Browsing Tag

panduan al-Quran

Motivasi didiagnosis kanser
Gaya Hidup,

Ini panduan al-Quran yang boleh jadi motivasi kepada mereka didiagnosis kanser

Ini panduan al-Quran yang boleh jadi motivasi kepada mereka didiagnosis kanser

ALLAH SWT memberi ujian kepada hamba-NYA bukan kerana benci, tetapi ia bertepatan dengan kemampuan orang tersebut. Mereka yang bersabar dengan ujian tersebut telah dijanjikan khabar gembira oleh-NYA.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkongsi ilmu dalam program Fuel Love For Fighters kali ke-8, forum Kesedaran Menangani Penyakit Kanser di Kalangan Wanita di Hulu Klang, Selangor pada 18 Jun lalu.

Beliau bertadabbur Surah al-Baqarah ayat 155 hingga 157 sebagai peniup semangat kepada audiens ketika mendepani mehnah.

Panduan daripada suluhan al-Quran ini merupakan motivasi besar kepada mereka yang didiagnosis kanser untuk meneruskan perjuangan melawan kanser dan sembuh, serta ahli keluarga dan penjaga.

Motivasi didiagnosis kanser

FAZRUL (kanan) bersama qari, Mohamad Yusuf Al-Sadiq Mohamed Azmin memberi pengisian pada majlis tersebut.

Firman ALLAH: “Dan KAMI pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Baca juga Ikhtiar rawat kanser dengan amalkan Surah al-Fil. Lakukan penuh yakin, sabar dan berharap agar ALLAH  sembuhkan, selain teruskan rawatan moden

Menurut Fazrul, selagi hayat dikandung badan, manusia diuji dengan pelbagai perkara oleh ALLAH dari semasa ke semasa. Ini janji ALLAH. Sebenarnya ujian yang diberikan kepada mereka hanyalah sedikit dan berbeza pada setiap orang.

Sesungguhnya ALLAH MAHA MENGETAHUI bahawa kita mampu menguruskannya.

“Mungkin ada yang berkata, “Sabar… sabar. Cakap bolehlah!” Atau ada yang mengeluh, “Ya ALLAH, ujian ini amat besar. Mengapa saya tengok orang lain lebih bahagia..,” ujar Fazrul.

Katanya, orang yang tidak sabar diuji sebenarnya dia memandang rendah kepada kemampuan dirinya. Sedangkan orang yang bersabar akan menerima khabar gembira yang dijanjikan oleh ALLAH SWT dan pasti ada cahaya di penghujungnya.

“ALLAH yang menciptakan sel-sel yang sedang merebak, dan DIA jua yang akan menutup, mematikan kuman dan memberi kesembuhan kepada hamba-NYA.

“Apabila kita yakin kepada kekuasaan ALLAH, hidup kita menjadi lebih ceria dan gembira. Ini secara langsung memberi kesan positif kepada kesihatan dan tenang emosi. Akhirnya kita semakin menghargai setiap detik masa yang diberikan ALLAH kepada kita,” katanya.

Motivasi didiagnosis kanser

IKUTI panduan al-Quran sebagai motivasi andai diri didiagnosis kanser mahupun penyakit lain. Mengertilah bahawa ALLAH SWT menguji hamba-NYA bersesuaian dengan kemampuan masing-masing. -Foto: 123rf

Tambah Fazrul, ujian ALLAH tidak pernah salah alamat. Ia memang tepat dan bersesuaian kepada kemampuan seseorang itu. Contohnya orang yang diuji penyakit kanser dibantu ahli keluarga yang menjaganya. Ayat 156 memberi panduan kepada mereka yang ditimpa musibah dengan menyebut “Innalillahiwainnailaihirojiun” yang bermaksud “Sesungguhnya kita adalah milik ALLAH dan semuanya akan kembali kepada-NYA.”

Stabilkan harapan

Fazrul menjelaskan, ALLAH mengajar naratif tersebut kepada umat Islam agar ia dapat menstabilkan harapan ketika menghadapi sesuatu ujian.

