmu dan kedudukan pihak berkenaan.

Justeru, berhati-hatilah dengan setiap tindak-tanduk kita. Jangan sampai ia membuka aib sendiri dan pasangan. Lebih-lebih lagi hal-hal melibatkan dalam kelambu, usah dijaja kepada orang lain.

***Foto: Canva