Browsing Tag

pangkat

Darjat hamba di sisi ALLAH
Isu,

4 darjat hamba di sisi ALLAH, harta dan jawatan tak masuk dalam senarai

DARJAT seorang hamba di sisi ALLAH SWT tidak sama timbangannya dengan neraca dunia manusia.

Baca juga Harta dan pangkat, ujian buat manusia

Andai kita memandang harta dan pangkat sebagai ukurannya, tetapi tidak oleh Sang Pencipta.

Mengulas tentang hal itu kepada Sinar Islam Plus, pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menjelaskan, terdapat empat kedudukan seorang hamba di sisi ALLAH SWT.

Ketahuilah bahawa DIA begitu memandang tinggi orang yang berilmu sehingga diletakkan pada kedudukan pertama kerana setiap asas sesuatu termasuklah dalam hal ehwal ibadah kita semua berasaskan dengannya.

“Bayangkan tanpa ilmu, bagaimana untuk hendak lakukan ibadah jika tidak tahu rukun dan syarat-syaratnya?,” soalnya.

IMAM MUDA ARAN

Selain itu, pendakwah itu menjelaskan, iman pula berada pada tempat kedua dalam senarai darjat yang dipandang oleh ALLAH.

Baca juga 5 cara ALLAH SWT menghapuskan dosa hamba-NYA. Cara yang kelima sangat sukar dilalui manusia, namun besar ganjaran menanti

“Sebagaimana Rukun Iman yang merangkumi enam perkara, semuanya adalah perkara-perkara ghaib iaitu percaya kepada ALLAH, malaikat, kitab, rasul, hari kiamat dan qada serta qadar. “Bahkan, dalam sebuah hadis masyhur ada disebut selepas penduduk syurga menghuni jannah dan penduduk neraka memasukinya, ALLAH SWT berfirman agar mengeluarkan orang yang ada iman dalam dadanya walaupun ia hanya sebesar biji sawi,” ungkapnya.

Bukan itu sahaja, takwa dan amal turut termasuk masing-masing dalam kedudukan ketiga dan keempat.

“Sifat takwa itulah yang membuatkan kita yakin bahawa semua amalan waima baik atau buruk akan dihisab dan dibalas pada hari akhirat kelak.

“Daripada sifat itu jugalah terhasilnya amal iaitu kembali kepada Rukun Islam merangkumi lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, puasa, zakat dan menunaikan ibadah haji,” terangnya panjang lebar.

Waspada dengan kemasyhuran

Tiada gunanya terlalu mengejar kemasyhuran dan kekayaan andai diri sendiri tidak memahami definisi sebenar istilah berkenaan dari konteks agama.

Darjat hamba di sisi ALLAH

USAH terlalu mengagungkan kemasyhuran, apatah lagi kekayaan dan jawatan kerana ia tidak termasuk dalam senarai darjat hamba di sisi ALLAH. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Baca juga Betulkan niat masa tolong orang, kelak ALLAH akan bantu kita

Sebaliknya, segera perbetulkan niat dan ikhlas melakukan sesuatu semata-mata kerana ALLAH SWT.

Demikian nasihat dan saranan yang dilontarkan oleh Imam Muda Aran. Ini kerana kedua-dua elemen itu boleh mendatangkan fitnah kepada diri dan agamanya andai disalah guna.

Andai mahu disingkap, terlalu banyak ayat al-Quran dan hadis masyhur membutirkan tentangnya. Begitu juga bait mutiara daripada para alim ulama.

Antaranya, Ibrahim bin Adham pernah berkata: “Orang yang cintakan kemasyhuran tidak berlaku benar (siddiq) terhadap ALLAH.”

Ulama sufi terkemuka itu berkata: “ALLAH tidak membenarkan orang yang suka populariti.”

Selain itu, Fudhail bin ‘Iyadh berkata: “Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia, tetapi dipuji di sisi ALLAH.”

Jika diteliti semua ungkapan tersebut, jelas Imam Muda Aran, ia bukanlah bermaksud kita perlu mengasingkan diri daripada insan di sekeliling.

“Sebaliknya, berwaspada dengan kemasyhuran dan harta tersebut. Ini kerana ada orang yang suka dirinya menjadi topik utama atau dipuji melambung-lambung sampai dia ‘terangkat’.

“Itulah bahayanya apabila kita terlalu menjulang kemegahan dan kebendaan,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Hati dan amal

Menyambung hujah, penceramah itu berkata, hanya hati dan amalan yang tulus menjadi kayu ukur penilaian Sang Pencipta ke atas hamba-hamba-NYA.

Darjat di sisi ALLAH

PERBETULKAN niat kita dalam melakukan amalan semuanya kerana ALLAH SWT. -Foto: 123rf

Ia jelas sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya ALLAH memandang kepada hati kamu. Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya ALLAH amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai ALLAH ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Muslim dan at-Tabarani)

Baca juga Amalan lain tak diterima jika tinggalkan solat?

“Selain itu, semuanya adalah satu bentuk ujian. Ia termasuklah musibah, kesusahan mahupun kesenangan untuk menakar keimanan kita kepada ALLAH SWT.

“Andai kita diberikan ujian dan bersabar, sangat tinggi darjat kita di sisi-NYA dan begitu juga sebaliknya. Ingatlah, ALLAH memberi kita segala macam untuk melihat sama ada kita menggunakannya kepada jalan yang betul.

“Adakah kita buat (beramal dengan cara) Islam itu sekadar buat ataupun terpaksa kerana wajib? Semua itu akan dilihat pada hati dan amalan masing-masing,” katanya.

