Browsing Tag

pahala

amalan ringkas rasulullah
Hukum,

12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

12 perkara berikut antara amalan Rasulullah SAW yang boleh kita teladani untuk meraih pahala.

Amalan sunnah adalah apa-apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sama ada melalui perlakuan, perbuatan, percakapan dan diam baginda.

Ganjaran pahala menanti sesiapa yang beramal dengan sunnah Rasulullah namun, tiada dosa bagi yang meninggalkannya.

Berikut adalah 12 sunnah Rasulullah SAW yang boleh dijadikan amalan harian kita, seperti yang disenaraikan portal Tzkrh.

Baca juga Empat kisah Rasulullah SAW menitiskan air mata

1. Bersiap sebelum tidur
Sebelum tidur, kita disunnahkan untuk menutup pintu, tingkap, memadamkan api dan lampu, berwuduk, bermuhasabah diri, mengibas-ngibas tempat pembaringan sebanyak 3 kali dan berbaring miring sebelah kanan.

Setelah itu, baca juga ayat Kursi, 3 qul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, kemudian hembuskan pada tapak tangan dan usapkan ke seluruh anggota badan.

Baca juga Sunnah kibas tilam sebelum tidur. Ini sebabnya

amalan ringkas rasulullah

HENDAK tidur pun ada adabnya seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

2. Bangun tidur dengan menyapu wajah dan berdoa
“Alhamdulillahillazi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihinnusyur”

Maksudnya: “Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan kami setelah kami dimatikan-NYA dan kepadaNYAlah kami dikembalikan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Tiada Larangan Tidur Lepas Subuh dan Asar?

3. Masuk dan keluar tandas dengan membaca doa
Bacalah doa berikut sebelum melangkah masuk ke dalam tandas dengan kaki kiri:

“Allahumma inni a’uzubika minal khubusi wal khaba’is’”

Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepadaMU daripada godaan syaitan jantan dan betina.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setelah itu, keluar dari tandas dengan kaki kanan sambil membaca:

“Ghufranak”

Maksudnya: “Aku memohon ampun kepadaMU.” (Hadis Riwayat Nasa’i)

Baca juga Tak boleh Masuk Tandas Ketika Sedang Azan?

4. Bersugi
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan bersiwak pada setiap sembahyang.” (Hadis Riwayat Bukhari)

amalan ringkas Rasulullah SAW

Rasulullah SAW sangat mementingkan penampilan dirinya seperti memakai wangian serta sering berpakaian putih.

5. Membaca bismillah semasa memakai pakaian
Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat manusia ketika membuka pakaian ialah membaca bismillah (dengan nama ALLAH).” [Hadis Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Ausat (2504)]

Mulakan dari bahagian sebelah kanan ketika memakai pakaian dan sebelah kiri apabila ingin menanggalkannya.

Baca juga Bolehkah lelaki ‘mencantikkan’ diri? Berikut perinciannya

6. Menunaikan solat sunat rawatib
Solat sunat rawatib antara ibadah yang sering dilazimi oleh Nabi Muhammad SAW. Sabda baginda:

Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana ALLAH SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan ALLAH SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Rugi tinggalkan solat sunat Isyak kerana ia lebih afdal dari solat tarawih.

7. Masuk dan keluar rumah dengan membaca doa
Ketika hendak keluar dari rumah, disunatkan untuk membaca:

“Bismillahi tawakkaltu alallah, wa la haula wala quwwata illa billah (Dengan nama ALLAH, aku bertawakkal kepada ALLAH. Dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan ALLAH).” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Manakala ketika hendak masuk ke dalam rumah pula, disunatkan untuk mengucapkan bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah dan mengucapkan salam sama ada rumah tersebut ada orang atau tidak.

Baca juga Beri salam bila masuk rumah walaupun tak ada orang. Ini sebab-sebabnya…

amalan ringkas rasulullah

AMBILLAH kesempatan meraih pahala dengan menjadikan amalan Rasulullah SAW sebagai rutin harian kita juga.

