Browsing Tag

Niat buat korban

Niat buat korban
Ibadah,

Niat sahaja sudah beroleh pahala, apatah lagi jika buat korban

NIAT buat korban sahaja sudah beroleh pahala, inikan pula andai kita berjaya merealisasikannya pada Hari Raya Aidiladha nanti.

Pernyataan itu mungkin mampu mengubati hati segelintir orang yang begitu mengimpikan untuk melakukan ibadah berkenaan, namun tidak mempunyai kemampuan berbuat demikian.

Demikian jelas pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan ketika ditemu bual Sinar Islam Plus baru-baru ini.

“Bila kita sudah berniat, walaupun tidak mampu dilaksanakan kerana ada halangan seperti kekangan kewangan atau kesukaran, kita tetap akan meraih pahala,” ungkapnya.

Ia sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian DIA menjelaskannya. Maka barang siapa berniat mengerjakan kebaikan, tetapi tidak dikerjakannya, ALLAH mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna…” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Belum mampu buat korban tetapi inginkan pahala, apa yang anda boleh lakukan?

Pun demikian, pendakwah itu mengingatkan agar kita jangan sekadar berniat, tetapi tiada langsung kesungguhan untuk merealisasikannya.

IMAM MUDA HASSAN

“Andai kata, seseorang berniat ingin menjalankan ibadah korban, kumpullah wang dari sekarang sedikit demi sedikit. Mungkin dengan menyisihkan pendapatan kita waima RM1 sehari, siapa tahu kita mampu melakukannya walaupun satu bahagian pada tahun akan datang.

“Kalau tidak mampu buat korban di dalam negara, tiada salahnya untuk melakukannya di luar negara walaupun lebih afdal dilakukan di sini. Ukurannya bukan terletak pada nilainya, tetapi keikhlasan kita berbuat demikian,” ungkapnya.

Tuturnya lagi, mereka yang berniat melakukan kebaikan, ALLAH akan memudahkan ‘jalan’ tersebut.

Walaupun ibadah korban tersebut hanyalah sunat yang dituntut, tetapi pesan Imam Muda Hassan, janganlah kita memandang remeh tentangnya.

“Barangkali ada yang kata, mereka tiada duit. Sedangkan kita makan dan minum, bayar itu dan ini, berhibur sana sini. Maknanya ada wang.

“Malangnya, apabila tiba bab korban, ia dirasakan tidak begitu penting. Padahal, itulah penunjuk utama sebagai tanda syukur kita kepada ALLAH SWT,” katanya.

Wang bukan ukuran

Sesungguhnya, walaupun mempunyai wang, ia bukanlah ukuran untuk seseorang berkorban. Semuanya terletak kepada keimanan, ketulusan hati dan kesungguhan masing-masing.

Sebagaimana yang ditonjolkan oleh Supiani (bukan nama sebenar), seorang ketua pramusaji di sebuah syarikat katering di Kuala Lumpur.

Pendapatannya dibayar secara mingguan. Namun, setiap kali gaji, wanita asal Bogor, Indonesia berusia lewat 40-an itu tidak pernah lupa menyisihkan sedikit wang. Niatnya mahu melakukan ibadah korban sama seperti tahun-tahun lalu. Tiba masanya, beliau akan mengeluarkan tabungannya itu untuk menyertai ibadah korban lagi pada tahun ini.

Baca juga ‘Buat korban bukan sebab kita kaya, tapi…’

“Sayang kalau tak buat korban, rugi rasanya. Walaupun tak mampu nak bagi segepuk wang, tapi bila dikumpul akhirnya cukup duit untuk sembelih satu bahagian lembu,” bicaranya riang.

Niat buat korban

WANG bukan ukuran untuk seseorang melakukan ibadah korban. Semuanya terletak kepada niat buat korban, kesungguhan dan ketulusan hati kita dalam melakukannya. -Foto: Canva & 123rf

Kesungguhannya itu begitu merentap sanubari penulis. Ada benarnya kata-kata Supiani. Cerita beliau mengingatkan penulis dan Imam Muda Hassan kepada kisah sepasang suami isteri yang pernah tular sembilan tahun lalu apabila membawa dua ekor kambing korban ke masjid di Indonesia.

Ceritanya begini, Maman dan Yati bekerja sebagai pengutip barang-barang terbuang. Itulah sumber pendapatan mereka. Berkat menabung selama tiga tahun, akhirnya pasangan itu berjaya membeli dua ekor kambing korban.

Ketika menyerahkan binatang korban kepada penjaga Masjid Agung Al-Ittihad, Tebet Barat, Jakarta Selatan, mereka begitu terharu dan tidak sampai hati untuk menerimanya. Ini kerana, mereka berpandangan keluarga itu tidak dikira sebagai ‘masuk hitungan wajib’ untuk berkorban.

Dua cerita berbeza, tetapi ia benar-benar menjentik emosi kita. Mereka tulus menyempurnakan ibadah korban demi memanifestasikan rasa syukur kepada Sang Pencipta.