Sebelum menoktahkan bicaranya, Imam Muda Aran menitipkan pesanan agar umat Islam tidak hanya berdamping dengan orang berpengaruh atau berjawatan sahaja serta meminggirkan insan-insan lain.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seorang lelaki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dajat hamba di sisi ALLAH

BAGI memastikan kita tersenarai dalam darjat hamba di sisi ALLAH, pilihlah sahabat yang baik yang boleh membantu kita sewaktu perjalanan akhirat kelak. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Melihat ungkapan hadis itu, ujar pendakwah tersebut, jelaslah bahawa setiap orang perlu cakna dengan siapa kita bersahabat.

Tujuannya bukanlah mahu memilih mereka yang sempurna dan berguna, tetapi untuk membantu kita sewaktu perjalanan akhirat kelak, ungkapnya.

“Carilah kumpulan rakan-rakan yang memenuhi kehendak ALLAH SWT,” titipnya.

ANEKDOT

Bolehkah berdamping dengan orang berpengaruh untuk tempias positif?

– Dari sudut positif, tidak salah andai kita mahu bersahabat dengan orang yang ada kemasyhuran bagi membentuk lingkaran aura yang baik untuk memacu dirinya berjaya.

– Namun begitu, jangan sampai kita mengetepikan terus insan-insan biasa yang lain. Ia konsep yang salah.

– Sedangkan, Nabi Muhammad SAW secara jelas menyebut bahawa orang yang beriman itu berada pada ‘agama teman pergaulannya’.

– Ini bermaksud, kita perlu memerhatikan dengan siapa diri bersahabat agar mereka boleh melorongkan kita bukan sahaja kepada duniawi, tetapi juga ukhrawi.

Baca juga Hati-hati pilih kawan. Jangan sampai tersilap langkah

– Ikuti panduan memilih sahabat sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Ghazali yang diambil daripada kitab Hidayatus Salikin;

i. Pilih orang yang berakal (berilmu).

ii. Kawan yang baik dari sudut peribadi dan akhlak.

iii. Berkawan dengan orang soleh, bukan fasik.

iv. Usah bersahabat dengan orang yang sangat kasih pada dunia.

v. Pilih orang yang benar perkataannya dan tidak berdusta.

megah dengan pangkat
Gaya Hidup,

Megah dengan pangkat bakal heret Muslim ke neraka

Megah dengan pangkat bakal heret Muslim ke neraka

SEJAK beberapa hari lalu, kecoh kisah mengenai seorang pegawai polis yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur hinaan terhadap rakan sekerja berpangkat lebih rendah.

Belum reda lagi kes sebelum ini, terbaharu sebuah video berdurasi 40 saat tular mempamerkan aksi pegawai wanita tersebut meninggikan suara dan mempersoalkan kata-kata seorang anggota bawahan gara-gara pangkat yang lebih rendah.

Rata-rata netizen berasa tidak senang dengan tindakan wanita itu yang dilihat seolah-olah bermegah dengan jawatan yang dimiliki selain memperlekehkan pangkat rakan sekerjanya yang lebih rendah.

Baca juga Elak lantik anak-beranak dan kaum kerabat untuk suatu jawatan, ini pandangan Islam berkaitan hal itu

megah dengan pangkat

ARTIKEL BERKAITAN:

Setiap perlakuan akan dihisab ALLAH

Hakikatnya, kepemimpinan bukan hanya dikira selepas seseorang itu menang dalam pilihan raya atau dapat memegang jawatan tertentu dalam sesebuah organisasi.

Ingatlah, setiap manusia akan dipertanggungjawab ke atas segala perkara yang mereka lakukan.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bahkan ALLAH SWT sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggungjawab yang dipikul oleh setiap pemimpin.

Di sisi agama, pemimpin perlu sedar bahawa pelantikannya itu satu pertanggungjawaban (taklif) dan bukan satu kemuliaan (tashrif) untuk dimegah-megahkan.

Bahkan, pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan meminta apa-apa keistimewaan demi kepentingan sendiri, jauh sekali menganggap diri lebih baik daripada orang lain.

Dari segi kepemimpinan terbaik, teladanilah perlakuan Rasulullah SAW yang tidak pernah sama sekali menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang pemimpin untuk mengaut keuntungan bagi diri sendiri.

Baginda SAW pula sentiasa mengutamakan kebajikan setiap manusia di bawah kepemimpinannya.

DI sebalik setiap pangkat yang dipegang, ada tanggungjawab perlu digalas. Foto: Google

Baca juga Hanya Kerana Lidah, ALLAH Akan Mencampakkan Muka Seseorang Dahulu Ke Dalam Neraka

Jawatan yang membawa penyesalan

Di samping itu, Rasulullah turut mengingatkan umatnya untuk tidak terlalu taasub dengan jawatan dan pangkat yang dimiliki.

Sabda baginda nabi: “Kamu semua akan sukakan kepada jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan ketika hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hal itu kerana pemimpin yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan betul akan dihumban ke neraka.

Nabi SAW bersabda: “Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru, ingatlah bahawa di sebalik jawatan yang setiap daripada kita miliki, sebenarnya ada suatu tanggungjawab besar perlu digalas dan bukan semata-mata untuk mendapat nama dan kemegahan.

Dalam pada itu, usah terlalu bangga dengan pangkat yang ada kerana boleh jadi ia adalah bahana yang mengheret kita ke neraka tanpa disedari.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Google

Megah dengan pangkat bakal heret Muslim ke neraka