Browsing Tag

nepotisme

Berpolitik
Berita Semasa,

Elak lantik anak-beranak dan kaum kerabat untuk suatu jawatan, ini pandangan Islam berkaitan hal itu

RADAR perbualan warganet kembali kecoh dengan isu lantik anak-beranak dalam kepimpinan negara. Rata-ratanya kurang bersetuju dengan pelantikan yang disifatkan sebagai nepotisme.

Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan nepotisme sebagai perbuatan atau amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan sendiri sahaja.

Dalam artikel bertajuk Al-Afkar #132: Nepotisme dan Kronisme Menurut Islam yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam al-Quran, terdapat beberapa kalimah yang sepadan dengan perkataan nepotisme.

Antaranya al-mahabbah (kecintaan kepada sesuatu) dan al-ghil (cenderung untuk khianat).

Malah, terdapat beberapa dalil yang boleh diambil pedoman berkaitan amalan tersebut.

Antaranya ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah at-Taubah, ayat 23)

Baca juga Jangan tipu rakyat, haram syurga ke atas pemimpin bersikap sedemikian

Berdasarkan kalamullah berkenaan, jelaslah ayat itu menerangkan betapa pentingnya berpegang kepada kebenaran dan keadilan meskipun terpaksa membelakangi keluarga sendiri.

Lantikan anak beranak

PENTING untuk berpegang kepada kebenaran dan keadilan walaupun kadangkala terpaksa membelakangi keluarga sendiri. -FOTO: FREEPIK

“Ini kerana objektif dan hakikat kebenaran/ keadilan melebihi daripada hakikat hubungan kekeluargaan, meskipun dalam keadaan memberi jawatan untuk seseorang,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel yang disiarkan di laman web pejabat mufti berkenaan.

Rasulullah pernah dituduh amalkan kronisme, nepotisme

Rupanya junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang semulia-mulia manusia itu pernah dituduh mengamalkan sifat nepotisme dan kronisme dalam pembahagian harta rampasan perang.

Namun, ketahuilah bahawa nabi tidak seinci pun membiarkan diri baginda melakukan perbuatan khianat tersebut apatah lagi dalam melebih-lebihkan suatu kaum mahupun mereka yang ada pertalian darah dengannya.

Anas bin Malik RA menceritakan, Rasulullah SAW membahagikan harta rampasan perang kepada Bani Hawazin daripada kaum Quraisy sebanyak 100 ekor unta. Malangnya, sesetengah orang daripada kaum Ansar pula mempertikaikan pembahagian tersebut.

Ini kerana mereka berpendapat, kaum tersebut banyak membantu baginda dalam peperangan. Perkhabaran itu sampai pada pendengaran Nabi Muhammad SAW, lalu baginda mengumpulkan kaum Ansar dalam satu pertemuan tertutup.

Baca juga Rasulullah SAW pernah disihir? Ini sebab surah al-Falaq diturunkan.

Dalam perjumpaan itu, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku memberikan harta kepada mereka yang baru sahaja meninggalkan kekafiran (dan menerima Islam) untuk menarik hati mereka kepada agama ini. Tidakkah kamu gembira bahawa mereka mengambil harta-harta tersebut sedangkan kamu (Ansar) membawa pulang Nabi Muhammad SAW ke tempat kamu? Demi ALLAH kami mendapat sesuatu yang lebih berharga daripada apa yang mereka dapat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Lantikan anak-beranak

RASULULLAH SAW pernah dituduh mengamalkan sifat nepotisme dan kronisme dalam pembahagian harta rampasan perang berupa unta, sedangkan baginda tidak pernah melakukan perbuatan khianat. -FOTO: CANVA

Hadis tersebut jelas menunjukkan, kekasih ALLAH SWT itu tidak membahagikan harta berkenaan kerana hubungan pertaliannya dengan kaum Quraisy.

“Sebaliknya, ia lebih kepada pendekatan dan strategi dakwah mereka untuk melembutkan hati kaum Quraisy. Sedangkan, kaum Ansar yang lebih beruntung kerana baginda lebih dekat dengan mereka,” kata artikel berkenaan.

Perbuatan negatif

Terdapat sebuah hadis bersanad daif diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang melarang seseorang mengutamakan ahli keluarga untuk pelantikan suatu jawatan yang mempunyai autoriti ke atas yang lain.

Meskipun demikian, ia sarat dengan pengajaran dan pedoman kerana riwayat berkenaan selari dengan al-Quran dan hadis-hadis lain supaya berlaku adil walaupun terhadap ahli keluarga sendiri.

“Menjadi satu kesalahan jika melantik seseorang itu hanya kerana dia mempunyai hubungan kekeluargaan dan menafikan hak orang lain yang lebih berkelayakan.

