Browsing Tag

mustajab doa

zikir terjaga malam
Gaya Hidup,

Zikir ketika terjaga waktu malam yang dapat menghapuskan dosa

Zikir ketika terjaga waktu malam yang dapat menghapuskan dosa

ANTARA perkara yang sering kali disebutkan dalam kalam suci ALLAH yakni al-Quran adalah untuk sentiasa berzikir kepada ALLAH MAHA ESA dalam setiap keadaan.

Justeru, sebagai umat Islam, kita sepatutnya memperbanyakkan berzikir, apatah lagi amalan mulia itu begitu mudah diterapkan dalam kehidupan sebagai rutin harian.

Hakikatnya, masih ramai di antara kita yang memandang remeh amalan ini, sedangkan kedudukannya sangat agung berbanding amalan-amalan lain yang disyariatkan dalam Islam.

Firman ALLAH SWT, “Dan sesungguhnya mengingati ALLAH adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) ALLAH mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Ketahuilah terdapat banyak keistimewaan di sebalik zikrullah. Bahkan, ungkapan mulia berkenaan menjadi talian kita untuk mengadu, merayu dan berhubung terus kepada YANG MAHA PENCIPTA.

Baca juga Zikir yang memenatkan 70 malaikat mencatatnya “Jazallahu Anna Sayyidina Muhammadan….”

zikir terjaga malam

SEBAGAI manusia, kita tidak dapat lari daripada sifat negatif seperti kemalasan. Foto: Pexels

Zikir apabila terjaga malam
Salah satu kelebihan berzikir adalah ia mudah diamalkan pada bila-bila masa dan dalam pelbagai keadaan.

Seperti dikongsikan program My #HadithTime, ada satu zikir yang boleh dilazimi jika anda terjaga malam, iaitu:

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

Ertinya: “Tiada yang berhak disembah melainkan ALLAH semata-mata yang tiada sekutu bagi-NYA. Bagi-NYA kekuasaan dan bagi-NYA segala kepujian. DIA-lah Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Segala puji bagi ALLAH. Maha Suci ALLAH. Tiada yang berhak disembah melainkan ALLAH. ALLAH Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan (pertolongan) ALLAH”.

Fadilat: Sesiapa yang terjaga pada malam hari dan dia membaca zikir ini, lalu dia memohon ampun atau berdoa, nescaya akan mustajab doanya. Dan jika dia bangun mengambil wuduk dan solat, nescaya akan diterima solatnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sebagai seorang Mukmin, jika kita sentiasa mengingati-NYA, maka DIA juga akan ingat pada kita.

Sebaliknya jika ALLAH tiada di dalam sanubari kita, pastinya segala perbuatan akan dilakukan tanpa bimbingan-NYA, menjadi punca perbuatan mungkar dan maksiat semakin berleluasa di atas muka bumi apabila hasutan syaitan menguasai diri.

Sumber: My #HadithTime