Browsing Tag

pakaian terkena air mani

Air mani
Ibadah,

Pakaian terkena percikan air mani boleh dibawa solat, betul ke?

APABILA membutirkan tentang air mani, ia dianggap tabu oleh kebanyakan orang. Lantaran itu, ramai yang segan silu untuk bertanyakan lanjut tentangnya.

Meskipun demikian, kita tidak dapat lari daripada memperkatakannya kerana ia memang antara salah satu jenis air yang diciptakan ALLAH SWT ke atas setiap manusia.

Malah, ia berkait rapat dalam perihal ibadah kita. Andai kata, pakaian yang digunakan untuk solat terkena mani, bolehkah ia dibawa sembahyang?

Baca juga Status air liur basi, najis atau tidak untuk dibawa solat?

Menurut Jabatan Mufti Negeri Perak, solat tetap sah walaupun pakaian seseorang ada kesan air mani kerana ia adalah bersih.

“Ia sebagaimana diceritakan oleh Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersembahyang dengan kain Baginda ada tompok-tompok mani,” katanya sebagaimana dipetik menerusi infografik yang disiarkan di laman sosial Facebook jabatan mufti berkenaan.

Air mani

INFOGRAFIK yang disiarkan Jabatan Mufti Negeri Perak berkaitan kain solat yang terkena mani yang disiarkan di laman sosial Facebook jabatan berkenaan baru-baru ini.

Meskipun air mani adalah suci, namun begitu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan agar kita membasuh terlebih dahulu tempat yang terkena tompokan tersebut.

“Disunatkan berbuat demikian sehingga tidak meninggalkan kesan air mani sebelum dipakai untuk menunaikan ibadah solat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel al-Kafi #1825: Bolehkah pakaian yang Terkena Mani Dibawa Solat yang disiarkan menerusi laman web pejabat mufti berkenaan.

Daripada ‘Amru bin Maimun, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Sulaiman bin Yasar berkaitan mani yang terkena pada pakaian seseorang. Adakah perlu dia membasuhnya atau tidak perlu membasuh pakaian itu? Lalu beliau menjawab: “Aisyah RA menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW membasuh air mani (pada pakaian) kemudian keluar mendirikan solat dengan pakaian itu, kemudian aku lihat adanya kesan basuhan itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

Dalam sebuah hadis lain, ada menceritakan Saidatina Aisyah RA membersihkan kesan air mani pada pakaian Nabi Muhammad SAW.

Air mani

SEBAIKNYA, disunatkan untuk membersihkan kesan atau tompokan percikan mani sebelum dibawa untuk solat. -Foto: 123rf

Seorang lelaki bertamu di rumah Aisyah RA, lalu pada waktu pagi dia membasuh pakaiannya. Aisyah RA berkata: “Sesungguhnya cukup untuk kamu jika kamu melihatnya (iaitu air mani itu) supaya membasuh tempatnya (terkena air mani). Jika engkau tidak nampak, cukup sekadar merenjiskan air di sekelilingnya. Sesungguhnya aku mendapati diriku benar-benar menggosoknya (mani) daripada pakaian Rasulullah SAW. Lalu Baginda menunaikan solat dengan pakaian tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, para fuqaha Mazhab Syafie menjelaskan, meskipun air mani suci, tetapi digalakkan membersihkan pakaian yang terkena dengannya untuk keluar daripada perselisihan ulama yang menyatakannya sebagai najis.