Browsing Tag

Pejuang kemerdekaan

Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka,

Kenali 5 ulama dan agamawan pejuang kemerdekaan negara

JIKA diteliti, ramai pejuang kemerdekaan negara yang menentang penjajah Inggeris itu sebenarnya terdiri daripada golongan alim ulama dan agamawan. Malangnya, tidak ramai yang mengetahuinya.

Baca juga Kemerdekaan bebaskan diri daripada belenggu kejahilan, kekufuran

Malah, ada nama figura berkenaan kurang dikenali ramai dek kerana fakta tentangnya tidak didendangkan. Sedangkan merekalah antara individu penting yang meniup semangat jihad dan patriotik untuk membebaskan negara daripada cengkaman musuh.

Dilabel pemberontak

Ketika diminta mengulas lanjut, Pensyarah Pusat Kajian Bahasa Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Farid Mat Zain menjelaskan, golongan ulama kurang dikenali kerana mereka digambarkan sebagai pemberontak.

DR FARID

Menyoroti historiografinya, jelas beliau, pada zaman British, para agamawan sering kali dilabelkan dengan pelbagai istilah. Antaranya termasuklah pemberontak, komunis dan golongan kiri.

“Contohnya, Tok Janggut (Haji Hassan bin Panglima Mat Munas) digambarkan sebagai pemberontak yang tidak mahu membayar cukai kepada pemerintah, sedangkan figura itu bangkit kerana mempertahankan hak masing-masing lantaran tanah mereka diceroboh oleh pihak penjajah British.

“Begitu juga dalam kes Abdul Rahman Limbong dan juga Datuk Bahaman (Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh),” terangnya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini

Hakikatnya, jelas pakar dalam bidang Tamadun Malaysia dan Nusantara itu, ulama sebenarnya bertindak sebagai pencetus kemerdekaan. Sejak awal lagi, katanya, kelompok itu berasa marah dengan penjajah.

“Sebenarnya, sejak zaman Melaka lagi, sudah ada usaha dari Kerajaan Aceh untuk menguasai semula Melaka dari Portugis. Beberapa kali mereka mengadakan serangan.

“Namun, setelah menyedari kekurangan senjata, mereka meminta bantuan daripada Kerajaan Turki Uthmaniyah.

“Malah, dalam satu serangan ke atas Portugis, golongan ulama turut terlibat. Antaranya termasuklah Sheikh Shamsuddinal-Sumatrai (Sheikhul Islam yang juga Mufti Besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil), yang akhirnya meninggal di Melaka,” ungkapnya.

Andai mahu diulas satu persatu, terlalu banyak tokoh agamawan yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Namun begitu, Dr Farid yang juga penulis buku berjudul Peranan Tokoh Agama Dalam Sejarah Perjuangan Kemerdekaan Malaysia itu menyenaraikan lima tokoh yang perlu diketahui ramai:

1. Husain Che Dol.

HUSAIN

Tempat kelahiran: Kampung Gajah Mati, Pendang, Kedah
Tahun lahir: 1904
Tahun meninggal dunia: 1967

Watak Haji Husain begitu menyerlah ketika Malayan Union (MU) diperkenalkan oleh British demi meluaskan pengaruhnya. Ternyata gagasan MU yang menggabungkan negeri-negeri di Semenanjung mendapat tentangan hebat. Antaranya daripada tokoh ulama asal Kedah itu.

Beliau yang juga pengasas pondok Guar Cempedak sememangnya sudah lama memendam amarah kepada pihak penjajah. Pada 19 Januari 1946, kira-kira 50,000 orang berkumpul di padang Court, Alor Setar menentang MU yang memuncak di Kedah.

Ketika itulah sekumpulan ulama di negeri itu merancang untuk menubuhkan permuafakatan menentang MU. Maka pada sebelah petang hari yang sama, pakatan dikenali sebagai Persatuan Ulama Kedah (PUK) mula tertubuh dan Haji Husain yang juga seorang tenaga penaja dilantik sebagai Yang Dipertuanya.

Bermulalah perjuangan PUK menjadi pertubuhan penting membela nasib umat Islam Kedah dan Malaysia. Malah, ia juga berperanan dalam menjaga kefahaman Islam agar tidak tergelincir daripada landasan.