8. Beradab ketika memakai kasut
Apabila memakai kasut atau selipar, kita diajar oleh Rasulullah SAW untuk memulakan dengan kaki kanan. Sebaliknya, kaki kiri didahulukan semasa ingin menanggalkannya.

Hal ini seperti diriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Jika kalian memakai sandal, maka dahulukanlah kaki kanan, dan jika melepaskannya, maka dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya maka hendaklah memakai keduanya atau tidak memakai keduanya sama sekali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Baca juga Biasakan Diri Baca Doa Sebelum Keluar Rumah, Ini Sebabnya

9. Beradab ketika makan
Sebelum dan selepas makan, kita disunatkan untuk berdoa. Bahkan, memadai dengan hanya membaca bismillah.

Antara sunnah lain ketika makan dan minum ialah memulakan dengan menggunakan tangan kanan dan mengambil makanan yang paling hampir dengan kita. Tidak meniup makanan atau minuman, menjilat jari-jemari untuk membersihkan sisa makanan, tidak mencela makanan apabila tidak menyukainya dan tidak membazirkan juadah tersebut.

Baca juga Sunnah tutup makanan dan minuman walaupun dengan sebatang kayu, ini sebab-sebabnya

10. Mengucapkan salam
Apabila bertemu dengan sesama Muslim, disunatkan untuk kita mengucapkan salam, “Assalamualaikum atau Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”, sama ada pada orang yang kita kenal atau tidak. Kemudian, bersalam-salaman.

Sabda Rasulullah SAW, “Tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik

amalan ringkas rasulullah

APABILA berjabat tangan dengan sahabat, Rasulullah SAW tidak akan melepaskan genggamannya sehinggalah tangannya dilepaskan oleh orang yang satu lagi.

11. Sentiasa senyum
Senyum adalah ‘sedekah’ yang paling mudah untuk dilakukan oleh setiap orang. Rasulullah SAW sendiri adalah orang yang paling pemurah dengan senyuman yang tak lekang di wajah, membuatkan orang sekeliling berasa senang dengan baginda.

Abdullah bin al-Harith RA berkata,

Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Baca juga Senyumkan sedekah, tapi masih ramai orang tak buat…rugi betul

12. Berzikir
Amalan berzikir juga merupakan perkara yang biasa dilakukan oleh Rasulullah SAW. Bahkan, lidah baginda sentiasa dibasahi pelbagai pujian terhadap ALLAH SWT tidak mengira waktu.

Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu.

“Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada ALLAH Azza Wa Jalla.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Baca juga Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh

Demikianlah beberapa amalan sunnah Rasulullah SAW yang boleh kita contohi serta amalkan dalam kehidupan seharian.

Selain mengikuti perlakuan baginda, amalan sunnah juga penting untuk menampung segala kekurangan pada amalan wajib yang kita lakukan setiap hari.

Foto: Pexels

 

Hina Rasulullah
Gaya Hidup,

Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya

APABILA melihat orang lain mendermakan sejumlah wang yang besar, terasa diri begitu kerdil kerana tidak dapat mengeluarkan duit atau kebaikan sebanyak itu.

Begitu juga tatkala melihat individu lain menyantuni ibu bapa dan ahli keluarganya dengan memberikan wang saku, membelanja makan, hadiah serta seumpamanya.

Sebenarnya, apa sahaja perbuatan yang dilakukan untuk menyenangkan hati, memudahkan urusan dan sebarang perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain merupakan perilaku yang mulia.

Mudah kata, kebaikan tidak semestinya hanya dengan wang ringgit. Boleh jadi ia datang dalam bentuk yang lain selagi ia memberi faedah kepada sesiapa pun.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya menyarankan masyarakat agar melakukan kebaikan walaupun hanya sekecil-kecil perkara.

MUHAMMAD FAHMI

“Jangan pula kita melakukan keburukan walaupun dengan hanya sekecil-kecil perkara,” katanya.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT menerusi kalam-NYA yang bermaksud: “Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Baca juga Jangan Remehkan Atau Kecam Usaha Kebajikan Orang Lain

Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menjelaskan, orang yang masuk syurga bukanlah mereka yang tiada dosa.

