Browsing Tag

Nilai kemanusiaan

Nilai kemanusiaan
Isu,

Pasak nilai kemanusiaan dalam diri, jangan sampai bersifat seumpama haiwan

Pasak nilai kemanusiaan dalam diri, jangan sampai bersifat seumpama haiwan

DALAM keghairahan memperkatakan isu berkaitan teknologi bersifat kemanusiaan atau memanusiakan teknologi pada masa kini, kita harus melihat keutamaan sebenar, iaitu bagaimana sepatutnya kita mengambil tanggungjawab memanusiakan manusia.

Teknologi itu seiring peredaran zaman, sudah pasti yang menghasilkan idea membina teknologi yang bersifat kemanusiaan itu adalah manusia itu sendiri. Justeru, perkara terpenting adalah kita harus memfokuskanbagaimana memastikan masyarakat memiliki sifat kemanusiaan yang sejajar tuntutan Islam.

Baca juga Dahulukan adab sebelum kemahiran komunikasi

Kita sering melihat dan mendengar pelbagai isu sosial yang tidak baik yang berlaku dalam masyarakat. Antaranya adalah penularan klip video memaparkan perbuatan melakukan kerosakan pada harta benda sekolah dengan menendang pintu tandas, merosakkan kipas serta mematahkan kerusi yang digunakan oleh mereka untuk belajar.

Tular juga isu remaja sindrom Down didera di rumah kebajikan tempat tinggalnya oleh penjaganya. Juga petikan berita akhbar seorang warga emas berusia 91 tahun mati disyaki dibunuh selepas disamun.

Nilai kemanusiaan

SEBELUM ini, tular isu remaja sindrom Down didera di rumah kebajikan dan banyak lagi kes lain yang memaparkan sisi hilangnya nilai kemanusiaan yang dilihat semakin parah kini. -Foto: 123rf

Rasulullah ubah kehidupan jahililah

Pernah juga berlaku tiga ekor kucing dibunuh kejam dengan ‘dilemaskan‘ dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri oleh seorang lelaki.

Inilah antara senario masyarakat kita, di mana nilai kemanusiaan mereka? Dan kenapa serta bagaimana mereka boleh bertindak di luar nilai kemanusiaan? Di sinilah tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh untuk memanusiakan manusia selari kehendak Islam.

Rasulullah SAW diutuskan untuk membentuk sikap keperibadian manusia yang tinggi selaras dengan fitrah kejadian manusia sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.“

Rasulullah diutus ke dalam suasana masyarakat Arab jahiliyyah dengan tanggungjawab yang amat besar iaitu memanusiakan masyarakat Arab jahiliyyah tersebut. Bayangkan pada masa itu, sikap bunuh membunuh sesama sendiri, perkauman (yang kuat menindas yang lemah), perampasan, penindasan, penganiayaan serta pelbagai sifat buruk yang tidak berperikemanusiaan berlaku.

Maka kehadiran Rasulullah bertujuan merubah kehidupan jahiliah yang tidak berperikemanusiaan kepada kehidupan yang lebih baik iaitu dengan memperkenalkan cara hidup Islam seperti membantu golongan memerlukan, kasih mengasihi, menghindari kezaliman, hormat menghormati, toleransi dan lain-lain akhlak terpuji.

Integrasi sosial

Memahami maksud kemanusiaan secara terminologi adalah bermaksud suatu kefahaman untuk mengangkat dan meningkatkan taraf dan martabat manusia ke tempat yang lebih tinggi sesuai dengan asal kejadian manusia itu sendiri sebagaimana Firman ALLAH dalam Surah at-Tiin ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya KAMI telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya kejadian (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)“.

Nilai kemanusiaan

MANUSIA adalah sebaik-baik kejadian ciptaan ALLAH SWT.

Daripada ayat ini dapatlah kita fahami bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian ciptaan ALLAH SWT. Membuktikan juga perlakuan manusia adalah berbeza dengan makhluk ALLAH yang lain khususnya haiwan. Maka adalah amat tidak wajar seseorang manusia itu berkelakuan dan bersifat seperti haiwan.

Dalam hal ini, memanusiakan manusia harus bermula dengan kesedaran diri sendiri. Memahami hakikat kejadian manusia akan memberi ruang kepada agama di dalam diri supaya agama itu sendiri boleh mempengaruhi tindakan seseorang dengan nilai-nilai dan ajaran yang terdapat dalam hukum Islam seterusnya menghasilkan solusi yang tepat dalam menyelesaikan permasalahan.

Baca juga Asal kejadian wanita bukan daripada tulang rusuk lelaki. Fahami penjelasannya melalui kitab al-Quran dan Bible

Bagi kita yang berpegang teguh kepada Islam, integrasi sosial tindakan memanusiakan manusia ini boleh dibina menerusi tiga pendekatan. Pertama: membina kefahaman ilmu. Kefahaman di sini bermaksud melangkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan berlandaskan keilmuan Islam. Islam agama yang syumul yang datangnya daripada ALLAH yang menciptakan manusia.

Sudah semestinya ALLAH MAHA MENGETAHUI apa yang baik dan yang diperlukan oleh manusia. Sebab itulah manusia diberikan al-Quran dan hadis sebagai panduan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab ALLAH (al-Quran) dan sunnah Nabi-NYA“.

Nilai kemanusiaan

BERPEGANGLAH kepada al-Quran dan as-Sunnah dalam melayari kehidupan yang singat ini.

Kedua: Pelaksanaan amalan. Islam bukan sekadar agama kepercayaan tetapi ia juga adalah agama amalan. Melaksanakan amalan yang dituntut dalam Islam kerana mengingat dan taat kepada ALLAH. seperti solat, sedekah dan bantu membantu sesama manusia dapat memberikan seseorang itu kehidupan yang tenang dan terurus, seperti dijelaskan dalam Surah ar-Ra‘d ayat 28, “ … ingatlah, hanya dengan mengingat ALLAH-lah hati menjadi tenang dan tenteram.“

Ketiga: Kemahiran menyampaikan seruan dan dakwah. Perkara pertama dan kedua adalah membina keperibadian dan sifat kemanusiaan diri sendiri. Manakala perkara ketiga ini bersifat mengajak orang lain untuk sama-sama bergerak membina sifat keperibadian dan kemanusiaan masing-masing. Maklumat dan kefahaman disampaikan, ajaran dan amalan agama dilaksanakan. Teguran dan dorongan diberikan dalam kerangka memanusiakan manusia.

Penuhi piawai ALLAH

Sampaikanlah dakwah Islam dengan cara yang baik dan lembut kerana ia akan mendekatkan seseorang itu dengan Islam. Hal ini dibuktikan daripada firman ALLAH dalam Surah Taaha ayat 43-44 bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut“.

Manusia terbaik ialah yang memenuhi piawai ciptaan ALLAH. Dia seorang yang teguh iman, luas ilmu, istiqamah amalan, hikmah tindakan, disenangi masyarakat serta menjadi contoh teladan oleh orang di sekitarnya.

Baca juga 11 perkara ini begitu disukai oleh ALLAH SWT, jom sama-sama kita amalkan

Tindakan memanusiakan manusia bukan hanya diletakkan kepada guru di sahaja. Pembinaan nilai kemanusiaan bermula sejak anak itu dilahirkan hingga ia membesar menjadi manusia yang berpaksikan cara hidup Islam yang didokong oleh institusi kekeluargaan, pendidikan dan masyarakat.

***Artikel ditulis oleh Ketua Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan, Ustaz Husaini Ab Razab