Buat pertama kalinya, PUK pada tahun 1950 menghantar perwakilan ke persidangan alim ulama se-Malaya anjuran Umno yang berlangsung di Muar. Pada masa itu, PUK mengusulkan agar sebuah lembaga mubaligh Islam se-Malaya diwujudkan bagi mengembangkan Islam.

Semasa kongres ulama ketiga di Butterworth setahun kemudian, PUK menghantar perwakilan. Persidangan tersebut telah melahirkan Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

2. Dr Burhanuddin Helmi.

DR BURHANUDDIN

Tempat kelahiran: Kota Bharu, Gopeng, Perak
Tahun lahir: 1911
Tahun meninggal dunia: 1969 

Bukan sahaja terkenal sebagai pejuang kemerdekaan dengan jolokan ‘Bapak Kebangsaan Melayu’, Dr Burhanuddin juga merupakan ahli tafsir al-Quran dan hadis yang ulung serta mahir dalam sastera Arab.

Malah, landasan perjuangannya banyak menentang imperialisme dan penindasan terhadap masyarakat Islam di dunia dan nusantara.

Pemilik nama penuh Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor begitu terkenal dengan konsep Melayu Raya iaitu gagasan kesatuan politik Malaya-Indonesia.

Jika diteliti, perjuangan politik Dr Burhanuddin mula terserlah ketika mengemudi Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) selepas Jepun menyerah kalah. Bahkan, beliau juga pernah memimpin Pas pada tahun 1956 hingga 1969.

Meskipun dilabel sebagai ‘nasionalis radikal dan pemikir Islam’, namun sumbangan beliau terhadap kemerdekaan negara tidak boleh dinafikan.

Ketika memegang pimpinan parti politik dan anggota Parlimen, Dr Burhanuddin membawa gagasannya ke dalam perjuangan Islam dan pendidik negara. Kecintaannya kepada ilmu pengetahuan menjadikan beliau begitu prihatin dengan perkembangan sekolah agama di seluruh negara.

Di samping itu, tokoh berkenaan sering kali menekankan aspek ukhrawi sehingga akhir hayatnya.

3. Sheikh Abdullah Fahim.

SHEIKH ABDULLAH FAHIM

Tempat kelahiran: Kampung Sha’ab Ali berhampiran Masjidil Haram di Makkah/ Kampung Kubur Panjang, Kedah (2 versi berbeza menurut sejarah)
Tahun lahir: 1869
Tahun meninggal dunia: 1961

Baca juga Syeikh Abdullah Fahim, ulama dinamik yang menentukan tarikh kemerdekaan

Nama Mufti Pulau Pinang yang pertama itu memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia sentiasa meniti pada bibir masyarakat sebagai antara ulama yang memperjuangkan kemerdekaan negara secara langsung.

Selain menjadi tokoh penting dalam menentukan tarikh keramat negara merdeka pada 31 Ogos 1957, banyak lagi rupanya jasa beliau sebagai pejuang kemerdekaan.

Salah satu ‘warisan’ peninggalannya adalah membangunkan masyarakat melalui pendidikan. Bayangkan, bermula sebagai guru di Madrasah Arabiah Limbung Kapal, Kedah, beliau kemudian mengasaskan madrasahnya sendiri, Madrasah Dairatul Maarif al-Wataniah pada tahun 1926 sebelum berkhidmat di Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar.

Pada zaman beliau mengemudi Madrasah Idrisiah sebagai mudir selama 16 tahun sejak 1932, jumlah pelajar semakin bertambah dan melahirkan ramai murid memegang jawatan-jawatan penting sama ada sebagai mufti mahupun pengembang ajaran Islam seantero Malaysia.

Selepas melepaskan jawatannya sebagai mudir di madrasah itu, figura hebat tersebut dilantik menjadi Mufti Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, beliau juga dipilih untuk mempengerusikan bahagian agama ketika Persatuan Melayu Seberang Prai dihidupkan semula pada Mac 1946.

Pada tahun yang sama, Umno ditubuhkan dalam Kongres Melayu yang diadakan di Kuala Lumpur, bertujuan untuk menggabungkan semua tenaga Melayu menentang Malayan Union.

Sheikh Abdullah Fahim kemudian mendaftarkan diri sebagai ahli pertama Umno di Seberang Prai.