Barangkali ada yang pernah berazam untuk menunaikan ibadah korban, tetapi masih belum ada rezeki berbuat demikian.

Apakah yang boleh dilakukan oleh golongan yang kurang berkemampuan untuk berkorban? Benarkah pengorbanan hanya melibatkan haiwan sembelihan sahaja?

Taqarrub kepada ALLAH, itulah pengorbanan

Ketika Sinar Islam Plus melontarkan pertanyaan itu kepada Imam Muda Hassan, beliau memberi ulasan panjang lebar tentang maksud korban.

Jelas beliau, perkataan korban berasal dari kalimah ‘qaraba’ dalam bahasa Arab yang bermaksud dekat atau hampir.

Dari situ, dapat difahami bahawa ibadah korban saban tahun pada setiap 10 hingga 14 Zulhijah itu tidak lain tidak bukan adalah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dengan mengerjakan perintah-NYA.

Baca juga Ibadah Korban Kifarat Dosa Kepada Pelakunya, Ia Amalan Yang Dicintai ALLAH Pada Aidiladha

“Sebab itulah korban sering kali dikaitkan dengan ibadah penyembelihan seperti lembu, kambing, kerbau dan unta.

Niat buat korban

NIAT buat korban bukan sebab kita kaya dan sebagainya, tetapi ia bermatlamatkan untuk mendapatkan petunjuk daripada ALLAH dan mendekatkan diri kepada-NYA yang tidak pernah putus dalam memberikan rezeki kepada hamba-NYA. -Foto: 123rf

“Dalam al-Quran juga, adakalanya ALLAH menyebut ibadah sembelihan itu sebagai al-hadyu (menyembelih haiwan) daripada kalimah ‘hada’ (petunjuk).

“Mudah kata, kita melakukan ibadah sembelihan bermatlamat mendapatkan petunjuk daripada ALLAH SWT. Itu dalam konteks bulan Zulhijah,” katanya.

Begitupun, penceramah itu menambah, perbuatan berkorban tidak hanya terhad kepada Hari Raya Aidiladha, tetapi juga pada waktu-waktu lain.

Masakan tidak, katanya, pengorbanan begitu luas maknanya.

Ketahuilah bahawa apa sahaja yang membawa kita bertaqarrub kepada ALLAH dan mencari petunjuk-NYA sebenarnya merupakan satu bentuk pengorbanan, terangnya.

“Misalnya, seorang suami berkorban membanting kudratnya demi mencari rezeki buat keluarga. Ini kerana ia memang menjadi tanggungjawab suami untuk menafkahi isteri dan anak-anak. Semuanya demi ketaatan kepada perintah ALLAH.

“Begitu juga halnya apabila kita menuntut ilmu sehingga perlu bermujahadah dan bermusafir ke sana sini mencari tok guru dengan tujuan mahu mengenal Sang Pencipta,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Imam Muda Hassan menjelaskan, menunaikan solat lengkap dengan 13 rukun sembahyang juga merupakan satu bentuk pengorbanan demi melunaskan hak seorang hamba kepada Yang MAHA ESA.

“Jelaslah betapa meluasnya maksud sebuah pengorbanan itu. Mudah kata, kita melalui semua itu dalam kehidupan seharian di muka bumi ini,” ungkapnya.

Niat buat korban

PENGORBANAN bukan setakat penyembelihan sahaja, tetapi apa sahaja perbuatan yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT merupakan maksud istilah berkenaan. Ia termasuklah seorang suami membanting tulang demi mencari rezeki buat keluarganya demi melunaskan tanggungjawab dan melakukan ketaatan kepada perintah Yang MAHA ESA. -Foto: 123rf

Bantu proses sembelihan

Perbualan kami semakin rancak apabila persoalan tentang ayam dijadikan sebagai haiwan korban andai seseorang tidak berkemampuan menjalankan ibadah penyembelihan.

Baca juga Kaedah Yang Betul Jika Ingin Lakukan Ibadah Korban Untuk Orang Yang Sudah Meninggal

Meskipun ia tidak termasuk dalam kategori ibadah korban yang disyariatkan, Imam Muda Hassan berpandangan, usaha mereka yang melakukannya semata-mata untuk mendekatkan diri kepada ALLAH sememangnya terpuji.

“Ya, memang ada pandangan minoriti yang menyatakan hal ini, tetapi kita tak praktikkan,” katanya.

Bagaimanapun, pendakwah itu menyarankan agar individu yang tidak mampu menjalankan ibadah korban tadi agar sama-sama bergotong-royong membantu ketika proses sembelihan.

“Insya-ALLAH dapat syer juga asalkan datang dengan niat untuk sama-sama mengagihkan daging korban tadi kepada golongan sepatutnya. Insya-ALLAH pahala (berkorban) itu kita dapat juga,” katanya menoktahkan bicara.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.