Browsing Tag

Nafkah suami

Nafkah suami
Gaya Hidup,

Nafkah suami kepada isteri, wajibkah ia dinyatakan secara khusus?

NAFKAH suami kepada isteri memang sudah menjadi kewajipan mereka. Semua orang Islam cakna tentangnya.

Cuma apabila terdapat perkongsian daripada seseorang di media sosial berkaitan cara pasangan masing-masing memberi nafkah, mulalah isu itu hangat dibualkan.

Maklum sahajalah, lain orang, tidak samalah caranya. Ada suami yang lebih selesa memberikan isterinya wang saku dan menyiapkan keperluan lain.

Tidak kurang juga yang lengkap menyediakan serba-serbi termasuk barang dapur, pakaian dan perkara yang diperlukan isterinya, tetapi tidak memberikan wang.

Bagaimanapun, ada satu perkara yang mengelirukan orang ramai apabila ada yang menyatakan bahawa nafkah suami kepada isteri perlu dinyatakan secara khusus.

Baca juga Nafkah bukan sekadar kewajipan semata-mata, tapi…

Sebagai contoh, ‘Saya beri RM200 untuk nafkah dan RM500 untuk barang dapur’. Benarkah begitu?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, para ulama menyatakan, tanggungjawab nafkah suami kepada isteri yang wajib diberi adalah melibatkan keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur, rumah, alat kebersihan diri dan juga pembantu rumah (bagi suami yang mampu).

Nafkah suami

TEMPAT tinggal merupakan antara nafkah suami kepada isteri yang wajib diberikan, selain makanan, pakaian, perkakas dapur dan alat kebersihan diri. -Foto: Freepik

“Imam Khatib al-Syirbini menyebut, ini menunjukkan bahawa ulama tidak menetapkan kewajipan suami untuk memberi wang poket kepada isteri apabila dirinya sudah memenuhi nafkah keperluan asas yang cukup kepada pasangannya.

“Selain itu, pemberian nafkah sebenarnya merujuk kepada kemampuan suami sama ada kaya dan berkemampuan, sederhana atau fakir dengan mengikut kadar ketentuan uruf masyarakat setempat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi li al-Fatawi #1916: Adakah Suami Wajib Menyatakan Secara Khusus Nafkah Yang Diberikan Kepada Isteri yang disiarkan dalam laman web https://muftiwp.gov.my/.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 231)

Ketika menghuraikan maksud ayat itu, Ibn Kathir menyatakan, ia menunjukkan adat kebiasaan yang dilakukan oleh isteri mengikut negerinya dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak membebankan suami.

“Hal ini berdasarkan kemampuan suami sama ada kaya, sederhana atau miskin,” kata ulama tafsir berkenaan.

Mengukuhkan lagi hujahnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memetik pandangan yang dinukilkan dalam al-Fiqh al-Manhaji, kada nafkah makanan asasi adalah dua cupak bagi mereka yang kaya, satu setengah cupak (sederhana) dan satu cupak (fakir).

Baca juga Nafkah ikut kemampuan suami, ini kadar yang patut diberikan kepada isteri. Boleh jadikan sebagai panduan 

“Begitu juga dengan lauk-pauk, pakaian dan selainnya yang ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat ia tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Nafkah suami kepada isteri

SEORANG isteri yang tinggal serumah dan makan bersama suami seperti kebiasaan yang dilakukan pada setiap hari tanpa menetapkan kadar makanan dan lauk-pauk tertentu, ia sudah dikira sebagai nafkah. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Bagi seorang isteri yang tinggal serumah dan makan bersama suaminya seperti kebiasaan yang dilakukan pada setiap hari tanpa menetapkan kadar makanan dan lauk-pauk tertentu, maka ia sudah dikira sebagai nafkah dan disebut sebagai nafkah tamkin,” katanya.

Melihat kepada perbahasan tersebut, pejabat mufti itu menyimpulkan, kewajipan nafkah suami kepada isteri adalah dengan menyediakan nafkah asas secara umum.

“Ia seperti makanan, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya tanpa perlu menyatakannya secara khusus.

“Suami juga tidak wajib untuk memberi wang kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama sebagaimana dinyatakan tadi,” ungkapnya.

Baca juga Jangan mengeluh ketika mencari rezeki Kerana Nafkah Halal Lagi Berkat Tuntutan Dalam Islam

Bagaimanapun, artikel tersebut menyatakan, tiada masalah anda suami ingin menukar keperluan nafkah tadi dengan memberi wang kepada isteri untuk membeli sendiri nafkah keperluannya.

“Dalam hal yang lain, andai terdapat perjanjian di antara suami dan isteri atau ditentukan oleh hakim tentang ketetapan kadar nafkah secara khusus, maka suami wajib memberi mengikut kadar yang telah ditetapkan. Inilah yang disebut sebagai nafkah tamlik,” terangnya.