“Sebaliknya, mereka ialah golongan yang mana setelah ditimbang pahala dan dosanya, pahalanya lebih berat. Maka masuklah dia ke dalam syurga.

“Begitu juga halnya dengan orang yang masuk ke dalam neraka. Bukannya mereka tiada pahala, tetapi setelah dihitung, dosanya lebih berat. Akhirnya dia dihumban ke neraka,” ungkapnya.

Ketahuilah bahawa terdapat tiga peringkat kebaikan sebagaimana menurut al-Syinqithi menerusi karyanya, Adhwa al-Bayan yang dilaporkan dalam web uin-antasari.ac.id.

Berikut merupakan perinciannya:

i. Tahap terendah (al-hadd al-adna).

Berbuat baik atau melaksanakan tanggungjawab hanya sekadar melepaskan kewajiban seperti membayar zakat.

Selain itu, bersedekah sunat juga termasuk dalam pengertian itu. Sebagai contoh bersedekah dengan sebiji kurma.

Kebaikan kecil

BERBUAT baiklah kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja.

ii. Tahap pertengahan (al-hadd al-awsath).

Bermaksud berbuat kebaikan atau melaksanakan kewajipan dengan kadar yang mencukupi. Dengan kata lain, ia sekadar boleh menggugurkan kewajipan dan berkongsi dengan kepentingan sendiri.

Ia sebagaimana yang digambarkan oleh anjuran dalam al-Quran iaitu berkelakukan sederhana (tidak berlebih-lebihan) termasuk dalam perihal amal.

iii. Tahap yang tinggi (al-hadd al-aqsa).

Peringkat tertinggi itu adalah melibatkan perbuatan berbuat baik atau melaksanakan kewajipan kepada orang lain walaupun diri sendiri memerlukannya.

Lihat bagaimana sifat yang ditonjolkan oleh kaum Ansar demi kemaslahatan orang Muhajirin ketika mereka berhijrah ke Madinah.

Sesungguhnya, kebaikan yang ditunjangi keikhlasan dan ketulusan hati membuahkan hasil hasil yang begitu manis sepertimana yang digambarkan oleh ALLAH SWT menerusi ayat 7 dan 8, Surah al-Zalzalah.

Malah, keimanan seseorang itu juga dinilai berdasarkan ilmu dan amal yang dilakukannya, lapor portal terkemuka di Indonesia, Republika.

Kebaikan kecil

ALLAH SWT menjanjikan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan sedemikian.

Dalam hadis Rasulullah SAW, ada menyatakan bahawa iman mempunyai lebih 70 cabang. Cabang iman yang paling tinggi adalah ucapan Lailaha illallah, manakala yang terendah pula adalah menghilangkan gangguan walaupun duri dari jalan.

Maka disebabkan itulah kita tidak boleh memandang remeh suatu kebaikan walaupun nampak kecil oleh kebanyakan manusia.

“Boleh jadi ALLAH SWT akan membalas amalan yang dilakukan dengan ikhlas dengan pahala yang berkali ganda.

“Ia sepertimana kisah anjing kehausan berkeliaran di sekitar perigi untuk mendapatkan air. Bayangkan haiwan ini dalam keadaan menyedihkan dan hampir mati.

Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

“Namun begitu, seorang wanita dari Bani Israel kasihan melihatnya. Lalu, dia menanggalkan kasutnya untuk mengambil air dari perigi tersebut dan memberikannya kepada anjing tadi,” katanya dipetik daripada portal berkenaan.

Asbab amal soleh yang dilakukan, maka ALLAH SWT mengampunkan segala dosa yang dilakukan. Meskipun anjing ialah haiwan bernajis bagi umat Islam, tetapi membantunya yang sedang nazak merupakan suatu kebajikan.

Kisah tersebut memberi gambaran bahawa setiap umat Islam hendaklah melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.

Kebaikan kecil

AMALAN kebaikan tidak semestinya dengan hanya bersedekah, tetapi banyak konteks lain lagi antaranya dengan membuang duri di jalanan dan mengukirkan senyuman kepada orang lain.