Baca juga ALLAH Datangkan Ujian Sekali Dengan Kekuatan, Tiada Alasan Untuk Kita Mengeluh

Ramai kalangan bekas pesakit kanser amat menghargai masa dengan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Dalam hati kita berkata, “Ya ALLAH, sel-sel ini milik-MU Ya ALLAH. ENGKAU ciptakannya dan aku tahu Ya ALLAH. Engkau boleh buat apa sahaja kepada tubuh badanku kerana diriku milik-MU ya ALLAH. Sesungguhnya kesakitan ini aku harap dalam proses menuju kepada-MU. Engkau pinjamkan sekejap dan boleh kembali sihat. Aku ingin buat yang terbaik dan menjadi orang yang bermanfaat setiap saat kepada dunia kerana aku tahu inilah masa yang dipinjamkan oleh ALLAH SWT.

“Ayat 157 menyatakan, ALLAH menawarkan tiga ganjaran kepada orang yang lulus ujian dengan kesabaran dan keyakinan iaitu memperoleh keampunan, rahmat dan mendapat petunjuk. Ujian ALLAH mendekatkan hamba-NYA kepada PENCIPTA. Ia sebagai tanda kasih sayang ALLAH untuk kita mendapat hidayah seterusnya dipimpin ke syurga,” jelasnya.

Majlis perasmian Fuel Love For Fighters kali ke-8 ini disempurnakan oleh penaungnya, Datin Seri Shamsida Taharin.

Beliau dalam ucapannya berkata, pesakit kanser perlu sabar dan kuat dalam melalui tempoh rawatan.

“Jangan mengalah jika anda didiagnosis kanser kerana ia bukan penamat kehidupan. Ada sesetengah mereka menjalani hidup lebih baik selepas kanser. Sebagai penghidap kanser, cari kumpulan sokongan agar dapat berkongsi pengalaman.

“Cari hobi yang menyeronokkan, tetapi bersesuaian dengan tahap kesihatan individu tersebut. Jangan biarkan fikiran dihanyut oleh kesedihan. Hidup mesti diteruskan dan ingat orang yang tersayang,” jelas beliau lagi.

Ubah gaya hidup ke arah lebih baik

Sementara itu, Dr Yasmeen Farouk Mohamed sebagai pengasas kumpulan sokongan pesakit kanser itu berkata, sebelum ini, beliau sebagai sukarelawan membantu golongan pesakit kanser.

DR YASMEEN

Pada 2021, beliau telah didiagnosis kanser rahim. Selepas melalui proses rawatan setahun, kini beliau kembali sihat dan bebas kanser.

“Pengalaman menjaga orang yang sakit berbeza apabila diri sendiri yang mengalaminya. Hanya ALLAH tahu betapa sakitnya. Perasaan takut tidak dapat lari kerana bimbang kanser datang lagi. Kita perlu mengubah gaya hidup 360 darjah ke arah lebih baik, sihat dan gembira,” katanya.

Selain perlu berjumpa doktor dan mendapat rawatan secara konsisten, pesakit juga ujarnya, tidak boleh berhenti berharap untuk sihat dan sembuh sepenuhnya.

Baca juga Harus mendoakan orang bukan Islam sembuh daripada penyakit, ini penjelasannya

“Luangkan waktu bertemu dengan rakan-rakan yang mampu memberi semangat dan motivasi,” tambah Dr Yasmeen lagi.

Seramai 300 peserta yang terdiri daripada pesakit kanser, ahli keluarga pesakit, kumpulan sokongan kanser dan badan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Gombak.

Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Ketua Bahagian Gine-onkologi di Pusat Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamad Shafiee membentangkan topik ‘Healing need effort to change and lookout for symptoms cancer’.

Beliau memberitahu mereka yang didiagnosis kanser perlu segera berjumpa pakar dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

“Jangan lengahkan masa dengan mendapatkan rawatan alternatif atau mendiamkan diri. Kebiasaan pesakit menjadi tertekan kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Untuk mendapatkan kesejahteraan hidup, mereka hendaklah datang berjumpa pakar untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dari masa ke masa,” katanya.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

Foto: Unsplash

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.