4. Ustaz Abu Bakar al-Baqir.

ABU BAKAR

Tempat kelahiran: Gunung Semanggol, Perak
Tahun lahir: 1907
Tahun meninggal dunia: 1974

Beliau merupakan anak didik kepada Sheikh Abdullah Fahim, tokoh ulama terkenal dan pejuang kemerdekaan tanah air.

Nama sebenar beliau ialah Abu Bakar bin Mohd Said. Tidak hanya sekadar membangunkan Maahad al-Ehya Assyarif, agamawan itu juga begitu menitik beratkan masyarakat di sekelilingnya terutama melibatkan isu pendidikan dan ekonomi.

Di samping itu, beliau tidak pernah lelah mengingatkan masyarakat tentang kewajipan umat Islam iaitu dengan meneruskan kembali tradisi perjuangan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan tanggungjawab umat Islam.

Pendek kata, beliau cuba memperbetulkan masyarakat menerusi kemajuan pendidikan dengan mendirikan maahad yang diharap mampu mendidik masyarakat kembali kepada Islam.

Ketika era perkembangan menuntut kemerdekaan begitu kuat melanda negara seperti Indonesia, India dan Mesir sekitar awal abad ke-20, pada masa itulah Ustaz Abu Bakar dilihat aktif mengundang guru-guru yang mempunyai latar belakang aliran pendidikan Timur Tengah, India dan Sumatera Barat. Mereka terkenal dengan fahaman islah (beraliran Kaum Muda).

Secara tidak langsung, guru-guru yang bersama-sama dalam gerakan kemerdekaan tersebut menyemarakkan semangat berkenaan kepada anak-anak muridnya di Maahad al-Ehya Assyarif.

Disebabkan itulah Ustaz Abu Bakar dianggap sebagai tokoh ulama Kaum Muda atau reformis di Tanah Melayu ketiza zamannya. Bahkan, beliau juga dianggap mendorong pengembangan aliran tersebut di maahad berkenaan hingga menjadi pusat pengkaderan pejuang-pejuang kemerdekaan.

5. Prof Datuk Dr Zulkifli Muhammad.

DR ZULKIFLI

Tempat kelahiran: Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak
Tahun lahir: 1927
Tahun meninggal dunia: 1964

Ramai yang mengenai nama Zulkifli sebagai tokoh pendidik dalam membangunkan pendidikan negara. Di sebalik kemasyhuran ilmuan hebat itu, beliau sebenarnya memainkan peranan signifikan dalam politik tanah air tidak kiralah sebelum merdeka mahupun selepas pasca kemerdekaan. Bahkan, beliau fasih berbahasa Arab dan Inggeris.

Jika diselak biografinya, tokoh pejuang kemerdekaan tersebut bukan calang-calang pendidikannya. Beliau hampir pernah melanjutkan pengajian peringkat tinggi di Maahad Ilya’ al-Syarif Gunung Semanggul pada tahun 1947, tetapi tidak kesampaian.

Pun begitu, beliau berjaya ke Universiti al-Azhar, Mesir. Bertitik tolak dari situ, beliau terdedah dengan persatuan pelajar dan menyertai Jami’iyyah al-Syubban al-Muslimin, di samping menjadi Presiden Lembaga Pembela Malaya pada Januari 1948.

Ketika kembali ke tanah air pada tahun 1952, Zulkifli dilihat begitu aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan politik serta menyertai Umno. Lantaran kepetahannya berbicara, beliau sering menjadi jurucakap dalam banyak perhimpunan rapat umum yang diadakan.

Malah, dalam satu program rapat umum yang turut dihadiri oleh Dato’ Onn dan Haji Abdul Wahab bin Abdul Aziz (Panglima Bukit Gantang), Zulkifli peernah memberikan ucapan ‘berapi-api’ dan penuh bersemangat menentang dasar Malayan Union.

>Selepas berhijrah kepada Pas, Zulkifli bertanding di Parlimen Bachok dan menang. Beliau kemudian mengambil peluang tersebut dalam perjuangan bangsa Melayu, menyebabkan namanya sentiasa sentiasa memenuhi dada-dada akhbar.

Bukan itu sahaja, beliau juga lantas memperjuangkan hak dan nasib masyarakat Melayu serta agama Islam di Parlimen.

***Foto: https://ms.wikipedia.org/, https://www.hijau.fm/, https://pekhabar.com/ & 123rf