Dalam hal itu, terdapat sebuah hadis masyhur yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Jangan sekali-kali kamu meremehkan sedikit kebaikan atau kamu mengosongkan bekas airmu untuk mengisinya dengan orang yang sedang mencari air, atau kamu bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.” (Hadis Riwayat Muslim)

Renungkanlah hadis itu sedalamnya supaya ia melorongkan kita untuk melakukan perbuatan baik pada bila-bila masa dan di mana sahaja tidak kiralah dalam hal yang besar mahupun sekecil-kecil pahala.

Foto: Pexels

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Hati kita sifatnya berbolak-balik, jangan dibiar usang jadi lubuk dosa

SIFAT hati adalah berbolak-balik. Kadang ke kiri dan kadang ke kanan. Ada kala menuju kebaikan dan ada kalanya menyukai keburukan. Itulah hakikat hati.

Justeru, hati perlu diberikan perhatian selalu. Hati perlu dipelihara dan dijaga. Jangan dibiar usang menjadi lubuk dosa. Bersarang kegelapan dan merosakkan keimanan.

Hati harus ada beberapa nilai kebaikan, salah satunya adalah nilai bersangka baik kepada orang lain.
Jangan mudah memandang serong dan bersangka buruk kepada mereka. Bersangka buruk menyebabkan hati tidak tenang. Terasa resah dan menjadi lemah.

Belajarlah untuk bersangka baik kerana ia akan menyebabkan kehidupan kita lebih baik dan teratur. Hati akan menjadi tenang tatkala sangka baik menjadi satu kebiasaan.

“Tidak halal seorang Muslim yang mendengar suatu perkataan daripada saudaranya, lalu dia terus bersangka buruk dengannya sedangkan dia mampu mengandaikan sesuatu maksud yang baik sebagai jalan keluar.” – Umar Al-Khattab

Lihatlah orang lain lebih baik daripada diri kita. Hal ini dapat menjaga hati dari dihinggap penyakit hati seperti dengki, sombong, riyak dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

Kita sering menitikberatkan makanan dari segi jasmani. Namun makanan rohani pula bagaimana?

Rohani kita juga turut memerlukan makanan yang cukup. Jangan dibiarkan berlapar dan tidak terisi.

Apa kata kita seiringkan juga makanan untuk rohani kita. Supaya hati kita lebih kuat dan berkualiti. Antara makanan untuk rohani adalah:

1- Membaca al-Quran

2- Berzikir

3- Berpuasa sunat

4- Berselawat

5- Bersedekah

Jangan malas bersedekah, tak perlu tunggu Ramadan. 5 janji ALLAH orang rajin sedekah

6- Berbakti kepada kedua ibu bapa

7- Memelihara anak yatim

8- Membantu orang miskin

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.” – Surah Al-Anbiya’ 21:31

Selain itu, hati juga perlukan kekuatan. Jangan hanya menfokuskan kepada kekuatan jasmani semata. Rohani dan jasmani saling berkait dan tidak boleh hanya salah satu sahaja yang ada kekuatan.

Hati juga jangan sombong! Sombong hanya menyebabkan diri kita di dalam kerugian. Tidak ada apa yang patut kita banggakan kerana semua yang kita ada adalah milik ALLAH SWT. Semuanya hanya pinjaman. Ia akan ditinggalkan juga pada suatu hari nanti.

Bersihkan hati daripada sifat sombong kerana ia dapat merosakkan segala kebaikan. Rugi sahaja kebaikan dibuat tetapi terselit dengan secebis kesombongan.

Jadi, jangan biarkan hati terus mati dan gelap. Sinarilah ia dengan cahaya keimanan. Cucilah dengan kalimah zikir dan alunan al-Quran.

Semoga hati kita semua ditetapkan dalam Islam dan iman. Hati yang suci menghadirkan ketenangan walau dalam kesusahan.

