Browsing Tag

nahas pesawat

Nahas Elmina
Berita Semasa,

Jasad penghafaz al-Quran dijaga hingga akhir hayat

SEMALAM, media melaporkan jasad salah seorang mangsa nahas pesawat ringan di Elmina berada dalam keadaan sempurna sekaligus memudahkan urusan pengecaman mayat dibuat oleh waris.

Jenazah Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, yang berada di dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) tidak terjejas teruk dan hanya kemeja yang dipakainya hangus, manakala singlet dan seluar masih melekap pada badan

Dalam pada itu, isteri mangsa juga memaklumkan kepada abangnya bahawa rambut Allahyarham juga masih elok dan hanya sedikit sahaja terbakar.

Difahamkan, Idris Abdol Talib atau biasa disapa Ustaz Idris merupakan seorang penghafaz al-Quran.

Baca Juga Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

Sementara itu, Abang ipar mangsa, Ahmad Fariz turut meluahkan rasa syukur kerana jenazah dalam keadaan sempurna dan dia sendiri memegangnya sebelum urusan pengebumian dijalankan.

“Kita dapat dia sempurna, dari hujung rambut sampai ke kaki, lengkap (badannya). Rambut dia juga tidak terbakar, saya sendiri pegang. Dia golongan yang dipelihara oleh ALLAH SWT,” katanya.

DIFAHAMKAN jenazah Allahyarham Ustaz Idris Abdol Talib cukup sempurna berbanding jenazah yang lain.

Tiga kelebihan Hafiz di dunia dan akhirat

ALLAH SWT telah menjanjikan ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang menghafaz al-Quran tidak kiralah di dunia mahupun akhirat.

Memetik portal islamqa.info, antara kelebihan seorang penghafaz al-Quran adalah:

1.Mereka diangkat sebagai pemimpin

Seseorang yang lebih banyak hafalannya lebih diutamakan untuk dijadikan sebagai pemimpin ataupun imam solat.

Artikel Berkaitan 

Perkara ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al Khudriy RA, Rasulullah SAW bersabda, “Jika kalian berjumlah tiga orang (dan hendak mengerjakan solat berjemaah) maka hendaklah salah seorang daripada kalian yang paling banyak hafalannya menjadi imam”.

2.Mereka dianugerahkan hati dan pemikiran yang lapang

Orang yang menghafaz al-Quran, hatinya akan lebih dekat dengan Rabb-NYA, kerana ayat-ayat suci itu tersimpan kemas di dalam dada mereka.

SENTIASA mendampingi al-Quran kerana kitab suci itu boleh menjadi penolong kita ketika di akhirat kelak.

Para penghafaz al-Quran akan sentiasa “murajaah” atau mengulang bacaan al-Quran dengan tujuan untuk menjaga hafalan mereka.

Hati mereka juga akan sentiasa cenderung untuk mengingati ALLAH, dan sesungguhnya hati yang sentiasa mengingati ALLAH akan mendapatkan ketenangan.

ALLAH berfirman dalam kalam-NYA “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingat ALLAH hati menjadi tenteram” (Surah al-Ra’d ayat 28)

Baca Juga Benarkah membaca ‘Sadaqallahul Azim’ sebagai penutup al-Quran dikira bidaah?

3.Mereka bakal mendapat syurga yang tertinggi

Daripada Aisyah RA Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Jumlah tingkatan-tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat al-Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafaz al-Quran adalah tingkat yang paling atas, tidak ada tingkat lagi sesudah itu.” (Hadis Riwayat Baihaqi dan Hakim)

Terdapat banyak lagi kelebihan bagi mereka menghafaz al-Quran yang di dalamnya terkandung pelbagai hikmah tersurat dan tersirat.

Semoga dengan peristiwa Allahyarham Ustaz Idris seorang penghafaz al-Quran, menjadikan diri kita juga sentiasa dekat dan cintakan al-Quran.

pesawat terhempas
Berita Semasa,

Meninggal ketika mencari nafkah untuk keluarga, adakah dikira syahid?

Meninggal ketika mencari nafkah untuk keluarga, adakah dikira syahid?

BERBICARA mengenai mati syahid, pasti ramai yang menginginkannya kerana ia termasuk dalam salah satu kategori mati yang baik, iaitu husnul khatimah.

Secara umumnya, ramai mengetahui mati syahid bukanlah hanya berfokus kepada mati ketika dalam perang untuk menegakkan agama Islam sahaja. Namun, mati syahid ialah apabila seseorang itu meninggal ketika hendak memperjuangkan sesuatu kebaikan.

Contohnya seperti seorang ibu meninggal ketika melahirkan anak ataupun orang yang meninggal dengan sebab lemas dan sebagainya. Sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis sahih mengenai lima kematian yang dianggap sebagai syahid.

Terdapat lima jenis kematian yang dianggap syahid, iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan ALLAH.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut Imam Nawawi, lima jenis kematian ini dianggap syahid kerana kematian mereka tidak sama dengan kematian biasa. Ia juga bermaksud kerana seksaan yang mereka alami adalah lebih sakit berbanding dengan sakit yang lain, disebabkan itu mereka telah diberi syahid akhirat.