Baca juga Meminta-minta jawatan. Ini hukumnya yang perlu kita tahu

“Justeru, perbuatan melantik seseorang untuk jawatan atau autoriti berdasarkan hubungan kaum kerabat atau rakan-rakan, perilaku ini sangat negatif kerana penilaian yang dibuat bukanlah berasaskan kelayakan dan keupayaan seseorang.

“Islam memandang perbuatan ini sebagai perkara yang haram dan harus dielakkan kerana mengkhianati hak orang lain,” katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya, beliau menjelaskan, Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa pemilihan kepimpinan mestilah dalam kalangan mereka yang benar-benar berkelayakan dan berkebolehan memimpin, bukannya disebabkan kerana seseorang itu rapat dengan kita.

Daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang melantik lelaki dari kaumnya sedangkan ada yang lebih diredai ALLAH (yang lebih layak dari lelaki tadi), maka sesungguhnya dia telah mengkhianati ALLAH dan rasul-NYA serta orang-orang mukmin.” (Mustadrak al-Hakim – al-Hakim menilai hadis ini sebagai Sahih al-Isnad, manakala al-Albani menilai hadis ini daif)

Kisah para sahabat membantah pelantikan ahli keluarga

Dr Ahmad Sanusi kemudian memberikan contoh pelantikan pemimpin yang dilakukan ketika zaman para sahabat yang menolak ahli keluarga menggalas tanggungjawab berat tersebut.

“Sebahagian sahabat melihat anak kepada Saidina Umar iaitu Abdullah bin Umar ialah seorang yang dikatakan layak untuk menjadi pemimpin, tetapi khalifah itu sendiri membantahnya.

Baca juga Pemimpin atau ketua yang baik perlu seimbangkan di antara kepentingan agama dan urusan duniawi

“Beliau tidak mahu ada dalam kalangan anak-beranaknya sendiri menggalas tanggungjawab yang berat,” katanya.

Saidina Umar berkata: “Barang siapa yang melantik seorang lelaki menjadi pemimpin disebabkan kerana dia suka kepada lelaki tersebut atau kerana lelaki tersebut adalah ahli kerabatnya, tidak dilantiknya melainkan disebabkan itu, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati ALLAH, rasul-NYA dan orang-orang mukmin.” (Ibn Khatir, Musnad al-Faruq, 2/537)

Bukan itu sahaja, ujar ahli akademik itu, ketika khalifah Islam kedua tersebut turun meninjau ke pasar, beliau mendapati terdapat seekor unta yang sihat dan cantik.

Ketika ditanya tentang perihal tuan haiwan itu, maka ada orang awam memberitahu, unta itu milik anak Saidina Umar iaitu Abdullah bin Umar.

Lantik anak-beranak

KISAH melibatkan beberapa sahabat yang menolak ahli keluarga menggalas tanggungjawab berat memberi iktibar kepada kita agar mengelakkan diri daripada melantik ahli keluarga mahupun kenalan yang tidak layak untuk sesuatu jawatan kerana faktor tersebut. -FOTO: 123RF

“Lantas Umar segera memanggil anaknya itu dan meminta agar unta itu segera dijual. Alasannya ialah beliau tidak mahu dilihat anaknya mendapat kelebihan memiliki unta yang sihat dan cantik kerana hubungan dengan ayahnya sebagai seorang pemimpin negara.

“’Kata Umar kepada anaknya dalam Sunan al-Kabir al-Bayhaqi: “(Wahai anakku), nanti orang ramai akan berkata: Jagalah elok-elok unta anak Amirul Mukminin (ia sebagai satu bentuk rasuah bahawa sekiranya untanya dijaga dengan elok, maka yang menjaga/ memberi minum unta tersebut akan mendapat syafaat tertentu daripada pemerintah (favouritisme) kerana jasa mereka menjaga unta milik anak VVIP)”.

“Jelaslah betapa Saidina Umar sangat berhati-hati dalam urusan yang melibatkan keluarganya,” katanya.

Baca juga Tak boleh tipu resume untuk dapat kerja, jawatan tertentu

Dr Ahmad Sanusi kemudian memberikan contoh lain. Katanya, Ibn Khayyat pernah merekodkan bahawa Saidina Muawiyyah berhasrat untuk melantik anaknya sendiri sebagai pemimpin.

Malah Saidina Muawiyyah turut meminta para sahabat ketika itu untuk berbiah (melafazkan janji taat setia) kepada anaknya.

“Lalu beberapa orang sahabat yang masih ada ketika itu membantah lantikan bersifat sebegini. Antara yang tidak bersetuju termasuklah Abdullah bin Umar, Abdullah bin al-Zubair, Abdullah bin Abbas dan Abd al-Rahman bin Abu Bakar,” jelas beliau.

Ingatlah, dalam apa jua organisasi, elakkan diri daripada melakukan amalan nepotisme atau kronisme. Lantiklah mereka yang benar-benar layak untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Freepik