Sumber: Fazli Abdullah

Foto: Kaboompics.com/Pexels

Agama, Soal Jawab Agama,

Tunaikan solat duha akan diberi ganjaran emas? Berikut penjelasannya

SEPERTI semua sedia maklum, fadilat dan kemuliaan menunaikan solat duha atau al-Awwabin sangat bererti dalam kehidupan umat Islam.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang solat duha sebanyak 12 rakaat, maka ALLAH akan membina baginya sebuah istana daripada emas di syurga.“ (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Menjawab pertanyaan tentang riwayat hadis berkenaan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) menerusi Irsyad Al-Hadith Siri ke-223: Solat Duha Mendapat Istana Emas memberi penjelasan dengan merujuk beberapa pendapat ulama.

Imam al-Tirmizi menilai hadis itu sebagai gharib (ganjil) kerana tidak diketahui. (Rujuk Sunan al-Tirmizi, 337/2)

Imam Ibn Mulaqqin mengatakan hadis daripada Anas bin Malik telah dimuatkan oleh Ibn al-Sakan di dalam kitab sunannya yang sahih. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, 416/1)

Imam al-Nawawi menghukum hadis berkenaan sebagai daif. (Rujuk Khulasah al-Ahkam, 571/1)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan dalam sanad itu tidak terdapat perawi yang dikatakan lemah. (Rujuk Fath al-Bari)

Syeikh al-Albani menilai hadith tersebut sebagai daif. (Rujuk Dhaif Jami‘ al-Tirmizi dan Dhaif Ibn Majah, 380/3)

Justeru, berdasarkan semua pandangan tersebut, Pejabat Mufti WP lebih cenderung mengatakan bahawa hadis berkenaan bersifat daif.

“Pun demikian ia boleh diangkat ke tahap hasan apabila ia disokong oleh beberapa riwayat lain,“ kata mereka.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang dihubungi turut senada dengan Pejabat Mufti WP.

“Ya, walaupun status hadis ini dikatakan lemah, tetapi maknanya dikuatkan dengan hadis-hadis lain seperti Hadis Riwayat Buraidah. Ini kerana fadilat bersedekah adalah besar dan apabila solat duha disamakan dengan sedekah, maka inilah yang menunjukkan kelebihan solat duha,“ jelas pendakwah itu.

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata solat duha sebaiknya dilakukan berterusan setiap hari untuk mendapatkan ganjarannya.

Tatkala diajukan pertanyaan tentang sesetengah pendapat bahawa ibadah itu berupaya menyembuhkan penyakit, Dr Wan Salim berkata, berdasarkan pengetahuannya, kesahihannya belum dapat dipastikan lagi.

Dalam pada itu, ujar beliau, para fuqaha berbeza pandangan sama ada solat duha boleh dilakukan setiap hari secara berterusan atau dilakukan berselang hari atau secara berkala.

“Bagaimanapun, majoriti jumhur fuqaha berpandangan, solat berkenaan digalakkan (mustahab) supaya dilakukan secara berterusan pada setiap hari,“ katanya.

Sandaran itu, beritahu agamawan tersebut adalah merujuk kepada Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud: “Amalan yang paling disukai ALLAH ialah yang kekal walaupun sedikit.“

 

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Michael Burrows/Pexels

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama
Isu,

Pahala Duduk Rumah

no comment

JUMLAH mangsa yang dijangkiti Covid-19 semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Angka yang tinggi saban hari memaksa kerajaan untuk mengambil langkah proaktif membendungnya.

Apatah lagi dengan kehadiran varian baharu seperti varian United Kingdom, India, Brazil dan Afrika Selatan yang membimbangkan yang menjadi faktor pertambahan kes.

Lantaran itu, mahu atau tidak, keputusan berat terpaksa diambil dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula semalam, 1 Jun.

Ketahuilah, dalam Islam, mentaati ulil amri (pemerintah atau pihak berautoriti) adalah wajib.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang beriman, patuhilah ALLAH, patuhilah rasul dan ulil amri dari kalanganmu.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara (perkara) untuk mengangungkan ALLAH adalah memuliakan Muslim yang berusia tua, penghafaz al-Quran yang melampaui batas dalam al-Quran dan tidak mengamalkannya dan memuliakan penguasa yang adil.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Kembali Kepada Fitrah Jalan Penyelesaian Pandemik

Justeru, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi mengajak kita bersama-sama mengamalkan langkah pencegahan dengan melakukan kuarantin kendiri. Semua itu demi memutuskan rantaian penyebaran penyakit.