APABILA bercakap mengenai mati syahid, pasti ramai yang menginginkannya kerana ia termasuk dalam salah satu kategori mati yang baik, iaitu husnul khatimah. -Foto: stockvault

Syahid akhirat di sini membawa maksud mereka yang syahid bukan di medan perang. Mereka juga dikurniakan dengan pahala dan ganjaran sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang syahid di dunia, iaitu orang yang syahid di medan perang.

Jadi, jenazahnya perlu dimandikan, dikafankan dan disolatkan seperti biasa sebagaimana jenazah lain.

Syahid terbahagi kepada tiga bahagian iaitu;

1. Syahid dunia dan akhirat bermaksud orang yang syahid dalam peperangan atau ketika menegakkan syiar Islam dengan niat untuk mendapatkan reda ALLAH semata-mata.

2.Syahid dunia pula ialah mereka yang meninggal ketika dalam peperangan tetapi menghalangnya daripada mendapat syahid akhirat kerana tujuannya yang salah seperti berniat perang untuk mendapat harta rampasan atau nama sahaja.

3. Syahid akhirat ialah syahid yang terjadi bukanlah di medan perang tetapi yang disebutkan dalam hadis di atas.

Artikel Berkaitan 

Bagaimana pula dengan mereka yang meninggal ketika menuju ke tempat kerja dengan meniatkan untuk mencari nafkah kepada ahli keluarganya?

Berkisar tragedi menyayat hati itu, apabila salah seorang daripada 10 mangsa pesawat Beechcraft 390 Premier 1, terhempas di Elmina merupakan orang awam yang juga pemandu e-hailing Grab.

MUHAMMAD Sahrul Izwan dan Nur Izzara menunjukkan gambar yang diberikan bapa mereka untuk dijadikan kenangan. -Foto: Harian Metro

Allahyarham Sharipuddin Shaari, 53, dikatakan telah menghubungi isterinya pada 2.15 petang semalam ketika sedang berehat di sebuah restoran.

Menurut Muhammad Sharul Izuan, 16, bapanya memaklumkan berada di sekitar Elmina untuk mengambil pelanggan dan pulang awal selepas selesai bekerja.

Rentetan kejadian yang tular itu, merujuk Mufti Wilayah, orang yang meninggal dunia kerana mencari nafkah juga tergolong dalam orang yang mendapat ganjaran syahid akhirat.

Baca Juga Perbanyakkan doa ini jika anda telah mencecah umur 40 tahun

Ini kerana, keluar untuk mencari rezeki adalah termasuk dalam amalan soleh yang dituntut oleh agama dan ia termasuk dalam husnul khatimah, iaitu kematian yang baik.

Walaupun ada sebahagian ulama yang menyebut bahawa ia bukan tergolong dalam syahid, namun ia termasuk dalam husnul khatimah kerana perbuatannya yang mulia untuk mencari nafkah kepada keluarga sendiri.

Syeikh Abd Rahman al-‘Asimi – “Di antara golongan yang mendapat syahid akhirat ialah orang yang mati ketika sedang menuntut ilmu sama ada melalui penulisan, pengajaran atau menghadiri majlis ilmu. Dan Imam Al-Ahjuri mengatakan bilangannya sehingga 30 golongan, dan di antaranya juga orang yang keluar mencari nafkah untuk orang yang di bawah tanggungannya.”

FOTO: BERNAMA & SINAR HARIAN
Berita Semasa,

Ajal dan maut sudah ditentukan, pesawat terhempas hanyalah asbab

SEJAK semalam negara digemparkan dengan kejadian sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 dilaporkan terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elimina Seksyen U16, Sungai Buloh, pada Khamis.

Dilaporkan seramai lapan orang yang maut dalam kejadian tragis itu terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Pastinya antara yang paling terkesan dengan peristiwa itu adalah keluarga terdekat mangsa nahas.

Beberapa tangkap layar sempat diambil oleh media memaparkan ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan ketika hadir di lokasi kejadian pesawat terhempas itu.

Baca Juga Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

Bersedih adalah normal kerana hakikatnya sebagai manusia kita tidak akan mampu mengelak perasaan yang hadir itu kerana para Nabi juga pernah bersedih ketika ada ahli keluarga yang meninggal.

Perkara ini sebagaimana dikongsi oleh Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak dan l’jaz al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Ustaz Dr Mohd Sukki Othman ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Jumaat.

Ujarnya, sedih itu normal tetapi kita dilarang untuk meratap, maksudnya seseorang itu tidak menerima ketentuan dan takdir ALLAH SWT.

AHLI keluarga tidak dapat menahan sebak berikutan tragedi nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam yang menyebabkan 10 orang maut. 

“Sebagaimana yang kita tahu ajal dan maut itu sudah ALLAH tentukan kerana setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.

“Dan ALLAH menyebut juga bila sampai ajal mereka, maka tidak akan berganjak sedetik sekalipun, jadi jatuh pesawat itu hanyalah sebab musabab sahaja kerana apabila sudah sampai ajalnya dia akan mati juga.

