Browsing Tag

niat

Puasa 10 Muharam
Ibadah,

Jangan terlepas peluang puasa sunat Tasu’a dan Asyura 27 dan 28 Julai / 9 dan 10 Muharam ini

PUASA pada bulan Muharam adalah puasa yang paling afdal (terbaik) selepas berpuasa pada bulan Ramadan. Ini kerana Muharam merupakan awal tahun Hijrah, maka sangat digalakkan dibuka dengan amalan puasa yang merupakan amalan paling utama.

Tarikh puasa Tasu’a dan Asyura 1445H

27 Julai 2023 (Khamis) dan 28 Julai 2023 (Jumaat) = 9 dan 10 Muharam 1445H

Memetik perkongsian Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), antara amalan sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Muharam adalah berpuasa pada 10 Muharam atau lebih dikenali dengan puasa Asyura’.

Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas RA: Maksudnya: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara kelebihan berpuasa di hari aAyura’ ialah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya sepertimana yang disebut Abu Qatadah RA: Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

SUNAT puasa hari ke 9 dan 1o Muharam. -Foto: Dr Ahmad Sanusi Azmi 

Akan tetapi pada hari tersebut, orang-orang Yahudi juga berpuasa kerana ALLAH SWT telah menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israil daripada musuh mereka. Mereka menggelarkan hari tersebut dengan Yom Kippur, atau diterjemahkan ke bahasa Arab dengan Yaumul Ghufran (Hari Keampunan).

Justeru, Nabi SAW memerintahkan umat Islam agar melaksanakan puasa Tasu’a’ yang bermaksud hari yang ke 9 Muharram.

Hal ini dirakamkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharam.” (Hadis Riwayat Muslim)

ARTIKEL BERKAITAN 

Daripada hadis di atas, ulama menyimpulkan bahawa sunat berpuasa pada hari yang ke 9 dan 11 Muharam bertujuan mengelakkan persamaan ibadah dengan agama lain.

Pun begitu terdapat 3 lagi puasa sunat yang boleh diamalkan setiap bulan termasuklah bulan Muharam ini iaitu puasa Hari Putih.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA: Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Tuntasnya, terdapat 6 hari puasa bulan Muharram yang boleh kita amalkan di bulan yang mulia ini. Semoga segala amalan kita diterima ALLAH SWT dan mendapat keberkatan dari-NYA.

ULAMA menyimpulkan bahawa sunat berpuasa pada hari yang ke 9 dan 11 Muharam bertujuan mengelakkan persamaan ibadah dengan agama lain. Foto: JAKIM

Niat puasa

1.Niat Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram : Khamis)

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُوعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Nawaitu Sauma Tasu’a Sunnata Lillahita’ala

Maksudnya :“Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Tasu’a Esok Hari Kerana ALLAH Ta’ala.”

2.Niat Puasa Hari ‘Asyura (10 Muharram : Jumaat)

نَوَيْتُ صَوْم عَاشُورَاء سُنَّة لله تَعَالى

Nawaitu Sauma ‘Asyura Sunnata Lillahita’ala

Maksudnya : “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana ALLAH Ta’ala”