Browsing Tag

penghafaz al-Quran

Nahas Elmina
Berita Semasa,

Jasad penghafaz al-Quran dijaga hingga akhir hayat

SEMALAM, media melaporkan jasad salah seorang mangsa nahas pesawat ringan di Elmina berada dalam keadaan sempurna sekaligus memudahkan urusan pengecaman mayat dibuat oleh waris.

Jenazah Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, yang berada di dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) tidak terjejas teruk dan hanya kemeja yang dipakainya hangus, manakala singlet dan seluar masih melekap pada badan

Dalam pada itu, isteri mangsa juga memaklumkan kepada abangnya bahawa rambut Allahyarham juga masih elok dan hanya sedikit sahaja terbakar.

Difahamkan, Idris Abdol Talib atau biasa disapa Ustaz Idris merupakan seorang penghafaz al-Quran.

Baca Juga Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

Sementara itu, Abang ipar mangsa, Ahmad Fariz turut meluahkan rasa syukur kerana jenazah dalam keadaan sempurna dan dia sendiri memegangnya sebelum urusan pengebumian dijalankan.

“Kita dapat dia sempurna, dari hujung rambut sampai ke kaki, lengkap (badannya). Rambut dia juga tidak terbakar, saya sendiri pegang. Dia golongan yang dipelihara oleh ALLAH SWT,” katanya.

DIFAHAMKAN jenazah Allahyarham Ustaz Idris Abdol Talib cukup sempurna berbanding jenazah yang lain.

Tiga kelebihan Hafiz di dunia dan akhirat

ALLAH SWT telah menjanjikan ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang menghafaz al-Quran tidak kiralah di dunia mahupun akhirat.

Memetik portal islamqa.info, antara kelebihan seorang penghafaz al-Quran adalah:

1.Mereka diangkat sebagai pemimpin

Seseorang yang lebih banyak hafalannya lebih diutamakan untuk dijadikan sebagai pemimpin ataupun imam solat.

Artikel Berkaitan 

Perkara ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al Khudriy RA, Rasulullah SAW bersabda, “Jika kalian berjumlah tiga orang (dan hendak mengerjakan solat berjemaah) maka hendaklah salah seorang daripada kalian yang paling banyak hafalannya menjadi imam”.

2.Mereka dianugerahkan hati dan pemikiran yang lapang

Orang yang menghafaz al-Quran, hatinya akan lebih dekat dengan Rabb-NYA, kerana ayat-ayat suci itu tersimpan kemas di dalam dada mereka.

SENTIASA mendampingi al-Quran kerana kitab suci itu boleh menjadi penolong kita ketika di akhirat kelak.

Para penghafaz al-Quran akan sentiasa “murajaah” atau mengulang bacaan al-Quran dengan tujuan untuk menjaga hafalan mereka.

Hati mereka juga akan sentiasa cenderung untuk mengingati ALLAH, dan sesungguhnya hati yang sentiasa mengingati ALLAH akan mendapatkan ketenangan.

ALLAH berfirman dalam kalam-NYA “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingat ALLAH hati menjadi tenteram” (Surah al-Ra’d ayat 28)

Baca Juga Benarkah membaca ‘Sadaqallahul Azim’ sebagai penutup al-Quran dikira bidaah?

3.Mereka bakal mendapat syurga yang tertinggi

Daripada Aisyah RA Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Jumlah tingkatan-tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat al-Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafaz al-Quran adalah tingkat yang paling atas, tidak ada tingkat lagi sesudah itu.” (Hadis Riwayat Baihaqi dan Hakim)

Terdapat banyak lagi kelebihan bagi mereka menghafaz al-Quran yang di dalamnya terkandung pelbagai hikmah tersurat dan tersirat.

Semoga dengan peristiwa Allahyarham Ustaz Idris seorang penghafaz al-Quran, menjadikan diri kita juga sentiasa dekat dan cintakan al-Quran.