“Ketentuan ALLAH itu tiada siapa yang tahu, pelbagai tragedi kematian yang hari ini kita dapat lihat, ada yang sedang berehat, tidur, bersukan tetapi tiba-tiba sahaja rebah dan meninggal dunia, ketahuilah itu hanyalah sebab musabab sahaja kerana kematian itu sudah ditentukan ALLAH sejak azali,” katanya.

Baca Juga Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat, fahami tatacara sebenar solat atas kapal terbang

Turut Disyorkan Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin

Menurut Ustaz Sukki lagi, atas hakikat itu kita harus menerima takdir ALLAH, namun bukan bermakna kita tidak bersedih atas kejadian yang menimpa. Dalam al-Quran ALLAH ada menyebut seseorang itu tidak akan pernah tahu di mana dia meninggal.

“..Dan tidak seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.” (Surah al-Luqman ayat 34)

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.” (Surah al-A’raf ayat 34)

“Dan cara bersedih yang terbaik adalah dengan memperbanyakkan doa kepada arwah, semoga dengan sebab kematian mereka yang tragis itu mendapat pahala.

MENURUT kronologi yang dikongsikan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pesawat terbabit membawa dua kru kapal dan empat penumpang.

“Jadi sebagai hamba-NYA kita harus menerima segala ketentuan yang sudah ditakdirkan, walaupun bukan di atas pesawat sekalipun jika sudah ajal mereka pasti akan mati juga dan kita harus yakin setiap ketentuan-NYA tersembunyi hikmah sebaliknya.

“Kita berharap ahli keluarga mangsa tragedi pesawat terhempas ini banyakkan bersabar dan menganggap ini satu ujian dari ALLAH,” titipnya.

Baca Juga Kematian Akibat Covid-19 Dan Melahirkan Anak Termasuk Dalam Syahid Akhirat

Beliau turut mengigatkan, janganlah sesekali kita menolak takdir ALLAH kerana itulah ketetapan yang sudah ditentukan, sebagai manusia kita tidak akan pernah tahu cara kematian kita di mana dan bagaimana pengakhirannya.

Sinar Islam Plus merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga mangsa korban dalam nahas tersebut.

Semoga ALLAH mencucuri rahmat kepada mereka, diterima amal soleh, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن.

الفاتحة.

gambar mangsa kemalangan
Berita Semasa,

Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

BERHENTI menyebarkan gambar atau video mangsa kemalangan di media sosial, lebih-lebih lagi jika ia memaparkan muka atau tubuh badan individu berkenaan.

Hakikatnya, perkara itu kerap berlaku sejak negara digemparkan dengan kejadian nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Baca juga Jangan suka-suka viralkan gambar jenazah, ini hukumnya yang wajib kita tahu

gambar mangsa

 

Susulan peristiwa itu, ada segelintir pihak yang seolah-olah berlumba-lumba ingin menjadi ‘wartawan segera’ dengan menyebarkan gambar dan video mangsa yang terbakar tanpa sekelumit rasa bersalah.

Perlakuan sedemikian ditegur oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi satu ciapan di Twitter.

Kata beliau, perlakuan tidak bermoral itu akan melukakan hati keluarga mangsa yang terlibat.

“Haram sebarkan video atau gambar mangsa yang rentung dalam tragedi tersebut. Itu akan melukakan hati keluarganya, malah ia juga melibatkan maruahnya (mangsa),” ciap Zulkifli.

Sabda Nabi SAW, “Hak setiap Muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

ARTIKEL BERKAITAN:

MENYEBARKAN gambar atau video mangsa kemalangan boleh membuka aib individu tersebut selain melukakan hati keluarganya. Gambar hiasan/123RF

Baca juga Solat jenazah ghaib bukan untuk arwah yang hilang atau di luar negara sahaja. Ini perinciannya

Manakala, pendakwah Ustaz Mohammad Abdul Kadir Sahak memberitahu, penyebaran gambar mahupun video yang memaparkan wajah atau tubuh badan mangsa kemalangan dalam laman media sosial adalah perkara yang haram di sisi agama Islam.

Tambahnya, kematian tersebut tidak kira sama ada meninggal secara biasa, mangsa kemalangan maut, mangsa bunuh atau kes bunuh diri.

“Kita masih ditegah untuk mengambil gambar, video kerana mencemar kemuliaan seseorang manusia tidak kira sama ada gambar orang yang meninggal dunia secara biasa atau akibat kemalangan.

“Yang berlaku, biarkan kekal berlaku dan diketahui orang yang ada di lokasi kejadian, siapa yang mampu membantu, maka dia bantu.

“Bukan untuk ambil kesempatan untuk dapat ‘like’ di Facebook dan seumpamanya, maka perkara ini ditegah dalam agama,” kongsinya menerusi laman Facebook miliknya.

Titip agamawan itu, sebaliknya kita disunahkan untuk menyelimutkan jenazah dengan niat untuk menjaga kehormatan mangsa sekiranya bertemu dengan mangsa kemalangan yang disahkan meninggal dunia.

Sumber: Facebook & Majoriti

Foto: BERNAMA & 123RF