Browsing Tag

pahala puasa berbeza

Buru lailatulqadar
Ibadah,

Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

SEWAKTU mula puasa pada usia tujuh tahun, penulis masih tidak faham pengertian sebenar ibadah tersebut.

Pada umur budak sebegitu, penulis hanya tahu puasa bermaksud tidak boleh makan dan minum serta tidak boleh korek hidung dan telinga!

Rasanya ramai yang beranggapan sebegitu sebelum ini. Namun, penulis percaya seiring dengan faktor usia dan kematangan masing-masing, semua kini sudah cakna tentang kewajiban Rukun Islam keempat tersebut.

Begitu pantasnya masa berlalu. Kini kita kembali menemui bulan Ramadan yang memasuki hari kedua.

Meskipun kita sama-sama menjalani ibadah puasa dalam bulan yang sama iaitu Ramadan, ketahuilah bahawa pahala setiap daripada kita tidak sama.

Mengapakah perkara itu berlaku? Apakah yang membezakan pahala puasa setiap orang Islam?

Baca juga Amalan yang boleh tambah dan kurangkan pahala puasa, penting untuk kita tahu

Bergantung amalan

Sebelum meleraikan tanda tanya itu, Sinar Islam Plus terlebih dahulu mengajak Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood untuk mengupas tentang pensyariatan ibadah puasa.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

Membuka tirai mukadimahnya, jelas beliau, berpuasa pada bulan Ramadan merupakan antara ibadah penting bagi umat Islam sebagaimana dinyatakan secara jelas oleh ALLAH SWT menerusi Surah al-Baqarah, ayat 183 hingga 185.

“Meskipun umat Islam difardukan untuk berpuasa dalam bulan mulia berkenaan, namun ada beberapa golongan yang dibenarkan untuk berbuka sekiranya mereka tergolong dalam kelompok yang dibenarkan berbuat demikian, tetapi perlu menggantikannya.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah berpuasa kepada umat Islam,“ katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Suatu perkara signifikan tentang Rukun Islam keempat yang sering dipandang enteng, ujar ahli akademik itu, kewajiban berkenaan bukan sahaja mengukur amalan menahan lapar dan dahaga semata-mata.

Sebaliknya, terang beliau, ALLAH SWT turut menilai segala perkara yang kita kerjakan.

“Jangan biarkan amalan berpahala ini membuatkan kita hanya merasa penat, lapar dan dahaga sahaja. Sedangkan banyak fadilat yang boleh kita raih seperti yang dijanjikan ALLAH SWT.

Baca juga Rupanya Rasulullah SAW sempat berpuasa sembilan kali sepanjang hayat Baginda

“Ketahuilah bahawa setiap amalan yang kita lakukan akan membezakan pahala bagi setiap umat Islam. Sekiranya amal kita lebih kepada perkara yang baik dan patuh syariah, maka akan berlipat ganda pahala kita.

Puasa

PAHALA setiap orang yang berpuasa bukan sekadar diukur dengan menahan lapar dan dahaga, tetapi ALLAH SWT menilai setiap apa yang dikerjakan. -Foto: 123rf

“Namun, sekiranya ketika kita berpuasa, tetapi tetap melakukan perkara yang jauh menyimpang daripada landasan agama, maka perbuatan tersebut akan memberi kesan kepada ganjaran pahala yang sepatutnya kita peroleh,“ jelasnya.

Ustazah Siti Fatahiyah turut memberi gambaran mudah untuk kita memahaminya lebih jelas.

Misalnya, katanya, keletihan yang dialami akibat berpuasa menyebabkan kita meninggalkan solat lima waktu ataupun tidak menutup aurat, maka sudah pasti ia akan memberi kesan ke atas dosa atau pahala kita.

“Oleh sebab itu, kita perlu menjadikan amalan selama sebulan sepanjang Ramadan sebagai platform untuk mendidik diri supaya berdisiplin menjaga kesihatan fizikal termasuk menambah baik amalan spiritual dan menjaga kekuatan intelektual kita.

Baca juga Mantapkan kecergasan diri dengan berpuasa bukannya lemau sepanjang masa, ini nasihat WHO 

“Semua itu diperlukan agar latihan disiplin yang kita jalankan selama sebulan berturut-turut ini akan dapat dilazimkan ke hari-hari berikutnya untuk menambah baik amal ibadah sepanjang hidup di dunia,“ katanya.

‘Akademi‘ didik diri

Dalam pada itu, perunding motivasi wanita dan kekeluargaan itu turut mengingatkan agar umat Islam tidak menjadikan puasa sebagai alasan tidak mampu melaksanakan rutin mahupun tugasan lain.

Benar, ramai yang mengadu letih, penat, susah hendak bekerja, mengantuk ketika belajar dan seumpamanya ketika berpuasa.

“Alasan-alasan klise tersebut hanya muncul dalam pemikiran kerana kita sendiri yang mengarahkan akal fikiran memandu ke arah itu.

Puasa

BULAN Ramadan bukan alasan bagi kita bermalas-malasan, lesu tidak berbuat apa gara-gara berpuasa. -Foto: Pexels

“Sepatutnya kita meletakkan sepenuh keyakinan bahawa kefarduan puasa itu perlu dipatuhi. Kebaikan berpuasa untuk tubuh badan dan juga penambahbaikan spiritual serta intelektual kita bukan sahaja diperoleh dalam hadis-hadis Rasulullah SAW, malah banyak kajian saintifik membuktikan bahawa berpuasa itu memberikan banyak kebaikan,“ terangnya panjang lebar.

Berkongsi hikmah di sebalik puasa yang dilakukan, ujar penceramah itu, selain mengajar diri berdisiplin dan menyusun diet pemakanan, ibadah berkenaan sebenarnya turut menjaga perbuatan, pertuturan dan perwatakan agar ia selari dengan tuntutan agama.

Baca juga Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

“Semua amalan seperti membaca atau bertadarus al-Quran, menambah amalan sunat dan bersedekah sangat baik untuk dilakukan dalam bulan mulia ini.

“Begitu juga menjaga hubungan kekeluargaan dan sosial, pertuturan, pandangan mata, aurat dan batas pergaulan serta mengawal emosi dan nafsu,“ katanya.

Jelas beliau, tidak salah andai kita jadikan Ramadan sebagai ‘akademi‘ mendidik diri dengan menambah baik amalan untuk diteruskan selepas Ramadan dan lebih bagus daripada bulan agung berkenaan pada tahun sebelumnya.

“Kita tidak mahu ia sekadar menjadi acara tahunan yang berlalu begitu sahaja kerana sifat orang mukmin sentiasa memastikan hari ini lebih baik dari semalam.

“Malah, mereka cepat-cepat bertaubat dan menambahkan amal soleh sekiranya ada perbuatan tersasar yang dilakukan,“ ujarnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.