DR AHMAD SANUSI

Jelas beliau, Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa kepatuhan Muslim kepada setiap langkah yang digariskan dalam mendepani suasana kesukaran sebegitu akan menyebabkan mereka memperoleh ganjaran yang tidak ternilai.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada seorang pun yang ditimpa wabak taun ini sedangkan dia duduk di dalam negeri tempatnya dengan penuh kesabaran dan bermuhasabah, dan dia faham bahawa tiada sesuatu yang menimpanya melainkan semuanya telah ditentukan oleh ALLAH, melainkan dia akan mendapat pahala seperti pahala syahid.” (Riwayat al-Bukhari)

Ujar ahli akademik itu, al-Imam Ibnu Hajar ketika menghuraikan hadis berkenaan dalam karyanya, Fathul Bari, beliau menjelaskan: “Ungkapan Nabi Muhammad SAW tersebut memberi makna bahawa sesiapa yang bersifat dengan sifat-sifat yang disebutkan itu, dia akan memperolehi ganjaran syahid walaupun dia tidak mati (kerana wabak tersebut).”

“Dalam erti kata lain, hadis ini menekankan aspek disiplin seorang Muslim dalam menghadapi suasana wabak.

“Seorang Muslim seharusnya mengimani bahawa wabak yang melanda ini adalah ketentuan daripada ALLAH SWT. Mereka seharusnya mampu mengawal diri di rumah, bersabar atas segala ujian yang menimpa dan meyakini bahawa tidak ada sesuatu pun yang berlaku melainkan atas ketentuan-NYA,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Duduk rumah

MASA yang ada duduk di rumah pada musim PKP gunakanlah dengan sebaiknya dan didik anak untuk menunaikan solat dengan cara yang betul.

Menyambung hujahnya, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, dalam kitab suci umat Islam, ALLAH SWT memuji tindakan Muslim yang berusaha menyelamatkan nyawa orang lain.

Ia sebagaimana yang disebutkan menerusi firman-NYA: “…Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…” (Surah al-Maidah, ayat 32)

Bagi menghuraikan ayat itu, pensyarah itu lantas memetik pandangan al-Imam Mujahid yang menjelaskan bahawa semua usaha menyelamatkan nyawa manusia dikira termasuk dalam maksud ayat berkenaan.

Kata al-Imam Mujahid: “(Yang dimaksudkan ayat ini termasuklah) mereka yang menyelamatkan manusia daripada tenggelam lemas atau dibakar atau apa-apa kebinasaan.” (Tafsir Ibn Kathir)

“Huraian oleh al-Imam Mujahid ini membayangkan betapa segala usaha yang terlibat boleh dikategorikan sebagai usaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

“Oleh itu, tindakan mereka yang enggan mematuhi arahan dengan keluar sesuka hati bukan sahaja boleh menggagalkan rancangan kerajaan bagi mengawal wabak, bahkan berpotensi menjadi punca kepada kemudaratan orang lain,” tegasnya.

Beliau kemudiannya memetik sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana baginda ada memberikan amaran kepada mereka yang boleh memudaratkan orang lain.

Duduk rumah

GUNAKAN kesempatan yang ada duduk di rumah sepanjang PKP untuk menunaikan solat berjemaah bersama keluarga dan tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan orang lain.

Baginda SAW bersabda: “Barang siapa yang memudaratkan orang lain, maka ALLAH akan mendedahkan mudarat padanya. Barang siapa yang menyusahkan orang lain, ALLAH boleh menyusahkan urusannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Dr Ahmad Sanusi, ia jelas menunjukkan bahawa ALLAH SWT tidak suka kepada hamba-NYA yang mendedahkan kemudaratan kepada orang lain.

“Marilah bersama kita berusaha untuk mendisiplinkan diri mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Kepatuhan kita menghayati dan mematuhi arahan ini mudah-mudahan dinilai sebagai amalan yang memberatkan neraca timbangan amal pahala kita di akhirat kelak. Semoga ALLAH membimbing kita,” katanya.

Foto: Freepik